MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Showing posts with label Pantun. Show all posts
Showing posts with label Pantun. Show all posts

Sunday, 4 January 2015

HATI-HATI DENGAN HATI - PANTUN

13 Rabiul awal 1436 H

( I 41 )   ILHAM ILAHI


PANTUN : 

HATI-HATI DENGAN HATI.


Tatap wajahmu, fakir kata-kataku.
   Sejuk di mata menganalisa di benak.
Dakap hatimu, tafsir hatimu.
   Untuk berbicara hanya sejenak.

Alangkah pilu dengan tragedi.
   Bak batu pecahkan kaca.
Matangkah hatimu dengan naluri.
    Gerak hatimu berdasarkan apa?

Alas percakapan dengan kiasan.
   Kawan sedar perbaiki diri.
Awas dengan bisikan-bisikan.
   Akan mencemar naluri hati.

Hembuskan layar hatiku ini.
   Meluncur aman ke persada iman.
Jangan biar hatimu mati.
   Berkubur berteman bersama kejahilan.

Kini mengalami banjir melimpahi.
   Bencana biasan hantaran Tuhan.
Hati yang mati hanyir dan keji.
   Umpama takungan air limbahan.

Kali ini menyusuri wadi.
   Jalan pintasan menjimati masa.
Hati yang mati membenci mati.
   Mengharapkan berterusan menikmati dunia.

Kami berbeza tetapi ramai.
   Yang banyak tenaga, boleh buat banyak kerja.
Hati yang leka juga lalai.
   Yang banyak ketawa, yang terlebih banyak jenaka.

Hati-hati mengusik bini.
   Kerana dia penggeli oangnya.
Hati yang mati mendabik diri.
   Berbangga hanya ilmu dunia.

Ulama dicerca dan dicaci.
   Mengekang lidah adalah adabnya.
Serba tak kena di dalam hati.
   Memandang rendah ilmu agama.

Malas kaki menuju ke kuliah.
   Terpaksa pergi kerana mustahak.
Keras hati dengan nafsu amarah.
   Kerana hati kurang berakhlak.

Beri balik wang pecah amanah.
   Sekiranya mahu menghindar tindakan mahkamah.
Hati baik, penyayang dan pemurah.
   Sayangnya terkeluar amalan syariah.

Kerbau di tambatan malang sekaji.
   Sifatnya buas, tuannya cemas.
Kalau syaitan bersarang di hati.
   Solatnya malas, puasanya culas.

Mizan neraca mengadili nanti.
   Kemenangan di akhirat kerana ikhlasnya.
Tompokan dosa mengotori hati.
   Dengan bertaubat bersihlah ia.  

Dengan berziarah menambahkan lagi.
   Mengesahkan kebenaran di hadapan mata.
Dengan zikrullah menghidupkan hati.
   Mulakan perbuatan dengan nama Allah azawajalla.

Berseri wajah si teman Nabi.
   Cerita hal syurga dengan sifat-sifatnya.
Mengenali Allah menghidupkan hati.
   Sehingga membara mencintai zatNya.

Lelabah berperanan dalam Hijrah.
   Memadai merangkak membina sarangnya.
Kenalilah, dalamilah Rasulullah.
   Mempunyai hati berakhlak mulia.

Mengadap guru bertemu mata.
   Cikgu Rauf semua menghormati.
Pelengkap ilmu di dalam dada.
   Ilmu Tasawuf penyempurna hati.

Bumi kita telah bibahagikan.
 Dua hemisfera sudah dikenali.
  Bumi dihuni manusia pelbagai.
   Amanat manusia untuk menjaganya.
Sekali-sekala musibah diturunkan.
 Memaksa manusia menilik kembali.
  Hati yang mati dek lupa dan lalai.
   Bertaubat segera, untuk hati didupkan semula.


- Tuk Ki Jemaah.  


Saturday, 14 June 2014

SATU-SATUNYA YANG TERISTIMEWA - pantun

16  RAJAB 1435 H

(  I 40  )  ILHAM ILAHI

PANTUN : 



SATU-SATUNYA YANG TERISTIMEWA.

