MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Saturday 31 December 2011

PANTUN MAKAN-MAKAN (Bah. 1)

(I 9)  ILHAM ILAHI


PANTUN MAKAN-MAKAN (Bah. 1)

Pandan dan gula jadikan kuah.
   Terjadi kuah dicampur santan.
Makan dimula dengan Bismillah
   Alhamdulillah pula di akhir makan.

Jalan yang landai mudah dilalui.
   Ada joran dibawa bersama.
Makan lupa selain diri sendiri.
   Kepada jiran berilah juga.

Maya Karan menggoyang badan.
   Berlegar-legar di tepian sawah.
Makan bukan sebarang makan.
   Ajar anakmu makan mengikut sunnah.

Persatuan nelayan di Tanjung Karang.
   Janji menubuh Persatuan Laut Dalam.
Jangan makan terlampau kenyang.
   Nanti terlepas subuh dan sembahyang malam.

Juragan bukan macam gelandangan.
   Tetapi selalu tiada di rumahnya.
Jangan makan berselera sembarangan.
   Ambil tahu halal haramnya.

Halau cipan ceroboh ladang.
   Cipan lari dari dikurung.
Kalau makan buffet terhidang.
   Jangan pinggan diisi menggunung.

Si bapa cegah mandi berbogel.
   Kerana tak galak pengintai mencelah.
Merasa gah makan di hotel.
   Sehingga tak sedar melanggar sunah.

Tali iman solat ditinggal jangan.
   Hati yang karat, hati yang mati.
Nabi makan tangan yang kanan.
   Tradisi barat dengan yang kiri.

Kemari dipanggil, tak nak aku malas.
   Apabila ditengking janganlah sebak.
Ke kenduri tahlil hendaklah ikhlas.
   Gembira menjeling makanan yang banyak.

Malu bertanya dengan si polan.
   Rapi sifatnya tegas orangnya.
Selalu berdo'a sebelum makan.
   Tetapi lupa pula berdo'a selepasnya.

Tuk Ki


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI
                                            2012   
                                       

Thursday 29 December 2011

JENAYAH - QISAS , DIAT & SUMPAH

(N9) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

JENAYAH- QISAS, DIAT & SUMPAH
(Sambungan dari pos yang lalu - HUDUD)

Pembunuhan ada 3 jenis.
1. Membunuh semata-mata dengan sengaja.
2. Kerana tidak sengaja..
3. Sengaja tetapi tersilap (seakan-akan sengaja).

Membunuh semata-mata dengan sengaja.
Membunuh dengan barang yang boleh membunuh pada kebiasaannya dan berniat  membunuhnya, maka wajib qisas (dibalas bunuh) keatas pembunuh itu. Jika ahli keluarga si mati memaafkannya , wajiblah dibayar diat yang berat yang diambil harta dari harta si pembunuh.

Membunuh kerana tidak sengaja.
Seperti menembak ke sasaran tertentu tetapi mengenai seseorang dan ia mati ( secara tidak disengajakan). Dalam kes seperti ini tertuduh tidak dibalas bunuh tetapi wajib membayar diat keatas keluarga si mati , diberi tempoh selama 3 tahun.

Membunuh dengan sengaja tetapi tersilap (seakan-akan sengaja).
Seperti seseorang yang memukul mangsanya dengan alat yang tidak boleh membunuh pada kebiasaannya lalu mati ia. Pembunuh tidak wajib qisas ke atasnya tetapi wajib membayar diat yang berat kepada keluarganya dalam tempoh 3 tahun.

QISAS (PEMBALASAN YANG SAMA)- syarat-syarat wajib qisas.
Ada 4 syarat seperti berikut:
1. Pembunuh seorang yang baligh.
2. Berakal.
3. Bukan ayah kepada yang dibunuh.
4. Yang dibunuh lebih rendah kedudukannya dari pembunuh samaada sebab kafir atau hamba.

