MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Sunday 30 June 2013

PUISI / SAJAK : KU LIHAT SI PENGHUNI HATI

21 SYA'ABAN 1434 H

( I  36 )   ILHAM ILAHI


PUISI / SAJAK 

KU LIHAT SI PENGHUNI HATI.



Di dalam sujud
si mata kalbu meronta meneroka
dan menyingkap hijab diri kendiri
dan mencari permata di dalaman dasar
kalbu yang hidup berdenyut-denyut.
Memuji namaMU dan menyaksi bukti kewujudanMU
sekalipun hanya bernilai satu kenderi
di sisiMU ya Khalik.

Dengan izinMU
tabir berkabus terus menipis
terkesan dengan zikir memujaMU.
Zikir yang padu dari yang ikhlaskan diri
berulang dan berulang berarak menuju ke ufuk masa.
Berdikit-dikit cahaya mutiara
menjelma diri
dari dalam diri yang ini.


Hati SADRUN menyaring ilmu.
Benak menujah dengan cemburu
dan sentiasa menanti agar disiram zikir berbaja.
Zikirlah...zikirlah...

Ya 'Alim...ya 'Alim...ya 'Alim...
IlmuNYA yang nyata dan yang tersembunyi,
yang halus dan yang kasar,
yang awal dan yang akhir.

Ya Hakim... ya Hakim... ya Hakim...
Yang tidak terhalang ketetapanNYA,
yang tidak terubah hukumanNYA,
yang membuat keputusan terhadap makhlukNYA.

Ya Fattah... ya Fattah... ya Fattah...
Yang membuka tiap-tiap yang terkunci,
yang mengurnia hidayah supaya terbuka segala kesamaran
kerana padaNYA  kunci perbendaharan yang ghaib.


Hati QALBUN membina iman.
Limpahan keyakinan berpaut kepada taliNYA.
Walau dihumban ke dasar bermacam pedoman.
Jika tenggelam, tenggelamlah dengan kepercayaan yang unggul,
yakni, 
tentang yang terlihat,
tentang yang ghaib.
Zikirlah...zikirlah...

Ya Allah... ya Allah... ya Allah...
Tarikan lidah,
basahkan bibir,
tetapkan hati.
Nescaya tergenggam kekuatan ditangan
guna merejam nafsu yang ingkar.


Hati FUADDUN, katanya sekelopak hati dihuni Islam.
Menyanjung dengan azam keta'atan 
dan menyempurnakan segala yang diwajibkan
lalu buktikan bukan pada diri yang lain.
Zikirlah...zikirlah...

Laa Ilaha Illallah...laa Ilaha Illallah...laa Ilaha Illallah...

disemadikan penafian kewujudan yang lain
lantas meisbatkan yang hak hanya Allah!
Lantunan dari yang empunya diri
lalu lemas di dalam keesaanNYA.


Hati LABBUN acapkali bertanya perihal Tuhan.
Kerana benih tauhid tersemat bersama-sama.
Rasa hati pernah berbicara
tetapi di mana, 
namun hati berbisik 
jangan lalai, tiada alpa.
Zikirlah...zikirlah...

Allah...Allah...Allah...
Nama Zat Tuhan yang disembah.
Zat yang mutlak.
Tenang hati kerana mengingatiNYA.
Tenteram jiwa kerana mengenaliNYA.
Kental iman ialah matlamat.
Berdegupnya hati ditunggangi kalimah Jalalah
Allah...Allah...Allah...
Bertempo dan bersuara dengan kehendak Azawajalla
yang Maha Suci dari dampingan.


Hati NAFSUN hati makrifatullah.
Kenal DIA kewajipan insan
yang bermusafir atas bumi Allah menuju Allah.
Kembali kepadaNYA tanpa dipinggirkan.
Zikirlah...zikirlah...

Ya Hu...ya Hu... ya Hu...
Selagi jantung berdenyut.
Selagi nafas turun dan naik.
Meletakkan zikrullah pada tempatnya.
Lapang dan nyaman,
penghibur dan peneguh jiwa yang tekun
pasti menjadi insan yang siaga
dan mencitakan hamba yang diredhaiNYA.


Ya Allah...ya Zaljalal wal Ikram.



Wallahua'lam.

- Tuk Ki   





Saturday 22 June 2013

HADIS : MUKMIN DI ALAM BARZAKH

13 SYA'ABAN 1434 H

( N 48 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS : MUKMIN DI ALAM BARZAKH




Bagaimana keadaan seorang mukmin (orang beriman yang ta'at dan beramal  dengan perintah Allah dan Rasulnya serta melakukan sunnah-sunnahnya sebaik mungkin) melalui sa'at sakaratul maut dan perjalanan di alam barzakh (kubur)? 

