MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Wednesday 29 January 2014

PANTUN : JANJI UNTUK DIKHIANATI?

27 RABIUL AWAL 1435 H

( I  39 )   ILHAM ILAHI


PANTUN : 

JANJI UNTUK DIKHIANATI? ( 6 dan 4 kerat)




Adat panji, panji diikat.
 Berdiri tinggi, bermegah diri.
  Arah berganti mengikuti angin berubah-ubah.
Mengikat janji, janji dibuat,
 Tepati janji bermaruah diri,
  Pecah janji bikin dikeji tiadalah sudah.


Masin jemuran si ikan masin.
 Diberi satu kepada cik abang.
  Berdekah ketawanya terlihat gigi.
Menjalin hubungan dengan yang lain.
 Isteri tahu lalu berperang.
   Sumpah! abang janji tak buat lagi.


Telur sebiji berapa harganya?
 Belilah stok menghadapi inflasi.
   Tiada barang, pemborong pandai main olok-olok.
Menabur janji di kala pilihanraya.
 Masaalah penduduk janji ditangani.
   Bila dah menang pandai main sorok-sorok.


Baki ada ambil di laci.
 Baki setelah membuat bayaran.
  Baki diagih kepada kakak, baki di agih kepada abah.
Janji ' saya tak ambil lagi'.
 Janji yang sangat susah dikotakan.
   Janji si penagih arak, janji si penagih dadah.


Gado-gado disaji sambil berkaraoke dan berduet.
 Kawan-kawan memberi tepukan hebat sekali.
   Terperanjat...aduh! Bilnya tinggi, mulutnya muncung mukanya monyok.
Si Romeo berjanji nak ambil hati si Juliet.
 Lautan api demi kamu, akan ku renangi.
   Terloncat...adui! Terkena api puntung rokok.


Ada lelaki kumis diperaga
  Berasa macho, tapi sakitnya selalu.
Menerima janji semanis kurma.
   Bersedia berisiko sepahit hempedu. 







Bahang rasa persis api.
   Api untuk letak di sisi.
Memang ada spesis ini.
   Janji itu untuk dikhianati.


Apa gunanya berdiri melopong.
   Kelak menjadi seperti lotong.
Ada juga janji kosong.
   Banyak janjinya bertong-tong.


Jika was-was menetapkan hati.
   Berdoalah dengan sembahyang istikharah.
Jika ikhlas melaksanakan janji.
   Berlapiklah dengan ucapan 'insyaa Allah'. 


Muka malaikat bersih bersinar, berseri-seri.
 Bertemu dirimu, bertemu lututmu.
  Lalu bertanya, Nabi menjawab, supaya umat sungguh faham.
Bermula solat dengan ikrar dan janji.
 Solatku, ibadatku, hidupku, matiku.
  KeranaMu ya Allah! Engkau Pentadbir seluruh alam. 


Mari berzanji mengingati Nabi.
 Di dalam zaman mempertikai amalan
  Kukuh cinta sirahnya diteroka.
Janji yang pasti tiada dikhianati.
 Didalam Quran Allah berfirman.
  Patuh ke syurga, yang engkar ke neraka.


Patah longlai patah tajinya.
   Menempuhi aral susah di hadapan.
Telah sampai sudah janjinya.
   Menemui ajal sudah ditetapkan.


Selamat berpantun!


- Tuk Ki Jemaah.
     

Wednesday 22 January 2014

10 MAKSIAT BATIN : ANEKDOT TAKWA (19).

20 RABIUL AWAL 1435 H

(N 61)  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

ANEKDOT TAKWA (19) :

10 MAKSIAT BATIN.


Maksiat batin (hati) ialah segala tabiat yang jahat dan tercela disisi Allah S.W.T (syarak).
Imam Al-Ghazali r.t telah mensenaraikan 10 perkara maksiat batin/hati berdasarkan firman-firman Allah Ta'ala dan hadis-hadis Nabi S.A.W yang wajib dihindari dan dibuang seperti berikut:-

1. Tabiat gemar makan banyak dan berlebih-lebihan. Hendaklah makan dan minum itu jangan terlampau kenyang.

2. Bercakap banyak melainkan berkenaan hal-hal yang mendatangkan kebajikan dan kebaikan.

3. Marah, kerana marah datangnya dari syaitan.

4. Hasad (dengki) terhadap orang yang dilimpahi nikmat secara hak dan suka melihat orang itu ditimpa bala atau kesusahan.

