( N 48 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA
HADIS : MUKMIN DI ALAM BARZAKH
Bagaimana keadaan seorang mukmin (orang beriman yang ta'at dan beramal dengan perintah Allah dan Rasulnya serta melakukan sunnah-sunnahnya sebaik mungkin) melalui sa'at sakaratul maut dan perjalanan di alam barzakh (kubur)?
Di dalam hadis dibawah, dinukilkan sebahagian daripada maksud hadis mengenai keadaan tersebut.
"Dari Al-Barra' bin 'Azib katanya: Kami keluar bersama-sama Nabi s.a.w. pada jenazah seorang lelaki Ansar, kami sampai ke kubur sebelum dimasukkan ke dalam lahad, maka Rasulullah s.a.w. duduk menghadap kiblat dan kami duduk di sekelilingnya, seakan-akan ada burung di atas kepala kami (*), baginda memegang sebatang kayu lalu dipukulkannya ke bumi dengan pukulan yang ringan, ia memandang ke langit dan memandang ke bumi, ia mengangkat dan menurunkan pandangannya sebanyak tiga kali, lalu bersabda : Berlindunglah kamu kepada Allah dari seksa kubur, dua atau tiga kali, kemudian berdoa : Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari azab kubur (sebanyak tiga kali).
(*) - Diam tekun mendengar pengajaran baginda s.a.w.
Kemudian bersabda: Sesungguhnya hamba yang mukmin apabila sudah hampir terputus dari dunia dan menuju ke akhirat, malaikat turun kepadanya dari langit, berwajah putih bersih, wajah mereka bersinar bagaikan matahari, mereka membawa kain kafan dan wangian dari syurga, sehingga mereka duduk daripadanya seluas pandangan mata, kemudian datang malaikat maut sehingga duduk di sisi kepalanya lalu berkata: Wahai diri yang baik (di dalam satu riwayat: diri yang tenang tenteram) keluarlah kepada keampunan dan keredhaan Allah.
Sabdanya: Maka keluarlah ia mengalir seperti mengalirnya air dari bekas minuman lalu diambilnya ( di dalam satu riwayat : sehingga apabila rohnya keluar ia didoakan oleh seluruh malaikat antara langit dan bumi, dan seluruh malaikat di langit, dan dibukakan baginya pintu-pintu langit, tidak ada satupun dari penjaga pintu langit melainkan mereka berdoa kepada Allah agar rohnya dinaikkan dari sisi mereka), apabila rohn nya telah diambil tidak dibiarkan di tangannya walaupun sekedip mata sehingga ia diletakkan pada kain kafan dan wangian itu, yang demikian berdasarkan firman Allah: "Lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya)." (Al-An'nam: 61), dan keluar daripadanya wangian yang tidak pernah didapati seumpamanya di bumi.
Sabdanya: Kemudian mereka membawanya naik maka mereka tidak melalui sekumpulan malaikat melainkan mereka bertanya: Roh siapakah yang harum ini? Mereka menjawab: Fulan bin Fulan disebutkan dengan sebaik-baik namanya yang mereka namakan dengannya di dunia, sehingga mereka sampai ke langit dunia lalu mereka minta dibukakan pintu, lalu dibukakan pintu baginya, maka setiap panghuni langit mengiringinya ke langit berikutnya, hingga sampai ke langit yang ke tujuh, lalu Allah s.w.t. berfirman: Tulislah hambaKu di 'Illiyin, "Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa ia 'ILLIYIN itu? Ialah (tempat simpanan) kitab catitan yang jelas nyata. Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya." (Al-Mutaffifin: 19-21), maka dituliskan kitabnya di 'Illiyin kemudian diseru: Kembalikanlah ia ke bumi, maka sesungguhnya Aku telah menciptakan mereka daripadanya, Aku mengembalikan mereka kepadanya dan daripadanya Aku keluarkan mereka sekali lagi.
