MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Monday 31 December 2012

10 PERKARA YANG TIDAK MENDATANGKAN MANAFAAT

  17 Safar 1434

( N  32 )    NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

10 PERKARA YANG TIDAK MENDATANGKAN MANAFAAT - AL QURAN & HADIS




1. ILMU YANG TIDAK DIAMALKAN.

Zaid bin Arqam ra berkata  "Adalah Rasulullah saw sentiasa berdoa: Ya Allah, sesungguhnya saya mohon perlindungan kepadaMu daripada kelemahan dan kemalasan, kekikiran dan usia terlampau tua serta siksa kubur. Ya Allah, berikanlah kepada jiwaku ini ketakwaan, sucikanlah jiwaku kerana Engkau adalah sebaik-baik Zat yang dapat mensucikannya. Engkaulah yang menguasai serta menjadi Tuanmya. Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindungan kepadaMu daripada ilmu yang tidak bermanafaat, dari hati yang tidak dapat khusyu', dari jiwa yang tidak puas-puas dan dari doa yang tidak dikabulkan." 
- H r Imam Muslim 

2. MELAKUKAN AMALAN TANPA IKHLAS.

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap Allah dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka hanya memperlihatkan sembahyangnya kepada manusia dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali." Surah Al Nisa' ayat 142.

3. HARTA YANG TIDAK DIINFAQKAN KE JALAN ALLAH.

Dari Mutharrif dari ayahnya : Aku mendatangi Nabi saw sedangkan baginda sedang membaca 'Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba' (Al Takaatsur: 1), Baginda bersabda: "Anak Adam berkata : 'Hartaku, hartaku'. Baginda bersabda : "Hartamu wahai anak Adam tidak lain adalah apa yang engkau telah makan lalu engkau habiskan, yang engkau pakaikan dan engkau lusuhkannya atau yang engkau sedekahkan lalu engkau habiskan." H r Imam Muslim. 

4. HATI YANG KOSONG DARI KETAKWAAN KEPADA ALLAH.

"Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera." Surah Al Syuara' ayat 88-89.

5. TUBUH BADAN YANG TIDAK DIGUNAKAN UNTUK BERKHIDMAT KEPADA ALLAH.

Dari Abu Barzah Nadhlah bin Ubaid al Aslami ra berkata: "Rasulullah saw bersabda "Tidak akan bergerak kedua kaki se orang hamba pada hari kiamat sehinggalah dia ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya; tentang ilmunya, untuk apa dia lakukannya; tentang hartanya, dari mana dia memperolehinya dan kemanakah ia dinafkahkan; dan tentang tubuhnya, untuk apa ia dibinasakannya." H r Imam Al Tirmizi.

6. KECINTAAN TIDAK DIHUBUNGKAN KERANA ALLAH.

Abu Hurairah dia berkata: Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat kelak, "Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Hari ini Kunaungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naunganKu." H r Imam Muslim.

7. MENSIA-SIAKAN WAKTU/MASA.

Ibnu Abbas ra berkata: Nabi saw bersabda, "Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitulah kesihatan dan waktu lapang." H r Imam Al Bukhari.

8. MEMIKIRKAN PERKARA YANG SIA-SIA. 

Syair dari Abdullah bin Muslim bin Qutaibah : "Sekiranya manusia itu memikirkan apa yang ada didalam perut mereka maka pasti akan hilanglah perasaan takabbur dari diri orang tua dan orang muda. Hai anak tanah, hai orang yang akan dimakan, ingatlah kamu akan dimakan dan diminum di hari kemudian." 

9. BERKHIDMAT KEPADA ORANG YANG TIDAK DAPAT MENDEKATKAN PERKHIDMATAN ITU KEPADA ALLAH.

10. TAKUT DAN BERHARAP SEPENUHNYA KEPADA MAKHLUK.

Ibnu Abbas ra berkata: Saya ada di belakang Nabi saw lalu baginda bersabda, "Peliharalah Allah, maka engkau akan mendapatkanNya di hadapanmu. Berkenalanlah dengan Allah di waktu kamu senang, maka Allah akan mengenalimu di waktu kamu susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang terlepas daripadamu itu tentu tidak akan mengenaimu dan apa-apa yang mengenaimu itu pasti tidak akan dapat terlepas daripadamu. Ketahuilah bahawa pertolongan itu berserta kesabaran dan bahawasanya kelapangan itu berserta kesukaran dan bahawasanya berserta kesukaran itu pasti ada kelonggaran." H r Al Tabrani.     
  

Wallahu'alam.