Bunga-bunga begitu cantik.
   Pucuk pohonnya berdahan tinggi.
Cinta hamba kepada Yang Khalik.
   Untuk menjalinnya bukan misteri.

Sempat bersantaian diiringi taulan.
   Lama ketinggalan akibat perpisahan.
Solat harian sendi perhubungan.
   Sehingga berperasaan dilihat Tuhan.

Bakat menyerlah ilmu berdebat.
   Tegas berfakta dengan hujahnya.
Solat ialah salah satu syariat.
   Jelas sekali istimewa kedudukannya.

Di kala senja menjengah tiba.
   Hari turut bersilih ganti.
Ia satu-satunya perintah teristimewa.
   Nabi dijemput menerimanya sendiri.

Syarat merawat kalbu yang hiba.
   Dekatkan diri dengan Tuan Diri.
Syariat solat ialah satu-satunya.
   Disampaikan di langit bukan di bumi.

Ketika membaca tekankan makhraj.
   Quran dibaca versi braille.
Di Sidrilmuntaha ketika Israk dan Mikraj.
   Bukan diwahyukan melalui Jibril.

Tidak menghairankan dunia, prinsip si zuhud.
   Redha dan beribadah adalah diamalkan.
Merafak ke Arasy lalu bersujud.
   Secara langsung syariat solat diperintahkan.

Entah bermunafaat entah tidaknya.
   Sebelum mencuba, isi harus didedah.
Perintah solat ialah satu-satunya.
   Hukum pertama dilaksanakan di Mekah. 

Boleh berpuasa di akhir Sya'aban.
   Jika sentiasa berpuasa sunat.
Oleh kerana hukum pertama diperintahkan.
   Maka menjadikan ia kepala syariat.

Pening tidak kalut pun bukan.
    Pencerahan guru adalah penting.
Paling banyak disebut didalam al-Quran.
   Mencerminkan solat berperanan penting. 

Kenapa kita wajib berselawat?
   Kerana itulah yang diperintahNYA.
Kenapa kita wajib bersolat?
   Kerana ia tiang agama.

Ada kalbu yang disinari.
   Cahaya berkat yang dikecap.
Lima waktu didirikan hari-hari.
   Upacara ibadat yang paling kerap.

Ayat keramat sangat terkesan di hati dan nadi.
   Tertanam kuat di dalam hati bagai diikat.
Solat satu-satunya syariat yang diucap Nabi.
   Di dalam wasiat ketika Baginda hendak wafat.

Arang diberi untuk menconteng.
 Dengan matlamat conteng di muka.
  Jangan memalit akan memalukan.
   Ia dibenci di sisi Tuhan.
Sembahyang berdiri, duduk dan baring.
 Malahan dengan isyarat mata.
  Keadaan sakit bukan dalihan.
   Ia kunci orang beriman.

~ Inspirasi dari kuliah.

~ Tuk Ki Jemaah.

   

Wednesday, 29 January 2014

PANTUN : JANJI UNTUK DIKHIANATI?

27 RABIUL AWAL 1435 H

( I  39 )   ILHAM ILAHI


PANTUN : 

JANJI UNTUK DIKHIANATI? ( 6 dan 4 kerat)




Adat panji, panji diikat.
 Berdiri tinggi, bermegah diri.
  Arah berganti mengikuti angin berubah-ubah.
Mengikat janji, janji dibuat,
 Tepati janji bermaruah diri,
  Pecah janji bikin dikeji tiadalah sudah.


Masin jemuran si ikan masin.
 Diberi satu kepada cik abang.
  Berdekah ketawanya terlihat gigi.
Menjalin hubungan dengan yang lain.
 Isteri tahu lalu berperang.
   Sumpah! abang janji tak buat lagi.


Telur sebiji berapa harganya?
 Belilah stok menghadapi inflasi.
   Tiada barang, pemborong pandai main olok-olok.
Menabur janji di kala pilihanraya.
 Masaalah penduduk janji ditangani.
   Bila dah menang pandai main sorok-sorok.


