MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Saturday 17 November 2012

MEMAHAMI HIJRAH NABI S.A.W. (Secara ringkas)

3 Muharram 1434

( N  28 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

MEMAHAMI HIJRAH NABI S.A.W. (SECARA RINGKAS)



                                   (gambar hiasan)

Firman Allah Taala dalam surah al Anfal, ayat 74. terjemahannya;

"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia."

KETERANGAN AYAT.

1. Maksud Hijrah di dalam ayat tersebut adalah dijadikan syarat perlindungan dan setiakawan yang umum dan khusus, iaitu hijrah dari negara syirik kepada negara Islam bagi mereka yang berkuasa melakukan perpindahan itu. Adapun orang-orang yang mampu berhijrah tetapi tidak berhijrah kerana hendak memelihara kepentingan atau hubungan kerabat  dengan kaum musyrikin, maka tiada hubungan perlindungan dan setiakawan antara mereka dengan masyarakat Islam. - ( Fi Zilalil Quran: Yusuf Zaki:200)

Orang-orang mukmin pada zaman Rasulullah S.A.W. ada 4 kategori:

a) Al Muhajirin, iaitu orang-orang yang beriman dan berhijrah ke Madinah sebelum peperangan Badar sehingga Perjanjian Hudaibiah (dengan Musyrikin Mekah)* serta berjuang dengan harta dan jiwa di jalan Allah S.W.T.

* Contoh perjanjian dengan pihak bukan Islam yang bijak dan berpandangan jauh.

b) Al Ansar, iaitu orang-orang Madinah yang memberi tempat tinggal kepada orang-orang Muhajirin dan membantu mereka. Mereka adalah sama darjat dengan Muhajirin, merekla tolong menolong sesama mereka, bahkan mereka mempusakai harta jika tiada ahli waris.

c) Orang-orang yang beriman, tetapi mereka tidak berhijrah ke Madinah tetapi tinggal di Mekah. Mereka tidak masuk ke wilayah kaum Muslimin di Madinah kerana terputus hubungan antara mereka. Mereka tinggal di darul harbi/syirik. Kaum Muslimin a) dan b) tinggal di Madinah. 

d) Orang-orang beriman yang berhijrah dan berjuang tetapi terlambat, iaitu sesudah hijrah yang pertama. Mereka termasuk golongan Muhajirin dan Ansar juga, tetapi mereka kurang sedikit dan kelebihan adalah bagi orang-orang berhijrah terdahulu. (Tafsir Mahmud Yunus : 2008 : 259-60)

2) Bulan Muharram ialah bulan pertama di dalam kalendar Hijriah. Tahun berlaku peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W. ditandakan sebagai permulaan kiraan kalendar Islam. Tetapi peristiwa Hijrah Nabi S.A.W. bukan berlaku di dalam bulan Muharram. Pengkaji-pengkaji sejarah Islam yang masyhur mengatakan Hijrah berlaku pada bulan Safar.

3) Sambutan Maal Hijrah tidak bermakna jika kita sekadar mengingati peristiwa hijrah Nabi S.A.W. semata-mata tanpa mengetahui tujuan Nabi S.A.W. berhijrah. Hijrah Rasulullah S.A.W. adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam yang mendaulatkan hukum hakam Allah S.W.T.dan sekali gus menjadi model sebuah negara Islam yang berdaulat kepada generasi umat Islam selepas baginda. 

4) Umat Islam hari ini, kebanyakannya, hanya sekadar mengingati dan menyambut Maal Hijrah sebagai hari cuti dan dihidangkan dengan program-program yang lagha yang bersifat keduniaan. Kalendar Islam begitu asing kepada kebanyakan umat Islam sehingga tidak menyedari  bahawa perkara-perkara yang melibatkan bilangan hari, bulan dan tahun  di dalam hal-hal agama merujuk kepada takwim Islam, bukan kalendar masihi.

5) Umat Islam hendaklah menjadikan peristiwa Hijrah ini dengan penuh kegembiraan dan memikul amanah sebagai seorang Muslim dan sebagai satu aspirasi untuk merealisasikan pelaksanaan hukum Allah di muka bumi ini, Insya Allah. 

Wallahua'lam.

(sumber: kuliah)

- Tuk Ki
(Dari talib kepada mukallaf)




                                                                                                                                 

No comments:

Post a Comment