- Tuk Ki  
(dari talib kepada mukallaf)





                                                                                                   Allah sentiasa di hati                                                                                     



                                                Kenali munafik
    

Saturday 22 December 2012

PANTUN DERHAKA KE NERAKA (BAH.1) 6 kerat

8 Safar 1433

( I  31 )   ILHAM ILAHI

PANTUN DERHAKA KE NERAKA (BAH. 1) ENAM KERAT



Dedikasi khas buat ahli keluarga dan amnya kepada para pembaca yang terpanggil untuk meneroka pantun ini. Salam hormat!


Hari-hari teruja berselawat.
 Berjabat bersepadu karibnya teman.
   Harapkan syafa'at Nabi, di sana jua.
Nabi bersabda kepada umat.
 Solat lima waktu wajib didirikan.
   Mendirikan solat adalah mendirikan Agama.

Bersembang riang dengan ketawa.
 Sungguh jenaka suka diceritakan.
   Di ingatkan mati hati pun serik.
Sembahyang itu tiang Agama.
 Meruntuh Agama jika ditinggalkan.
   Malahan menjadi orang munafik.

Maka diselar ucapan mengaibkan.
 Dengan tertib menunjukkan sifat.
   Hasad dengki hatinya fakir.
Jika engkar dan juga menafikan.
 Menafikan wajibnya mendirikan solat.
   Iktikad sebegini menjadikannya kafir.

Ada manusia diibaratkan lalang.
 Lemah hingga tidak berdiri.
   Bermuka dua, talam yang membawa hidangan.
Barangsiapa yang meringankan sembahyang.
 Allah menyeksa tiada terperi.
   Ketika didunia dalam tiga keadaan. 

Ada guna rasa culas.
 Halang maksiat dari dilakukannya.
   Kerana bijak iman di hati.
Ketika di dunia Allah Ta'ala membalas.
 Hilang berkat dari umurnya.
   Rezekinya juga tidak diberkati.

Sia-sia jika berkata.
 Seakan mencurah air, ke daun keladi.
  Rupa-rupanya dirasuk ajaran sesat.
Tiada terpelihara Agama Islamnya.
 Amalan kebajikannya tiada diganjari.
  Doa-doanya juga tiada diangkat.

Kenapa maki-memaki hobi yang selesa.
 Kini dalam masyarakat marhaen.
  Tersua berkali-kali di ruangan FB.
Ketika menghadapi mati, diseksa juga.
 Mati dia dalam kehinaan.
  Ada dua lagi, dia akan hadapi.

Kredibiliti tergugat juga tercalar.
 Dibenci dan juga kena umpat.
   Kelak dosa mengalir jika ia fitnah belaka.
Matinya dengan tersangat lapar.
 Dituruti dengan dahaga yang amat.
   Sebanyak mana air, tiada mengurangkan dahaganya.

Hidup susah bak ayam mengkais kaki.
 Dapat rezeki Allah Ta'ala sediakan.
   Malang di akhirat hanya pahala yang berharga.
Seksa Allah tak habis lagi disini.
 Wasiat Nabi, oleh itu ditinggal jangan.
   Sembahyang dibuat di mana jua anda berada. 

Melihat Palestin dibaham hancur.
 Dikecam dunia gawatnya keadaan.
  Sifat Yahudi terkenal sangat.
Kengerian menanti di alam kubur.
 Di dalam pusara dimampat, disempitkan.
  Malaikat menyeksa sehingga kiamat.

Ngerinya Nabi menyaksikan mimpi.
 Tidak misteri kenapa berlaku.
  Orang gemar melakukan dosa, nafsu menggoda.
Kuku malaikat dari besi khursani.
 Tidak terperi panjangnya kuku.
  Memegang cokmar bak halilintar, bergema suaranya.

Lawi meradak besar lukanya.
 Tersembam jatuh, bangun semula, berlawan lagi.
  Penderhaka tersungkur, rakyat jelata berasa selamat.
Sekali dihentak dengan cokmar besinya.
 Tertanam jauh, kukunya mencungkil, dipalu lagi.
   Bahananya tidak akan berakhir sehingga kiamat.

Insya Allah! apabila perancangan dibuat.
 Untuk melakukan, dengan Bismillah.  
  Berjaya dibuat, Alhamdulillah! kerana mensyukuri.
Sesudah sangkakala, akan ke alam akhirat.
 Untuk ditemukan dengan Allah.
  Berada di akhirat sehingga ke infiniti.

Ingat adab jika bersolat jangan bergegas.
 Elok selesaikan tidak dibenciNya kerana kalut.
  Tandus pahala, sia-sia kerana tidak seriusnya.
Malaikat Azab bersifat bengis menjalankan tugas.
 Dijolok rantai menyala berapi kedalam mulut.
  Tembus keluar pada duburnya dan diheretnya.