Baki ada ambil di laci.
 Baki setelah membuat bayaran.
  Baki diagih kepada kakak, baki di agih kepada abah.
Janji ' saya tak ambil lagi'.
 Janji yang sangat susah dikotakan.
   Janji si penagih arak, janji si penagih dadah.


Gado-gado disaji sambil berkaraoke dan berduet.
 Kawan-kawan memberi tepukan hebat sekali.
   Terperanjat...aduh! Bilnya tinggi, mulutnya muncung mukanya monyok.
Si Romeo berjanji nak ambil hati si Juliet.
 Lautan api demi kamu, akan ku renangi.
   Terloncat...adui! Terkena api puntung rokok.


Ada lelaki kumis diperaga
  Berasa macho, tapi sakitnya selalu.
Menerima janji semanis kurma.
   Bersedia berisiko sepahit hempedu. 







Bahang rasa persis api.
   Api untuk letak di sisi.
Memang ada spesis ini.
   Janji itu untuk dikhianati.


Apa gunanya berdiri melopong.
   Kelak menjadi seperti lotong.
Ada juga janji kosong.
   Banyak janjinya bertong-tong.


Jika was-was menetapkan hati.
   Berdoalah dengan sembahyang istikharah.
Jika ikhlas melaksanakan janji.
   Berlapiklah dengan ucapan 'insyaa Allah'. 


Muka malaikat bersih bersinar, berseri-seri.
 Bertemu dirimu, bertemu lututmu.
  Lalu bertanya, Nabi menjawab, supaya umat sungguh faham.
Bermula solat dengan ikrar dan janji.
 Solatku, ibadatku, hidupku, matiku.
  KeranaMu ya Allah! Engkau Pentadbir seluruh alam. 


Mari berzanji mengingati Nabi.
 Di dalam zaman mempertikai amalan
  Kukuh cinta sirahnya diteroka.
Janji yang pasti tiada dikhianati.
 Didalam Quran Allah berfirman.
  Patuh ke syurga, yang engkar ke neraka.


Patah longlai patah tajinya.
   Menempuhi aral susah di hadapan.
Telah sampai sudah janjinya.
   Menemui ajal sudah ditetapkan.


Selamat berpantun!


- Tuk Ki Jemaah.
     

Sunday, 3 November 2013

PANTUN : KHALWAT, LIDAH MENARI, MULUT BERKAMIT

29 ZULHIJJAH 1434 H

( I 38 )   ILHAM ILAHI


PANTUN : 



KHALWAT, LIDAH MENARI, MULUT BERKAMIT.

Kisah hati getir menjerit. 
   Menahan kesumat berbulu di hati.
Lidah menari, bibir berkamit.
   Insan berkhalwat waktu dinihari.

Bukan sunat berlebih-lebih.
   Tetapi kesederhanaan, tak perlu payah.
Bukan berkhalwat dua kekasih.
   Tetapi berseorangan memuji Allah.

Meminta maaf dahulu dipohon.
   Dengan kata-kata memuji padaNya.
Kepada yang insaf merayu dan memohon.
   Lenangan air mata bukti kesalnya.

Ada diri yang keluh kesah.
   Terjejas akibat diri yang Resah.
Merasa diri kesal tak sudah.
   Di atas maksiat berlaku sudah.

Bolehkah api tidak membakar.
   Dengan kehendakNya, jawabnya ya!
Adakah Engkau sudi mendengar.
   Rintihan hamba yang hina dina.

Kerja ubat menyembuhkan kita.
   Tetapi akur jika tidak menyelamat hayat.
Dia menerima taubat hambaNya.
   Sekalipun pelacur, jika dia sempat.

Pantun bermacam berkerat-kerat.
   Kunci memperaga bahasa kita.
Bangun malam matlamat dibuat.
   Kunci penggera pembuka mata.

Sudah mula jangan gugup pula.
   Bangun untuk hemah berbicara.
Sudah buka jangan tutup semula!
   Bangun berwudhuk segarlah mata.

Kalam bukan pena berjisim.
   Bersujud! kalamullah menekan gesaan.
Didalam Al-Quran menggesa Muslim.
   Bertahajud berzikrullah dengan keikhlasan.

