MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Saturday 26 January 2013

ANEKDOT TAKWA (10): SAYA NAK MIMPI JUMPA NABI SAW!

14 Rabiul awal 1434

( N  36 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA




ANEKDOT TAKWA (10): SAYA NAK MIMPI JUMPA NABI SAW!

SEOrang murid yang telah teruja untuk bertemu Rasulullah s.a.w di dalam mimpi telah bertanya kepada gurunya,
"Ya tuan syeikh guruku, bagaimanakah caranya aku boleh bermimpikan   bertemu Rasulullah saw?"
Guru itu terpegun sejenak sebelum menjawab, "Baiklah, kamu dengar petua ini baik-baik dan lakukannya dengan patuh."
"Saya akan patuh apa sahaja asal dapat mimpikan Nabi s.a.w." Kata murid itu penuh kesungguhan.
"Kamu pergi ambil garam dan malam ini sebelum tidur kamu makan garam itu dan jangan minum air walau sedikit pun dan selepas itu kamu terus masuk tidur. Faham?" Gurunya mengarahkan.
"Faham, terima kasih ya guruku." Jawab murid itu gembira dan terus berlalu dengan perasaan tidak sabar-sabar untuk melakukan petua yang diperolehi dari gurunya.

Malam itu, setelah sampai masa untuk tidur murid itu melakukan petua yang diajarkan oleh gurunya dan masuk untuk tidur. Setelah beberapa ketika masa berlalu dia tidak dapat melelapkan matanya kerana sesuatu mengganggu tekaknya. Dia berasa haus. Masa terus berlalu dan hausnya terus maengganggunya. Ingin rasanya untuk pergi minum air sebanyak-banyaknya tetapi tidak berbuat demikian kerana keinginan untuk mimpikan Nabi s.a.w begitu kuat. Oleh kerana terlampau mengantuknya dia akhirnya tertidur juga. Tidur didalam kedahagaan air.

Keesokan harinya, kedatangan murid itu ke dalam bilik pengajian telah ditunggu oleh gurunya.
"Adakah kamu bermimpi malam tadi?" Tanya gurunya.
"Ada tuan guru." Jawab murid itu.                                                                                                   
                                                                                                                                                                             "   Kamu bertemu Rasulullah s.a.w?" Gurunya bertanya.
"Bukan bertemu Rasulullah tetapi saya bertemu dengan sebuah kolah berisi air yang sungguh jernih dan saya meminumnya sepuas hati saya." Kata murid itu.
Guru tersenyum mendengar jawapan anak muridnya yang dilihatnya agak kecewa kerana hajatnya tidak kesampaian. Lalu dia memegang bahu anak muridnya dan berkata, "Sabar wahai muridku. Itu adalah pengajaran sebenarnya. Untuk bertemu Rasulullah s.a.w suasana itulah yang perlu ada dalam diri kamu. Kamu perlu menyintainya sehingga baginda sebati dalam dirimu, hatimu dan jiwamu sebagaimana kamu mengingati air apabila kamu dahagakan air malam tadi. Hasilnya kamu  terus bermimpikan air dan dapat meminumnya bukan?"
"Kenalilah baginda lebih dekat dan ikutilah suruhan-suruhannya dan sunah-sunahnya." Guru itu menambah.

Murid itu mengagguk faham apa yang dimaksudkan oleh gurunya itu.     

(Nukilan dari kuliah yang telah  saya olahkan.)

- Tuk Ki




Tuesday 22 January 2013

BERKATA "AH!" KEPADA IBU/BAPA = DERHAKA!

10 Rabiul awal 1434

( N 35 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

BERKATA "AH!" KEPADA IBU/BAPA = DERHAKA!

Penulis ingin memberi peringatan kepada diri sendiri tentang sucinya  hubungan diri sendiri dengan ibu dan bapa. Kedua-dua orang tua kita terutamanya, ibu, berkedudukan darjat yang tinggi dan sewajarnyalah diberikan layanan yang lemah lembut dan baik dan jika perlu berdiplomasi tanpa melukakan hati mereka. 

Dalam surah Al-Israa', ayat 23 dan 24, terjemahannya:

23. "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain DIA dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekalli-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.*"

* Mengucapkan "ah" atau seumpamanya kepada ibu/bapa tidak dibolehkan oleh agama, apalagi mengucapkankan kata-kata atau memperlakukan mereka lebih kasar daripada itu.

24. "Dan rendahkan dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah : "Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil."

 Dari kitab Sahih Bukhari dinayatakan beberapa hadis mengenai kedudukan ibu/bapa.

