MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Tuesday 28 October 2014

HIJRAH: PERISTIWA NABI S.A.W DAPAT DIBURU OLEH SURAQAH.

4 Muharram 1436 H

( N  74 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.


HIJRAH : PERISTIWA NABI S.A.W DAPAT DIBURU OLEH SURAQAH.


Setelah tiga hari Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr berlindung di dua Thur, mereka telah bersedia untuk memulakan perjalanan ke Madinah. Asma' binti Abu Bakr telah membawa bekalan perjalanan Baginda. Sementara Abdullah bin Uraiqat, seorang yang berugama Quraisy yang dipercayai telah diupah oleh mereka , telah membawa dua tunggangan. Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr telah diiringi oleh Amir bin Fahirah telah melalui 
jalan pinggir pantai laut Merah yang jarang-jarang digunakan orang mengikut petunjuk yang diberitahu oleh Abdullah bin Uraiqat. 

   Waktu itu usaha untuk membunuh Rasulullah s.a.w telah mulai reda. Rondaan dan sekatan jalan telah dihentikan. Tetapi ganjaran yang tinggi telah ditawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah s.a.w. Suraqah bin Malik telah menceritakan:
"Ketika ku sedang duduk didalam satu majlis qabilahku, Banu Mudlij, tiba-tiba seorang lelaki telah datang ke majlis itu. Dia berdiri, sedang kami semua duduk, lalu berkata, "Wahai Suraqah, baru sebentar aku telah melihat lembaga hitam di persisiran pantai, aku dapati mereka ialah Muhammad dan sahabat-sahabatnya." 
Kata Suraqah di dalam hatinya, "Aku tahu mereka itu sememangnya Muhammad dan sahabat-sahabatnya."
Oleh kerana Suraqah ingin mengambil peluang menangkap Rasulullah dan membolot ganjarannya, beliau telah menafikan orang itu ialah Muhammad s.a.w tetapi adalah orang lain yang dikenalinya dan mengetahui perjalanan mereka.

   Suraqah terus duduk beberapa ketika di dalam majlis itu dan telah keluar tanpa disyakki oleh sesiapa dan menyuruh orang suruhannya mengambil kudanya sambil dia bersiap dengan tombaknya dan menyelinap keluar belakang rumahnya dan terus memacu dan memecut kudanya.

   Setelah Suraqah menjejaki dan menghampiri Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya dengan pantasnya, tiba-tiba kedua-dua kaki hadapan kudanya telah terbenam kedalam pasir dan Suraqah telah tercampak dari kudanya.
Setelah bangun berdiri dan hairan dengan apa yang berlaku, dia telah membuat cabutan nasib dengan anak panahnya untuk menentukan samaada untuk teruskan niat membunuh mereka atau tidak. Cabutan nasib itu didapatinya supaya tidak meneruskan niatnya, tetapi dilanggarnya keputusan itu dan terus menunggang semula kudanya dan memecutnya untuk membunuh Rasulullah s.a.w. 

   Percubaan keduanya benar-benar dia menghampiri Baginda begitu dekat sehingga "...aku dapat mendengar bacaan Rasulullah (s.a.w). Baginda tidak menoleh ke mana-mana tetapi Abu Bakr kerap sangat menoleh ke belakang". Tiba-tiba sekali lagi kedua kaki hadapan kuda Suraqah terbenam ke dalam pasir hingga ke lututnya dan sekali lagi Suraqah tercampak jatuh. Suraqah mengherdik kudanya lalu kudanya berhempas pulas mengeluarkan kakinya dari terbenam di dalam pasir dan akhirnya kudanya berdiri semula.
Dengan tidak semena-mena kelihatan debu bercahaya di langit seperti asap. Melihat kejadian itu sekali lagi Suraqah membuat cabutan nasib dan petunjuk dengan anak panahnya dan sekali lagi mendapat keputusan yang sama dengan keputusan yang terdahulu.
   
   Melihat ini beliau menceritakan, "Kali ini aku menyeru mereka memohon keselamatan dan mereka semua berhenti dan aku memacu kudaku sehingga sampai dihadapan mereka. Kini terlintas di dalam jiwaku dengan apa yang telah terjadi dimana semua tindakanku itu semua terhalang adalah petanda kepada kejayaan urusan Rasulullah s.a.w di masa-masa akan datang."
   