Niat penentu, membuat apa jua pun.
 Menjadi ibadat atau maksiat, daripada adat. 
  Sukakan maksiat sudah tentu terima kemurkaanNya.
Malaikat bersuara bergempita tersangatlah gerun.
 Ini akibat, terimalah gawat yang teramat.
  Meninggalkan solat yang fardhu semasa di dunia.

Jika syahid takut sungguh di dada tertanam.
 Merempit tidak pula takut terbang nyawanya.
  Agak sedih jika matinya, di hatinya tiada Allah.
Maka diheret tubuh derhaka ke neraka Jahanam.
 Sedikit tidak Allah memandang dengan RahmatNya. 
  Tidak dipilih, tidak dipeduli oleh Allah.

Mereka Yahudi bangsa yang suka bunuh Nabi-Nabi.
 Jaguh menderhaka walau diingatkanNya berkala-kala.
  Menjerit marah, Nabi terakhir bukan yang disangkakan.
Neraka menanti, bising huru-hara, dengan golakan api.
 Tubuh manusia dibesarkan berganda-ganda supaya menderita.
  Perit kesakitan, berpanjangan tidak ada lagi kematian.

Bernikah membina rumah tangga.
 Tangga bermakna suatu matlamat, yang diusahakan.
  Usaha menggarap mendapat berkat dan juga rahmat.
Allah Ta'ala jua Yang Maha Pencipta.
 Penghapus dosa, menerima taubat dari insafnya insan.
  Hamba wajib menggenapkan solat walaupun penat.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki





Monday 10 December 2012

ANEKDOT TAKWA (9) : AL QURAN & 'BIG BANG'

26 Muharram 1434

( N  31 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA: AL QURAN & ' BIG BANG '


Kosmologi moden mulai dikenali dan perbahaskan dalam tahun 1920 an dengan penemuan bahawa alam semesta ini sedang mengembang dan bergerak keluar dari arah kita ke setiap arah. Secara logiknya berdasarkan penemuan itu, terbit suatu teori hipotetikal, iaitu teori 'Big Bang' atau 'Letusan yang Besar' di mana alam semesta terbentuk. Menurut teori itu semasa berlaku 'Big Bang', alam semesta ini yang berkumpul di suatu titik dan di dalamnya mengandungi 'kabus' yang padat dan mampat dan telah terjana kepanasan yang melampau. Suatu letusan besar telah berlaku dan memelantingkan partikel-partikel terkandung di dalamnya bertaburan ke arah keluar dengan kepantasan yang teramat sangat. Dalam proses ini terbentuk galaksi-galaksi dan planet-planet dalam alam semesta ini dan terus berkembang dan meluas. Pemerhatian keatas kadar pengembangan alam semesta ini merumuskan kejadian itu berlaku 12 bilion tahun yang lampau.

Namun 1,400 tahun yang lalu perkara penciptaan alam semesta ini telah termaktub di dalam al Quran.

Dalam surah Al Anbia' ayat 30, terjemahannya:

"Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?"

Jika teori 'Big Bang' yang di terbit dari akal manusia dan al Quran telah pada asasnya, mengesahkan teori itu maka sewajarnyalah sekelian manusia beriman kepada al Quran. Banyak lagi penemuan-penemuan sains yang seiring dengan kandungan al Quran telah direkodkan. Bagi kita yang beragama Islam perkara-perkara seperti ini akan dapat menguatkan lagi keimanan kita tanpa ragu-ragu.

Wallahua'lam.


- Tuk Ki 




                                                                                                           








                                                                                                                                                    



  

                                                    Galaksi


















Angksa lepas (Nebula rcw49 - tempat lahirnya bintang-bintang baru)

Matahari

Wednesday 5 December 2012

SAJAK/PUISI : WAHAI GAZA! MAAFKAN KAMI

21 Muharram 1434

( I  30 )   ILHAM ILAHI

PUISI / SAJAK : WAHAI GAZA! MAAFKAN KAMI












WAHAI GAZA!

Engkau adalah cebisan belulang 
dari sekujur tubuh mulia yang sedang dibaham
penjarah-penjarah pelahir Dajjal.
Kuat tetapi pengecut.
Gagah tetapi berselindung 
membayangi badut-badut bermuka.

Maafkan kami wahai Gaza!