1. Dari Abdullah r.a katanya: Saya bertanya kepada Nabi s.a.w, "Apakah amalan yang lebih dikasihi Allah?" Jawab beliau, "Sembahyang dalam waktunya." Tanya Abdullah, "Kemudian itu apa?" Jawab beliau, "Berbuat baik (berbakti) kepada ibu bapa." Tanya Abdullah, "Kemudian itu apa?" Jawab beliau. "Berjuang di jalan Allah."

2. Dari Abu Hurairah r.a katanya: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w dan bertanya, "Wahai Rasulullah! Siapakah yang paling berhak saya pergauli dengan baik?" Jawab beliau, "Ibumu!" Tanya orang itu , "Sesudah itu siapa?" Jawab beliau, "Ibumu!" Tanya, "Kemudian itu siapa lagi?" Jawab beliau "Ibumu." Tanya, "Siapa lagi?" Jawab beliau, "Kemudian itu bapamu."

3. Dari Abdullah bin Amru r.a katanya: Ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w , "Saya pergi berjuang!" Rasul bertanya, "Ibu bapamu masih hidup?" Ia menjawab, "Masih." Rasul berkata, "Berjuanglah menjaga kedua orang tuamu!"

4. Dari Anas Malik r.a , katanya: Rasulullah s.a.w pernah menyebutkan dosa-dosa besar, atau pernah ditanya orang tentang hal itu. Beliau berkata : "Mempersekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka pada orang tua." Setelah itu beliau berkata, "Akan saya beritahukah kepadamu dosa besar yang paling besar?" Beliau melanjutkan, "Perkataan bohong!" Atau beliau berkata, "Saksi yang dusta!"

Sebagai si anak, sudah menjadi kewajipan untuk menjaga kebajikan orang tuanya jika Allah SWT mengurniakannya dengan umur yang panjang. Salah satu hikmahnya ialah si anak berpeluang untuk mendapat pahala yang besar dengan berbakti kepada mereka berbanding dengan mereka yang sudah kematian ibu dan bapa. 

Apa yang pasti secara fitrahnya, besar kebarangkaliannya setiap insan akan berkahwin dan mempunyai keluarga dibawahnya dan bakal digelar ibu dan bapa. Sudah tentu dia berkeinginan anak-anak yang baik serta solih untuk mengambil berat tentang hal ehwalnya di hari tua.

Wallahua'lam.


- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf) 





  

Tuesday 15 January 2013

HADIS QUDSI (9): BERTASBIH (MENSUCIKAN ALLAH SWT) DARIPADA APA?

3 Rabiul awal 1434

( N  34 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA
                            ( gambar hiasan )


HADIS QUDSI (9): BERTASBIH ( MENSUCIKAN ALLAH S.W.T ) DARIPADA APA?


Kita diajar Nabi S.A.W untuk sentiasa berzikir kepada Allah S.W.T dan salah satu zikir yang sangat digalakkan ialah ' Subhanallah (Maha Suci Allah)'. Untuk menghayati zikir ini, kita mulakan penerokaan informasi melalui hadis qudsi di bawah dan sudah tentu petikan-petikan ayat-ayat Quran sendiri.

"Anak Adam (manusia) telah mendustakan Aku. Sesungguhnya mereka tidak berhak melakukan demikian. Mereka juga telah mencaci Aku. Sebenarnya juga mereka tidak berhak melakukan demikian. Ada pun tuduhan dusta mereka ialah mereka mengira bahawa Aku tidak berupaya mengembalikannya (menghidupkan kembali setelah mereka meninggal dunia), dan cacian mereka kepadaKu dengan tuduhan bahawa Aku mempunyai anak, MAHA SUCI dari mempunyai seorang isteri atau mempunyai anak."

- Hadis qudsi riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas r.a.

Berikut adalah ayat-ayat Al Quran yang menafikan Allah S.W.T mempunyai isteri dan anak seperti yang dianuti agama lain terutamanya Kristian, yang paling berusaha mengkristiankan generasi Islam sekarang.

"Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri?"
- Surah Al-An'aam, ayat 101.

"Dan (ketahuilah wahai kaum kami!) bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita darapada beristeri atau beranak."
- Surah Al-Jin, ayat 3.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesuatu pun yang serupa denganNya."
- Surah Al-Ikhlas, ayat 1~4.

"Ketahuilah ! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata: "Allah beranak;" sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta."
- Surah As-Saaffat, ayat 151~152.

"Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia."
-Surah Maryam, ayat 35.

"Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: "Allah mempunyai anak." Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu)."
- Surah Al-Baqarah, ayat 116.

"Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya."
- Surah Al-Isra', ayat 111.

"Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak." Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyarid-nyaris runtuh ranap, - Kerana mereka mendakwa mengatakan (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak."
- Surah Maryam, ayat 88~92.