   Suraqah telah menawarkan kepada Rasulullah s.a.w bekalan dan makanan namun hanya mendapat jawapan "Jauhilah dari kami." Suraqah berkata lagi, "Ku meminta Rasulullah s.a.w menuliskan daku watikah keaamanan, lalu Baginada menyuruh Amir bin Fahirah menulisnya atas sebidang kulit. Setelah itu Baginda s.a.w pun meneruskan perjalanan." 
Sekembali Suraqah ke Mekah dia tidak memberitahu kejadian itu kepada sesiapa tetapi telah menjadi pelindung Rasulullah s.a.w sambil berkata kepada orang-orang Mekah yang masih mencari Baginda, "Telah pun aku usahakan untuk kamu dan di sini aku yang bertanggung jawab." 

   Mengikut riwayat Abu Bakr, "Kami keluar berhijrah dalam kaum kafirin mencari-cari kami, namun tidak seorang pun yang dapat memburu kami kecuali Suraqah bin Malik bin Ja'syam sahaja yang menunggang kudanya. Ku menyeru Rasulullah s.a.w  yang aku mencurigai pemburuan itu kalau-kalau ia sempat menangkap kami. 

Jawab Baginda, "Janganlah berduka sesungguhnya Allah bersama kita." (At-Taubah: 40)

Wallahu a'lam.

(Sumber : kuliah dengan kitab Al-Raheeq Al-Makhtum.)


- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)



Sunday 26 October 2014

HADIS: ...LALU RASULULLAH S.A.W KETAWA..

2 Muharam 1346 H

( N  73 )  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

HADIS : .... LALU RASULULLAH S.A.W KETAWA.


Ahli syurga di dalam syurga bukanlah menjalani satu kehidupan rohani seperti dakwaan ahli falsafah dan Nasrani. 
Allah s.w.t berfirman, bermaksud: "Dan di dalam syurga itu pula disediakan segala yang diingini nafsu." - surah Az-Zukhruf: 71

Berikut ialah salah satu terjemahan hadis yang menggembirakan dan menghasilkan suasana kecerian kepada pendengar-pendengar beriman yang membuat kita melihat diri kita sendiri.

Daripada Abu Hurairah bahawa suatu hari Nabi s.a.w bercakap dan disisinya ada seorang lelaki A'rabi: "Bahawa seorang lelaki dari ahli syurga meminta izin Tuhannya untuk menanam tanaman, lalu Allah bertanya kepadanya: 
Bukankah engkau telah memperoleh apa yang engkau kehendaki?
Katanya: Benar akan tetapi aku suka menanam.
Maka segera menabur benih lalu terus tumbuh membesar,berbuah, dituai dan bertimbun seperti gunung.
Lalu Allah s.w.t berfirman: Ambillah wahai anak Adam maka sesungguhnya engkau tidak pernah puas dengan sesuatu.
Lalu A'rabi itu berkata: Wahai Rasulullah, engkau tidak akan mendapati orang ini melainkan orang Quraisy dan orang Ansar kerana mereka ahli pertanian. Ada pun kami bukan ahli pertanian. 
Lalu  Rasulullah s.a.w ketawa." - Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Sahihnya. 

KETERANGAN HADIS.

1. Di dalam syurga seluruh keinginan akan dikabulkan dan direalisasikan.

2. Tabiat hamba yang ingin meneruskan amalan baiknya semasa di dunia akan dikabulkan dengan cara yang terlebih baik.

3. Tanaman/makanan di dalam syurga tidak memerlukan waktu seperti di dunia. Umpamanya, jika berkeinginankan buah-buahan seketika itu juga akan tumbuh dahan pokok dengan buahnya untuk dipetik. Seperti firman Allah Ta'ala: 
"Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kapada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis." ( Saad: 54).  

4. Menggambarkan kehidupan ahli-ahli syurga yang menyenangkan dan menggembirakan.

5. Majlis-majlis Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang menyebarkan hadis-hadis berunsur keindahan dan kegembiraan yang akan diringi senyuman dan kadang-kadang ketawa kecil.