Kerana hanya menelan berita-berita.
Kerana hanya menganalisis strategi.
Kerana hanya menangisi sejenak.
Kerana hanya ribut se pintas.
Kerana hanya retorik berkesempatan kerana habuan.
Kerana hanya luahan yang bermusim.
Kerana hanya letusan bom dan misil merangsang golakan hati.
Kerana hanya bijak menduga episod yang akan berulang.
Kerana hanya kembali memaling kepada kelunakan diri sendiri.
Kerana hanya reaktif dengan mengisi tabung-tabung simpati.

Maafkan kami wahai Gaza!

Kerana kami tidak sepenuhnya memahami.
Kerana kami tidak dapat menyelami.
Kerana kami tidak menghayati.
Kerana kami lari bersembunyi dengan dalih tersendiri.
Kerana kami menikus terlalu lama hingga terlena menyepi.
Kerana kami lalai dengan anugerah duniawi.
Kerana kami cintakan harta-harta kami.
Kerana kami cintakan keluarga kami.
Kerana kami impikan syurga dengan cara bukan sebegini.
Kerana kami takut disinggahi badi para syuhada yang pergi.




Mungkinkah kamu memaafkan kami, wahai Gaza?

Padahal kamu ialah cebisan belulang bumi yang diberkati.
Padahal kamu ialah bumi menyeluruh untuk ditebusi.
Padahal kamu bermatlamatkan pembebasan al Aqsa dari dimusnahi.
Padahal kamu peluang bermulanya kebangkitan sebelah sisi.
Padahal kamu ialah amanah wajib kami mewarisi.
Padahal kamu ialah daging dan darah kami.
Padahal kamu bakal lenyap dikit demi dikit jika tidak dipeduli.

Layakkah kami,
layakkah kami untuk kamu memaafi?

- Tuk Ki





Sunday 2 December 2012

HADIS : PENZINA BAKAL DITUMIS

18 Muharram 1434

( N 30 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS : PENZINA-PENZINA BAKAL DITUMIS













ZINA , adalah perbuatan maksiat yang amat mudah dilakukan dan sering dilakukan sejak zaman berzaman lagi. Telah terungkap kata-kata berkaitan maksiat zina, "profesion yang tertua didunia ialah pelacuran". Jikalau dalam masyarakat dahulu ia dilakukan secara agak sulit dan dianggap satu kesalahan besar serta memalukan jika diketahui tetapi tidak sekarang. Gejala maksiat zina dianggap perkara biasa malah sipelaku merasa bangga kerana telah melakukannya. Sarang-sarang pelacuran telah 'diiktiraf' dan dibiarkan berleluasa. Pergaulan bebas digalakkan oleh pilihan cara hidup kita sendiri. 

Ini tidak menghairankan kerana pemikiran dan cara hidup kita telah dicemari oleh budaya Barat yang turut mempengaruhi dan dianuti oleh orang-orang Timur. Melakukan seks suka sama suka di luar pernikahan, adalah perkara yang diterima seperti yang ditonjolkan di dalam media-media kebaratan seperti filem, drama, forum, dll. Malang bagi penganut Islam yang terjebak didalam gejala ini kerana Islam meletakkan perbuatan zina sebagai dosa besar.

Dari sebuah hadis sahih diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah S.A.W. telah menyaksikan balasan siksaan ngeri di dalam kubur kepada pelaku-pelaku zina, lelaki dan perempuan, di dalam mimpinya. Mimpi para Nabi adalah benar belaka.

Diturunkan dibawah ialah petikan terjemahan hadis tersebut (dari sebuah hadis yang panjang). Nabi S.A.W. di dalam mimpinya Baginda telah dibawa oleh dua malaikat membuat suatu perjalanan dan lawatan ke beberapa situasi. Salah satunya ialah situasi berikut:

"...Dari Sumurah bin Jundub r.a...."Kedua-duanya (malaikat) berkata pada ku (Nabi S.A.W.): Teruskan perjalanan, kami pun meneruskan perjalanan hingga mendatangi sebuah kuali (seperti kuali, yang bahagian atasnya sempit dan bahagian bawahnya luas)....Tiba-tiba terdengar suara-suara yang tidak difahami. Kami melihat ke dalamnya dan mendapati lelaki-lelaki dan wanita-wanita telanjang, mereka didatangi nyalaan api dari bawah mereka, apabila mereka didatangi nyalaan api itu mereka pun berteriak (melolong kesakitan)."

Rasulullah S.A.W. telah bertanya siapakah mereka ini, tetapi hanya mendapat jawapannya setelah selesai perjalanannya.

"...Sekarang kami beritahu engkau : adapun lelaki-lelaki dan wanita-wanita telanjang dalam kuali maka mereka adalah para PENZINA."

Inilah ancaman dan balasan kepada penzina-penzina, na'uzubillah min zalik.

