MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Friday 25 November 2011

PANTUN HIJRAH VS MASIHI / ILMU TAUHID 2 / URUT DAN HUMOR...

(N7) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ILMU TAUHID / AQIDAH BAH. 2
(Smbungan dari Tauhid bah. 1)

Sebelum kita pergi ke bab sifat-sifat kesempurnaan Allah Ta'ala yang wajib diketahui secara tafsil (terperinci) kita patut memahami dan mengulang kaji perkara-perkara asas berikut:

Ta'arif agama.
Agama adalah sebuah himpunan segala hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah Ta'ala kepada sekelian hambaNya yang mukallaf ( berakal dan baligh) melalui RasulNya yang membawa kebajikan yang berkekalan kepada mereka.

Tanda beragama.
Ada 4 tanda seperti berikut:
a) Sah iktikad (penuh keyakinan) iaitu jazam (pasti/putus) dengan apa yang diiktikadkan.

b) Benar qasad (niat) menunaikan ibadat dengan ikhlas, yakni, dengan mengikhlaskan niat hanya kerana Allah Ta'ala bukan menyengutukanNya dengan benda atau perkara yang lain selain Allah Ta'ala. Allah Ta'ala berfirman "Maka sesiapa yang mengharap untuk berjumpa dengan Tuhannya, maka ia hendaklah beramal soleh  dan tiada menyengutukan sesiapa pun dalam beribadat kepada Tuhannya".

c) Menyempurnakan janji iaitu mengerjakan segala yang disuruh.

d) Tiada melampaui sekatan iaitu meninggalkan yang dilarang.

Asas agama.
Agama itu berasaskan ISLAM, IMAN dan IKHSAN.

A. ISLAM.

Seseorang itu telah Islam apabila ia secara zahirnya mengikut dan menerima apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w. tentang apa yang diketahuinya mengenai agama secara dharurah* ( tidak perlu fikir dan bicara lagi) seperti dua kalimah syahadah dan solat.Ia dikehendaki  mengaku  mengikut dan menerima perkara yang tersebut tanpa menolaknya walaupun ia tidak mengerjakannya seperti meninggalkan solat dan seumpamanya selama-lamanya.
Kita imbas kembali rukun Islam yang lima:
1) Megucap dua kalimah  syahadah. Rukun ini tertentu kepada orang kafir yang hendak memeluk Islam.
2) Mendirikan sembahyang lima waktu.
3) Memberi zakat.
4) Puasa di bulan Ramadhan.
5) Menunaikan haji jika berkuasa.

B. IMAN.

Iman itu ialah apabila hati membenarkan Nabi s.a.w. pada apa jua yang dibawanya mengenai apa yang diketahuinya tentang agama secara dharurah* (tidak perlu fikir dan bicara lagi). Hati hendaklah mengikut dan menerima bukan semata-mata mengetahui benar Nabi s.a.w. tetapi tidak mengikut dan menerimanya. Kebanyakan orang kafir mengetahui kebenaran Nabi s.a.w. tetapi tidak dihukum sebagai beriman kerana hati mereka tidak mengikut dan menerima yang demikian.
Mari kita ulangi semula rukun Iman yang enam itu:
Percaya kepada
1) Allah
2) Malaikat
3) Kitab
4) Sekelian Rasul
5) Hari kiamat
6) QadarNya, sama ada baik atau tidak baiknya. Ertinya semua perkara sama ada elok seperti taat atau keji seperti maksiat adalah hasil dari perbuatan Allah Ta'ala yang bersepakat  dengan kehendakNya pada sedia kala lagi.

 C. IKHSAN.

Ialah dengan mengikhlaskan ketaatan seseorang dalam beribadat kepada Allah Ta'ala seolah-olah ia melihatNya. Tidak wajar kita berpaling kepada yang lain daripadaNya sama ada secara zahir atau batin kerana kita tahu Allah Ta'ala sedang melihat kita. Sewajarnya kita berasa malu kerana kita lalai dalam beribadat kepadaNya.Ikhsan adalah syarat bagi kesempurnaan  Islam dan iman.

