MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Saturday, 26 January 2013

ANEKDOT TAKWA (10): SAYA NAK MIMPI JUMPA NABI SAW!

14 Rabiul awal 1434

( N  36 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA




ANEKDOT TAKWA (10): SAYA NAK MIMPI JUMPA NABI SAW!

SEOrang murid yang telah teruja untuk bertemu Rasulullah s.a.w di dalam mimpi telah bertanya kepada gurunya,
"Ya tuan syeikh guruku, bagaimanakah caranya aku boleh bermimpikan   bertemu Rasulullah saw?"
Guru itu terpegun sejenak sebelum menjawab, "Baiklah, kamu dengar petua ini baik-baik dan lakukannya dengan patuh."
"Saya akan patuh apa sahaja asal dapat mimpikan Nabi s.a.w." Kata murid itu penuh kesungguhan.
"Kamu pergi ambil garam dan malam ini sebelum tidur kamu makan garam itu dan jangan minum air walau sedikit pun dan selepas itu kamu terus masuk tidur. Faham?" Gurunya mengarahkan.
"Faham, terima kasih ya guruku." Jawab murid itu gembira dan terus berlalu dengan perasaan tidak sabar-sabar untuk melakukan petua yang diperolehi dari gurunya.

Malam itu, setelah sampai masa untuk tidur murid itu melakukan petua yang diajarkan oleh gurunya dan masuk untuk tidur. Setelah beberapa ketika masa berlalu dia tidak dapat melelapkan matanya kerana sesuatu mengganggu tekaknya. Dia berasa haus. Masa terus berlalu dan hausnya terus maengganggunya. Ingin rasanya untuk pergi minum air sebanyak-banyaknya tetapi tidak berbuat demikian kerana keinginan untuk mimpikan Nabi s.a.w begitu kuat. Oleh kerana terlampau mengantuknya dia akhirnya tertidur juga. Tidur didalam kedahagaan air.

Keesokan harinya, kedatangan murid itu ke dalam bilik pengajian telah ditunggu oleh gurunya.
"Adakah kamu bermimpi malam tadi?" Tanya gurunya.
"Ada tuan guru." Jawab murid itu.                                                                                                   
                                                                                                                                                                             "   Kamu bertemu Rasulullah s.a.w?" Gurunya bertanya.
"Bukan bertemu Rasulullah tetapi saya bertemu dengan sebuah kolah berisi air yang sungguh jernih dan saya meminumnya sepuas hati saya." Kata murid itu.
Guru tersenyum mendengar jawapan anak muridnya yang dilihatnya agak kecewa kerana hajatnya tidak kesampaian. Lalu dia memegang bahu anak muridnya dan berkata, "Sabar wahai muridku. Itu adalah pengajaran sebenarnya. Untuk bertemu Rasulullah s.a.w suasana itulah yang perlu ada dalam diri kamu. Kamu perlu menyintainya sehingga baginda sebati dalam dirimu, hatimu dan jiwamu sebagaimana kamu mengingati air apabila kamu dahagakan air malam tadi. Hasilnya kamu  terus bermimpikan air dan dapat meminumnya bukan?"
"Kenalilah baginda lebih dekat dan ikutilah suruhan-suruhannya dan sunah-sunahnya." Guru itu menambah.

Murid itu mengagguk faham apa yang dimaksudkan oleh gurunya itu.     

(Nukilan dari kuliah yang telah  saya olahkan.)

- Tuk Ki




Tuesday, 22 January 2013

BERKATA "AH!" KEPADA IBU/BAPA = DERHAKA!

10 Rabiul awal 1434

( N 35 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

BERKATA "AH!" KEPADA IBU/BAPA = DERHAKA!

Penulis ingin memberi peringatan kepada diri sendiri tentang sucinya  hubungan diri sendiri dengan ibu dan bapa. Kedua-dua orang tua kita terutamanya, ibu, berkedudukan darjat yang tinggi dan sewajarnyalah diberikan layanan yang lemah lembut dan baik dan jika perlu berdiplomasi tanpa melukakan hati mereka. 