Zina adalah dosa antara manusia dan Tuhan. Ia tidak boleh ditebus oleh hukuman-hukuman lain. Seorang pelaku akan dikenakan hukuman Hudud jika terbukti kesalahannya atau dengan pengakuan si pelaku. Seorang pelaku yang bujang akan dikenakan hukuman seratus rotan dan bagi yang berkahwin akan dikenakan hukuman rejam. Namun peluang bertaubat sentiasa terbuka luas di dalam Islam. Jenis taubatnya ialah taubat nasuha yang antara lain ciri-cirinya ialah merasa betul-betul kesal, insaf dan takutkan Allah S.W.T. dan berazam tidak mengulanginya. Allah Ta'ala maha mengetahui apa yang ada di dalam hati seseorang. Bayangkanlah jika kita pergi manghadap Ilahi tanpa sempat bertaubat nasuha!

Nafsu syahwat harus dibendung. Salah satu remidinya ialah dengan berkahwin secara sah (bukan kahwin mut'ah/kontrak, na'uzubillah - yang sedang menular sekarang ini) mengikut ahli Sunah Wal Jamaah.

Semoga kita dan keturunan kita dijauhi dari maksiat zina yang mana Allah mendatangkan keaiban di dunia dan seperit-perit azab di alam kubur dan alam akhirat. Amiin.

Wallahua'lam.


- Tuk Ki 
(Dari talib kepada mukallaf)    
     

Thursday 22 November 2012

HADIS QUDSI ( 8 ): HARTAmu , HARTAKU

8 Muharram 1434

( N  29 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS QUDSI ( 8 ) : HARTAmu HARTAKU




Harta kekayaan! Itulah matlamat hidup kebanyakan orang. Memang tidak menjadi kesalahan untuk mencita-citakanya dan mengushakannya, tetapi hendaklah berlandaskan iman dan takwa. 
Nabi S.A.W. bersabda di dalam sebuah hadis, terjamahannya:

" Manusia berkata: "Hartaku, hartaku!" Pada hal hanya tiga jenis daripada harta bendanya yang khusus bagi dirinya : 1) apa yang sudah dimakannya yang kemudian hancur, 2) apa yang sudah dipakainya yang kemudian menjadi usang dan buruk, 3) apa yang sudah diberikannya (berupa sedekah, derma wakaf dan lain-lain) yang kemudian itulah yang menyenangkan hatinya. Selain daripada itu akan hilang dan akan ditinggalkannya untuk orang lain."

- Al Hadis

 Petikan sebahagian dari hadis qudsi di bawah ini, Allah S.W.T. berfirman  (melalui Jibril) kepada Nabi Musa a.s, maksudnya:

".....Wahai Musa! Tidak aku dorong orang fakir miskin (meminta perlindungan) kepada orang kaya kerana gudangKu sudah sempit bagi mereka atau rahmatKu sudah tidak meliputi mereka, akan tetapi telah Aku  tetapkan sebahagian dari harta yang ada pada orang-orang kaya untuk mencukupi kehidupan fakir miskin.

Aku ingin menguji orang-orang kaya bagaimana sikap mereka dalam melaksanakan hak fakir miskin yang ada pada mereka.

Wahai Musa! Apabila mereka telah melaksanakan hak itu nescaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada mereka dan Aku gandakan  di dalam dunia untuk satu kebaikan sepuluh kali ganda.

Wahai Musa! Jadilah engkau gudang kekayaan bagi fakir miskin, benteng perlindungan bagi orang-orang yang lemah, hujan nikmat bagi mereka yang meminta perlindungan. Nescaya Aku akan menjadi teman dan kawanmu yang akrab dalam kesulitan, menjadi teman penghiburmu ketika engkau kesepian dan akan menjaga serta melindungimu siang dan malam."  

- Hadis qudsi riwayat Ibnu Najjar dari Anas r.a. 

KETERANGAN HADIS.

Allah S.W.T. menguji orang kaya dengan tanggung jawab berupa sedekah wajib, yakni ZAKAT dan sedekah sunat (sedekah, derma  wakaf, dll) untuk hidup berkasih sayang dan melahirkan kehidupan manusia yang dinamik yang saling memerlukan antara satu sama lain. Sebagai balasan Allah menjanjikan golongan yang memberi ini, sepuluh kali ganda rezekinya bagi setiap kebajikan kepada fakir miskin dan yang memerlukan. Tetapi bagi yang engkar melaksanakan tanggung jawab ini telah diancam oleh Allah S.W.T. dengan balasan yang mangerikan.
Ternyata sistem ini diciptaNya untuk mengimbangi jurang antara yang kaya dan yang miskin kerana Allah Ta'ala telah mentakdirkan ada orang kaya dan ada orang yang tidak berkemampuan yang sudah pasti ada hikmahnya kepada kehidupan kita.    