(*dharurah - Apa yang diketahuinya daripada segala dalil agama sebagai pengetahuan yang masyhur di kalangan sekelian ahli agama hingga menyerupai dharurah iaitu tidak perlu fikir dan bicara lagi).

KEWAJIPAN MENGETAHUI  DALIL-DALIL WAJIB, MUSTAHIL DAN HARUS.
Setiap orang yang mukallaf diwajibkan secara fardhu ain mengetahui dalil setiap yang wajib, mustahil dan yang harus bagi Allah Ta'ala supaya ia tidak menjadi orang yang taklid ( sila rujuk pada post terawal).

bersambung...apa itu dalil ijmali, dalil tafsili, dll. Insyaallah.
Wallahua'lam.
(sila rujuk kpd.ustaz/ah yang arif untuk penerangan lebih mendalam)

___________________________________________________________


(I7) ILHAM ILAHI

Bersempena dengan kemunculan 1 Muharram 1433 yang akan disusuli oleh 1 Januari 2012,
inilah hadiah berupa pantun untuk pembaca sekelian.

PANTUN  HIJRAH DAN MASIHI




Agama samawi dari langit diturunkan.
   Agama majusi menyembah api yang mungkin padam.
Tahun masihi dihitung dari tarikh kelahiran.
   Kelahiran Nabi bernama Isa Alaihissalam.

Zaman jahiliah patung disembah dan dimuliakan.
   Tuhan dipahat dari batu yang berbongkah.
Tahun Hijrah dihitung dari peristiwa perpindahan.
   Perpindahan Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinah.

Jalan darat menaiki unta.
    Lanun menyusuri mengawas pantai.
Kekuasaan Barat menakluki dunia.
   Tahun masihi terpaksa dipakai.

Kelihatan berbalam tentera berkuda.
   Janggal menyerah sebelum kalah.
Kejatuhan Islam dimerata dunia.
   Tinggal Hijrah dalam kitab sirah.

Rajin berjalan bersedia ke Makah, adalah afdal.
   Mahir berlari kalau tak lelah, dipersilakan.
Rutin harian, Januari~Disember penanda yang global.
   Lahir dan mati, Muharam~Zulhijjah selalu dilupakan.

Si gila ditanya dimana Kampong Pandan Dalam.
   Memalu kepalanya sambil pusing-pusing tangan.
Apabila ditanya bulan-bulan Islam.
   Garu kepala masing-masing berpandangan.

Judo ialah seni mempertahankan diri.
   Jika agresif ok, jika pasif tidak mengapa.
Moto mereka , life starts at forty.
   Jika positif ok, jika negatif membawa ke neraka.

Tun Fatimah bersumur di tengah rawa.
   Beradab santun dikasihi menteri.
Tahun Hijrah umur kita lebih tua.
   Setiap tahun Masihi bezanya sebelas hari.

Takut mati perasaan manusia.
   Adanya malaikat wajib dipercayai.
Sambut hari jadi kematangan usia.
   Budaya barat, lelaki perempuan dan tari menari.

Lembut hati si isteri berseri.
   Barakah do'a taulan yang rapat.
Sambut hari jadi do'a mengiringi.
   Cukupkah di dada bekalan akhirat?

Jangan gerun menaiki keretapi.
   Terkedu sakitnya pelipis di kepala.
Kedatangan tahun baru, bunga api dan berparti.
   Berpusu-pusu manusia, iblis pun ketawa.

Agama berpesan sentiasa meredha.
   Dunia mutakhir seribu bencananya.
Ulama menyarankan kita berdo'a.
   Di akhir dan awal tahun seribu kali baiknya.