5. Bakhil (kikir/kedekut) dengan harta malah terlalu kasih dengan hartanya.

6. Mencintai kemewahan hidup dan suka mengangkat diri sendiri dalam mengejar status yang diidamkan.

7. Mencintai dunia dan mengambil ringan tentang akhirat.

8. Takbur atau membesarkan diri dari orang lain dan memandang rendah terhadap orang lain.

9. Ujub atau kagum terhadap diri sendiri. Seperti kagum dengan kepintarannya, ilmunya, amalannya, dll.

10. Riak atau mengharapkan orang lain memujinya diatas amal kebaikan dan  ibadat yang dilakukan dan bukan kerana Allah Ta'ala.

Oleh itu, demi mencapai kemenangan di akhirat hendaklah seorang Muslim itu mensucikan hatinya dari sifat-sifat celaan tersebut.
Allah berfirman, terjemahannya:-

"Sungguh beruntung orang yang mensucikannya (jiwa itu daripada dosa)."
- Surah Asy-Syams : 9.

Nabi S.A.W bersabda, maksudnya: 

"Mensucikan hati daripada sifat-sifat yang tercela itu sebahagian daripada iman."

Imam Al-Ghazali r.t menerangkan bahawa maksudnya ialah sempurna iman itu dengan mensucikan hati daripada sifat-sifat kecelaan dan membaikkan hati dengan sifat-sifat kepujian.

Huraian lebih lanjut akan dinukilkan di masa lain, in syaa Allah. 

Wallahu a'lam.

(Sumber: Kuliah dengan kitab Hidayatul Salikin.)

- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)

Friday 3 January 2014

TAUHID/AKIDAH (BAH. 11) : SIFAT KE 4. BERSALAHAN ALLAH TA'ALA DENGAN SEGALA SIFAT YANG BARU

1 RABIUL AWAL 1435 H

( N  60 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ILMU TAUHID (BAH. 11 ) : 

4. MUKHOLAFATUHU TA'ALA LIL HAWADITH. (Bersalahan Allah Ta'ala dengan segala yang baru).

Dalam membicarakan 20 sifat-sifat sempurna Allah Ta'ala ini, akan timbul satu soalan: kenapa 20 sifat sahaja? Jawabnya: hanya ciri-ciri sifat ini yang terkandung didalam Al-Quran yang telah dikembangkan dan disusun oleh imam Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, iaitu, imam Abul Hassan 'Asya'ari dan imam Abu Mansur Maturidi r.anhom.

Sifat bersalahan Allah Ta'ala dengan segala yang baru, iaitu makhluk yang pasti ada permulaan dan ada pengakhiran selain Allah Ta'ala (juga dikenali sebagai mumkinat). Wajib pada syarak setiap orang Islam, baligh dan berakal iaitu mukallaf (yang dibeban degan hukum-hukum), mengaku didalam hatinya dengan muktamad bahawa Allah Ta'ala bersalahan dengan segala yang baru walau dalam bentuk apa jua sekalipun yang dapat difikirkan.
Allah berfirman, terjemahannya:-

"Tidak ada seperti zat Allah Ta'ala sesuatu dan Dialah yang amat Mendengar dan amat Melihat."  - (surah Al-Syura: 11) 

1. BERSALAHAN PADA ZAT.

Zat ('Diri') Allah Ta'ala bukannya jirim (bahan yang mengisi ruang dan tempat) yang bertempat walaupun dimana-mana tempat seperti makhluk. Allah Ta'ala bukan jirim yang berjisim (jasad, objek) atau jauhar (jisim halus yang tidak boleh dibahagi-bahagi). DIA sama sekali tidak menyerupai makhluk, kerana makhluk berjirim/berjisim yang bertempat. Oleh itu tidak boleh dikatakan Allah Ta'ala itu bertempat di mana-mana tempat.