Di dalam al Quran keutamaan mengeluarkan zakat dan bersedekah disebut, terjemahannya:

"Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempitkan dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan."

- Surah Al Baqarah, ayat 245.

"Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda."

- Surah Ar Ruum, ayat 39.

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)."

- Surah At Taubah, ayat 103.

"Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu)."

- Surah Al mu'minun, ayat 4. 

Nabi S.A.W. telah bersabda kepada Bilal, terjamahannya:

"Nafkahkanlah wahai Bilal! Dan engkau jangan khuatir berkurangan pemberian Allah empunya Arasy."

- Hadis riwayat at Tabrani Ibnu Mas'ud.

" Apa yang telah direzekikan kepadamu janganlah engkau sembunyikan dan apabila diminta janganlah menolak."

- Al Hadis.

Dari petikan-petikan di atas diharap dibukaNya kita kepada hidayahNya dan taufikNya untuk melaksanakan perintahNya. 

Wallahua'lam.
(Dari talib kepada mukallaf)


Tuk Ki



Saturday 17 November 2012

MEMAHAMI HIJRAH NABI S.A.W. (Secara ringkas)

3 Muharram 1434

( N  28 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

MEMAHAMI HIJRAH NABI S.A.W. (SECARA RINGKAS)



                                   (gambar hiasan)

Firman Allah Taala dalam surah al Anfal, ayat 74. terjemahannya;

"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia."

KETERANGAN AYAT.

1. Maksud Hijrah di dalam ayat tersebut adalah dijadikan syarat perlindungan dan setiakawan yang umum dan khusus, iaitu hijrah dari negara syirik kepada negara Islam bagi mereka yang berkuasa melakukan perpindahan itu. Adapun orang-orang yang mampu berhijrah tetapi tidak berhijrah kerana hendak memelihara kepentingan atau hubungan kerabat  dengan kaum musyrikin, maka tiada hubungan perlindungan dan setiakawan antara mereka dengan masyarakat Islam. - ( Fi Zilalil Quran: Yusuf Zaki:200)

Orang-orang mukmin pada zaman Rasulullah S.A.W. ada 4 kategori:

a) Al Muhajirin, iaitu orang-orang yang beriman dan berhijrah ke Madinah sebelum peperangan Badar sehingga Perjanjian Hudaibiah (dengan Musyrikin Mekah)* serta berjuang dengan harta dan jiwa di jalan Allah S.W.T.

* Contoh perjanjian dengan pihak bukan Islam yang bijak dan berpandangan jauh.

b) Al Ansar, iaitu orang-orang Madinah yang memberi tempat tinggal kepada orang-orang Muhajirin dan membantu mereka. Mereka adalah sama darjat dengan Muhajirin, merekla tolong menolong sesama mereka, bahkan mereka mempusakai harta jika tiada ahli waris.

c) Orang-orang yang beriman, tetapi mereka tidak berhijrah ke Madinah tetapi tinggal di Mekah. Mereka tidak masuk ke wilayah kaum Muslimin di Madinah kerana terputus hubungan antara mereka. Mereka tinggal di darul harbi/syirik. Kaum Muslimin a) dan b) tinggal di Madinah. 

d) Orang-orang beriman yang berhijrah dan berjuang tetapi terlambat, iaitu sesudah hijrah yang pertama. Mereka termasuk golongan Muhajirin dan Ansar juga, tetapi mereka kurang sedikit dan kelebihan adalah bagi orang-orang berhijrah terdahulu. (Tafsir Mahmud Yunus : 2008 : 259-60)

2) Bulan Muharram ialah bulan pertama di dalam kalendar Hijriah. Tahun berlaku peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W. ditandakan sebagai permulaan kiraan kalendar Islam. Tetapi peristiwa Hijrah Nabi S.A.W. bukan berlaku di dalam bulan Muharram. Pengkaji-pengkaji sejarah Islam yang masyhur mengatakan Hijrah berlaku pada bulan Safar.

3) Sambutan Maal Hijrah tidak bermakna jika kita sekadar mengingati peristiwa hijrah Nabi S.A.W. semata-mata tanpa mengetahui tujuan Nabi S.A.W. berhijrah. Hijrah Rasulullah S.A.W. adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam yang mendaulatkan hukum hakam Allah S.W.T.dan sekali gus menjadi model sebuah negara Islam yang berdaulat kepada generasi umat Islam selepas baginda. 