Di dalam hadis dibawah, dinukilkan sebahagian daripada maksud hadis  mengenai keadaan tersebut.

"Dari Al-Barra' bin 'Azib katanya: Kami keluar bersama-sama Nabi s.a.w. pada jenazah seorang lelaki Ansar, kami sampai ke kubur sebelum dimasukkan ke dalam lahad, maka Rasulullah s.a.w. duduk menghadap kiblat dan kami duduk di sekelilingnya, seakan-akan ada burung di atas kepala kami (*), baginda memegang sebatang kayu lalu dipukulkannya ke bumi dengan pukulan yang ringan, ia memandang ke langit dan memandang ke bumi, ia mengangkat dan menurunkan pandangannya sebanyak tiga kali, lalu bersabda : Berlindunglah kamu kepada Allah dari seksa kubur, dua atau tiga kali, kemudian berdoa : Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari azab kubur (sebanyak tiga kali).

(*) - Diam tekun mendengar pengajaran baginda s.a.w. 

Kemudian bersabda: Sesungguhnya hamba yang mukmin apabila sudah hampir terputus dari dunia dan menuju ke akhirat, malaikat turun kepadanya dari langit, berwajah putih bersih, wajah mereka bersinar bagaikan matahari, mereka membawa kain kafan dan wangian dari syurga, sehingga mereka duduk daripadanya seluas pandangan mata, kemudian datang malaikat maut sehingga duduk di sisi kepalanya lalu berkata: Wahai diri yang baik (di dalam satu riwayat: diri yang tenang tenteram) keluarlah kepada keampunan dan keredhaan Allah.

Sabdanya: Maka keluarlah ia mengalir seperti mengalirnya air dari bekas minuman lalu diambilnya ( di dalam satu riwayat : sehingga apabila rohnya   keluar ia didoakan oleh seluruh malaikat antara langit dan bumi, dan seluruh malaikat di langit, dan dibukakan baginya pintu-pintu langit, tidak ada satupun dari penjaga pintu langit melainkan mereka berdoa kepada Allah agar rohnya dinaikkan dari sisi mereka), apabila rohn nya telah diambil tidak dibiarkan di tangannya walaupun sekedip mata sehingga ia diletakkan pada kain kafan dan wangian itu, yang demikian berdasarkan firman Allah: "Lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya)." (Al-An'nam: 61), dan keluar daripadanya wangian yang tidak pernah didapati seumpamanya di bumi.

Sabdanya: Kemudian mereka membawanya naik maka mereka tidak melalui sekumpulan malaikat melainkan mereka bertanya: Roh siapakah yang harum ini? Mereka menjawab: Fulan bin Fulan disebutkan dengan sebaik-baik namanya yang mereka namakan dengannya di dunia, sehingga mereka sampai ke langit dunia lalu mereka minta dibukakan pintu, lalu dibukakan pintu baginya, maka setiap panghuni langit mengiringinya ke langit berikutnya, hingga sampai ke langit yang ke tujuh, lalu Allah s.w.t. berfirman: Tulislah hambaKu  di 'Illiyin, "Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa ia 'ILLIYIN itu? Ialah (tempat simpanan) kitab catitan yang jelas nyata. Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya." (Al-Mutaffifin: 19-21), maka dituliskan kitabnya di 'Illiyin kemudian diseru: Kembalikanlah ia ke bumi, maka sesungguhnya Aku telah menciptakan mereka daripadanya, Aku mengembalikan mereka kepadanya dan daripadanya Aku keluarkan mereka sekali lagi.

Sabdanya: Maka dikembalikan ke bumi dan rohnya dikembalikan kepada jasadnya, (Katanya: Sesungguhnya ia mendengar bunyi kasut sahabat-sahabatnya apa bila mereka pergi meninggalkannya), lalu didatangi dua malaikat (yang sungguh menakutkan lalu membentaknya) dan mendudukkannya kemudian keduanya bertanya kepadanya: Siapa Tuhanmu? Jawabnya: Allah Tuhanku. Keduanya bertanya: Apa agamamu? Jawabnya: Islam agamaku. Keduanya bertanya: Siapakah lelaki ini yang diutuskan di kalanga kamu?(**) Jawabnya ia Rasulullah s.a.w. Keduanya bertanya lagi: Apa pengetahuanmu? Jawabnya: Aku membaca kitab Allah lalu beriman dan mempercayaiNya, iaitu akhir fitnah yang dipaparkan ke atas orang mukmin, maka yang demikian ketika Allah s.w.t. berfirman: "Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia." (Ibrahim: 27) lalu berkata: Allah Tuhanku, Islam agamaku dan Muhammad s.a.w. nabiku, maka menyeru panyeru di langit: HambaKu benar, maka bentangkanlah untuknya tempat tidur dari syurga, beri pakaian dari syurga, bukakan baginya pintu ke syurga. Sabdanya: Lalu didatangi wangian syurga dan diluaskan kuburnya seluas pandangan mata.

