MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Friday, 14 October 2011

ILMU TAUHID 1 / PUISI/SAJAK - Makam Sujud / SYIFA' - Keupayaan tersembunyi


(N3) NUKILAN DARI TAMAN-TAMAN SYURGA.

ILMU TAUHID (AKIDAH) - BAH. 1

Ilmu Tauhid membincangkan dengan sekadarnya tentang zat Allah Ta'ala yang mempunyai sifat-safat yang wajib bagi diriNya, yang mustahil bagiNya dan yang harus bagiNya. Begitu juga bagi rasul-rasul dan nabi-nabi serta semua merangkumi rukun-rukun Islam dan   Iman.

Sabda Nabi S.A.W  "Pertama-tama agama ialah mengenal Allah". Bagaimana kita hendak mengenal Allah Ta'ala?

Cara makrifat {mengenal) ia itu seseoarang beriktikad dengan jazam (pasti / putus) yang menepati waqi'i (yang benar) berdasarkan dalil yang kukuh dan bukan perkara-perkara yang bertentangan dengan dalil itu. Dalil -dalil yang dimaksudkan ia lah:
1. Dalil nakli  iaitu firman Allah Ta'ala dan hadis Rasulullah S.A.W.
2. Dalil akli iaitu dalil akal kita dalam menyatakan keadaan Allah Ta'ala.

Jika seseorang itu beriktikad teguh seperti iktikad konsep ketuhanan agama Nasrani, falasafah-falasafah, iktikad Qadariah, dsb, yang bersalahan dengan kebenaran, maka itu bukan lah di namakan makrifat.

Jika seseorang  yang jazam (pasti / putus) iktikadnya dan tidak bertentangan dengan waqi'i (yang sebenar) tetapi tanpa dalil nakli dan akli , ia juga tidak boleh dinamakan makrifat. Orang yang dalam golongan ini dinama taklid. Maksudnya ialah orang yang hanya mengikut perkataan orang lain ( pak turut).

Hukum orang yang taklid (pak turut).
Ulama berselisih pendapat mengenai status orang sedemikian. Qaul yang sahih mengatakan dia masih Mukmin tetapi berdosa kerana meninggalkan untuk belajar. Dia hendaklah muhasabah dirinya adakah dia termasuk golongan ini.

Wallahua'lam.

NOTA penting:
Saya sarankan supaya anda belajar dengan guru dan berkitab terutama ilmu Tauhid ini. Syaitan akan sentiasa mengambil kesempatan untuk memesongkan manusia jika kita belajar dan cuba memahaminya sendiri-sendiri. Sebagai alternatif terdapat kuliah Tauhid setiap selasa jam 6.30 ptg di TV1 terbitan JAKIM.


Dari talib untuk mukalaf -     Tuk Ki
_________________________________________________________________________________

(I3) ILHAM ILAHI

MAKAM SUJUD


Telah aku do'akan bagai arus sungai berlalu
dari hulu ke hilir merentas bumi maya
dengan keyakinan janjiMu
akan bertemu lautan tanpa ufuknya.
Dengan keyakinan firmanMu
suratul Umul Kitab
aku rindu untuk bersujud penuh sempurna
dan mengadu dalam wajahku.

Segala pujian-pujian yang layak bagiMu.
Sekecil-kecil pemberian dariMu
adalah anugerah teragung bagiku.
Dapat membekam dahi dan hujung hidungku
di zahir makam sujudMu.
Bersaksikan sejadah ini
bersua dengan yang Khaliq
menyerah, merindu, berhukum dan kembaliku sebagai hamba sebenar-benar hamba.

Pasakkan! suburkan! iman di dada
dengan siraman ilmu tidak reda-reda.
Gilap tingkahmu hias lakumu
selami Nabi S.A.W
dan temuilah nurnya.
Cintai Al Quran kalam Allah dengan bibir juga hatimu
bukan separuh diambil separuh disisih kelak tercela akidahmu.
Aku longlai berdo'a lagi.
Jemputlah aku dan kami semua dalam khusnul khotimah.

- Tuk Ki



______________________________________________________________________________

(S2) DEBUNGA-DEBUNGA SYIFA'

MENCARI KEUPAYAAN DIRI YANG TERSEMBUNYI SETELAH HILANG UPAYA.

Sebelum Tuk Ki diserang angin ahmar 13 tahun yang lalu saya merasa begitu kagum apabila melihat orang buta membaca braile, berjalan di tengah kesebukan bandar. Orang bisu dan pekak berkomunikasi antara satu sama lain. Orang kudung tangan dan kaki dapat membuat kerja seharian, membaiki enjin kereta dan motor, menulis dan melukis dengan jari jemari kaki, dll. Bagi saya yang normal ketika itu tidak terlintas langsung boleh melakukan perkara sedemikian.

Ketika terlantar di hospital, sesi terapi fisikal yang saya jalani memberi saya semangat untuk terus berusaha untuk menghadapi cabaran baru dalam hidup ini sebagai orang hilang upaya atau cacat anggota. Sesi itu telah memberi kesan yang positif dari tidak boleh berjalan sehingga boleh berjalan manggunakan tongkat.

Kini saya begitu takjub dengan kebolehan diri sendiri dan terpesona dengan kurniaan  Allah S.W.T yang maha adil lagi maha penyayang. Rupa-rupanya segala sendi-sendi anggota badan ini telah saya abaikan dan tidak digunakan dengan sepenuhnya.Dengan berbekalkan sedikit akal, imajinasi dan eksperimen saya sendiri  terkejut dengan hasil penemuan-penemuan apa yang boleh yang dilakukan sebagai orang yang lumpuh separuh badan sebelah kanan.

Sepanjang 13 tahun hidup dengan kelumpuhan saya berjaya, antara lain,
-memandu kereta auto-drive dengan tangan kiri dan kaki kiri
-mengikat kain pelikat sendiri menggunakan tangan kiri
-kadang-kadang memasak menu yang ringan-ringan (sebagai hobi bukan kena queen control!)
-mengurus diri sendiri
-membeli belah
dan yang paling baru ia lah

memotong kuku semua jari jemari.
Biasanya sememangnya saya tiada bermasaalah memotong kuku kedua kaki dan tangan kanan saya menggunakan tangan kiri saya. Tetapi apabila hendak memotong kuku tangan kiri saya tidak dapat memotong dengan tangan kanan kerana lumpuh. Oleh itu saya akan meminta bantuan anak perampuan saya.

Suatu hari, setelah selesai memotong semua kuku jari-jari tiba lah giliran untuk memotong kuku jari tangan kiri. Malangnya tiada sesiapa berada di rumah. Digerakkan Allah Ta'ala hati saya untuk mencuba sesuatu supaya berdikari. Dengan menggunakan sepenuhnya anggota yang ada, ia itu, kaki kiri dan peralatan rumah seperti katil, sebuah buku dan pemotong kuku bersaiz besar yang tajam saya berjaya memotong kuku tangan kiri saya dengan agak mudah. Setelah selesai, dengan berulang-ulang saya mengucapkan Alhamdulilah dan saya terus bertakbir dan bersujud syukur kepadaNya.

(Semoga perkongsian di atas dapat memberi semangat kepada rakan-rakan senasib.)

Tuk Ki

    

1 comment:

  1. As salam
    Pembetulan:
    Perkataan 'pertama² agama ialah mengenal Allah' bukan dari hadith tetapi dari kata² saidina 'Ali r.a.
    Harap maaf diatas kekeliruan ini.
    - Tuk Ki

    ReplyDelete