MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Friday 27 December 2013

JUMAAT DAN FADHILAT SURAH AL-KAHFI - ANEKDOT TAKWA (18)

24 SAFAR 1435 H.  (Jumaat)

( N  59 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (18):

JUMAAT DAN FADHILAT SURAH AL-KAHFI


Surah Yasiin ialah surah yang sangat dibaca di dalam masyarakat Melayu khasnya pada malam dan hari Jumaat. Alhamdulillah. Walaubagaimanapun, jangan kita abaikan surah-surah yang lain, umpamanya surah Al-Kahfi. Berikut ialah fadhilat-fadhilat surah tersebut terutamanya pada hari Jumaat:-

1. Daripada Umar dia berkata: Nabi s.a.w. telah bersabda, "Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkan antara dua Jamaat."  - Riwayat Ibnu Katsir.

2. Daripada Abi Said Al-Khudri dia berkata: "Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dihamparkan (disinarkan) untuknya daripada cahaya antara dia dan Bait al Atiq."  - Riwayat Ibnu Katsir.

3. Daripada Mandzur ibnu Zaid, ibnu Khalid al-Juhani dari ibnu al-Hussein dari bapanya daripada Ali Marfu'an:
"Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari jumaat, maka dia dihindari daripada segala fitnah selama lapan hari, dan sekiranya al-Dajjal muncul,maka terhindar dia daripadanya."  - Riwayat Ibnu Katsir.

4. Imam Ahmad berkata: "Daripada Abi Darda' daripada Nabi s.a.w. , baginda telah bersabda : Sesiapa menghafaz sepuluh ayat daripada permulaan surah Al-Kahfi , maka terhindarlah daripada al-Dajjal." 
- Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, Al-Nasa'i, Al-Tarmizi.

5. Imam Ahmad berkata: "Daripada Abi al-Darda', Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa membaca sepuluh ayat akhir daripada surah Al-Kahfi, maka terhindarlah daripada fitnah al-Dajjal."  -  Riwayat Muslim dan Nasa'i.

6. Daripada Muaz ibnu Anas: Nabi Muhammad s.a.w.bersabda: "Sesiapa membaca awal dari surah Al-Kahfi, maka jadilah baginya cahaya daripada kepala hingga kakinya; dan sesiapa membaca keseluruhannya, maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi."   - Riwayat Ahmad. 

Dengan anjuran Nabi s.a.w. itu kita mulakan amalan surah Al-Kahfi dan paling penting ialah memahami terjemahan surah tersebut. Selamat beramal.

Wallahu a'lam.

-Tuk Ki Jemaah

Monday 23 December 2013

HADIS : KEADAAN YANG ENGKAR ATAU KAFIR DI ALAM BARZAKH

20 SAFAR 1435 H

( N 58 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS : KEADAAN YANG ENGKAR ATAU KAFIR DI ALAM BARZAKH.
                                          hiasan                 
Dinukilkan pula sebahagian lagi kadungan hadis, sebagai sambungan daripada tulisan yang lalu (Hadis: Mukmin di alam barzakh { klik di sini }. Ia menerangkan hal keadaan orang-orang kafir (kufur) atau orang-orang yang zahirnya Muslim tetapi engkar dengan perintah Allah S.W.T.

Maksud hadis:-

"Sabdanya: Dan hamba yang kafir (didalam satu riwayat fajir) apabila sudah hampir terputus dari dunia dan menuju ke akhirat, malaikat turun kepadanya dari langit (sangat kejam) berwajah hitam. Mereka membawa kain kafan berbulu (dari neraka) lalu mereka duduk daripadanya seluas pandangan mata, kemudian datang malaikat maut sehingga duduk di sisi kepalanya lalu berkata: Wahai diri yang buruk! keluarlah kepada kemarahan dan kemurkaan Allah.

