MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Saturday 24 January 2015

MANA YANG LEBIH UTAMA? - ANEKDOT TAKWA (25)

3 RABIULAKHIR 1436 H

( N  79 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA 


ANEKDOT TAKWA (25) : 

MANA YANG LEBIH UTAMA?


Dengan jelas Allah S.W.T memberi ancaman kepada hambaNya yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat. Kadang-kadang sehingga mengabaikan dan memandang ringan hukum-hukum Allah demi untuk mencapai matlamat hidup di dunia ini.  

Firman Allah S.W.T di dalam ayat 18 & 19 : Surah Al-Isra' :-

18. Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka Jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.

19. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalas dengan baik. 

Benarlah firman Allah Yang Maha Agung.

Allah S.W.T dengan sifat Ar-RahmanNya akan memperkenankan usaha-usaha hambaNya walaupun ia seorang yang derhaka atau kafir. Jangan merasa pelik jika melihat kejayaan orang-orang yang melanggar perintahNya.  

Tetapi dengan sifat Ar-RahimNya, ia adalah khas bagi orang-orang mukmin di akhirat kelak.
Jika akhirat diutamakan, berusahalah bersungguh-sungguh dimulai dengan menambah ilmu yang lengkap dan mengamalkannya dengan ikhlas disamping hidup mengikut kehendak Islam.

Wallahu a'lam.

- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)   

Sunday 4 January 2015

HATI-HATI DENGAN HATI - PANTUN

13 Rabiul awal 1436 H

( I 41 )   ILHAM ILAHI


PANTUN : 

HATI-HATI DENGAN HATI.


Tatap wajahmu, fakir kata-kataku.
   Sejuk di mata menganalisa di benak.
Dakap hatimu, tafsir hatimu.
   Untuk berbicara hanya sejenak.

Alangkah pilu dengan tragedi.
   Bak batu pecahkan kaca.
Matangkah hatimu dengan naluri.
    Gerak hatimu berdasarkan apa?

Alas percakapan dengan kiasan.
   Kawan sedar perbaiki diri.
Awas dengan bisikan-bisikan.
   Akan mencemar naluri hati.

Hembuskan layar hatiku ini.
   Meluncur aman ke persada iman.
Jangan biar hatimu mati.
   Berkubur berteman bersama kejahilan.

Kini mengalami banjir melimpahi.
   Bencana biasan hantaran Tuhan.
Hati yang mati hanyir dan keji.
   Umpama takungan air limbahan.

Kali ini menyusuri wadi.
   Jalan pintasan menjimati masa.
Hati yang mati membenci mati.
   Mengharapkan berterusan menikmati dunia.

Kami berbeza tetapi ramai.
   Yang banyak tenaga, boleh buat banyak kerja.
Hati yang leka juga lalai.
   Yang banyak ketawa, yang terlebih banyak jenaka.

Hati-hati mengusik bini.
   Kerana dia penggeli oangnya.
Hati yang mati mendabik diri.
   Berbangga hanya ilmu dunia.

Ulama dicerca dan dicaci.
   Mengekang lidah adalah adabnya.
Serba tak kena di dalam hati.
   Memandang rendah ilmu agama.

Malas kaki menuju ke kuliah.
   Terpaksa pergi kerana mustahak.
Keras hati dengan nafsu amarah.
   Kerana hati kurang berakhlak.

Beri balik wang pecah amanah.
   Sekiranya mahu menghindar tindakan mahkamah.
Hati baik, penyayang dan pemurah.
   Sayangnya terkeluar amalan syariah.

Kerbau di tambatan malang sekaji.
   Sifatnya buas, tuannya cemas.
Kalau syaitan bersarang di hati.
   Solatnya malas, puasanya culas.

Mizan neraca mengadili nanti.
   Kemenangan di akhirat kerana ikhlasnya.
Tompokan dosa mengotori hati.
   Dengan bertaubat bersihlah ia.  

Dengan berziarah menambahkan lagi.
   Mengesahkan kebenaran di hadapan mata.
Dengan zikrullah menghidupkan hati.
   Mulakan perbuatan dengan nama Allah azawajalla.

Berseri wajah si teman Nabi.
   Cerita hal syurga dengan sifat-sifatnya.
Mengenali Allah menghidupkan hati.
   Sehingga membara mencintai zatNya.

Lelabah berperanan dalam Hijrah.
   Memadai merangkak membina sarangnya.
Kenalilah, dalamilah Rasulullah.
   Mempunyai hati berakhlak mulia.

Mengadap guru bertemu mata.
   Cikgu Rauf semua menghormati.
Pelengkap ilmu di dalam dada.
   Ilmu Tasawuf penyempurna hati.

Bumi kita telah bibahagikan.
 Dua hemisfera sudah dikenali.
  Bumi dihuni manusia pelbagai.
   Amanat manusia untuk menjaganya.
Sekali-sekala musibah diturunkan.
 Memaksa manusia menilik kembali.
  Hati yang mati dek lupa dan lalai.
   Bertaubat segera, untuk hati didupkan semula.


- Tuk Ki Jemaah.  


Saturday 3 January 2015

AL-QURAN: KISAH BANJIR TERLEBIH DAHSYAT - ANEKDOT TAKWA (24)

12 RABIUL AWAL 1436 H

( N 78 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

ANEKDOT TAKWA ( 24 )

AL-QURAN: KISAH BANJIR TERLEBIH DAHSYAT.

Kisah Nabi Nuh a.s telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.aw ketika menghadapi kedegilan dan kesombongan orang-orang musyrikin Mekah.

 Pembinaan sebuah bahtera atas perintah Allah Ta'ala dan peristiwa dahsyat banjir besar seperti lautan keatas kaum Nabi Nuh a.s diceritakan didalam al-Quran dari ayat 37 hingga 49 Surah Hud. 

Di antara ayat-ayat itu ialah ayat 42,43 dan 44, terjemahannya:-

42. Dan bahtera itu berlayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya (bernama Qan'an), sedang anak itu berada di tempat yang jauh terpencil, "Hai anakku, naiklah (ke kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir."

43. Anaknya menjawab, "Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah!" Nuh berkata, "Tidak ada yang melindungi hari ini dari azab Allah selain Allah Yang Maha Penyayang." Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya; maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan.

44. Dan difirmankan, "Hai bumi telanlah airmu, dan hai langit (hujan) berhentilah," dan airpun disurutkan, perintah pun diselesaikan ( janji Allah dengan membinasakan orang-orang yang engkar) dan bahtera itupun berlabuh diatas bukit Judi, dikatakan, "Binasalah orang-orang yang zalim."

 Ini gambaran dan peringatan dari Allah Taala tentang kuasaNya kepada hambanya yang sering berdegil, sombong, engkar dan lalai terhadap suruhan-suruhanNya dan tegahan-tegahanNya. Banjir besar yang melanda negara ini sebenarnya belum cukup besar kalau dibandingkan dengan banjir  di zaman Nabi Nuh a.s. Ini adalah masa untuk muhasabah diri masing-masing.

Wallahu a'lam.


Sumber: kuliah

- Tuk Ki Jemaah
(daripada talib kepada mukallaf)