Menggulung tembakau menghirup kopi.
   Teringat fatwa Majlis Agama.
Tanggung jawab kita menghidupkan tradisi.
   Mengingat tarikh berdasarkan agama.

- Tuk Ki

Kejatuhan pemerintahan Islam di Andulasia, Sepanyol.
 ___________________________________________________________



 (S6) DEBUNGA SYIFA'

URUT DAN HUMOR

Tuk Ki telah menjalani berbagai usaha pemulihan dan rawatan semenjak 13 tahun yang lalu. Berbagai metod digunakan dan tidak terkecuali  cara-cara yang aneh dan menggelikan hati. Ini adalah salah satu daripadanya.

Seoarang tukang urut/bomoh dalam lingkungan 40an telah datang ke rumah memenuhi temu janjinya dengan saya untuk meneruskan urutannya. Pagi itu beliau berkata ia akan buat sesi menghalau syaitan pada badan saya. Saya tidak membantah dan bersetuju. Saya pun suspense juga dan tertanya-tanya dalam hati apa yang akan berlaku. Seperti biasa saya berbaring di atas tikar. Saya lihat dia mengeluarkan lipatan kain kuning dari begnya dan apabila dibuka ternyata kain kuning itu agak lebar.Sambil berdiri dan merenung saya dilantai, dia membentang kain kuning itu menutupi seluruh tubuh saya dari kepala hingga ke kaki. Dengan mendepakan dua tangannya diangkatnya kain itu dan membentangnya semula keatas muka dan badan saya kembali.

Perbuatan itu diulanginya beberapa kali sambil mulutnya berkumat-kamit membaca jampi. Tiba-tiba tanpa diduga,dia merentap dan mengibas kain itu dengan kuat hingga mengeluarkan bunyi 'pop' yang amat kuat. Bagaikan bunyi tali belati digunakan penjinak singa di sarkis. Saya terperanjat dan secara sepontan terus ketawa. Bukan ketawa kecil tetapi ketawa yang agak kuat. Betul-betul terperanjat dan menggelikan hati saya kerana ia macam apa yang berlaku dalam babak filem dan drama komedi Melayu. Saya cuba mengawal ketawa saya supaya tidak menganggunya.Yang menghairankan saya, tukang urut itu memberi reaksi yang serius kepada saya sambil bertambah kuat  membaca jampinya. Melihat demikian, saya pun turut serius dan membiarkan perubatan itu hingga selesai. Dalam masa yang sama saya terfikir, mungkinkah ia menyangkakan yang ketawa itu sebenarnya bukan diri saya tetapi syaitan atau jin yang merasuk dan menduduki dalam tubuh saya? Saya tersenyum sendirian. Saya yakin bahawa sayalah yang ketawa itu, bukannya jin. Wallahua'lam.

- Tuk Ki

SELAMAT MENYAMBUT 
AWAL MUHARRAM DAN
MA'AL HIJRAH 1433 H

Tuesday 15 November 2011

MENJELANG KEMATIAN / PUISI/SAJAK - HIJRAH OASIS / TERAPI TERBAIK

(N6) NUKILAN DARI TAMAN-TAMAN SYURGA

MENJELANG KEMATIAN.

KEHIDUPAN AKHIRAT ADALAH KEHIDUPAN SEBENAR.

Di dalam surah Al Ankabuut ayat 57~59 Allah Ta'ala berfirman 
"57. Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan  mati. Kemudian hanya kepada Kami* kamu dikembalikan.

58, Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat-tempat yang tinggi di dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya , mereka KEKAL di dalamnya. Itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang yang beramal.

59. Iaitu yang bersabar** dan bertawakkal kepada Tuhannya."

*Kami - (bukan Aku) menunjukkan maha berkuasaNya Allah S.W.T.
**bersabar - sabar mempunyai makna yang lebih luas dari perspektif ibadah, bukan semata-mata makna secara literal tetapi termasuklah sabar dalam mengerjakan ibadah, sabar menahan nafsu amarah dari mengerjakan maksiat/dosa, dll.

