MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Wednesday 30 May 2012

PUISI / SAJAK : IMPAK PEMERGIAN MU

( I  18s )   ILHAM ILAHI


PUISI / SAJAK 

IMPAK PEMERGIANMU



Dalam kesenyapan suara yang membisu
hati ini memendam rahsia kesunyian.
Menyapa diri di atas pemergian dan ketiadaanmu.
Membikin hati meronta lembut
memastikan kesinambungan terus terjalin
dengan limpahan gerimis hadiah dan santapan.
Agar rohmu dan juga roh-roh mereka
diampuni dan dirahmati
segar di alam barzakh.
Buat arwah sekelian dihulurkan;
ini amalan kami
ini ibadah kami
ini do'a kami.
Agar mengisi kelompangan dengan izinNYA.



Impak pemergianmu.
Menerbitkan cahaya di celah-celah 
hidup yang zulumat.
Tiba-tiba muncul siraman renyai-renyai hidayah
yang menyegarkan kembali tumbuh-tumbuhan
yang terbantut dek racuc-racun dunia.
Menggilap ratna terselaput 
daki-daki kejahilan
dan kedegilan.
Tatkala diperangkap hijab-hijab di setiap penjuru,
hanya dengan secebis taufikMU,
bersandar musabab impak pemergianmu,
seolah-olah dayuan pujukmu,
lantas kami intip apa yang ada di sebelah sana.
Masya Allah!
Terang benderang 
kehijauan melata mencecah infiniti!
Untuk diterokai.

Impak pemergianmu.
Hakikatnya ia suatu kehilangan.
Bahkan ia juga gandaan keinsafan.
Hakikatnya ia suatu pengorbanan.
Bahkan ia juga gandaan kurniaan.
Hakikatnya ia suatu kematian.
Bahkan ia juga berkat kehidupan
buat aku dan kami yang pasti menyusulimu.
Impak pemergianmu,
laksana ledakan impak sebutir meteor 
yang membawa kesejahteraan.

(Segar dalam kenangan, puteri remajaku, Syafiqah; dan juga asal usulmu yang telah kembali kepadaNYA. Ya Allah, sertakan roh mereka bersama-sama para solihin. Kami hadiahkan Al Fatihah.)


- Tuk Ki   
    

Sunday 20 May 2012

PANTUN NAKAL-NAKAL SI BUDAK SEKOLAH MASA LALU ( Bah.1 ) empat kerat .

( I  17 )      ILHAM ILAHI



PANTUN NAKAL-NAKAL SI BUDAK SEKOLAH masa lalu (1) ( empat kerat )

Setelah berkelah pagi ke petang dan memancing ikan.
   Memulas-mulas sakit perut hingga termuntah.
Rumah sekolah tinggi bertiang dan berdinding papan.
   Kelas istimewa di bawah sekolah berlantai tanah.

Tinggi nadanya menusuk telinga bagai nak pecah.
   Melalak melolong hingga mukanya terasa kebas.
Hari pertama masuk ke sekolah mencatat sejarah.
   Anak meronta, bapa berpeluh, gurunya rimas.

Dahulu disebat kini pula hanya dinasihati.
   Lama dimanja, ditegur sedikit hati tak senang.
Waktu rehat untuk makan dinanti-nanti.
   Dua puluh sen dahulu macam beringgit-ringgit duit sekarang.

Cuit mencuit sembang bersembang lama-lama karib.
   Teman gemar bukan mengutuk cuma usik-usik.
Duit tak bawa apalah malang aku punya nasib.
   Telan air liur tengok sedapnya kuih-muih makcik.

Mendengkur di tengah hari sedang mimpi makan dadih.
   Digeletek sahabat lalu sedar terkebil-kebil. 
Menjulur jejari nak ambil seketul kuih.
   Makcik bersilat aku terus tak jadi nak ambil.

Anting-anting, barang kemas, dipakai sebelah.
   Agak tersipu bila dituduh bak lanun nak bergaduh.
Terkencing dalam kelas cik gu bertanya marah-marah.
   Tidak mengapa cik gu, yang basah itu saya punya peluh.




Mencari puntianak adalah keutamaan pemburu hantu.
   Takut polong, sejenis hantu, ikut ke rumah.
Hobi budak-budak sekolah di zaman itu.
   Kasut gantung di bahu, berkaki ayam jika balik dari sekolah.

Ke gerai makanan makan kerang dengan pencicah.
   Terbahak ketawa mengenang jenaka di dalam kelas.
Ke sungai dengan kawan-kawan di belakang sekolah.
   Berlagak jaguh renang, tercungap-cungap cemas tak lemas.