Pandak, nama guru panglima.
   Amat berjasa ilmu dicurah.
Berhak anda selalu berdoa.
   Empat perkara dikurnia Allah.

Saya dijadikan kerana apa?
   Sudah ada jawab, cari dan fikir.
Pertama, doakan kepada Yang Maha Esa.
   Lidah yang kerap menari berzikir.

Saya dijadikan kerana apa?
   Cari dah ada, sangat tak susah.
Kedua, doakan kepada Yang Maha Esa.
   Hati yang sentiasa ingatkan Allah.

Saya dijadikan kerana apa?
   Tujuan sebenar sudah ada didalam Buku.
Ketiga, doakan kepada Yang Maha Esa.
   Badan yang sabar dengan hawa nafsu.

Awat Tuhan jadikan saya?
   Terjadi kita untuk menghambakan diri dengan beribadat.
Keempat, doakan kepada Yang Maha Esa.
   Isteri/suami yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat.

Jangan sumpah dengan sembarangan.
   Sumpah palsu menjejas diri.
Seruan Allah kepada yang beriman.
   Selawatlah kamu keatas Nabi.  (s.a.w)



SALAM MA'AL HIJRAH 1435 H 

- Tuk Ki Jemaah

Tuesday, 6 August 2013

PANTUN : SYAWAL MENJELMA, RAMADHAN BERLALU

28 RAMADHAN 1434 H

( I 37 )   ILHAM ILAHI

PANTUN



SYAWAL MENJELMA, RAMADHAN BERLALU.

Pelita hati suatu kiasan.
   Panduan hati jika berbahagi.
Meminta diri tetamu mulia Ramadhan.
   Ramadhan berjanji bersua lagi.

Taulan berbeza kawan tak endah.
   Susah bersama senang bersama.
Ramadhan membawa tawaran melimpah.
   Rugilah kita mensia-siakannya.

Menggulung padat si daun pandan.
   Subur dan cantik rumpunnya dipandang.
Beruntung umat merebut tawaran.
   Umur pendek tetapi pahalanya panjang.

Yang berceloteh tiada isinya.
   Tidak keruan dalam percakapan.
Orang soleh berduka lara.
   Hendak Ramadhan di setiap bulan.

Bersyair pujangga bunyinya syahdu.
   Kata-katanya melayan penjuru hati.
Berair matanya hatinya sayu.
   Sama ada akan bertemu lagi.

Sembilu guna penghiris tali.
   Malah sembilu menghiris perasaan.
Lalu berdoa pada Ilahi.
   Terimalah amalanku seistimewanya Ramadhan.



Mari pukal sentiasa setia.
   Dengan sunnah dan amanat.
Kini Syawal menjelma tiba.
   Mera'ikan sebuah kemenangan umat.

Budak suka kerana apa?
   Wang Pak Su pasti dapat punya.
Berhak kita bergembira kerana.
   Mengekang nafsu jihad yang utama.

Apabila langsir perlu ditukarkan.
   Jangan lupa dicuci dan dirawat.
Gembira ditafsir dengan kesyukuran.
   Bukan gembira melanggar syari'at.

Tercicir si fakir mendapat zakat.
   Tetapi kutipan sangatlah hebat.
Bibir berzikir badan bersolat.
   Tali silaturrahim dipulih dan dipererat.

Jangan terlupa semasa menanam.
   Para disemat untuk tumbuhan mentimun.
Jangan lupa berpuasa enam.
   Juga berpuasa sunat sepanjang tahun.

Si abah terkesan dengan tazkirah Ramadhan.
   Hati tertekan untuk beramal.
Madrasah Ramadhan memputik kesedaran.
   Perbaiki ketaatan bermula Syawal.


SELAMAT HARI RAYA AIDUL FITRI 

- Tuk Ki

Wednesday, 10 April 2013

PANTUN PERIBAHASA PERADA BAHASA (BAH.2).