Dalam surah Al-Israa', ayat 23 dan 24, terjemahannya:

23. "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain DIA dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekalli-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.*"

* Mengucapkan "ah" atau seumpamanya kepada ibu/bapa tidak dibolehkan oleh agama, apalagi mengucapkankan kata-kata atau memperlakukan mereka lebih kasar daripada itu.

24. "Dan rendahkan dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah : "Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil."

 Dari kitab Sahih Bukhari dinayatakan beberapa hadis mengenai kedudukan ibu/bapa.

1. Dari Abdullah r.a katanya: Saya bertanya kepada Nabi s.a.w, "Apakah amalan yang lebih dikasihi Allah?" Jawab beliau, "Sembahyang dalam waktunya." Tanya Abdullah, "Kemudian itu apa?" Jawab beliau, "Berbuat baik (berbakti) kepada ibu bapa." Tanya Abdullah, "Kemudian itu apa?" Jawab beliau. "Berjuang di jalan Allah."

2. Dari Abu Hurairah r.a katanya: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w dan bertanya, "Wahai Rasulullah! Siapakah yang paling berhak saya pergauli dengan baik?" Jawab beliau, "Ibumu!" Tanya orang itu , "Sesudah itu siapa?" Jawab beliau, "Ibumu!" Tanya, "Kemudian itu siapa lagi?" Jawab beliau "Ibumu." Tanya, "Siapa lagi?" Jawab beliau, "Kemudian itu bapamu."

3. Dari Abdullah bin Amru r.a katanya: Ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w , "Saya pergi berjuang!" Rasul bertanya, "Ibu bapamu masih hidup?" Ia menjawab, "Masih." Rasul berkata, "Berjuanglah menjaga kedua orang tuamu!"

4. Dari Anas Malik r.a , katanya: Rasulullah s.a.w pernah menyebutkan dosa-dosa besar, atau pernah ditanya orang tentang hal itu. Beliau berkata : "Mempersekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka pada orang tua." Setelah itu beliau berkata, "Akan saya beritahukah kepadamu dosa besar yang paling besar?" Beliau melanjutkan, "Perkataan bohong!" Atau beliau berkata, "Saksi yang dusta!"

Sebagai si anak, sudah menjadi kewajipan untuk menjaga kebajikan orang tuanya jika Allah SWT mengurniakannya dengan umur yang panjang. Salah satu hikmahnya ialah si anak berpeluang untuk mendapat pahala yang besar dengan berbakti kepada mereka berbanding dengan mereka yang sudah kematian ibu dan bapa. 

Apa yang pasti secara fitrahnya, besar kebarangkaliannya setiap insan akan berkahwin dan mempunyai keluarga dibawahnya dan bakal digelar ibu dan bapa. Sudah tentu dia berkeinginan anak-anak yang baik serta solih untuk mengambil berat tentang hal ehwalnya di hari tua.

Wallahua'lam.


- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf) 





  

Tuesday, 15 January 2013

HADIS QUDSI (9): BERTASBIH (MENSUCIKAN ALLAH SWT) DARIPADA APA?

3 Rabiul awal 1434

( N  34 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA
                            ( gambar hiasan )


HADIS QUDSI (9): BERTASBIH ( MENSUCIKAN ALLAH S.W.T ) DARIPADA APA?


Kita diajar Nabi S.A.W untuk sentiasa berzikir kepada Allah S.W.T dan salah satu zikir yang sangat digalakkan ialah ' Subhanallah (Maha Suci Allah)'. Untuk menghayati zikir ini, kita mulakan penerokaan informasi melalui hadis qudsi di bawah dan sudah tentu petikan-petikan ayat-ayat Quran sendiri.