Dibalas bunuh jamaah dengan sebab membunuh seorang, dan setiap 2 orang yang berlaku keatasnya  qisas diantara keduanya pada diri , berlaku juga antara keduanya qisas pada tubuh badan.
Syarat-syarat wajib qisas pada anggota badan selepas syarat-syarat yang disebutkan di atas, ada 2 lagi:
1. Ada persamaan dalam nama yang khusus yakni anggota badan yang kanan  diqisas dengan yang kanan , anggota yang kiri diqisas dengan belah kiri.
2. Tidak berlaku pada salah satu anggota yang lumpuh.

Setiap anggota badan yang dilukai dari bahagian ruasnya (sendi), padanya berlaku hukum qisas, dan tidak perlu qisas pada anggota yang luka kecuali luka yang menampakkan tulang.

DIAT (PAMPASAN / DENDA)
Ada 2 jenis diat: BERAT dan RINGAN.
BERAT: 100 ekor unta yang mengandungi 30 ekor unta hikkah (umur 4 tahun), 30 ekor unta jaz'ah (umur 5 tahun) dan 40 ekor unta khalifah (bunting).
RINGAN: 100 ekor unta yang mengandungi 20 hikkah, 20 jaz'ah, 20 bintu labun (betina 2 tahun), 20 ibnu labun (jantan 2 tahun) dan 20 bintu makhad (betina 1 tahun).

Jika  ketiadaan unta , ditukar kepada pembayaran harga (ada pendapat ) 1,000 dinar atau 12,000 dirham dan ditambah ke atasnya 1/3 jika denda itu diberatkan kerana
1. membunuh di Tanah Haram,
2. membunuh di bulan-bulan Haram
3. atau membunuh orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan (mahram).

SUMPAH DALAM KES PEMBUNUHAN
Apabila dakwaan pembunuhan disertai bukti-bukti yang meyakinkan akan kebenaran pendakwa, maka si pendakwa mesti bersumpah 50 kali, dan dia berhak mendapat diat.Jika tiada bukti tertuduh boleh bersumpah 50 kali dan bebas lah ia dari membayar diat.
Pembunuh yang membunuh (kerana tersilap) orang yang diharam Allah membunuhnya, wajib membayar kaffarah (denda) iaitu membebaskan  hamba perempuan Islam yang tidak cacat dari keaiban yang memudaratkan. Jika tiada maka wajib berpuasa 2 bulan berturut-turut.

Wallahua'lam.

Sumber: kitab Mukhtasar Abi Syuja' dan kuliah.
(Sebarang penerangan lanjut boleh lah bertanya dengan para ustaz/ah yang layak).

Tuk Ki
Dari talib ke mukallaf.                                        







Friday 16 December 2011

PUISI / SAJAK- DI AKHIR SENJA /HUDUD -zina, qazaf, arak, curi, rompak,syial, murtad, tidak solat

(N8) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HUDUD (HUKUMAN)

Hudud ialah hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala dalam Al Quran yang tidak boleh diubah-ubah oleh manusia.

ZINA
Orang yang melakukan zina ada 2 jenis:
1. Pelaku yang sudah berkahwin
2. Pelaku yang belum berkahwin.
Orang berkahwin  hukumannya adalah rejam sampai mati, manakala yang belum berkahwin hukumannya 100 kali sebatan dan buang daerah selama 1 tahun sejauh jarak yang boleh diqasarkan solat ( 81 kilometer dan lebih).
Syarat-syarat yang berkahwin ada 4
1. Baligh
2. Berakal
3. Merdeka
4. Terdapat persetubuhan pada nikah yang sah.

Hukuman meliwat dan mendatangi binatang adalah seperti hukum zina. Sesiapa yang menyetubuhi tidak pada kemaluan perempuan ( seperti bahagian dubur dan bahagian lain) akan dihukum dabawah ta'zir ( hukuman yang tidak terkandung dalam Al Quran yakni yang dibuat oleh pemerintah),tidak boleh sampai ke batas hukum hudud yang paling minima.