Sabdanya: Maka rohnya ditarik seperti menariki besi (yang banyak duri) dari bulu yang basah (lalu terputus urat-urat dan sarafnya). (Dia dilaknat oleh seluruh malaikat di antara langit dan bumi, dan seluruh malaikat yang ada di langit menutup pintu-pintu langit. Tidak ada satu pun daripada penjaga pintu langit melainkan mereka berdoa kepada Allah agar rohnya tidak dinaikkan dari sisi mereka).
Apabila rohnya telah diambil tidak dibiarkan ditangannya walaupun sakedip mata sehingga ia diletakkan pada kain kafan berbulu itu, dan keluar daripadanya bau bangkai tersangat busuk yang tidak pernah didapati seumpamanya di bumi. Kemudian mereka membawanya naik dan mereka tidak melalui sekumpulan malaikat melainkan mereka bertanya: Roh siapakah yang busuk ini? Mereka menjawab: Fulan bin Fulan disebutkan seburuk-buruk namanya yang mereka namakan dengannya di dunia, sehingga mereka sampai  ke langit dunia lalu mereka meminta dibukakan pintu, tetapi tidak dibukakan pintu baginya. 
Rasulullah s.a.w. membaca firman Allah: "Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga sehingga unta masuk di lubang jarum." (Al-A'raf: 40).

Maka Allah s.w.t berfirman: Tulislah kitab hambaKu di Sijjin, di bumi yang paling bawah, (kemudian diseru: Kembalikanlah hambaKu ke bumi, maka sesungguhnya Aku telah menciptakan mereka daripadanya , Aku mengembalikan kepadanya dan daripadanya Aku keluarkan mereka sekali lagi). Lalu rohnya dicampakkan (dari langit sehingga jatuh pada jasadnya).





                                                                        hiasan

Kemudian Baginda membaca: "Dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah, maka seolah-olah ia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan)." (Al-Hajj: 31).
Lalu rohnya kembali ke jasadnya, (Sabdanya: Sesungguhnya ia mendengar bunyi kasut sahabat-sahabatnya apabila mereka pergi meninggalkannya).

Kemudian didatangi dua malaikat (yang sungguh menakutkan lalu membentaknya) dan mendudukkannya kemudian keduanya bertanya kepadanya: Siapa Tuhan kamu?
Jawabnya: Ahh..ahh..aku tidak tahu.
Kedua-duanya bertanya: Apa agama kamu?
Jawabnya: Ahh..ahh..aku tidak tahu.
Kedua-duanya bertanya: Siapakah lelaki ini yang diutuskan dikalangan kamu? Maka ia tidak mengetahui namanya, lalu diberitahu: Muhammad!
Maka ia menjawab: Ahh..ahh..aku tidak tahu, aku pernah mendengar manusia mengatakan demikian!
Sabdanya: Lalu diberitahu: Engkau tidak tahu dan engkau tidak pernah membaca. Maka menyeru penyeru di langit: HambaKu berdusta, maka bentangkanlah untuknya tempat tidur dari neraka, beri pakaian dari neraka, bukakan baginya pintu dari neraka, lalu didatangi kepanasan neraka dan racun-racunnya, dan disempitkan kuburnya sehingga berselisih tulang-tulangnya.

Kemudian didatangi (didalam satu riwayat: dijelmakan baginya) seorang lelaki berwajah hodoh, berpakaian buruk dan berbau busuk, lalu berkata: Bergembiralah dengan yang memburukkanmu, inilah hari yang telah dijanjikan kepadamu, lalu ia bertanya kepadanya: (Dan Allah juga menggembirakanmu dengan keburukan) siapakah engkau? Engkau datang dengan wajah yang hodoh membawa keburukan.
Lalu jawabnya: Aku adala amal burukmu (maka demi Allah aku tidak mengenalimu melainkan engkau berlambat-lambat menta'ati Allah dan bersegera melakukan maksiat kepada Allah, maka membalasmu dengan keburukan).
Kemudian Allah mewakilkan baginya malaikat buta, bisu dan tuli dengan memegang penukul besi! Sekiranya ia dipukulkan pada gunung nescaya gunung itu hancur menjadi debu. Lalu dipukulnya dengan satu pukulan sehingga hancur menjadi debu. Kemudian Allah mengembalikannya seperti sediakala, lalu dipukulnya sekali lagi, maka ia berteriak yang didengar seluruh makhluk kecuali jin dan manusia.
Kemudian dibukakan baginya pintu ke neraka dan dibentangkan tempat tidur dari neraka.
Lalu berkata ia: Wahai Tuhan! Janganlah Engkau mendatangkan hari kiamat." 