6. Ahli syurga makan, minum di dalam syurga, yang menyalahi dakwaan ahli falasafah dan Nasrani bahawa ia adalah kehidupan rohani yang jauh dari kebendaan. 

7. Allah Azza wa Jalla bercakap-cakap dengan hamba-hambaNya di dalam syurga (seperti Allah berfirman dalam hadis ini "Ambillah anak Adam maka sesungguhnya engkau tidak pernah puas dengan sesuatu.")

Wallahu a'lam.

Sumber: kuliah degan kitab Qisasul Ghaib fi sahih....


- Tuk Ki Jemaah.
(Daripada talib kepada mukallaf)
       

Tuesday 14 October 2014

TAUHID/AKIDAH: BHG. 13 SIFAT KE 6 WAHDANIAH.

19 ZULHIJJAH 1435 H

( N  72 )  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.


ILMU TAUHID/AKIDAH BHG. 13:

 SIFAT KE 6 WAHDANIAH (KEESAAN).


Wahdaniah ertinya keesaan, yakni bukan satu yang boleh dibelah-belah menjadi cebisan separuh, suku, atau berbilang-bilang. Allah Taala berfirman, terjemahannya: 
"Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa...." - surah Al-Baqarah: 63. 

Wajib pada syarak setiap mukallaf (baligh dan berakal) mengetahui dan mengakui dengan muktamad bahawa Allah Ta'ala itu esa, iaitu, esa (satu dan tidak berbilang-bilang) pada 1.zatNya 2.sifatNya dan 3.af'alNya (perbuatanNya).

1. ESA PADA ZAT.
a) Zat Allah Taala tidak bersusun daripada beberapa juzuk (bahagian) seperti muka, kepala, tangan, kaki dan boleh dikerat, dipotong, dikoyak seperti zat (diri) makhluk/alam (kejadian selain daripada Allah Taala). Jika begitu hal keadaannya, ia dinamakan kam mutassil (berbilang dan berhubung pada zat/diri). Jika zat Tuhan dapat dibahagikan dan boleh dibilang, tidaklah dikatakan esa. Bahkan Dia menyerupai makhluk.

b) Tidak ada pula zat Tuhan yang lain yang boleh dibilang-bilang atau sama dengan zat Allah Taala. Hal sedemikian dinamakan kam munfasil (bilangan yang berasing-asing) dan tidaklah dikatakan esa.

2. ESA PADA SIFAT.
a) Tidak ada pada zat Allah Taala itu dua atau lebih sifat daripada jenis yang sama, umpamanya, dua sifat Qudrat (berkuasa), dua sifat Iradat (berkehendak). Hal demikian dinamakan kam muttasil pada sifat (bilangan yang berhubung pada sifat, yakni, beberapa sifat yang sama.

b) Tidak ada pada yang lain daripada Allah Taala suatu sifat yang menyerupai mana-mana sifat Allah Taala seperti sifat boleh mengadakan dan maniadakan apa-apa makhluk. Hal demikian dinamakan kam munfasil pada sifat (berbilang sifat yang sama yang berasingan) dan dengan sendirinya ternafi oleh keesaan sifat Allah Taala.

3. ESA PADA AF'AL (PERBUATAN).
a) Tidak ada sesiapa pun yang bersekutu dengan Allah Taala dalam mana-mana perbuatanNya. Jika berlawanan dengan yang demikian ia dinamakan kam muttasil pada perbuatan (berbilang sesama mereka mengerjakan sesuatu perbuatan). 
Keadaan ini adalah tertolak kerana tiap-tiap dua atau lebih perbuatan itu tidak dikatakan berbuatan Tuhan kerana makna Tuhan itu Tuan sekelian perkara dan apabila dua atau lebih, nescaya dikatakan Tuan sebahagian-sebahagian sahaja.
Nota: Perbuatan/mengadakan sesuatu oleh makhluk hanyalah berdasarkan atas usaha dan ikhtiar (memilih).

b) Tidak ada perbuatandari diri yang berlainan/berasingan mengadakan sesuatu sama dengan perbuatan Allah Taala. Jika berlaku perbuatan yang berasingan itu dinamakan kam munfasil pada perbuatan, yakni, berbilang perbuatan dari diri yang berlainan dalam mengadakan sesuatu. Ini mustahil kerana dua atau lebih Tuhan tidak memenuhi (sepenuhnya) pemerintahannya sebagai Tuhan.

