MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Thursday 30 August 2012

ANEKDOT TAKWA (5): STATUS QUO AJE ?

( N  21 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (5) : STATUS QUO AJE ?

Dihidangkan dua rangkap pantun di bawah ini untuk anda cerna dahulu.

1.
Setiap saat denyut nadiku.
 Bekerja jantungku melegarkan darah.
  Bersujudlah aku pada Yang Maha Esa.
Setiap Jumaat khatib menyeru.
 BERTAKWA kamu kepada Allah.
  Sesudah keluar masjid, biasalah, lupa semua.

2.

Bersenda biar berpada-pada.
   Ketawa pula jagalah adabmu.
Berpuasa "...agar kamu BERTAKWA".
   Berpuasa sudah, tetapi BERTAKWAkah aku?  
  
PERSOLANNYA: Adakah kita dalam golongan orang yang bertakwa setelah diseru dan diingatkan oleh seruan kalam Allah ini saban waktu? 

"Menurut syarak, TAKWA bererti menjaga dan memelihara diri dari seksa dan murka Allah s.w.t. dengan jalan melaksanakan perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi maksiat dan laranganNya.

Para ahli tasawuf berpendapat bahawa TAKWA itu ialah membenteng diri dari seksaan Allah dengan jalan taat kepadaNya.

Para fuqaha (ahli fekah) berpendapat TAKWA bererti menjaga diri dari segala sesuatu yang melibatkan diri kepada dosa.

Selanjutnya mereka berkata: "...Allah tidak akan memberi rahmat kecuali kepada orang-orang yang bertakwa dan tidak akan memberi pahala melainkan atas dasar TAKWA. Betapa banyak orang menasihatkan agar kita BERTAKWA, tetapi orang yang mengamalkannya amatlah sedikit. Semoga Allah menggolongkan kita ke dalam golongan orang-orang yang BERTAKWA." " 

RENUNGAN: Adakah kami ini dalam golongan orang-orang yang LALAI? Na'uzubillah!

Wallahua'lam.

- Tuk Ki    


Tuesday 14 August 2012

PANTUN RAMADHAN (3) : TARAWIKH KITA !

( I  25 )   ILHAM ILAHI

PANTUN RAMADHAN (Bah.3) : TARAWIKH KITA !


Lagu  Raya dilupa jangan.
   Tarikh tidak payah diragui lagi.
Begitu gembira menyambut Ramadhan.
   Tarawikh berjamaah hanya bulan ini. 

Dulu sama kita merantau.
   Terkenang tawarikh hidup di Rawang.
Minggu pertama penuhnya surau.
   Sembahyang tarawikh di tepi longkang.

Puyuh meragam tidak diberi makan.
   Pantau tidurnya inginkan terang.
Sepuluh malam terakhir Ramadhan.
   Surau masjid semakin lengang.

Tunggu pemuda janji bermacam.
   Mama kata, janganlah percaya.
Garu kepala, tanya Pak Imam.
   Kemana hilangnya jamaah semua?   

Jika sampai kapal terbang mendarat.
   Lambatnya ketibaan menunggunya berpeluh.
Ada sampai bertegang urat.
   Raka'at nak buat lapan atau dua puluh.

Letihnya menganyam berpuluh-puluh ketupat.
   Asyiknya melihat, teringin mencuba dan merasa kagum.
Lecehnya buat dua puluh raka'at.
   Akhirnya, banyak kipas angin daripada makmum.

Beli juadah jika nak balik.
   Cari jalan pintas kalau nak cepat.
Diselangi tazkirah itu lebih baik.
   Dari seratus raka'at solat sunat.

Si fasik penat dibuat-buat.
   Terabai ibadat wajib puasanya.
Tarawikh, ibadat sambil berehat.
   Sesuai dengan masyarakat kita.

Lumba berhalang pantas berlalu.
   Itu bekas juara pelumba.
Ada sembahyang ekspres laju.
   Satu nafas Al Fatihah dibaca.

