MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Tuesday 21 April 2015

SOLAT TAHAJUD (AL-ISRA' & AL-INSAN): ANEKDOT TAKWA (28)

2 RAJAB 1436 H

( N  87 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA


ANEKDOT TAKWA (28):

SOLAT TAHAJUD (AL-ISRA' & AL-INSAN)

Bersempena bulan Rajab yang mulia ini elok kita memperbaharui amalan tambahan kita seperti amalan qiamullail yang dianjurkan al-Quran dan Nabi s.a.w. 

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Dan pada sebahgian malam,lakukanlah solat tahajud (sebagai satu ibadah) tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ketempat yang terpuji."   - Al-Isra': 79

"Dan pada sebahgian malam, maka bersujudlah (solat maghrib dan isya') kepadanya dan bertasbihlah (qiamullail/solat tahajud)pada bahagian yang panjang di malam hari."   - Al-Insan : 26

Semoga kita dapat melakukannya dengan istiqamah/terus menerus dengan pertolongan daya dan kekuatan Allah Yang Maha Agung.

Wallahua'lam.


- Tuk-Ki -Jemaah
(daripada talib kepada mukallaf)
 






Wednesday 8 April 2015

Sambungan...DUA TRAGEDI SAFAR TAHUN 4 HIJRAH

18 JAMADIL AKHIR 1436 H

( N  86 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

SIRAH :

Sambungan....DUA TRAGEDI SAFAR TAHUN 4 HIJRAH.

Selepas berlaku peristiwa al-Raji', berlaku pula satu lagi satu peristiwa yang menyedihkan oleh kerana kehilangan ramai jiwa para sahabat Baginda Rasulullah s.a.w.

TRAGEDI KE 2: BI'R MA'UNAH.

Baginda s.a.w telah menyeru Abu Bara' Amir bin Malik, yang telah menemui Baginda s.a.w di Madinah, kepada Islam. Pada harapan Baginda s.a.w Abu Bara' Amir akan menganut Islam apabila beliau meminta Baginda s.a.w menghantar rombongan dakwah ke Najdi untuk menyebarkan agama Islam. Baginda s.a.w menyatakan kepada beliau yang sebenarnya Baginda s.a.w merasa curiga dengan penduduk Najdi itu. Lantas Abu Bara' Amir memberi jaminan untuk melindungi rombongan yang akan dihantar oleh Nabi s.a.w.

Dengan jaminan itu, Nabi s.a.w telah menubuhkan satu rombongan 70 orang kaum Muslimin yang terdiri daripada golongan pemimpin, qari (penghafaz al-Quran) dan kenamaan diketuai oleh al-Munzir bin Amru dari Banu Sa'idah.

Setibanya mereka di suatu tempat yang dikenali sebagai Bi'r Ma'unah yang terletak diantara perkampungan Banu Amir dan Banu Salim, mereka telah singgah disitu. Mereka menghantar Hiram bin Milhan saudara Ummu Salim untuk menyampaikan sepucuk risalah dari Rasulullah s.a.w kepada seorang musuh Allah bernama Amir bin Tufail. Apabila Amir bin Tufail menerima risalah tersebut, tanpa melihat kandungan risalah itu beliau telah mengarah orang-orangnya membunuh Hiram. Hiram telah ditikam dari belakang. Apabila Hiram mendapati darahnya mengalir dari tikaman itu beliau sempat berteriak "Allahu Akbar! Demi Tuhan Ka'abah, aku telah berjaya!" dan beliau telah gugur syahid. 

Amir bin Tufail telah menyeru kaumnya menyerang dan membunuh rombongan kaum Muslimin di Bi'r Ma'unah tetapi mereka enggan kerana rombongan Nabi s.a.w itu adalah di bawah perlindungan Abu Bara'. Amir telah pergi meminta pertolongan Banu Salim dan dengan puak-puak Usaiyah, Ra'al dan Zakwan mereka mengepung sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Para sahabat telah menentang habis-habisan sehingga gugur syahid kesemuanya kecuali Ka'ab bin Zaid bin al-Najar yang bersembunyi di bawah jenazah-jenazah sahabatnya. Beliau hidup hingga ke peperangan al-Khandak.

Pada masa yang sama, ada sekumpulan kecil orang Islam telah melihat burung-burung terbang mengelilingi tempat kejadian. Bersama-sama mereka ialah Amru bin Umaiyah al-Dhamri dan al-Munzir bin Uqbah bin Amir. Al-Munzir bersama-sama kumpulannya turun melawan kaum musyrikin itu tetapi beliau dan orang-orangnya turut terbunuh manakala Amru telah ditawan. Setelah mengetahui Amru ialah dari qabilah Mudhar, beliau telah dibebaskan. 

Amru telah melaporkan kejadian itu kepada Rasulullah s.a.w yang amat berdukacita dengan peristiwa yang menyayat hati itu. Tambahan pula peristiwa al-Raji' baru berlaku dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Wallahu a'lam.