4) Umat Islam hari ini, kebanyakannya, hanya sekadar mengingati dan menyambut Maal Hijrah sebagai hari cuti dan dihidangkan dengan program-program yang lagha yang bersifat keduniaan. Kalendar Islam begitu asing kepada kebanyakan umat Islam sehingga tidak menyedari  bahawa perkara-perkara yang melibatkan bilangan hari, bulan dan tahun  di dalam hal-hal agama merujuk kepada takwim Islam, bukan kalendar masihi.

5) Umat Islam hendaklah menjadikan peristiwa Hijrah ini dengan penuh kegembiraan dan memikul amanah sebagai seorang Muslim dan sebagai satu aspirasi untuk merealisasikan pelaksanaan hukum Allah di muka bumi ini, Insya Allah. 

Wallahua'lam.

(sumber: kuliah)

- Tuk Ki
(Dari talib kepada mukallaf)




                                                                                                                                 

Tuesday 13 November 2012

ANEKDOT TAKWA (8): SI KAKI PEMBOHONG DAN AZAM BARUNYA.

28 Zulhijjah 1433

( N  27 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA ( 8 ) : KISAH SI KAKI PEMBOHONG DAN AZAM BARUNYA



Di suatu pagi satu Muharram, Pak Aki Goreng menghadap cermin sambil meneliti mukanya yang sudah nyata ada banyak terukir garis-garis kerepot.

"Mmmm...hensem juga aku ni...tapi dah tua. Bersempena awal Muharram ni sampailah masanya untuk aku nak bertaubat. Aku nak buang tabi'at aku yang  suka berbohong dan kelentung orang selama ini." Berkata hatinya dengan penuh insaf.
Lalu dipanggil anak remajanya, Mat Auta, yang juga seorang yang terkenal dikalangan kawan-kawannya sebagai seorang kaki temberang. Bak kata peribahasa; kemana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Setelah berjaya mempengaruhi anaknya supaya bertaubat bersama-samanya, mereka pergi ke sungai di belakang rumah untuk mandi dan mengambil wuduk dan bercadang untuk mengerjakan sembahyang taubat bersama-sama.

"Bila kamu terjun ke dalam sungai nanti kamu boleh berniat ambil wuduk sekali gus...hah...terjunlah!" Arah Pak Aki Goreng kepada anaknya.
"Saya beri penghormatan pada bapak terjun dahulu kerana bapak lagi veteran dan lebih banyak kelentung orang dari saya." Jawab anaknya.

Lalu si ayah pun terjun. Malangnya sebaik mencecah dasar sungai, kakinya telah tersepit pada dahan pokok yang telah tumbang di dasar sungai itu. Pak Aki Goreng bergelut untuk melepaskan kakinya. Setelah masa berlalu agak lama akhirnya dia berjaya melepaskan dirinya dan timbul ke permukaan. 

" Kenapa bapak lama sangat menyelam?" Tanya anaknya.
Naluri kaki kelentungnya tidak dapat dibendung dan secara sepontan menjawab, "Tadi aku jumpa kedai mamak. Aku tengok bagus punya roti canai, aku pi kena sekeping, teh tarik segelas."
"Oooo....patutlah lama. Ha..ini saya terjun pula." Katanya anaknya, Mat Auta, dengan serius.

Sejurus dia terjun kedalam sungai itu, kepalanya telah terhantuk batang pokok yang telah tumbang di dasar sungai itu. Terasa sakit, dia dengan segera naik ke tebing dan didapati dahinya bengkak dan melecet. 
"Kenapa naik cepat sangat dan dahi kamu benjul?" Tanya ayahya kehairanan.
"Bila saya terjun saja, mamak roti canai dah tunggu saya dan terus pukul saya dengan sudip sebab bapak makan dan minum tadi, bapak tak bayar!" Jawab anaknya dengan pantas.
Kedua-duanya menyeringai antara satu sama lain satelah sama-sama terkena dengan tabi'at kegemaran mereka.

"Bapak harap itu kelentung kita yang terakhir dalam hidup kita. Mari kita sembahyang taubat bersama-sama." Kata ayahnya sambil berlalu dengan azam baru.

( Dinukil dan diolah semula dari sebuah 'selingan' dalam kuliah)               
             



SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRIAH 1434

- Tuk Ki 

Thursday 1 November 2012

PANTUN LELAKI : TELUR DI HUJUNG WAKTU

16 Zulhijjah 1433

( I  29 )    ILHAM ILAHI

PANTUN LELAKI: TELUR DI HUJUNG WAKTU





Suka kopi pekat-pekat.
   Pahit kelat menggigil ditelan.
Antara lelaki dan hari Jumaat.
   Berkait rapat mustahil dipisahkan.