Kalau dibaca dengan taranum.
   Al Quran suka didengar semua.
AJK surau syukur tersenyum.
   Kutipan derma luar biasa.

Pisau sebilah dan tombak diperaga.
   Pesilat mematah tidak perlu senjata.
Walau ibadah tidak sempurna.
   Semangat mengimarah surau tetap ada.

Kalau si Merah kurang zat.
   Belikan makanan kucing bermutu.
Terlampau ghairah sembahyang sunat.
   Jangan lupa sembahyang fardhu.

Meminta-minta bukan agresif.
   Jika tak buat tak akan berlaku.
Semoga tahun hadapan lebih positif.
   Apabila masyarakat lebih berilmu.

Pandai mengira, membaca buku adik bermegah.
   Mahukan hadiah, biasalah si budak sekolah.
Sampai masa dengan ilmu kita berubah.
   Dahulukan ibadah, lupakan adat yang bercanggah. 

- Tuk Ki



Doa qunut solat tarawikh di Mekah

SELAMAT HARI RAYA IDULFITRI
                    1433 H

Monday 6 August 2012

PANTUN RAMADHAN (2): PUASA, MACAM-MACAM PUASA

( I  24 )   ILHAM ILAHI




PANTUN RAMADHAN (Bah.2): PUASA, MACAM-MACAM PUASA

Suka duka resam dunia.
   Manusia biasanya ada tabiat.
Puasa ada bermacam puasa.
   Rupa-rupanya ada tiga peringkat.

Jauhilah dari sifat dengki.
   Iri hati umpama tercucuk jarum.
Adakah kita diperingkat ini?
   Seperti puasa orang umum.

Berputar roda tersekat-sekat.
   Beban barangan dikurang jangan.
Sekadar puasa perut dan syahwat.
   Dan yang lain-lain yang membatalkan.

Pantau dan lihat berkala-kala.
   Kualiti udara dan juga kabus.
Atau kita di peringkat kedua.
   Seperti berpuasa puasa yang khusus.

Pemuda bersukan di tengah lapangan.
   Mencari remaja wakil negara.
Puasa anggota badan sebagai tambahan.
   Dari pancaindera membuat dosa.

Kalau saya ingat balik.
   Ada orang yang betul-betul tulus.
Atau kita diperingkat terbaik.
   Puasanya orang khususnya khusus.

Jika diberi cinta berpada.
  Lelaki terkesan dengan kewaspadaan.
Puasa begini, hatinya juga berpuasa.
   Dari perhatian kepentingan keduniaan.

Apa dicerita sebagai pencetus.
   Mudah-mudahan ilmu ditambah.
Ada pun puasa khususnya khusus.
   Menahan sesuatu yang bukan untuk Allah.

Piagam antara negara berkuasa.
   Bab keselamatan tentu diutamakan.
Di dalam kita mengerjakan puasa.
   Adab dan saranan perlu dilakukan.

Dikucup Al Quran tanda kesucian.
   Mulia terukir dari Kalimatullah.
Tutup penglihatan kepada yang melalaikan.
   Sentiasa berzikir ingatkan Allah.

Rasa payah mencari rezeki.
   Sentiasa berusaha dan memanjat doa.
Jaga lidah dari dikotori.
   Antaranya berdusta, mencarut dan mengadu domba.

Muka hitam kerana dosa dilakukan.
   Dirakam suasana kala menghadap Tuhannya.
Jika haram perkara yang diucapkan.
   Haram juga telinga yang mendengarnya.

Aman warga amanlah negara.
   Pentadbiran jujur dan telus diamal.
Menahan anggota melakukan dosa.
   Berbukakan sumber yang bagus dan halal.

Kedekut bukan tak boleh dibuang.
   Jika kenangkan hartamu amanahNya.
Perut jangan terlampau kenyang.
   Sepertiga ruangkan untuk udara.

Setelah terluka bernama hati.
   Terasa hendak merantau berkelana.
Setelah berbuka bermuhasabahlah diri.
   Puasa ditolak atau diterimaNya.