"Anak Adam (manusia) telah mendustakan Aku. Sesungguhnya mereka tidak berhak melakukan demikian. Mereka juga telah mencaci Aku. Sebenarnya juga mereka tidak berhak melakukan demikian. Ada pun tuduhan dusta mereka ialah mereka mengira bahawa Aku tidak berupaya mengembalikannya (menghidupkan kembali setelah mereka meninggal dunia), dan cacian mereka kepadaKu dengan tuduhan bahawa Aku mempunyai anak, MAHA SUCI dari mempunyai seorang isteri atau mempunyai anak."

- Hadis qudsi riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas r.a.

Berikut adalah ayat-ayat Al Quran yang menafikan Allah S.W.T mempunyai isteri dan anak seperti yang dianuti agama lain terutamanya Kristian, yang paling berusaha mengkristiankan generasi Islam sekarang.

"Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri?"
- Surah Al-An'aam, ayat 101.

"Dan (ketahuilah wahai kaum kami!) bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita darapada beristeri atau beranak."
- Surah Al-Jin, ayat 3.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesuatu pun yang serupa denganNya."
- Surah Al-Ikhlas, ayat 1~4.

"Ketahuilah ! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata: "Allah beranak;" sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta."
- Surah As-Saaffat, ayat 151~152.

"Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia."
-Surah Maryam, ayat 35.

"Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: "Allah mempunyai anak." Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu)."
- Surah Al-Baqarah, ayat 116.

"Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya."
- Surah Al-Isra', ayat 111.

"Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak." Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyarid-nyaris runtuh ranap, - Kerana mereka mendakwa mengatakan (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak."
- Surah Maryam, ayat 88~92.

Nyatalah, dengan menyebut 'Subhanallah' itu, keutamaannya, bermaksud mensucikan Allah Yang Maha Mulia dan Yang Maha Suci daripada tuduhan  yang Allah S.W.T mempunyai isteri dan anak dan sebarang sekutu untuk mentadbir sekelian alam ini. Mari kita berusaha untuk menjiwainya ketika melafazkan zikirnya supaya hati kita tidak kosong dan lalai. Insya Allah.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)

Friday, 11 January 2013

SI MUNAFIK

28 Safar 1434

( N  33 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

 SI MUNAFIK

Al-Quran telah menerangkan sifat-sifat dan ciri-ciri orang munafik dan balasan seksaan keatas mereka seperti terkandung di dalam Surah Al-Taubah.

 "Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, sebahagian dan sebahagian adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang makruf dan mereka menggenggam tangan mereka *. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik."

*Berlaku kikir/ bakhil.

- Surah Al-Taubah : ayat 67.

HURAIANNYA (seperti Kitab Tafsir us. Ahmad Sonhaji Mohamad). 

Di sini Allah menerangkan pekerti orang-orang munafik sama ada lelaki atau pun perempuan, mereka adalah sama sahaja sifatnya, yang  berpura-pura terhadap agama tetapi pada masa yang sama mereka malakukan perkara yang keji. Mereka menggalakkan membuat kejahatan sesama mereka yang berupa perkara-perkara syirik, maksiat, mendustakan Utusan Allah, bercakap bohong, mengkhianat dan mungkir janji.
Sebaliknya mereka melarang atau tidak menggalakkan berbuat kebaikan yang berupa keimanan dan ta'at kepadaNYA dan berjihad dengan nyawa dan harta mereka pada jalan Allah.

Mereka menggenggam tangan mereka, yakni enggan membelajakan harta kekayaan mereka pada jalan Allah dan pada perkara-perkara kebajikan. Mereka juga telah melupakan Allah , yakni tidak mengendahkan segala yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka sehingga melupakaNYA. Maka Allah pun akan melupakan mereka.