Oleh itu Tuhan itu tetap esa dan tidak berbilang-bilang pada ZAT, SIFAT dan PERBUATANNYA. 

*Mustahil Allah Taala ketiadaan esaNya.

DALIL.

Jika Tuhan berbilang-bilang, tidak boleh tidak mereka terpaksa bersetuju atau berbalah/berselisih antara satu sama lain, umpamanya dalam mengadakan/menjadikan sesuatu makhluk/alam (makna makhluk/alam ialah kejadian selain daripada Tuhan). 

Jika umpamanya bersetuju dua Tuhan, akan timbul tiga masaalah. 

1. Bersetuju menjadikan sesuatu makhluk di dalam satu masa. Ini adalah mustahil dilakukan. Maka lemahlah kedua-duanya. Mustahil Tuhan itu lemah dan kita dapat melihat setiap makhluk itu sudah ada tercipta yang membuktikan Tuhan itu berkuasa dan tetap esa.  




2. Bersetuju menjadikan suatu makhluk atas dasar dahulu dan kemudian. Umpamanya, Tuhan A membuat suatu makhluk pada pukul 10 dan Tuhan B pukul 11. Maka Tuhan B itu mengadakan makhluk yang sudah ada oleh Tuhan A. Begitu juga jika sebaliknya berlaku. Maka kedua-duanya adalah lemah kerana tiada kuasa mutlak dan ini adalah mustahil kerana setiap makhluk sudah tercipta dan dapat disaksikan dengan mata kepala kita. Terbuktilah Tuhan itu esa jua tidak berbilang-bilang. 

3. Bersetuju untuk menjadikan makhluk yang berlainan. Umpamanya, Tuhan A menjadikan langit dan Tuhan B menjadikan bumi. Dengan sendirinya kedua-dua Tuhan menjadi lemah kerana Tuhan A tidak boleh lagi menjadikan bumi dan begitulah sebaliknya dengan Tuhan B tidak boleh lagi menjadikan langit. Jika ini berlaku Tuhan itu lemah.

Jika kedua-dua atau lebih Tuhan-Tuhan itu pula berselisih/berbalah antara satu sama lain terjadi pula dua masaalah. 

1. Kalah satu menang satu. 
Umpama Tuhan A hendak menjadikan langit manakala Tuhan B hendak meniadakan langit dan Tuhan A tidak boleh melakukannya kerana dipertahan dan dihalang oleh Tuhan B. Begitulah sebaliknya berlaku. Maka kedua-dua Tuhan adalah lemah dalam memenuhi kehendak masing-masing.

2. Seri kedua-duanya.
a) Seri dengan kalah kedua-duanya. Umpama Tuhan A hendak mnjadikan suatu makhluk tetapi dihalang oleh Tuhan B. Tuhan B pula hendak meniadakan/menghapuskan suatu makhluk yang dibuat oleh Tuhan A tetapi sudah tentu tidak boleh kerana makhluk itu tidak dapat dijadikan/diadakan. Maka lemahlah kedua-duanya.

b) Menang kedua-duanya. Umpama satu Tuhan mencipta suatu makhluk dan lantas Tuhan lain telah meniadakan/menghapuskan makhluk itu. Perkara ini adalah mustahil kerana makhluk-makhluk telah ada dengan musyahadah (dapat dilihat dengan mata). Oleh itu pastilah Tuhan itu esa.

Inilah kebenaran yang diakui di dalam Al-Quran, terjemahannya:

"Apakah mereka mengambil tuhan-tuhan dari bumi, yang dapat menghidupkan (orang -orang mati)?
Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya telah rosak binasa..." surah Al-Anbia: 21~22.


Wallahua'lam.

(Sila dapatkan keterangan lanjut dari guru yang mahir). 

Sumber daripada: kuliah berdasarkan kitab-kitab Faridatul faraid...dan Al-Misbah Al-Munir.

- Tuk Ki Jemaah.
(Daripada talib kepada mukallaf)