(**) - seolah-olah baginda s.a.w. berada di situ sedangkan umat terkemudian tidak mengenali baginda tetapi seorang mukmin akan mengenali baginda dengan kehendakNya.

Sabdanya: Dan didatangi (di dalam satu riwayat: dijelmakan baginya) seorang lelaki berwajah indah, berpakaian cantik dan berbau harum, lalu berkata: Bergembiralah dengan yang mengembirakanmu (bergembiralah dengan keredhaan Allah dan syurga-syurga yang padanya nikmt yang berkekalan), inilah hari yang telah dijanjikan kepadamu, lalu ia bertanya kepadanya: (Dan Allah juga mengembirakanmu dengan kebaikan) siapakah engkau? Engkau datang wajah yang indah membawa kebaikan, lalu jawabnya: Aku adalah amal solehmu (maka demi Allah aku tidak mengenalimu melainkan engkau bersegera mentaati Allah dan menjauhkan diri dari melakukan maksiat kepada Allah, maka membalasmu dengan kebaikan), kemudian dibukakan baginya sebuah pintu dari syurga dan sebuah pintu dari neraka, lalu diberitahu: Ini tempatmu sekiranya engkau menderhaka kepada Allah, Allah telah menukarkan dengan yang ini, apabila melihat apa yang ada di dalam syurga ia berkata: Wahai Tuhan! segerakanlah hari kiamat agar aku dapat kembali kepada ahli keluarga dan hartaku (***), (lalu diberitahu kepadanya: Diamlah).

- Riwayat Abu Daud, Al-Hakim, At-Tayalusi dan Ahmad, dan Al-Ajuri.

(***) - Ia memohon kepada Allah Ta'ala supaya mempercepatkan hari kiamat (sebab bila berlaku kiamat ia akan dibangkitkan dari alam kubur ke alam akhirat dan dimasukkan ke dalam syurga yang dijanjikan).

PENGAJARAN 

1. Anjuran supaya orang yang hadir di masa pengkebumian supaya duduk.

2. Rasulullah memerintahkan umatnya perbanyakkan berdoa memohon perlindungan azab kubur.

3. Anjuran supaya memberi nasihat dan peringatan di sisi kubur kepada para hadirin kerana jiwa hadirin dekat kepada Allah ketika itu.

3. Meminta ampunan, belas-kasihan dan kerahmatan Allah Ta'ala bagi mayat setelah dikebumikan.

4. Penjelasan mengenai proses dari mula pengambilan roh dan perjalanan roh di alam barzakh dengan baik dan mengembirakan bagi orang-orang mukmin yang soleh berbanding dengan roh orang-orang yang kufur dan derhaka (diterangkan di dalam sebahagian lagi hadis ini - insya Allah, akan dinukilkan kelak).

Wallahua'lam.

(Sumber: Kuliah berdasarkan kitab 'Qisosul Ghaib fi Sohihul Hadisil Nabawi')

- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)  




*** sila juga baca ...YANG ENGKAR DI ALAM BARZAKH klik di sini.

Sunday 16 June 2013

BALASAN PELAKU HOMOSEKS / LIWAT

7 SYA'ABAN 1434 H

( N  47 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

BALASAN PELAKU HOMOSEKS / LIWAT

Firman Allah S.W.T (dialog Nabi Lut a.s dengan kaumnya) bermaksud: 

"Mengapakah kamu mendatangi kaum lelaki daripada sekelian isi alam?" 
- Surah Al-Syua'ara' ayat 165.

Nabi Lut a.s telah diutuskan untuk memberi peringatan kepada kaumnya supaya meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dan dibenci Allah Ta'ala (liwat) dan supaya beriman, tetapi mereka tidak memperdulikannya. Maka Allah Ta'ala telah membinasakan mereka dengan hujan batu yang dahsyat.

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: 

"Barangsiapa* mengerjakan perbuatan kaum Nabi Lut (homoseks/liwat) maka hendaklah kamu bunuh pelakunya dan yang diperlakukan."
* akil baligh.

Ibn Abbas r.a berkata berkenaan hukuman ke atas pelaku liwat: 

"Hukuman (hudud) bagi yang melakukan liwat itu hendaklah dilontar dengan batu pada tempat yang tinggi hingga mati. Sesungguhnya Allah Ta'ala telah merejam kaum Nabi Lut dengan batu daripada dua langit dan jika dimandikan orang yang melakukan liwat itu dengan semua air di dunia ini nescaya tiada hilang najis pada tubuhnya sehingga mati."

'Apabila lelaki berzina dengan lelaki, maka bergerak 'arasy dan malaikat-malaikat akan berpegang pada tiang 'arasy serta membaca surah al-Ikhlas sehinggalah hilang gerak 'arasy Tuhannya.'