Ini adalah kata-kata sindiran bahawa mereka sengaja ditinggalkan oleh Allah daripada mendapat rahmat dan pahala sebagai balasan kepada mereka. Jelasnya, oleh kerana orang-orang munafik itu enggan beriman dan mentaati Allah , maka Allah membiarkan mereka hidup di dunia tanpa mendapat hidayah dan pimpinan dariNYA. Begitu pula di akhirat nanti, mereka dibiarkan tanpa mendapat rahmatNYA.

Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah yang fasik, yakni jahat kelakuannya, malah melebihi kedudukan orang kafir kerana mereka lebih berani melakukan maksiat dan penderhakaan terhadap Allah SWT.




   kepanasan matahari di antara 107,000 F~ 1,799,000 F. Kalau neraka?                       


"Allah mengancam orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka jahanam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu bagi mereka, dan Allah melaknati mereka, dan bagi mereka azab yang kekal."

- Surah Al-Taubah ayat 68.

HURAIANNYA.

Allah telah menjanjikan balasan kepada orang-orang munafik sama ada lelaki atau perempuan dan juga orang-orang kafir, bahawasanya mereka akan dimasukkan kedalam neraka jahanam sebagai hukuman. Mereka akan diseksa disitu untuk selama-lamanya. 

Jika di tilik kepada susunan ayat ini, kita dapati sebutan 'munafik' telah didahulukan daripada perkataan 'orang-orang kafir' dalam menerima bembalasan. Ini menunjukkan bahawa orang munafik itu lebih buruk pekertinya daripada orang kafir. Lebih-lebih lagi pemeluk-pemeluk agama yang telah menyeleweng dari kebenaran atau agamanya yang telah dimansuhkan seperti orang-orang ahli kitab.

Sesungguhnya, di dalam neraka jahanam itu terdapat balasan untuk mereka dalam bentuk seksaan yang berkekalan. Di samping itu Allah timpakan pula laknatNYA  kepada mereka di dunia dan di akhirat. Mereka akan kempunan untuk mendapatkan rahmatNYA, kerana yang layak mendapatkannya hanya orang-orang MUKMIN sejati. Seterusnya mereka akan mendapat seksa yang tetap dan berpanjangan.

Seksa keatas mereka ini, mengikut al-Maghribi, adalah tambahan dari seksa neraka jahanam umpamanya seksa 'samum' yang menghanguskan muka, seksa 'hamim' yang meleburkan isi perut, makanan dari kayu berduri 'dhori'.
Kempunan dari bertemu dengan zat Allah Azza Wajalla dan dari mendapat penghormatanNYA, dan adanya hijab (tabir) yang menghalang mereka  daripada berpeluang melihat Allah SWT. Na'uzubillah.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)
        

Monday, 31 December 2012

10 PERKARA YANG TIDAK MENDATANGKAN MANAFAAT

  17 Safar 1434

( N  32 )    NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

10 PERKARA YANG TIDAK MENDATANGKAN MANAFAAT - AL QURAN & HADIS




1. ILMU YANG TIDAK DIAMALKAN.

Zaid bin Arqam ra berkata  "Adalah Rasulullah saw sentiasa berdoa: Ya Allah, sesungguhnya saya mohon perlindungan kepadaMu daripada kelemahan dan kemalasan, kekikiran dan usia terlampau tua serta siksa kubur. Ya Allah, berikanlah kepada jiwaku ini ketakwaan, sucikanlah jiwaku kerana Engkau adalah sebaik-baik Zat yang dapat mensucikannya. Engkaulah yang menguasai serta menjadi Tuanmya. Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindungan kepadaMu daripada ilmu yang tidak bermanafaat, dari hati yang tidak dapat khusyu', dari jiwa yang tidak puas-puas dan dari doa yang tidak dikabulkan." 
- H r Imam Muslim 

2. MELAKUKAN AMALAN TANPA IKHLAS.

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap Allah dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka hanya memperlihatkan sembahyangnya kepada manusia dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali." Surah Al Nisa' ayat 142.

