MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Saturday 1 June 2013

HADIS : KITA ADALAH PENGEMBARA

22 REJAB 1434 H

( N  46 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS : KITA ADALAH PENGEMBARA.



Daripada Ibni 'Umar r.a katanya (bermaksud) : Rasulullah S.A.W memegang bahuku lalu bersabda, "Jadikan dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau atau pengembara."

Ibni 'Umar ia berkata (bermaksud): "Jika engkau berada pada waktu petang, janganlah egkau menunggu waktu pagi. Jika engkau berada pada waktu pagi, janganlah engkau menunggu waktu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati." - ( Riwayat al-Bukhari).

INTIPATI HADIS:

1. Seseorang hamba diibaratkan seorang yang sedang mengembara menuju Allah S.W.T. Janganlan terlampau cenderung kepada dunia dan jangan bermatlamat dan menjadikannya sebagai tempat menetap dan bercita-cita kekal lama padanya. Hendaklah menganggap diri ini seperti orang yang sedang bermusafir yang membawa bekalan yang diperlukan. Sentiasa menyedari tempat singgahan adalah sementara sahaja. 

2. Berzuhud di dunia dan tidak boleh panjang angan-angan. Ia dapat dilaksanakan dengan meyakini bahawa dunia akan binasa dan ditinggalkan dan meyakini bahawa akhirat yang kekal dan berterusan akan pasti tiba.

3. Seorang Muslim hendaklah bersegera melakukan amalan soleh dengan mengingati bahawa kematian yang menamatkan segala kelazatan tetap akan dilalui oleh setiap orang tetapi tidak diketahui bila waktunya.

4. Banyak mengingati mati dapat menghindarkan seorang itu daripada melakukan maksiat, melembutkan hati yang keras, menghilangkan sifat rakus dengan keseronokan dunia serta mendorong kesungguhan  dan mujahadah untuk beramal untuk akhirat.

5. Seseorang yang tidak mengambil peluang melakukan ketaatan dan amal kebajikan ketika hidupnya dan sihatnya, akan menyesal di akhirat.

Firman Allah S.W.T terjemahannya:

99. (Demikianlah orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata "Ya Tuhanku, kembalikan aku (ke dunia)." **

100. Agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya. Dan dihadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan. ***
- Surah al-Mukminun: 99 ~ 100

** Maksudnya: Orang-orang kafir (orang yang engkar) diwaktu menghadapi sakaratul maut, meminta diperpanjangkan umur mereka agar mereka dapat beriman dan berbuat amal soleh.

*** Maksudnya: Mereka sedang menghadapi kehidupan di dalam kubur, yang membatasi antara dunia dan akhirat.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki
 (Daripada talib kepada mukallaf)

     

   

No comments:

Post a Comment