MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Monday 24 October 2011

BERSUCI / PANTUN -jangan... / SYIFA' - pinjaman semula

(N4) NUKILAN DARI TAMAN-TAMAN SYURGA

ILMU FIQAH - Bersuci (thoharah)

Ada 7 sumber air mutlak yang boleh bersuci dengan nya kerana ia ada lah air yang suci lagi menyucikan seperti berikut:
1. air hujan
2. air laut
3. air sungai
4. air mata air
5. air telaga
6. air embun
7. air salji.

Dalam aktiviti harian kita mengerjakan ibadat solat , berwuduk ada lah syarat sah solat. Kadang kala oleh kerana terlampau lazim dilakukan seseorang itu mengambil ringan tentang wuduk. Tetapi kalau ditilik semula ia sangat penting diberi perhatian kerana solat kita boleh jadi sia-sia disebabkan wuduk tidak sah.

Ada 4 bahagian dari air mutlak itu apabila digunakan:
1. Air suci lagi menyucikan, ia itu air mutlak yang tidak menjadi makruh dan bernajis.

2. Air yang makruh ia itu air musyammas. Ia adalah air mutlak yang ada dalam bekas takungan (yang boleh berkarat) yang terjemur dengan pancaran matahari dan suhu air itu menjadi panas. Di negara kita jarang berlaku di mana air boleh panas dalam keadaan sedemikian.

3. Air suci tetapi tidak menyucikan ia itu air musta'mal seperti berikut:
a. Air mutlak yang sudah bercampur dengan air yang telah digunakan.
    Keterangan: Kita haendaklah berhati-hati apabila mengambil wuduk di pili air yang mana airnya jatuh dan bertakung di dalam bekas takungan yang kurang dari 2 kolah*. Kita berkecenderungan untuk menceduk air takungan itu apabila sampai giliran terakhir ia itu membasuh kaki. Jika air takungan itu tidak melempah dan tidak terus mengalir keluar air itu ia lah air musta'mal kerana telah bercampur dengan basuhan anggota wuduk yang wajib,seperti muka dan tangan.Walaubagaimana pun, jika air itu penuh dan terus mengalir dan melempah keluar akibat daripada air pili yang terbuka itu, maka air itu masih dikira air mutlak.
b. Air yang berubah warnanya atau baunya atau rasanya kerana bercampur dengan objek yang bersih.

4. Air bercampur dengan najis yang telah berubah warnanya atau baunya atau rasanya dan air itu kurang
    dari 2 kolah* atau 2 kolah*.

*2 kolah: Bersamaan dengan 230 liter. Anggaran 1 1/2 hasta diameter dan 1 1/2 hasta dalam.

Wallahua'lam.
Insyaallah akan bersambung.
Dari talib ke mukallaf.

-Tuk Ki

______________________________________________________________________________


(I  4)  ILHAM ILAHI

PANTUN JANGAN SOMBONG-SOMBONG

Pinang muda diambil jangan.
   Jangan dikacip sambil berlari.
Orang tua berpesan-pesan.
   Jangan asyik meninggi diri.

Menuang sira tiris tapisnya.
   Amat manisnya muka terjebik.
Orang berpura-pura bermanis muka.
   Melihat kita berkelakuan jelik.

Kawat berduri dilurut luka.
   Luka tidak hanya di jari.
Buatlah kebaikan menurut agama.
   Mula-mula riak lama-lama bisa ditangani.

Tolak rezeki mencari beban.
   Beban iman mendapat ganjarannya.
Riak dijinakki menjadi keikhlasan.
   Insan yang ikhsan sebaik-baik hamba.

Burung ruak-ruak di paya dan belukar.
   Lalu jerat dipasang rotan terlentur.
Jika riak menjadi liar.
   Tunggulah datangnya syaitan bernama takbur.

Manusia berpusu-pusu di hari kiamat.
   Tidak lagi diberi keampunan.
Jangan tertipu menyangka diri baik teramat.
   Kerana dipuji setinggi awan.