3. HARTA YANG TIDAK DIINFAQKAN KE JALAN ALLAH.

Dari Mutharrif dari ayahnya : Aku mendatangi Nabi saw sedangkan baginda sedang membaca 'Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba' (Al Takaatsur: 1), Baginda bersabda: "Anak Adam berkata : 'Hartaku, hartaku'. Baginda bersabda : "Hartamu wahai anak Adam tidak lain adalah apa yang engkau telah makan lalu engkau habiskan, yang engkau pakaikan dan engkau lusuhkannya atau yang engkau sedekahkan lalu engkau habiskan." H r Imam Muslim. 

4. HATI YANG KOSONG DARI KETAKWAAN KEPADA ALLAH.

"Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera." Surah Al Syuara' ayat 88-89.

5. TUBUH BADAN YANG TIDAK DIGUNAKAN UNTUK BERKHIDMAT KEPADA ALLAH.

Dari Abu Barzah Nadhlah bin Ubaid al Aslami ra berkata: "Rasulullah saw bersabda "Tidak akan bergerak kedua kaki se orang hamba pada hari kiamat sehinggalah dia ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya; tentang ilmunya, untuk apa dia lakukannya; tentang hartanya, dari mana dia memperolehinya dan kemanakah ia dinafkahkan; dan tentang tubuhnya, untuk apa ia dibinasakannya." H r Imam Al Tirmizi.

6. KECINTAAN TIDAK DIHUBUNGKAN KERANA ALLAH.

Abu Hurairah dia berkata: Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat kelak, "Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Hari ini Kunaungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naunganKu." H r Imam Muslim.

7. MENSIA-SIAKAN WAKTU/MASA.

Ibnu Abbas ra berkata: Nabi saw bersabda, "Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitulah kesihatan dan waktu lapang." H r Imam Al Bukhari.

8. MEMIKIRKAN PERKARA YANG SIA-SIA. 

Syair dari Abdullah bin Muslim bin Qutaibah : "Sekiranya manusia itu memikirkan apa yang ada didalam perut mereka maka pasti akan hilanglah perasaan takabbur dari diri orang tua dan orang muda. Hai anak tanah, hai orang yang akan dimakan, ingatlah kamu akan dimakan dan diminum di hari kemudian." 

9. BERKHIDMAT KEPADA ORANG YANG TIDAK DAPAT MENDEKATKAN PERKHIDMATAN ITU KEPADA ALLAH.

10. TAKUT DAN BERHARAP SEPENUHNYA KEPADA MAKHLUK.

Ibnu Abbas ra berkata: Saya ada di belakang Nabi saw lalu baginda bersabda, "Peliharalah Allah, maka engkau akan mendapatkanNya di hadapanmu. Berkenalanlah dengan Allah di waktu kamu senang, maka Allah akan mengenalimu di waktu kamu susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang terlepas daripadamu itu tentu tidak akan mengenaimu dan apa-apa yang mengenaimu itu pasti tidak akan dapat terlepas daripadamu. Ketahuilah bahawa pertolongan itu berserta kesabaran dan bahawasanya kelapangan itu berserta kesukaran dan bahawasanya berserta kesukaran itu pasti ada kelonggaran." H r Al Tabrani.     
  

Wallahu'alam.

- Tuk Ki  
(dari talib kepada mukallaf)





                                                                                                   Allah sentiasa di hati                                                                                     



                                                Kenali munafik
    

Saturday, 22 December 2012

PANTUN DERHAKA KE NERAKA (BAH.1) 6 kerat

8 Safar 1433

( I  31 )   ILHAM ILAHI

PANTUN DERHAKA KE NERAKA (BAH. 1) ENAM KERAT



Dedikasi khas buat ahli keluarga dan amnya kepada para pembaca yang terpanggil untuk meneroka pantun ini. Salam hormat!


Hari-hari teruja berselawat.
 Berjabat bersepadu karibnya teman.
   Harapkan syafa'at Nabi, di sana jua.
Nabi bersabda kepada umat.
 Solat lima waktu wajib didirikan.
   Mendirikan solat adalah mendirikan Agama.