- Riwayat Abu Daud, Al-Hakim, At-Tayalusi dan Ahmad, dan Al-Ajuri.

PENGAJARAN.

 1. Perbezaan proses pengambilan roh di antara orang mukmin dan orang yang derhaka atau kafir yang begitu ketara dan berlawanan. Orang mukmin keadaannya begitu indah dan dimuliakan manakala hamba yang engkar dilayani dengan keburukan dan kejijikan.
Antara lain, yang mukmin kuburnya adalah taman syurga, diluaskan, diterangi dan bergembira dengan amal-amal solehnya. Manakala, antara lain, yang menderhaka mendapati kuburnya adalah lubang neraka dan terseksa dan dihimpit dalam gelap gelita sambil mengharapkan tidak akan berlaku kiamat kerana ia tahu akan seksa neraka yang menantinya selepas kiamat. Manakala yang mukmin tidak sabar-sabar menanti hari kiamat kerana melihat kenikmatan syurga yang akan dihuninya. 

2. Kitab orang-orang mukmin berada 'Illiyin di langit yang ke tujuh, manakala kitab orang-orang munafik/kafir di Sijjin, iaitu di bumi yang paling bawah.

3. Adalah wajib mempercayai azab dan fitnah kubur. Terdapat isyarat-isyarat yang menyatakan keadaan alam ghaib di dalam Quran dan hadis-hadis mutawatir. Orang yang menafikan azab kubur dibimbangi telah menafikan ajaran Rasulullah s.a.w. Na'uzubillah min zalik. 

Wallahu a'lam.

(Sumber: Kuliah berdasarkan kitab Qisosul Ghaib fi Sohihil Hadis Nabawi.)

- Tuk Ki Jemaah
 (Daripada talib kepada mukallaf)

*** Sila baca juga MUKMIN DI ALAM BARZAKH klik di sini.
     

Sunday 1 December 2013

DISEBALIK TAHMID (ALHAMDULILLAH) - ANEKDOT TAKWA (17)

28 MUHARAM 1435 H 

( N  57 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA


ANEKDOT TAKWA (17):

DISEBALIK TAHMID (ALHAMDULILLAH).



Umumnya adalah diketahui bahawa erti ALHAMDULILLAH ialah ' Segala puji bagi Allah'. Disebalik ucapan zikir dan ucapan tanda kesyukuran ini tersirat perkara-perkara penting seperti berikut:-

Pujian terbahagi kepada empat :-

1. Pujian Allah kepada Allah (Qadim @ Sedia ada kepadaQadim) sejak azali.

2. Pujian Allah kepada makhluk ( Qadim kepada harith @ hamba).
     Seperti firman Allah bermaksud: 

"Dan kami kurniakan kepada Daud, Sulaiman, dia adalah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat ta'at (kepada Tuhannya).' 

- Surah Saad : 30 

3. Pujian makhluk (selain Allah) kepada Allah ( makhluk kepada Khaliq @ yang Mengadakan).

4. Pujian makhluk kepada makhluk ( harith kepada harith).

Sebenarnya, semua pujian dan sanjungan hendaklah dikembalikan kepada Allah Taala kerana segala pujian dan sanjungan itu adalah hak milik Allah jua. DIAlah pemilik sekelian alam ini.

Oleh itu hamba yang ingin dipuji dan disanjung oleh makhluk telah mensekutukan Allah dan ditambah dengan sifat riaknya. Apa yang dilakukannya bukan kerana Allah. Bagi hamba yang memiliki sebarang anugerah Allah hendaklah menggunakannya mengikut batas-batas agama agar diredhai Allah.

Wallahu a'lam.


- Tuk Ki Jemaah