29 JAMADILAWAL 1434 H

( I 34 )   ILHAM ILAHI

PANTUN PERIBAHASA PERADA BAHASA (BAH.2)



BErat kelapa banyak terjurai.
   Tupai selalu jadikan tempat rehatnya.
"Buat kerja seperti Mat Jujai."
   Terbengkalai selalu kerja yang dibuatnya.

Mengikat lembu paras tekak.
   Kelak tamat riwayatnya, dikemas dilapah dagingnya.
"Buat mahu menuras tidak."
   Nak buat sangat tetapi malas mempelajarinya.

Jika berdengkur gatal telinga.
   Jejari merewang,menggaru badan terasa bagus.
"Mata tidur bantal berjaga."
   Isteri curang mengambil kesempatan suami yang lurus.

Kurang rasanya sebiji berangan.
   Adalah sepuluh tahap biasa.
"Hilang di mata, di hati jangan."
   Walaupun jauh tetap tak lupa.

Ada kala suka, ada hari benci.
   Takut lama-lama terus layu tiada sukanya.
"Kerana mata buta, kerana hati mati."
   Ikut hawa nafsu akhirnya terima balanya.

Berbatu merentas si kupu-kupu.
   Jadikan belukar santai berehat.
"Bertemu ruas dengan buku."
   Padan benar, sesuai sangat.

Nasi lembut ada batu.
   Tetapi balik dibekalkan juga.
"Cari umbut kena buku."
   Dicari yang baik, dapat yang tak berguna.

Pergi dinihari untuk sembahyang, sujud dan rukuk.
   Menjalin syahdu dengan munajat seorang diri.
"Seperti ilmu padi, kian berisi kian runduk."
   Semakin berilmu, semakin berpangkat, semakin menghormati.

Panji sehelai lekas dikibarnya.
   Tanda mereka merayakan kemenangan.
"Padi setangkai bernas semuanya."
   Keluarga bahagia kerana didikan.

Terang nyata perkataan mika.
   Jangan tipu berkata lain.
"Tentang mata dengan mata."
Berhadapan satu sama lain.

Tak ambil peduli perkakas terabai.
   Kapak tak berguna jika tiada tangkainya.
"Tak ada padi yang bernas setangkai."
   Tidak ada sesuatu yang sempurna segala-segalanya.

Cili padi, lada merah jangan banyak.
   Kalau banyak terkelu lidah, berapi pedasnya.
"Seperti padi hampa,makin lama makin mencongak."
   Kalau tidak berilmu, janganlah semakin tinggi cakapnya.





Siakap pembuka pemecah selera.
 Asam pedas nama menunya.
  Terbatuk memakannya jika tak cermat.
"Silap mata pecah kepala."
  Dalam tugas kerja bahaya.
   Buruk padahnya jika tak berhemat.

Bekerja di ladang kelapa sawit.
 Mahu mengumpul modal perniagaan.
   Susah sekarang tiada masaalah, boleh mengharungnya.
"Mata memandang apa hendak sakit.
  Bahu memikul timpa perasaan."
   Susah orang melihat, lebih susah yang menanggungnya.

Bahan dapat dari laut, geragau dibubuh.
 Gigih berpanas membuat belacan dan juga budu.
  Belacan dan budu perniagaan dipilih menjana pitih.
"Jangan sangat memilih, takut terkena buku buluh."
 "Pilih-pilih ruas, terpilih pada buku."
   Jangan terlalu memilih, khuatir nanti tersalah pilih.

Jika berjanji tunaikanlah.
 Jika berbelahbagi beristikharahlah.
  Bawa berzikir hilanglah buntunya.
"Jika ada padi berhampalah.
  Jika ada hati berasalah."
   Jika rasa tersindir, dialah pelakunya.


- Tuk Ki 


  
   
   

Sunday, 31 March 2013

PANTUN DERHAKA (BAH.2): SI TANGGANG DAN SI KAKI KHAYAL

19 JAMADILAWAL 1434 H

( I  33 )    ILHAM ILAHI

PANTUN DERHAKA (BAH. 2): SI TANGGANG DAN SI KAKI KHAYAL.