SAKARATUL MAUT.

Ketika kita sedang menghadapi sakaratul maut, 4 malaikat akan menjelma di hadapan kita dan memberitahu berita-berita tentang saat-saat terakhir hayat kita sebelum kedatangan malaikat maut atau Izrail.

Malaikat pertama menyatakan REZEKI kita telah kehabisan.
Malaikat kedua menyatakan AIR untuk kita telah kehabisan.
Malaikat ketiga menyatakan NAFAS kita telah kehabisan.
Malaikat keempat menyatakan AJAL kita telah tiba.

Semasa Izrail (yang turut diiringi oleh dua malaikat iaitu malaikat Rahmat dan malaikat Azab dengan tugas masing-masing )  mencabut nyawa, kita akan diimbas (seolah-olah satu preview) oleh malaikat Raqib dan 'Atid buku catatan sebelah kanan, iaitu catatan kebajikan semasa hidup kita dan buku catatan sebelah kiri iaitu buku catatan kejahatan dan dosa-dosa yang telah dilakukan. Di waktu itu di mana nyawa telah sampai ke khalqum pintu taubat telah tertutup buat selama-lamanya.

Tuk Ki - Semua orang takutkan mati, tetapi biarlah kita takut kerana takut-takut kita mati secara mengejut dan tidak sempat untuk bertaubat. Bekalan kita untuk ke akhirat mungkin tidak mencukupi atau kebajikan kita disangka telah banyak dibuat tetapi sayang banyak pula yang ketirisan. Na'uzubilah min zalik..

Wallahua'lam.    
_________________________________________________________________________________

(I 6)   ILHAM ILAHI

(Khas buat sesiapa yang sedang berhijrah atau merancang untuk berhijrah meninggalkan perkara-perkara yang menjadi celaan Allah Ta'ala menuju kepada keredhaanNya.Ini adalah bersempena dengan kehadiran Ma'al Hijrah 1433).



HIJRAH OASIS


Pergimu adalah
hijrah seorang pelombong.
Memencil dari selembah lombong kekayaan.
Mencengkeram dadamu 
dan menjulang dunia.

Berkat do'a asal usulmu.
Ribut iman melanda.
Hijrah! ya, hijrah!
Merentas gurun sebagai si kelana yang meyerah jiwa dan raga.
Ketegaran takwa gagah memerisaimu
Menyusur wadi yang payah sambil dipanjatkan harapan.
Benar yakin! ya, benar yakin!
Kerana mentari dan bintang-bintangNya tanpa jemu menunjuk laluan.

Jangan engkau gundah.
Tolehkan mukamu.
Di belakangmu benih-benih yang engkau taburkan
memputik mekar saf demi saf
menuju ke sebuah oasis bersedia menempa sejarah.   

Tuk Ki
_________________________________________________________________________________

(S5) DEBUNGA-DEBUNGA SYIFA'

TERAPI TERBAIK - AL QURAN

Sebagai seorang Muslim kita mesti yakin dengan Al Quran di mana Allah Ta'ala sendiri menjamin bahawa Al  Quran itu di bawah peliharaanNya sepanjang zaman. Berlainan dengan kitab-kitab terdahulu Allah Ta'ala tidak menyatakan demikian.

Mengambil berkat mukjizat Al Quran dan janji pahala yang besar kepada pembacanya, mengapa tidak kita jadikan pembacaannya satu kaedah terapi, khasnya terapi pertuturan (speech therapy) . Kalau dalam program terapi pertuturan pesakit akan diberi senarai perkataan untuk diucapkan berulang kali sebagai senaman mulut dan lidah, bacaan Al Quran adalah lebih superior kerana huruf-huruf Arab mempunyai kepelbagaian sebutan, makhraj dan tajwidnya.