Mari pergi makan-makan dan ucapkan " Yam seng! " *
   Tak boleh ikut, itu haram saya tak mahu.
Suatu hari aku bergusti dengan si budak samseng.
   Dia cabut lari bila jatuh terpenyek atas tahi ayam candu.**

(* Macam ucapan 'cheers!' ketika meminum arak)
(** sejenis tahi ayam paling busuk dan melekat-lekat)

Merangkul emas di kategori umur tahun bawah-bawah.
   Terkumpul satu lagi pingat dijangka sudah tergenggam.
Mencangkul batas di aktiviti kebun sekolah.
   Tercangkul buku lali dunia jadi gelap hampir nak pitam.

Bila ketuk-ketuk berbunyi cepat sikit pakai baju.
   Masih bersedap-sedap nanti solat engkau terleka.
Ketawa sorok-sorok bila sahabat dicubit guru.
   Menangis senyap-senyap bila diri sendiri yang kena pula.

Tangkas si katak membuat lompatan demi lompatan.
   Saban melompat kem ke kem nanti dikecam. 
Pengawas menolak-nolak supaya aku masuk barisan.
   Tangan dihayun secara sepontan, mata pengawas menjadi lebam.

Karipap digoreng buat sarapan.
   Ulinya padat tapi intinya sedikit pedas.
Menghadap guru punggung dirotan.
   Bunyinya kuat dalam seluar dilapik kertas.

Bonda bersabar berakhir dengan kejayaan.
   Dahulu susah kini anak-anak ingin membalas.
Bapa bawa aku menduduki satu peperiksaan.
   Aku berjaya masuk ke Special Malay Class.***

(*** Kelas peralihan ke sekolah aliran Inggeris di bandar.)

- Tuk Ki  


        
                                 Video: Ini bukan saya - hanya hiasan saja...

Wednesday 16 May 2012

SELAWAT : KENAPA PERLU BERSELAWAT?

( N  11 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

KENAPA PERLU BERSELAWAT ?



Kenapa kita perlu berselawat ke atas Rasullullah S.A.W ? Jawapannya nyata sekali, iaitu, kerana Allah S.W.T telah memerintahkannya seperti firmanNya di dalam Surah Al Ahzab ayat 56, terjemahannya bermaksud:

" Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ( memberi segala penghormatan dan kebaikan ) ke atas Nabi Muhammad. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkan salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

Selawat dari pengertian bahasa adalah bermaksud doa, pujian, keberkatan, kemuliaan, kesejahteraan dan ibadah.

Dari sudut syarak, selawat Allah kepada Rasul kekasihNya bermakna pujian dan rahmatNya. Manakala selawat malaikat dan makhluk lain kepada Nabi S.A.W adalah do'a. 

Paling istimewa ialah apabila kita berselawat ke atas kekasihNya, Allah Ta'ala pula berselawat keatas kita berganda-berganda berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:

Dari  Abi Hurairah telah berkata bahawa Rasulullah bersabda " Sesiapa yang berselawat untukku satu kali, Allah berselawat pula untuknya sepuluh kali."
- Riwayat Muslim, Abu Daud, at Tarmizi dan an Nasai.

  Para ulama telah mentafsirkan makna selawat seperti berikut:

1. Abul Aaliyah berkata "Selawat Allah kepada rasulNya adalah pujian Allah ke atasnya di hadapan para malaikat, sedangkan selawat malaikat kepada Rasulullah adalah do'a."

2. Ibnu Abbas berkata "Allah dan malaikatNya mengucapkan selawat kepada Rasulullah maksudnya memberi berkat."

3. As Sulama meriwayatkan daripada Ibnu Atha' katanya "Selawat daripada Allah bermakna perantara (wasilah), manakala daripada malaikat bermakna mengangkat darjatnya dan daripada umatnya bermakna ta'at dan cinta."

4. Imam al Qurtubi berkata "Selawat daripada Allah kepada hambaNya adalah rahmat dan berkat daripadaNya kepada mereka. Manakala daripada malaikat pula adalah do'a mereka kepada orang mukminin dan meminta keampunan untuk mereka sebagaiman firman Allah di dalam Surah Ghafir ayat 7.

5. Imam at Tarmizi mengatakan , Sufiyan dan beberapa orang-orang berilmu mengatakan bahawa selawat Allah kepada Nabi Muhammad adalah rahmatNya kepada baginda dan selawat malaikat adalah memohon ampun kepada Allah untuk Nabi Muhammad S.A.W.

SYAFAAT NABI MUHAMMAD - KITA MEMERLUKANNYA SANGAT-SANGAT !