Sumber: kuliah berdasarkan kitab Al-Raheeq Al-Makhtum.

-Tuk Ki Jemaah
 (Daripada talib kepada mukallaf)

Tradedi 1 baca klik disini

Monday 6 April 2015

RIAK, UJUB, HASAD : IMAM AL-GHAZALI

16 JAMADIL AKHIR 1436 H

 (  N 85 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (27) :

RIAK, UJUB, HASAD : IMAM AL-GHAZALI R.T
Add caption

Berkata Imam al-Ghazali r.t :

Ketahui olehmu bahawa segala perkara perkara ini, yakni riak, ujub (kagum terhadap diri sendiri) dan hasad adalah ibu kepada sifat-sifat keji didalam hati seseorang. Ini disertai oleh sifat sangat kasih kepada dunia. Kerana inilah Nabi s.a.w bersabda:
Bermula sangat kasih kepada dunia, yaitu, kepala segala kesalahan, segala kejahatan, segala dosa dan segala maksiat. Dunia itu adalah ladang bagi akhirat, yakni tempat mengambil bekal untuk akhirat. Barangsiapa mengambil daripada dunia sekadar dharurah, yakni sekira-kira hajat yang dapat membantu ia atas jalan menuju akhirat maka dunia itu adalah tempat mengambil bekal yang bermanfaat kelak di akhirat.
Barangsiapa yang menghendaki dunia kerana untuk bersedap-sedap, bersuka-suka dan bersenang-senang maka dunia itu adalah tempat membinasakan dirinya sendiri. 

Wallahua'lam.

Sumber: kuliah dengan kitab Hidayatul Salikin

Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)

  


Wednesday 1 April 2015

TAUHID BHG. 15: SIFAT IRADAT DAN HUKUM IKTIKAD SESUATU BERI KESAN.

11 JAMADIL AKHIR 1436 H

( N  84 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

ILMU TAUHID BHG. 15:

SIFAT KE 8 IRADAT (PEKEHENDAK) DAN HUKUM BERIKTIKAD SESUATU MEMBERI BEKAS (KESAN).


Adalah wajib pada syarak (agama suruh buat) untuk kita mengetahui serta mengaku di dalam hati bahawa Allah Ta'ala itu bersifat Iradat atau pekehendak. Ia adalah salah satu sifat-sifat Allah Ta'ala yang wajib diketahui dan diperakui. Sifat-sifat Allah Ta'ala yang kamalat (sempurna) itu tidak terkira banyaknya. Tetapi yang wajib untuk diketahui dan diperakui ialah minima tiga belas (13) sifat yang terdapat di dalam Al-Quran.

Barang diingat bahawa Pekehendak bukan bermaksud berhajat. Hajat dimulai oleh nafsu makhluk yang lemah. Padahal sifat Pekehendak (kehendak) yang ada sejak sedia kala (yang tidak ada permulaan) yang berdiri (ada) pada zat (diri) Allah Ta'ala. Mustahil Allah Ta'ala bersifat berhajat.

Dengan sifat Iradat Allah Ta'ala menghendaki dan menentukan keadaan MUMKIN. Mumkin (kemungkinan) ialah perkara baru dan difahami seperti berikut:

Perkara baru            = perkara yang ada permulaan.

Kaedahnya               = perkara yang ada mula pasti ada akhirnya.

Makhluk                   = adalah ALAM.

Alam                          = selain daripada Allah Ta'ala.

Mumkin                   = perkara yang tidak ada dan boleh jadi ada.

Mumkinat              = perkara yang ada dan boleh jadi tidak ada.

Allah Ta'ala berfirman: 

"Sesungguhnya perintahNya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya "Jadilah" maka terjadilah ia." - surah Yaasin: 82.

(Keterangan: Ayat ini adalah ayat mutasyabihat (kiasan) untuk kefahaman hambaNya. Bukan secara literal Allah Ta'ala bermonolog atau berdialog.)

Dengan sifat IradatNya telah ditentukan bagaimana hal kejadian mumkin itu terjadi seperti hitam, puteh, panjang, pendek dan seumpamanya. Dengan sifat IradatNya juga mumkin itu bersifat mutaqabilat, yakni, keadaan mumkin yang tidak terhimpun ke atasnya perkara hal keaadaan yang berlawanan di dalam satu masa dan satu tempat, seperti jika ada sesuatu maka tiadalah ia, jika puteh warnanya maka tiada lain-lain warna; jika di selatan maka tidaklah di utara atau lain-lain arah; jika tinggi maka tiadalah pendek; jika di Perak maka tiada ia di negri-negeri lain; jika sesuatu itu bergerak maka tiadalah diamnya, dll. Begitulah perkara-perkara yang harus berlaku kepada mumkin yang dikehendaki dan ditentukan Allah Ta'ala dengan sifat IradatNya.
Sebenarnya, bukanlah mumkin dan hal keaadaannya terjadi oleh kerana terpaksa, terlalai, terlupa, dengan ilat (disebabkan sesuatu) atau dengan tabiaat. Lima perkara tersebut adalah mustahil bagi Allah Ta'ala.