Perut terkejut meratah banyaknya.
   Nafsu mendorong kemahuan memborong.
Tidak mengikut perintah Allah dan Rasulnya.
   Itu lah sombong sebesar-besar sombong.

Mendapat berkat mengetahui sirah Nabi dan sahabat.
   Dengan tulus juang Baginda untuk dihayati.
Dalam solat Al Fatihah berulang kali dipanjat.
   Jalan yang lurus diminta bukan seperti mereka yang disesati dan dimurkai. 



Nostalgia zaman persekolahan.

Apabila bercakap fasal pantun, Tuk Ki semasa sekolah dahulu ada bergurau dengan kawan-kawan dengan pantun ini:

Kotak bukan sebarang kotak.
   Atas kotak ada lilin.
Botak bukan sebarang botak.
   Botak ini sangat licin.

- Tuk Ki

______________________________________________________________________________

(S3) DEBUNGA-DEBUNGA SYIFA'

        MENDAPAT 'PINJAMAN SEMULA'

Lebih kurang 2 bulan lalu Allah Ta'ala telah mengabulkan do'a Tuk Ki yang sekian lama saya panjatkan kepadaNya dengan tidak jemu-jemu. Alangkah gembira dan bersyukurnya apabila saya dianugerahkan 'pinjaman semula' dari Yang Maha Berkuasa.

Kini saya dapat bersembahyang seperti orang biasa! Saya sungguh bersyukur dan amat gembira. Maksud saya, saya tidak lagi terpaksa bersolat duduk bersila selepas mengangkat takbiratul ikhram dan rukuk di rakaat pertama.Ini adalah kerana kesakitan yang amat sangat di bahagian lutut dan kaki apabila cuba hendak duduk antara dua sujud ,tahyat awal dan akhir.Jadi saya terpaksa duduk bersila dan sukar hendak bangun semula dan terpaksa meneruskan solat dengan bersila hingga selesai. Begitulah saya rasakan seolah-olah Allah telah mengembalikan dan meluluskan pinjaman semula kudratNya kepada hambaNya.

Alhamdulilah, semoga Allah Ta'ala berikan kita kudrat untuk menjalankan ibadat solat seharian. Sebaik-baik solat ialah solat berjamaah. Saya yakin ini adalah berkat dari solat berjamaah.


Sebagai kesyukuran saya telah luahkan isi hati dalam bentuk puisi bertajuk 'Makam Sujud' dalam post sebelum ini (Okt. 2011).

TAMBAHAN: Ini ada lah kandungan tambahan dalam posting sebelum ini (S2) Debunga-debunga syifa'.

Tuk Ki teringat ada terlihat tayangan tv menceritakan kisah seorang ulama terkenal  (terlupa namanya) yang terlantar di katil akibat stroke. Beliau tidak dapat bergerak dan tidak boleh bercakap.Yang menakjubkan, dengan dibantu oleh anak lelaki nya, beliau dapat berkomunikasi melalui pergerakan dan kerdipan matanya. Anaknys akan mencatit segala isyarat dari mata bapanya dan bertanya sesuatu kerana bapanya masih boleh mendengar. Mereka telah mereka kod-kod tertentu bagi setiap pergerakan dan kerdipan mata untuk dapat berkomunikasi.
Rumusannya:-
1. Bukan sahaja dengan isyarat mata kita diwajibkan bersolat sebagaimana pesakit ulama ini malah ia boleh dimanafaatkan dengan hal-hal lain.
2. Bantuan ahli keluarga yang berdedikasi sangat penting dalam memberi semangat dan kekuatan dalaman pesakit yang sudah tentu mendapat ganjaran besar di akhirat kelak.

Wallahua'lam.

-Tuk Ki

NOTA kemaskini : Ulama yang dimaksudkan ialah al marhum Syeikh Ahmad Deedat. Untuk mengetahui perjuangan dakwah beliau saya ada mencatit secara ringkas kehidupan beliau di dalam blog ini ( pos Jan. 2012 ).



No comments:

Post a Comment