Tunggak teguh tidak kucar kacir.
   Tentera Ilahi menaungi Rasul di Badar.
Kemuncak puasa sepuluh hari terakhir.
   Berusaha menjejaki, mencari Lailatul Qadar.

Harapkan pagar menjaga keselamatan.
   Baru tenang tapi ketakutan juga.
Amalan tersasar bulan Ramadhan.
   Memburu wang dan bukan pahala.

Siap dengan janji kerakyatan.
   Kena tipu buta-buta.
Setiap Ramadhan menemui kegagalan.
   Kerana nafsu memperkudakan kita.

Umpil rumah yang tidak padat.
 Kemahiran memanjat bahagian berliku.
   Disergah tertiarap oleh pasukan keselamatan.
Ambil yang sunah pinggir yang adat.
 Kekalkan semangat, tambahkan ilmu.
   Seolah setiap bulan adalah Ramadhan.

- Tuk Ki 
     



Klik bah.3 di sini  << sambungan

Thursday 2 August 2012

HADIS QUDSI (5) : PUASA, IBADAH EKSKLUSIF

( N  20 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA





HADIS QUDSI (5) : PUASA, IBADAH EKSKLUSIF

Kita hayati terjemahan hadis qudsi ini mengenai ibadah puasa:
"Semua amal perbuatan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, ia adalah kepunyaanKu, dan Akulah yang akan membalasnya. Dan bagi orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Satu kegembiraan ketika berbuka dan satu kegembiraan lagi ketika menemui Tuhannya (menerima balasan yang telah dijanjikanNya). Dan sesungguhnya bau yang keluar dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada kasturi."

(Hadis qudsi riwayat Tabrani dalam al Kabir dari Ibnu Mas'ud dll.)

Di dalam satu lagi hadis qudsi Allah berfirman, terjemahannya:

"Puasa itu dinding atau perisai dari api neraka dan ia adalah untukKu dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (yang berpuasa) meninggalkan nafsu syahwat, meninggalkan makan dan minum kerana Aku. Sesungguhnya bau yang keluar dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi". 

(Hadis qudsi riwayat Baghawi, Tabrani dan 'Abdan bin Basyir dari Ibnu Khasasiah).

Dalam sebuah hadis, terjemahannya:

"Di syurga terdapat lapan pintu, diantaranya ada pintu bernama Rayyan. Tidak diperkenankan masuk melaluinya kecuali orang-orang yang berpuasa." 

(Hadis riwayat Bukhari dari Sahl bin Sa'd).

Lain daripada amal-amal ibadat dan keta'atan yang mempunyai pahala yang tertentu, puasa yang dikerjakan dengan ikhlas mengikut tuntutan syarak akan menerima ganjaran pahala yang amat besar (dengan rahmatNya), hanya Allah Ta'ala yang mengetahuinya. Menurut alim ulamak, di akhirat kelak, jika kita telah ketandusan pahala kerana membayar hutang (dosa) kepada penuntut-penuntut hutang (keadilan) di atas dosa-dosa yang kita lakukan terhadap seseorang semasa di dunia, pahala puasa (bukan seperti pahala amalan-amalan lain) tidak akan diberi sebagai penebus hutang. Pahala puasa akan hanya digunakan apabila kita menghadapi timbangan amalan dosa dan pahala di hadapan Allah Ta'ala kelak. Dengan rahmatNya, Allah Ta'ala akan membayarnya dengan maha kekayaanNya.  

Status orang yang berpuasa dengan ikhlas dan ta'at (berkualiti) begitu istimewa disisi Allah S.W.T.

Puasa yang ikhlas adalah ibarat perisai, pendinding dan benteng dari kelemahan rohani dan jasmani sekali gus menghindarkan kita dari dosa-dosa besar dan kecil. Kalau beginilah kedudukan ibadah puasa itu alangkah baiknya jika seorang itu dapat mengamalkan puasa-puasa sunat  selain yang wajib. 

Wallahu A'lam.

- Tuk Ki
(Dari talib kepada mukallaf)