Dengan mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad S.A.W, melaluinyalah kita akan mendapat PANDANGAN RAHMAT dari Allah Ta'ala.
Terdapat 5 jenis syafaat Nabi di akhirat kelak, iaitu:

1. Syafaat Nabi untuk membebaskan umatnya dari kedahsyatan Padang Mahsyar.

2. Syafaat Nabi untuk memasukkan umatnya ke dalam syurga tanpa hisab.

3. Syafaat Nabi untuk membebaskan umatnya dari menerima hukuman setelah diperhitungkan.

4. Syafaat Nabi untuk mengeluarkan umatnya dari seksaan azab api neraka.

5. Syafaat Nabi untuk mengangkat darjat seseorang untuk memasuki syurga yang tertinggi.

Antara perkara mudah untuk mendapat syafaat Nabi Muhammad S.A.W ialah dengan berselawat sebanyak mungkin semasa hidup kita, sebagai zikir harian. Mudah-mudahan kita akan selamat di dunia dan akhirat dan akan berputik rasa cinta, rindu dan ta'at kepada Allah dan kekasihNya. 
   
Wallahu a'lam. 




-Nukilan ringkas dari kuliah dan cebisan dari buku bertajuk 'RAHSIA DISEBALIK SELAWAT.eksklusif - syair-syair memuji Rasulullah'. Tulisan/nukilan Ust. Mohamad Amin Abdul Hamid (MA'AH) - Imam 1 , Masjid Bandar Tasik Putri, Rawang. 

- Tuk Ki 
(Dari talib kepada mukalaf)

Tuesday 1 May 2012

PANTUN CINTA AR RAHMAN , AR RAHIM (empat kerat)

(I  16)        ILHAM ILAHI


PANTUN CINTA AR RAHMAN , AR RAHIM 
   

Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah.
   Bertemankan taulan dan penunjuk jalan.
Nama Allah adalah Kalimah Jalalah.
   Kebesaran Tuhan dengan nama yang sembilan puluh sembilan.

Bersalam-salaman antara kita.
   Iklim situasi yang penuh berkat.
Ar Rahman memberi di atas dunia.
   Ar Rahim mengurnia keampunan di akhirat.

Sambutan meriah baginda di Madinah.
   Nabi dipelawa setiap penduduk. 
Ar Rahman ialah Yang Maha Pemurah.
   Memberi kepada setiap manusia dan makhluk.

Hashim dan keturunan adalah yang terpilih.
   Tulus memberi makan setiap hadhirin.
Ar Rahim ialah Yang Maha Pengasih.
   Khusus kepada insan-insan Mukmin.

Sekarang muda semua nak cecah.
   Mengikut hati nanti sesal tak habis.
Orang yang dicintai dan dikasihi Allah.
   Ciri-cirinya ada dalam Quran dan Hadis.

Mandikan diri di pagi Juma'at.
   Sesudah mandi terlupa bersugi.
Mensucikan diri dan banyak bertaubat.
   Allah mengasihi orang begini.

Bawa kerabat kenduri di rumah.
   Teratak digelari Istana Budaya.
Jika bersahabat kerana Allah.
   Berhak juga memperolehi cintaNya.

Tanjak bertempat di atas kepala.
   Memusing lilitan serban yang sunah.
Kelak berhak mendapat cintaNya.
   Saling membantu kerana Allah.

Makanlah alas perut ala kadar.
   Berwudhuk, berwirid sambil badan direbah.
Allah mengasihi orang yang sabar.
   Termasuk sabar mengerjakan ibadah.

Nazarnya beriktikaf di masjid di waktu subuh.
   Suatu kesyukuran do'anya diterima.
KekasihNya umpama bangunan tersusun kukuh.
   Bersatu padu berperang membela agama.

Kenangan di Mekah boleh diperincinya.
   Ka'abah di hati barakah diambil.
Keadilan adalah kata kuncinya.
   Allah mengasihi yang berlaku adil. 

Orang mukalaf, mesti baligh dan berakal.
   Awal-awal agama, Allah dikenalinya.
Orang berusaha, do'a dan bertawakal.
   Tawakal kepadaNya, Allah mengasihinya.

Khutbah menyeru supaya bertakwa.
   Kata-kata selawat keatas junjungan disebut pula.
Allah mengasihi orang yang berusaha.
   Berusaha dan berusaha memperbaiki amalannya.

Si sabut terapungnya sebab ringannya.
   Si batu tenggelamnya sudah tentu dek beratnya.
Menurut perintahNya, menjauhi laranganNya.
   Itulah orang bertakwa yang dicintai dan dikasihiNya.

-Tuk Ki