Bersabda Nabi s.a.w. lagi, maksudnya:

"Ada tujuh golongan yang diseksa dengan seksaan yang pedih. Pertama ialah yang meliwat, kedua ialah yang sanggup diliwat, ketiga ialah orang yang berzina dengan perempuan pada duburnya, keempat ialah yang berzina dengan binatang, kelima ialah yang berzina dengan perempuan dan anaknya, keenam ialah yang berzina dengan perempuan yang bersuami, ketujuh ialah orang yang menyakiti orang sekampung dengannya melainkan ia bertaubat."

Pintu taubat sentiasa terbuka dengan taubat nasuha.

Nabi Sulaiman a.s ada bertanya kepada Iblis:

"Katakan kepadaku apakah perkara yang engkau amat sukai?" Iblis menjawab, "Tiada satu yang terlebih hamba suka tuanku, selain daripada liwat."

Nabi s.a.w. turut memberi amaran kepada golongan homoseks ini melalui sabdanya yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mati padahal dia mengerjakan perbuatan kaum Nabi Allah Lut, tiada diam dia di dalam kuburnya walaupun sesaat. Maka Allah s.w.t. memerintah malaikat seperti burung menyambar mayat itu dengan dua kakinya dan diterbangkan ke tempat kaum Nabi Lut serta ditulis pada dahinya bahawa ia telah putus daripada rahmat Allah."





"Akan datang pada hari kiamat beberapa orang kanak-kanak yang tidak berkepala. Allah s.w.t. berkata pada mereka, "Siapakah kamu?" Mereka  menjawab, "Kami telah dianiaya." Maka Allah Ta'ala berkata, "Siapakah yang menginaya kamu?" Maka sembah mereka, "Bapa kami (yang mendatangi duburnya)."

Na'uzubillah.

Wallahua'lam.

(Sumber: kuliah berdasarkan kitab 'Tanbihul Ghofilin').


 -Tuk Ki 
(Daripada talib kepada mukallaf)   

    

Saturday 1 June 2013

HADIS : KITA ADALAH PENGEMBARA

22 REJAB 1434 H

( N  46 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS : KITA ADALAH PENGEMBARA.



Daripada Ibni 'Umar r.a katanya (bermaksud) : Rasulullah S.A.W memegang bahuku lalu bersabda, "Jadikan dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau atau pengembara."

Ibni 'Umar ia berkata (bermaksud): "Jika engkau berada pada waktu petang, janganlah egkau menunggu waktu pagi. Jika engkau berada pada waktu pagi, janganlah engkau menunggu waktu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati." - ( Riwayat al-Bukhari).

INTIPATI HADIS:

1. Seseorang hamba diibaratkan seorang yang sedang mengembara menuju Allah S.W.T. Janganlan terlampau cenderung kepada dunia dan jangan bermatlamat dan menjadikannya sebagai tempat menetap dan bercita-cita kekal lama padanya. Hendaklah menganggap diri ini seperti orang yang sedang bermusafir yang membawa bekalan yang diperlukan. Sentiasa menyedari tempat singgahan adalah sementara sahaja. 

2. Berzuhud di dunia dan tidak boleh panjang angan-angan. Ia dapat dilaksanakan dengan meyakini bahawa dunia akan binasa dan ditinggalkan dan meyakini bahawa akhirat yang kekal dan berterusan akan pasti tiba.

3. Seorang Muslim hendaklah bersegera melakukan amalan soleh dengan mengingati bahawa kematian yang menamatkan segala kelazatan tetap akan dilalui oleh setiap orang tetapi tidak diketahui bila waktunya.

4. Banyak mengingati mati dapat menghindarkan seorang itu daripada melakukan maksiat, melembutkan hati yang keras, menghilangkan sifat rakus dengan keseronokan dunia serta mendorong kesungguhan  dan mujahadah untuk beramal untuk akhirat.

5. Seseorang yang tidak mengambil peluang melakukan ketaatan dan amal kebajikan ketika hidupnya dan sihatnya, akan menyesal di akhirat.

Firman Allah S.W.T terjemahannya:

99. (Demikianlah orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata "Ya Tuhanku, kembalikan aku (ke dunia)." **

100. Agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya. Dan dihadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan. ***
- Surah al-Mukminun: 99 ~ 100

** Maksudnya: Orang-orang kafir (orang yang engkar) diwaktu menghadapi sakaratul maut, meminta diperpanjangkan umur mereka agar mereka dapat beriman dan berbuat amal soleh.

*** Maksudnya: Mereka sedang menghadapi kehidupan di dalam kubur, yang membatasi antara dunia dan akhirat.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki
 (Daripada talib kepada mukallaf)