MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Wednesday 16 May 2012

SELAWAT : KENAPA PERLU BERSELAWAT?

( N  11 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

KENAPA PERLU BERSELAWAT ?



Kenapa kita perlu berselawat ke atas Rasullullah S.A.W ? Jawapannya nyata sekali, iaitu, kerana Allah S.W.T telah memerintahkannya seperti firmanNya di dalam Surah Al Ahzab ayat 56, terjemahannya bermaksud:

" Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ( memberi segala penghormatan dan kebaikan ) ke atas Nabi Muhammad. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkan salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

Selawat dari pengertian bahasa adalah bermaksud doa, pujian, keberkatan, kemuliaan, kesejahteraan dan ibadah.

Dari sudut syarak, selawat Allah kepada Rasul kekasihNya bermakna pujian dan rahmatNya. Manakala selawat malaikat dan makhluk lain kepada Nabi S.A.W adalah do'a. 

Paling istimewa ialah apabila kita berselawat ke atas kekasihNya, Allah Ta'ala pula berselawat keatas kita berganda-berganda berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:

Dari  Abi Hurairah telah berkata bahawa Rasulullah bersabda " Sesiapa yang berselawat untukku satu kali, Allah berselawat pula untuknya sepuluh kali."
- Riwayat Muslim, Abu Daud, at Tarmizi dan an Nasai.

  Para ulama telah mentafsirkan makna selawat seperti berikut:

1. Abul Aaliyah berkata "Selawat Allah kepada rasulNya adalah pujian Allah ke atasnya di hadapan para malaikat, sedangkan selawat malaikat kepada Rasulullah adalah do'a."

2. Ibnu Abbas berkata "Allah dan malaikatNya mengucapkan selawat kepada Rasulullah maksudnya memberi berkat."

3. As Sulama meriwayatkan daripada Ibnu Atha' katanya "Selawat daripada Allah bermakna perantara (wasilah), manakala daripada malaikat bermakna mengangkat darjatnya dan daripada umatnya bermakna ta'at dan cinta."

4. Imam al Qurtubi berkata "Selawat daripada Allah kepada hambaNya adalah rahmat dan berkat daripadaNya kepada mereka. Manakala daripada malaikat pula adalah do'a mereka kepada orang mukminin dan meminta keampunan untuk mereka sebagaiman firman Allah di dalam Surah Ghafir ayat 7.

5. Imam at Tarmizi mengatakan , Sufiyan dan beberapa orang-orang berilmu mengatakan bahawa selawat Allah kepada Nabi Muhammad adalah rahmatNya kepada baginda dan selawat malaikat adalah memohon ampun kepada Allah untuk Nabi Muhammad S.A.W.

SYAFAAT NABI MUHAMMAD - KITA MEMERLUKANNYA SANGAT-SANGAT !

Dengan mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad S.A.W, melaluinyalah kita akan mendapat PANDANGAN RAHMAT dari Allah Ta'ala.
Terdapat 5 jenis syafaat Nabi di akhirat kelak, iaitu:

1. Syafaat Nabi untuk membebaskan umatnya dari kedahsyatan Padang Mahsyar.

2. Syafaat Nabi untuk memasukkan umatnya ke dalam syurga tanpa hisab.

3. Syafaat Nabi untuk membebaskan umatnya dari menerima hukuman setelah diperhitungkan.

4. Syafaat Nabi untuk mengeluarkan umatnya dari seksaan azab api neraka.

5. Syafaat Nabi untuk mengangkat darjat seseorang untuk memasuki syurga yang tertinggi.

Antara perkara mudah untuk mendapat syafaat Nabi Muhammad S.A.W ialah dengan berselawat sebanyak mungkin semasa hidup kita, sebagai zikir harian. Mudah-mudahan kita akan selamat di dunia dan akhirat dan akan berputik rasa cinta, rindu dan ta'at kepada Allah dan kekasihNya. 
   
Wallahu a'lam. 




-Nukilan ringkas dari kuliah dan cebisan dari buku bertajuk 'RAHSIA DISEBALIK SELAWAT.eksklusif - syair-syair memuji Rasulullah'. Tulisan/nukilan Ust. Mohamad Amin Abdul Hamid (MA'AH) - Imam 1 , Masjid Bandar Tasik Putri, Rawang. 

- Tuk Ki 
(Dari talib kepada mukalaf)

No comments:

Post a Comment