Bersembang riang dengan ketawa.
 Sungguh jenaka suka diceritakan.
   Di ingatkan mati hati pun serik.
Sembahyang itu tiang Agama.
 Meruntuh Agama jika ditinggalkan.
   Malahan menjadi orang munafik.

Maka diselar ucapan mengaibkan.
 Dengan tertib menunjukkan sifat.
   Hasad dengki hatinya fakir.
Jika engkar dan juga menafikan.
 Menafikan wajibnya mendirikan solat.
   Iktikad sebegini menjadikannya kafir.

Ada manusia diibaratkan lalang.
 Lemah hingga tidak berdiri.
   Bermuka dua, talam yang membawa hidangan.
Barangsiapa yang meringankan sembahyang.
 Allah menyeksa tiada terperi.
   Ketika didunia dalam tiga keadaan. 

Ada guna rasa culas.
 Halang maksiat dari dilakukannya.
   Kerana bijak iman di hati.
Ketika di dunia Allah Ta'ala membalas.
 Hilang berkat dari umurnya.
   Rezekinya juga tidak diberkati.

Sia-sia jika berkata.
 Seakan mencurah air, ke daun keladi.
  Rupa-rupanya dirasuk ajaran sesat.
Tiada terpelihara Agama Islamnya.
 Amalan kebajikannya tiada diganjari.
  Doa-doanya juga tiada diangkat.

Kenapa maki-memaki hobi yang selesa.
 Kini dalam masyarakat marhaen.
  Tersua berkali-kali di ruangan FB.
Ketika menghadapi mati, diseksa juga.
 Mati dia dalam kehinaan.
  Ada dua lagi, dia akan hadapi.

Kredibiliti tergugat juga tercalar.
 Dibenci dan juga kena umpat.
   Kelak dosa mengalir jika ia fitnah belaka.
Matinya dengan tersangat lapar.
 Dituruti dengan dahaga yang amat.
   Sebanyak mana air, tiada mengurangkan dahaganya.

Hidup susah bak ayam mengkais kaki.
 Dapat rezeki Allah Ta'ala sediakan.
   Malang di akhirat hanya pahala yang berharga.
Seksa Allah tak habis lagi disini.
 Wasiat Nabi, oleh itu ditinggal jangan.
   Sembahyang dibuat di mana jua anda berada. 

Melihat Palestin dibaham hancur.
 Dikecam dunia gawatnya keadaan.
  Sifat Yahudi terkenal sangat.
Kengerian menanti di alam kubur.
 Di dalam pusara dimampat, disempitkan.
  Malaikat menyeksa sehingga kiamat.

Ngerinya Nabi menyaksikan mimpi.
 Tidak misteri kenapa berlaku.
  Orang gemar melakukan dosa, nafsu menggoda.
Kuku malaikat dari besi khursani.
 Tidak terperi panjangnya kuku.
  Memegang cokmar bak halilintar, bergema suaranya.

Lawi meradak besar lukanya.
 Tersembam jatuh, bangun semula, berlawan lagi.
  Penderhaka tersungkur, rakyat jelata berasa selamat.
Sekali dihentak dengan cokmar besinya.
 Tertanam jauh, kukunya mencungkil, dipalu lagi.
   Bahananya tidak akan berakhir sehingga kiamat.

Insya Allah! apabila perancangan dibuat.
 Untuk melakukan, dengan Bismillah.  
  Berjaya dibuat, Alhamdulillah! kerana mensyukuri.
Sesudah sangkakala, akan ke alam akhirat.
 Untuk ditemukan dengan Allah.
  Berada di akhirat sehingga ke infiniti.