Masam mukanya apabila tak dapat.
   Lalu berlari segera memujuk, gembira hati.
Malam dan harinya, Jumaat diberkat.
   Suatu hari raya, penghulu segala hari.

Berkilat sepatu, ketat tak mengapa.
   Sendat sebab saiz tak betul.
Terdapat suatu saat di dalamnya.
   Sangat mustajab do'a dimakbul.

Bermuka-muka sifat yang aib.
   Ditagih belajar jujur menzahir.
Bermula Jumaat hari Khamis maghrib.
   Bertasbih, beristighfar perbanyakkan zikir.

Jika mencermin diri dilihat.
   Kelemahan sendiri pasti akan tahu.
Jika rajin berpuasa hari Jumaat.
   Gabungkan puasa Khamis atau Sabtu.

Perbuatan khurafat menjadi adat.
   Jauhinya jangan menjadi murid.
Disunatkan berniat mandi hari Jumaat.
   Afdhalnya sebelum pergi ke masjid.

Diabai jangan tapi gigih bersolat.
   Risau hatinya jika terabai.
Pakaian yang putih bersolat Jumaat.
   Kalau tiada pakailah yang sesuai.

Sertakan kasih kepada haiwan.
   Kerana perasaan itu disukai Allah.
Pakaian bersih berserta bau-bauan.
   Supaya aman orang sebelah menyebelah.

Tunangan dia sangat sekufu.
   Dan akur menunggu hari dinanti.
Jangan lupa mengerat kuku.
   Dan mencukur bulu ari-ari.

Menanam menyemai sungguh mahir.
   Terkejut terkedu diketit cengkiak.
Mengandam misai yang menganggu bibir.
   Mencabut si bulu, terkepit di ketiak.

Isi Al Quran dihafal bertajwid.
   Susah nak buat jika melanggar cara.
Nabi berpesan supaya awal ke masjid.
   Susah nak buat kerana bekerja.

Menongkah balik hati nak cepat.
   Sia-sia sahaja arusnya deras.
Alangkah baik cuti hari Jumaat.
   Tergesa ke masjid, makan pula bergegas-gegas.

Sekali mencuba diberikan percuma.
   Akal membangkit ketagihan menjerat.
Nabi bersabda kelebihan-kelebihannya.
   Awal ke masjid, rayakan Jumaat.

Tali Ilahi pengikat tauhid.
   Serah kasih iman yang luhur kepadaNya.
Berpagi-pagi berangkat ke masjid.
   Seolah menyembelih korban se ekor unta.

Beramal, berwakaf membina masjid.
   Amalan subur, pahala mengalir berterusan.
Terawal kedua beriktikaf di masjid.
   Korban se ekor lembu, begitulah diibaratkan.

Disebat penzina yang masih teruna.
   Sekujur badan, malu yang hening.
Di saat ketiga seolah dia mengurnia.
   Se ekor dikorban iaitu kambing.

Apa guna berselawat sentiasa?
   Di alam akhirat tak ternilai syfa'at baginda.
Manakala ke empat apa pula?
   Ayam se ekor nilai korbannya Allah terima.

Empunya susu ialah lembu bukannya sapi.
   Kedua-duanya erti sama, tegur si tukang masak.
Tiba di waktu akhir akan dikira sebegini.
   Nilainya memberi hadiah se ekor burung ciak.

Terburu-buru di kala beratib mengejar masa.
   Cepat tetapi lemah dihayati lalu tertidur.
Baru tiba, khatib bangun nak naik tangga.
   Ibarat memberi hadiah hanya sebiji telur.  

Habib ya habib, menggelar kekasih penunduk resah.
   Alamat terkatup kecintaan, tak menjawab mendengar nama Nabi. 
Khatib mula menaiki mimbar untuk berkhutbah.
   Malaikat menutup catitan dalam bab kedatangan ini.

Senyum kekok nak tumbuk rusuk.
   Sifat perlu diperangi daripada menjadi adat.
Sebelum duduk setelah masuk.
   Solat dahulu maghormati masjid dua rakaat.

Sekalipun musibah di tempat yang damai.
   Semat di kalbu, itu satu peringatan.
Walaupun khutbah sedang disampai.
   Solat tahyatul masjid jangan ditinggalkan.

Semut menyumbang belalang punya paha.
 Harapkan tuanku menjolok balasan lumayan.
   Nun di belakang pemungut hutang berderetan.
Rebut peluang memborong sebanyak-banyak pahala.
 Harapkan yang fardhu tak cukup bekalan.
  Namun yang dipandang Allah ialah keikhlasan.

selamat solat Jumaat yang sempurna

Wallahua'lam.

- Tuk Ki