Kepada penghidap angin ahmar yang mempunyai masalah pertuturan dan juga kepada sesiapa sahaja yang sudah terlupa untuk membaca Al Quran, buatlah azam baru bersempena Ma'al Hijrah yang tidak jemu-jemu akan muncul sedikit masa lagi, supaya membaca Al Quran dan jadikan sebagai satu hobi atau habit harian seperti kita membaca akhbar atau berfacebook. Lebih baik lagi jika disusuli dengan memahami pengertiannya sekali.AYUH! kita BOLEH lakukan bersama-sama, Insyaallah.

Wallahua'lam.

Sunday 6 November 2011

PANTUN SAYANG & CAYANG / HADIS QUDSI (1) :SINDIRAN ALLAH / TERAPI PERT..

(N5) NUKILAN DARI TAMAN-TAMAN SYURGA

 HADIS QUDSI  ( 1 ):  SINDIRAN ALLAH SWT.

Dalam sebuah hadis qudsi * Allah SWT berfirman yang bererti :  " Wahai sekelian manusia , Aku hairan melihat orang yang meyakini kematian tetapi ia masih bergembira. Aku hairan melihat orang yang mempercayai hari berhisab, tetapi ia masih terus mengumpul harta. Aku juga hairan melihat orang yang meyakini akan masuk kubur, tetapi ia masih tertawa. Aku hairan melihat orang yang meyakini akhirat, tetapi ia masih bersenang lenang."

"Aku hairan melihat orang yang meyakini hidup dunia dan segala bencananya , tetapi ia masih hidup tenteram bersamanya. Aku hairan melihat orang yang alim dengan lidahnya, tetapi jahil dengan hatinya. Aku hairan melihat orang yang menyucikan dengan air, sedangkan hatinya tidak bersih."

"Aku hairan melihat orang yang sibuk dengan aib dan cela orang lain, tetapi ia melupakan aib dan cela dirinya sendiri; atau melihat orang yang tahu bahawa Allah sentiasa memerhatikan tingkah lakunya, tetapi ia masih terus berbuat maksiat. Begitu juga dengan orang yang tahu bahawa maut itu dilalui seorang diri, kubur itu dihuni seorang diri, dihisab seorang diri; tetapi ia masih berjinak jinak dengan manusia; tidak ada tuhan selain Aku sebenarnya dan sesungguhnya  Muhammad itu adalah hamba dan rasulKu."

* Hadis qudsi adalah hadis yang bersumber dari Rasulullah S.A.W dan disanadkan  (disandarkan) kepada Allah Ta'ala.
Menurut para ulama hadis qudsi adalah " Sesuatu yang diberitakan Allah kepada Nabi SAW dengan perantaraan Jibril atau dengan jalan ilham atau mimpi waktu tidur (mimpi para nabi), lalu  diberitakan oleh  Rasulullah SAW maksud dan tujuan berita tersebut  (kepada umatnya) dengan lafaz dan ucapan baginda sendiri, berdasarkan taufik dari Allah SWT".

Wallahua'lam.

_______________________________________________________________________________


 (I  5)   ILHAM ILAHI

Pada hari Jumaat 1 zulhijjah 1432 bersamaan dengan 28 oktober 2011 telah lahirlah cucu perempuan Tuk Ki. Sebagai merakam kegembiraan kesyukuran Tuk Ki dan Wan, ini lah pantun yang terhasil khas untuk cucu (termasuk cucu-cucu yang akan datang, insyaallah, juga cucu-cucu saudara, para cucu sekelian, anak-anak dan menantu). Dengan kurniaan Allah ini maka rasmi lah saya bergelar Tuk Ki, Alhamdulilah.

PANTUN TIMANG CAYANG CUCU KU CAYANG                               ( cucu Tuk Ki )

Mak bidan bertukar arah.
   Dari sentul ke Sungai Besi.
Saat penantian berakhir sudah.
   Si bayi comel yang suci murni.