Ingat adab jika bersolat jangan bergegas.
 Elok selesaikan tidak dibenciNya kerana kalut.
  Tandus pahala, sia-sia kerana tidak seriusnya.
Malaikat Azab bersifat bengis menjalankan tugas.
 Dijolok rantai menyala berapi kedalam mulut.
  Tembus keluar pada duburnya dan diheretnya.

Niat penentu, membuat apa jua pun.
 Menjadi ibadat atau maksiat, daripada adat. 
  Sukakan maksiat sudah tentu terima kemurkaanNya.
Malaikat bersuara bergempita tersangatlah gerun.
 Ini akibat, terimalah gawat yang teramat.
  Meninggalkan solat yang fardhu semasa di dunia.

Jika syahid takut sungguh di dada tertanam.
 Merempit tidak pula takut terbang nyawanya.
  Agak sedih jika matinya, di hatinya tiada Allah.
Maka diheret tubuh derhaka ke neraka Jahanam.
 Sedikit tidak Allah memandang dengan RahmatNya. 
  Tidak dipilih, tidak dipeduli oleh Allah.

Mereka Yahudi bangsa yang suka bunuh Nabi-Nabi.
 Jaguh menderhaka walau diingatkanNya berkala-kala.
  Menjerit marah, Nabi terakhir bukan yang disangkakan.
Neraka menanti, bising huru-hara, dengan golakan api.
 Tubuh manusia dibesarkan berganda-ganda supaya menderita.
  Perit kesakitan, berpanjangan tidak ada lagi kematian.

Bernikah membina rumah tangga.
 Tangga bermakna suatu matlamat, yang diusahakan.
  Usaha menggarap mendapat berkat dan juga rahmat.
Allah Ta'ala jua Yang Maha Pencipta.
 Penghapus dosa, menerima taubat dari insafnya insan.
  Hamba wajib menggenapkan solat walaupun penat.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki





Monday, 10 December 2012

ANEKDOT TAKWA (9) : AL QURAN & 'BIG BANG'

26 Muharram 1434

( N  31 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA: AL QURAN & ' BIG BANG '


Kosmologi moden mulai dikenali dan perbahaskan dalam tahun 1920 an dengan penemuan bahawa alam semesta ini sedang mengembang dan bergerak keluar dari arah kita ke setiap arah. Secara logiknya berdasarkan penemuan itu, terbit suatu teori hipotetikal, iaitu teori 'Big Bang' atau 'Letusan yang Besar' di mana alam semesta terbentuk. Menurut teori itu semasa berlaku 'Big Bang', alam semesta ini yang berkumpul di suatu titik dan di dalamnya mengandungi 'kabus' yang padat dan mampat dan telah terjana kepanasan yang melampau. Suatu letusan besar telah berlaku dan memelantingkan partikel-partikel terkandung di dalamnya bertaburan ke arah keluar dengan kepantasan yang teramat sangat. Dalam proses ini terbentuk galaksi-galaksi dan planet-planet dalam alam semesta ini dan terus berkembang dan meluas. Pemerhatian keatas kadar pengembangan alam semesta ini merumuskan kejadian itu berlaku 12 bilion tahun yang lampau.

Namun 1,400 tahun yang lalu perkara penciptaan alam semesta ini telah termaktub di dalam al Quran.

Dalam surah Al Anbia' ayat 30, terjemahannya:

"Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?"

Jika teori 'Big Bang' yang di terbit dari akal manusia dan al Quran telah pada asasnya, mengesahkan teori itu maka sewajarnyalah sekelian manusia beriman kepada al Quran. Banyak lagi penemuan-penemuan sains yang seiring dengan kandungan al Quran telah direkodkan. Bagi kita yang beragama Islam perkara-perkara seperti ini akan dapat menguatkan lagi keimanan kita tanpa ragu-ragu.

Wallahua'lam.


- Tuk Ki 




                                                                                                           








                                                                                                                                                    



  

                                                    Galaksi


















Angksa lepas (Nebula rcw49 - tempat lahirnya bintang-bintang baru)

Matahari