Nyatalah, dengan menyebut 'Subhanallah' itu, keutamaannya, bermaksud mensucikan Allah Yang Maha Mulia dan Yang Maha Suci daripada tuduhan  yang Allah S.W.T mempunyai isteri dan anak dan sebarang sekutu untuk mentadbir sekelian alam ini. Mari kita berusaha untuk menjiwainya ketika melafazkan zikirnya supaya hati kita tidak kosong dan lalai. Insya Allah.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)

Friday 11 January 2013

SI MUNAFIK

28 Safar 1434

( N  33 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

 SI MUNAFIK

Al-Quran telah menerangkan sifat-sifat dan ciri-ciri orang munafik dan balasan seksaan keatas mereka seperti terkandung di dalam Surah Al-Taubah.

 "Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, sebahagian dan sebahagian adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang makruf dan mereka menggenggam tangan mereka *. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik."

*Berlaku kikir/ bakhil.

- Surah Al-Taubah : ayat 67.

HURAIANNYA (seperti Kitab Tafsir us. Ahmad Sonhaji Mohamad). 

Di sini Allah menerangkan pekerti orang-orang munafik sama ada lelaki atau pun perempuan, mereka adalah sama sahaja sifatnya, yang  berpura-pura terhadap agama tetapi pada masa yang sama mereka malakukan perkara yang keji. Mereka menggalakkan membuat kejahatan sesama mereka yang berupa perkara-perkara syirik, maksiat, mendustakan Utusan Allah, bercakap bohong, mengkhianat dan mungkir janji.
Sebaliknya mereka melarang atau tidak menggalakkan berbuat kebaikan yang berupa keimanan dan ta'at kepadaNYA dan berjihad dengan nyawa dan harta mereka pada jalan Allah.

Mereka menggenggam tangan mereka, yakni enggan membelajakan harta kekayaan mereka pada jalan Allah dan pada perkara-perkara kebajikan. Mereka juga telah melupakan Allah , yakni tidak mengendahkan segala yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka sehingga melupakaNYA. Maka Allah pun akan melupakan mereka.

Ini adalah kata-kata sindiran bahawa mereka sengaja ditinggalkan oleh Allah daripada mendapat rahmat dan pahala sebagai balasan kepada mereka. Jelasnya, oleh kerana orang-orang munafik itu enggan beriman dan mentaati Allah , maka Allah membiarkan mereka hidup di dunia tanpa mendapat hidayah dan pimpinan dariNYA. Begitu pula di akhirat nanti, mereka dibiarkan tanpa mendapat rahmatNYA.

Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah yang fasik, yakni jahat kelakuannya, malah melebihi kedudukan orang kafir kerana mereka lebih berani melakukan maksiat dan penderhakaan terhadap Allah SWT.




   kepanasan matahari di antara 107,000 F~ 1,799,000 F. Kalau neraka?                       


"Allah mengancam orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka jahanam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu bagi mereka, dan Allah melaknati mereka, dan bagi mereka azab yang kekal."

- Surah Al-Taubah ayat 68.

HURAIANNYA.

Allah telah menjanjikan balasan kepada orang-orang munafik sama ada lelaki atau perempuan dan juga orang-orang kafir, bahawasanya mereka akan dimasukkan kedalam neraka jahanam sebagai hukuman. Mereka akan diseksa disitu untuk selama-lamanya. 

Jika di tilik kepada susunan ayat ini, kita dapati sebutan 'munafik' telah didahulukan daripada perkataan 'orang-orang kafir' dalam menerima bembalasan. Ini menunjukkan bahawa orang munafik itu lebih buruk pekertinya daripada orang kafir. Lebih-lebih lagi pemeluk-pemeluk agama yang telah menyeleweng dari kebenaran atau agamanya yang telah dimansuhkan seperti orang-orang ahli kitab.

Sesungguhnya, di dalam neraka jahanam itu terdapat balasan untuk mereka dalam bentuk seksaan yang berkekalan. Di samping itu Allah timpakan pula laknatNYA  kepada mereka di dunia dan di akhirat. Mereka akan kempunan untuk mendapatkan rahmatNYA, kerana yang layak mendapatkannya hanya orang-orang MUKMIN sejati. Seterusnya mereka akan mendapat seksa yang tetap dan berpanjangan.

Seksa keatas mereka ini, mengikut al-Maghribi, adalah tambahan dari seksa neraka jahanam umpamanya seksa 'samum' yang menghanguskan muka, seksa 'hamim' yang meleburkan isi perut, makanan dari kayu berduri 'dhori'.
Kempunan dari bertemu dengan zat Allah Azza Wajalla dan dari mendapat penghormatanNYA, dan adanya hijab (tabir) yang menghalang mereka  daripada berpeluang melihat Allah SWT. Na'uzubillah.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)