QAZAF (MENUDUH SESEORANG BERZINA) - HUKUM-HUKUM
Apabila berlaku pertuduhan seseorang melakukan zina, maka keatasnya  had qazaf dengan 8 syarat, 3 darinya pada si penuduh iaitu:
1. Sudah baligh
2. Berakal
3. Bukan ibu / bapa kepada tertuduh.
Baki 5 syarat  pada tertuduh iaitu:
1. Seoarang Muslim
2. Baligh
3. Berakal
4. Merdeka
5. Menjaga kehormatan diri.

Dihukum orang merdeka 80 kali sebatan dan hamba 40 kali.
Gugur hukuman qazaf dengan 3 perkara:
1. Mengadakan baiyinah (keterangan saksi)
2. Atau dimaafkan oleh tertuduh
3. Atau li'an (laknat) pada hak isteri.

HUKUMAN MINUM ARAK
Sesiapa yang meminum arak atau pun mengambil benda yang memabukkan dihukum 40 kali sebatan. Boleh sehingga 80 kali dalam bentuk ta'zirdan wajib keatasnya dengan salah satu perkara: Baiyinah atau ikrar , dan tidak dihukum kerana muntah dan kerana tercium bau arak padanya.

HUKUMAN MENCURI
Dipotong pergelangan tangan pencuri dengan 3 syarat:
1. Ia sudah baligh
2. Berakal
3. Ia mencuri nisab (bilangan) yang nilainya bersamaan dengan seperempat dinar (9.5 gram emas) atau lebih yang diambil dari tempat simpanan yang selayaknya , bukan miliknya dan bukan berlaku syubhah (ragu) pada harta yang dicuri darinya.

Kesalahan pertama dipotong pergelangan tangan kanannya. Jika ia mencuri lagi dipotong pergelangan kaki kirinya. Jika mencuri kali ketiga dipotong pergelangan tangan kanannya dan jika masih mencuri kali keempat dipotong pergelangan kaki kanannya. Kalau ia masih mencuri maka boleh dijatuhkan hukuman ta'zir seperti penjara atau lebih berat.

HUKUM-HUKUM PEROMPAK
Perompak ada 4 jenis:
1. Jika mereka membunuh dan tidak mengambil harta , mereka hendaklah dihukum bunuh.
2. Jika mereka membunuh dan merampas harta, hendaklah dibunuh dan disalib.
3. Jika merampas harta tetapi tidak membunuh, hendaklah dipotong tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka secara berselang seli.
4. Jika mereka mengganggu jalan (ketenteraman awam) , tidak membunuh dan tidak mengambil harta, mereka hendaklah dikurung dan dita'zir.
Barangsiapa dari mereka bertaubat sebelum berjaya ditangkap, maka jatuhlah darinya hukuman (gugur hukuman) dan mereka dituntut dalam hak sesama manusia.

HUKUM-HUKUM SYIAL (MEMBUNUH KERANA MEPERTAHANKAN DIRI)
Sesiapa dalam mempertahankan dirinya, atau hartanya, atau isterinya, telah menjadi seorang pembunuh maka tiada ganti rugi atasnya.
Keatas penunggang binatang (kenderaan) diwajibkan membayar ganti rugi dengan sebab apa yang dirosakkan oleh binatang (kenderaan) tunggangannya.

Dihukum ahli baghyi (pemberontak) dengan 3 syarat:
1. Mereka memiliki kekuatan, kelengkapan perang.
2. Mereka benar-benar keluar dari cengkaman Imam.
3. Bagi merka ta'wil yang tidak dapat diterima.
Tidak dibunuh tawanan, tidak dirampas harta mereka, dan yang cedera tidak boleh dihabiskan jiwa mereka (dibunuh).

MURTAD
Sesiapa yang murtad dari Islam akan diminta bertaubat dalam masa 3 hari, dan jika ia bertaubat maka ia dibebaskan. Jika tidak ia akan dihukum bunuh, tidak dimandikan, tidak disembahyangkan dan tidak ditanam  di perkuburan orang Islam.