Buah kedondong buah asam boi.
   Bersantap Jebat di persada istana.
Ibu mengandung sangat berbaloi.
   Menatap zuriat bapa gembira.

Tabir yang basah dilurut sahaya.
   Baldi dijemur tidak bertutup.
Takbir dan iqamah lembut di telinga.
   Tali agama seumur hidup.

Ke Kuala Ketil singkat perjalanan.
   Kertih jauh jarak pengembaraannya.
Si kecil comel pengikat simpulan.                        
  Kasih dan sayang semarak gandaannya.                                                                           

Ketuk ketampi syarat permainannya.
   Andai kalah memanglah lucu.
Tuk Ki dan Wan amat gembira.
   Ditunaikan Allah menimang cucu.

Merungkai tali di ranting pulasan.
   Kuat akarnya daunnya luruh.
Wahai cucu Tuk Ki ingin pesankan.
   Ingat ikrar mu di alam roh.

Sukar orang menghafaz al quran.
   Pantau di sekolah oleh tuk guru.
Ikrar yang dilafazkan setiap insan.
   Engkaulah, Allah adalah tuhanku.

Kolek didayung lembap selamba.
   Tegap badannya menghala ke hulu.
Didiklah ia tanggung jawab ibu dan bapa.
   Mantapkan imannya di dunia berliku.

Muatan ditolak sebelah kiri.
   Juragan belayar diberkati iman.
Kewajipan mencorakkan ia Muslim / Muslimah sejati.
   Jangan dunia dikejar bekalan akhirat berciciran.

Buat rumah pahat penukul.
   Tamat siapnya tiada aralnya.
Taat pada Allah taat pada Rasul.
   Taat pada ibu bapa menjadi amalnya.

Serama yang cantik susah dicari.
   Tenang menenang bulu yang kembang.
Nama yang baik sudah diberi.
   Timang cayang cucu ku cayang.

-Tuk Ki


________________________________________________________________________________


(S 4)   DEBUNGA-DEBUNGA SYIFA'

TERAPI PERTUTURAN (SPEECH THERAPY)

Mengikut pengalaman Tuk Ki sendiri , salah satu deria yang diserang oleh angin ahmar atau stroke  ialah terjejasnya keupayaan bertutur. Pada peringkat awal serangan lidah saya begitu keras dan apabila saya cuba bercakap dengan seseorang, maksud yang hendak dikomunikasikan tidak difahami oleh orang lain.

Semasa berada di hospital saya telah menjalani sesi khas terapi pertuturan setiap hari yang dijalankan seorang pakar.Semasa sesi terapi ini saya tidak ubah seperti seorang kanak-kanak sekolah rendah yang belajar menyebut objek -objek yang ditunjukkan. Selain itu saya diminta melakukan latihan lidah dengan mengerakkan lidah ke kanan, kiri, atas dan bawah. Saya juga dibekalkan dengan senarai  perkataan tertentu  yang perlu diulangi sekerap yang mungkin setiap hari.

Selepas menjalani sesi ini beberapa kali dan latihan lidah di rumah, pertuturan saya beransur-ansur pulih. Ini disahkan oleh rakan-rakan yang berkomukasi dengan saya melalui telefon.


Saya ada diberitahu ada terdapat pakar urut tradisional yang pandai mengurut lidah pesakit stroke. Tetapi ia lebih mudah dilakukan dan lebih berkesan jika urutan dibuat di peringkat awal serangan. Itu semua takdir Allah. Apa yang penting ialah usaha.

AMALAN PENTING.
Namun, saya dapati terapi yang paling berkesan untuk memperbaiki pertuturan saya seterusnya ialah dengan amalan membaca Quran dan sambil itu cuba mambetulkan setiap sebutan makhraj.

Wallahua'lam.


SELAMAT HARI RAYA 'AIDIL ADHA