Sabdanya: Maka dikembalikan ke bumi dan rohnya dikembalikan kepada jasadnya, (Katanya: Sesungguhnya ia mendengar bunyi kasut sahabat-sahabatnya apa bila mereka pergi meninggalkannya), lalu didatangi dua malaikat (yang sungguh menakutkan lalu membentaknya) dan mendudukkannya kemudian keduanya bertanya kepadanya: Siapa Tuhanmu? Jawabnya: Allah Tuhanku. Keduanya bertanya: Apa agamamu? Jawabnya: Islam agamaku. Keduanya bertanya: Siapakah lelaki ini yang diutuskan di kalanga kamu?(**) Jawabnya ia Rasulullah s.a.w. Keduanya bertanya lagi: Apa pengetahuanmu? Jawabnya: Aku membaca kitab Allah lalu beriman dan mempercayaiNya, iaitu akhir fitnah yang dipaparkan ke atas orang mukmin, maka yang demikian ketika Allah s.w.t. berfirman: "Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia." (Ibrahim: 27) lalu berkata: Allah Tuhanku, Islam agamaku dan Muhammad s.a.w. nabiku, maka menyeru panyeru di langit: HambaKu benar, maka bentangkanlah untuknya tempat tidur dari syurga, beri pakaian dari syurga, bukakan baginya pintu ke syurga. Sabdanya: Lalu didatangi wangian syurga dan diluaskan kuburnya seluas pandangan mata.
(**) - seolah-olah baginda s.a.w. berada di situ sedangkan umat terkemudian tidak mengenali baginda tetapi seorang mukmin akan mengenali baginda dengan kehendakNya.
Sabdanya: Dan didatangi (di dalam satu riwayat: dijelmakan baginya) seorang lelaki berwajah indah, berpakaian cantik dan berbau harum, lalu berkata: Bergembiralah dengan yang mengembirakanmu (bergembiralah dengan keredhaan Allah dan syurga-syurga yang padanya nikmt yang berkekalan), inilah hari yang telah dijanjikan kepadamu, lalu ia bertanya kepadanya: (Dan Allah juga mengembirakanmu dengan kebaikan) siapakah engkau? Engkau datang wajah yang indah membawa kebaikan, lalu jawabnya: Aku adalah amal solehmu (maka demi Allah aku tidak mengenalimu melainkan engkau bersegera mentaati Allah dan menjauhkan diri dari melakukan maksiat kepada Allah, maka membalasmu dengan kebaikan), kemudian dibukakan baginya sebuah pintu dari syurga dan sebuah pintu dari neraka, lalu diberitahu: Ini tempatmu sekiranya engkau menderhaka kepada Allah, Allah telah menukarkan dengan yang ini, apabila melihat apa yang ada di dalam syurga ia berkata: Wahai Tuhan! segerakanlah hari kiamat agar aku dapat kembali kepada ahli keluarga dan hartaku (***), (lalu diberitahu kepadanya: Diamlah)."
- Riwayat Abu Daud, Al-Hakim, At-Tayalusi dan Ahmad, dan Al-Ajuri.
(***) - Ia memohon kepada Allah Ta'ala supaya mempercepatkan hari kiamat (sebab bila berlaku kiamat ia akan dibangkitkan dari alam kubur ke alam akhirat dan dimasukkan ke dalam syurga yang dijanjikan).
PENGAJARAN
1. Anjuran supaya orang yang hadir di masa pengkebumian supaya duduk.
2. Rasulullah memerintahkan umatnya perbanyakkan berdoa memohon perlindungan azab kubur.
3. Anjuran supaya memberi nasihat dan peringatan di sisi kubur kepada para hadirin kerana jiwa hadirin dekat kepada Allah ketika itu.
3. Meminta ampunan, belas-kasihan dan kerahmatan Allah Ta'ala bagi mayat setelah dikebumikan.
4. Penjelasan mengenai proses dari mula pengambilan roh dan perjalanan roh di alam barzakh dengan baik dan mengembirakan bagi orang-orang mukmin yang soleh berbanding dengan roh orang-orang yang kufur dan derhaka (diterangkan di dalam sebahagian lagi hadis ini - insya Allah, akan dinukilkan kelak).
Wallahua'lam.
(Sumber: Kuliah berdasarkan kitab 'Qisosul Ghaib fi Sohihul Hadisil Nabawi')
- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)
*** sila juga baca ...YANG ENGKAR DI ALAM BARZAKH klik di sini.
No comments:
Post a Comment