HUKUM-HUKUM ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT
Orang yang meninggalkan solat ada 2 jenis:
1. Seorang yang meninggalkan solat dan tidak beri'tikad (berpegang teguh) bahawa solat itu wajib, maka hukumnya mengikut hukum murtad.
2. Ia meninggalkannya kerana malas sedangkan ia beri'tikad solat itu wajib keatasnya, maka ia diminta bertaubat. Jika ia bertaubat dan mengerjakan solat, ia dimaafkan , jika tidak ia dihukum bunuh cara had dan hukumnya adalah hukum orang Muslim ( dimandi,dikafan,disolat, dikebumikan sebagai seorang Islam).

Wallahua'lam.
(Posting akan datang: JENAYAH / QISAS)
Sumber: kitab 'Mukhtasar Abi Syuja' dan kuliah.


                                        Video: terbukti keberkesanan apabila hukum Allah
                                        dilaksanakan di Arab Saudi - kadar jenayah paling 
                                        rendah di dunia.

Tuk Ki
_____________________________________________________________

(I 8) ILHAM ILAHI

PUISI / SAJAK



                            DI AKHIR SENJA


Di kala fajar 
kamu berlabuh di pelabuhan yang rahim.
Disambut kegembiraan
penuh kegusaran.
Naif dalam alammu
dilayar ibu ayahmu.

Di kala dhuha
langit rupanya luas.
Bumi merayu terokailah aku.
Lalu terbang persis layang-layang.
Siapa aku 
untuk apa aku begini.

Di kala zohor
pendakian ini tidak kamu temu puncaknya.
Kerap terhantuk
kadang-kadang jatuh.
Cita-cita murni sering dikabusi
kelompangan yang amat nyata.

Di kala asar
yang dihidayahi pantas bangun dari perbaringan.
Yang dalam zulumat enggan menyapa cahaya yang melintasimu.
Untuk mengutip mutiara atau hanya tulang belulang
atau mengambil najis diselaputi emas.
Lalu kamu mengintai giliran maghrib.

Di kala senja
tika yang tepat membeli masa
dengan ilmu untuk digilap.
Bukannya seperti mereka menjual masa
dengan kepayahan yang dicipta.

Katanya "Masa yang berlalu adalah  barangmu yang paling jauh dengan kamu,"
katanya lagi "dan mati adalah barangmu yang paling hampir dengan kamu."
Kamu tiba di sini, tika di akhir senja.
Menyusul kamu sebagai pengemis
atau pedagang yang untung
dianugerah darjah bijaksana.


Tuk Ki  

Thursday 15 December 2011

KALENDAR HIJRIAH: TAHU TARIKH LAHIR ANDA ?

Ramai daripada kita masih tidak mengetahui tarikh sebenar kita dilahirkan mengikut kalendar Islam. Pada masa lalu tarikh mengikut tahun Hijriah ada dicatitkan disamping tarikh Masihi didalam surat pendaftaran kelahiran tetapi amalan itu telah dihentikan. Akibat dari kebiasaan kita dengan kalendar gregorian kita cenderung lupa bahawa banyak perkara-perkara agama yang melibatkan bulan dan tahun adalah merujuk kepada Hijriah. Umpamanya Nabi s.a.w wafat ketika berumur 63 tahun Hijriah bukan mengikut kiraan tahun Masihi.

Jika anda ingin mengetahui tarikh lahir anda mengikut Islam sila pergi ke hujung bawah halaman ini 
dan klik IslamiCity  seterusnya klik Hijri date converter. Sebagai seorang Islam patut sangatlah kita mengetahuinya.

UPDATE: Jika anda ingin mengetahui tarikh lahir anda mengikut tarikh Islam sila pergi ke sebelah kanan halaman ini dan klik 'hijiriah converter' dan klik 'hijri date converter' di dalam laman web itu.

Wassalam, 
Tuk Ki