Jika didapati di dalam Al-Quran atau hadis yang memberi waham (kesamaran) Allah Ta'ala seperti bertempat, itu dinamakan ayat atau hadis mutasyabihah dan wajib ditakwil (mentafsir dari makna asal kepada lain) seperti takwil ulama salaf (era 300 tahun awal Hijrah) atau takwil ulama khalaf (era selepas 300 tahun Hijrah) seperti takwilan ayat-ayat Al-Quran berikut:-

i )  "YADULLAH (tangan Allah) diatas tangan-tangan mereka...."  

Ulama salaf mentafsirkan: " YADULLAH itu atas tangan-tangan mereka... " Bukan lafaz "YADU" itu bermakna tangan, kerana jika "YADU" bermakna tangan seperti tangan yang dapat dibayangkan, tidaklah ayat itu dinamakan ayat mutasyabihah lagi!

Ulama khalaf mentafsirkan: "Kekuasaan itu atas segala kekuasaan mereka..." Lafaz "YADU" bermakna Qudrat (kuasa).

ii)  "Tuhan yang Rahman itu diatas Arasy tertinggi." 

Ulama salaf mentafsirkan: 'Tertinggi' sebagai tertinggi yang tidak diketahui kafiatnya (caranya). Oleh itu diserahkan maksudnya kepada Allah Ta'ala kerana ia adalah diluar penguasaan ilmu makhluk.

Ulama khalaf mentafsirkan: Maksud 'tertinggi' ialah pemerintahan dan kerajaan.

2. BERSALAHAN PADA SIFAT.

Sifat-sifat Tuhan itu bukan 'Aradh (sifat makhluk) yang bertangkup atau menumpang pada barang/jirim/jisim yang mungkin berubah-ubah dan bertempat bersama-samanya. Umpamanya kulit berubah daripada cerah kepada gelap, buah cili berubah daripada hijau kepada merah. Oleh kerana sifat Tuhan juga tidak bertempat, tidak boleh dikatakan Allah Ta'ala itu ada jihah (arah) dimana-mana sekalipun.

Jika syaitan mencetuskan satu soalan didalam fikiran, "Jika Tuhan bukan jirim/jisim dan bukan 'aradh (sifat makhluk), jadi apakah hakikat Tuhan?"
Untuk menolaknya kita jawab, "Tiada yang mengetahui tentang Allah, Allah sahajalah yang Maha Mengetahui." Jawapan yang disandarkan kepada ayat yang tersebut diatas (Al-Syura : 11).

3.  BERSALAHAN PADA PERBUATAN.

'Af'al (perbuatan) Allah Ta'ala bukan seperti perbuatan makhluk, kerana perbuatan Allah Ta'ala menjadikan sesuatu yang asalnya tiada kepada ada dan tidak memerlukan bahan mentah dan alat-alat lain. 

DALIL-DALIL.

Dalil aqlinya ialah, jika Allah Ta'ala menyerupai segala yang baru (makhluk), sudah tentu DIA adalah baru juga. Sedangkan telah dibuktikan Tuhan bersifat Qidam (sedia ada) dengan dalil-dalil yang nyata. 

Dalil naqlinya seperti pengakuan Tuhan didalam Al-Quran:-





Terjemahannya: 

"Katakanlah: DIAlah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung padaNya segala sesuatu. DIA tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada sesuatupun yang setara dengan DIA." - (surah Al-Ikhlas) 

-Wallahu a'lam. 

**Disarankan belajar dengan berkitab dengan guru yang mahir.

Sumber: kuliah berdasarkan kitab-kitab Faridatul Faraid dan Al-Misbah Al-Munir...


- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)
    
# Sila klik 3. Sifat Baqa..nafsiah...