TA'ALUK (tugas/pekerjaan) IRADAT.

Ta'aluk Iradat keatas setiap mumkin adalah seperti ta'aluk Qudrat (Pekuasa) iaitu ta'aluk mengadakan mumkin. Manakala ta'aluk Iradat ialah menentukan mumkin. Semua perkara mumkin itu merangkumi perkara-perkara yang baik dan jahat/keji. Tetapi wajib kita beradab terhadap Allah Ta'ala dengan tidak menyandarkan kekejian itu kepadaNya melainkan di dalam majlis ilmu dan pembelajaran.
Berhujah bahawa setiap kejahatan itu adalah kehendak Allah Ta'ala sebelum melakukan kejahatan atau sesudah melakukannya semata-mata untuk menghalalkan perbuatan jahat,maksiat dan kezaliman akan menjadi kufur disisi Allah Ta'ala. Kita dilarang redha dengan maksiat walaupun dikehendaki Allah Ta'ala kerana perbuatan redha kepada maksiat itu sendiri adalah berupa satu maksiat juga. Hendaklah seorang pelaku maksiat itu berazam dan berdoa agar dijauhi maksiat.

DALIL BAGI SIFAT IRADAT.

Adalah mustahil jika sesuatu perkara itu bukan Iradat (Pekehendak) Allah Ta'ala.

1. Kita ambil contoh makhluk ini, jika Allah Ta'ala tergagah (teerpaksa) nescaya Dia tidak menjadikan makhluk oleh kerana Dia tidak menghendakinya.

2. Jika Allah Ta'ala lalai atau lupa, nescaya lalai dan lupa itu tidak menghendaki makhluk itu dijadikan dan jika dijadikan juga, oleh kerana lalai dan lupa itu mengakibatkan habis bertukar-tukar hakikat (bentuk) makhluk ini.

3. Jika makhluk ini ada dengan ilat (sebab) Tuhan itu ada, contoh: bergeraknya jari turut menggerakkan cincin, maka ia tidak diterima akal kerana asal makhluk itu tiada. Mustahil makhluk turut ada bersama Tuhan.

4. Jika makhluk turut ada dengan tabi'at, contoh: api tidak menghangus jika tidak disentuh, nescaya makhluk tidak boleh ada juga kerana asal makhluk ini tiada. Tidak boleh makhluk ini tiba-tiba ada.

Inilah pengakuan sebenar Allah Ta'ala dengan firmanNya :-

"Dan kamu tidak dapat menghendaki kecuali apabila dikehendaki (dan ditentukan) Allah, Tuhan semesta alam." - surah At-Takwir : 29.

Maka nyatalah Allah Ta'ala bersifat Iradat.

HUKUM MENGIKTIKADKAN (BERKEYAKINAN) SESUATU ITU MEMBERI BEKAS (KESAN).

1. Jika seseorang beriktikad bahawa sesuatu itu memberi bekas dengan sebab atau dengan tabi'at, contoh: ubat itu menyembuhkan penyakit tanpa ada kaitan langsung dengan Allah Ta'ala, maka dengan tiada khilafnya ia kufur (kafir) disisi Allah Ta'ala.

2. Jika beriktikad kekuatan/keupayaan yang ada pada seseorang atau sesuatu itu memberi bekas (kesan), contoh: ubat menyembuhkan kerana diberikan kekuatan/keupayaan oleh Allah Ta'ala, maka orang itu fasik (berdosa) dan bida'ah yang haram.

3. Jika beriktikad Allah Ta'ala jua yang memberi bekas tetapi dengan pegangan sebahagian daripada hukum adat** , contoh: ubat itu menyembuhkan, maka nyatalah orang itu jahil dengan hukum adat dan kadang-kadang boleh membawa kepada kekufuran. Ini kerana adakala ubat tidak menyembuhkan, makan tidak mengenyangkan; api tidak membakar seperti Nabi Ibrahim a.s tidak terbakar oleh api.

** baca hukum adat klik di sini.

4. Orang yang beriktikad bahawa segala sebab, tabi'at dan kekuatan/keupayaan, dsb.adalah baru (selain Allah Ta'ala) yang tiada memberi bekas (kesan) kerana Allah Ta'ala jua yang memberi bekas. Maka orang inilah dikatakan orang "muahid" yang mendapat kelepasan dengan kurniaan Allah Ta'ala.

Wallahu a'lam.

Sumber: kuliah dengan kitab-kitab Faridatul Faraid....dan Al-Misbah Al-Munir....

- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)