Hati teringatkan peristiwa yang lama.
   Perasaan yang tercarik dapat diatasi.
Hormati dan muliakan kedua ibu dan bapa.
   Jangan mengherdik gunakan diplomasi.

Tali saudara hendak dijaga.
   Ragam mereka lumrah difahami.
Nabi bersabda anak derhaka.
   Kedalam neraka setelah mati.

Sukanya dia si ratu jelita.
   Tercela kerana aurat terdedah maruah tercabul.
Derhaka kepada ibu dan bapa.
   Umpama derhaka kepada Allah dan Rasul.

Merana habis sakit kepala.
   Tiada selera jika kena sakit gigi.
Bersama Iblis di neraka terseksa.
   Hanya beza satu darjah sedikit tinggi.

Gergaji terdapat di dalam garaj.
 Juga pelampung tiub tayar.
  Bersarang di dalamnya ular dan kala.
Nabi melihat di malam Mikraj.
 Manusia tergantung di pelepah tamar.
  Dipanggang di dalam neraka, itulah mereka.

Benih lada segera ditanam.
 Semoga subur berpada labanya.
  Apa daya buahnya tak cantik.
Terlebih seksa di neraka jahanam.
 Penderhaka kepada ibu dan bapa.
  Bersama penzina dan pelaku syirik.

Ketum biasa diambil petani ditanam subur.
 Memberi tenaga bermacam nak buat hari-hari.
  Budak-budak jadikan pengganti dadah singkat.
Sebelum ke neraka terseksa dahulu di alam kubur.
 Menjadi keldai digodam dengan tongkat besi.
  Berteriak sakit leher diikat rantai yang berat.






Dapat sebilah untuk menetak.
   Mengerat, menghiris dan jadikan senjata.
Dilakanat Allah peminum arak.
   Pembuat, pembeli juga penjualnya.

Tekak berkokok si ayam jantan.
   Bermegah-megah kepada yang betina.
Arak termasuk benda yang memabukkan.
   Dadah adalah benda yang sama.

Pagi-pagi sebelum bekerja solatnya lupa?
   Rupanya ada manusia tak acuh sebegini.
Sekali minum Allah tidak menerima amalnya. 
   Amalnya tidak diterima selama tujuh hari.

Jika terjun ke kancah kebinasan haram hukumnya.
   Bebal keputusannya kerana dunia terpaut di hati.
Jika minum sehingga mabuk hilang akalnya.
   Amal kebajikannya tidak diterima empat puluh hari. 

Singa menanti sebelum bertindak.
 Tak tertangkis mangsanya biarpun licin.
  Manakan sempat kukunya melekat.
Apabila mati si peminum arak.
 Ditulis namanya di neraka Sijjin.
  Melainkan sempat dia bertaubat.

Bernujum untuk berjudi dengan nombor ekor.
 Kalau diserbu lalu diberkas oleh pegawai.
  Wajah malunya jika ditatap, darahnya kering.
Peminum arak akan keluar dari kubur.
 Berbau busuk lebih dari baunya bangkai.
  Dibawah kulitnya merayap ular dan kala jengking.

Aduhai kalut di dalam hati.
 Rimas memikir orang lebih daripadanya.
  Kikiskan perasaan kerana syaitan yang meracun.
Memakai kasut yang berapi.
 Panas hingga mendidih otaknya.
  Dihumban bersama Firaun. haman dan Qarun.

Disebat pesalah sakit terlampau.
 Di dalam penjara tersergam gagah.
  Sebat Syariah lain kaedahnya.
Malaikat Zabaniah bengis menghalau.
 Dihalau ke neraka dihumban kebawah.
  Tongkat besi menyeksa selama masa.

Gelap hati tiada zikir yang menyucinya.
 Alah bisa tegal biasa jika selalu.
  Didahulu dengan azam di hati dan sanubari.
Setiap kali dipalu hancur daging dan kulitnya.
 Allah gantikan pula dengan kulit yang baru.
  Dipalu lagi, itulah kepedihan azab menanti.

Kiamat tiada ada sesiapa yang tahu.
 Kelakarlah sangat seperti cerita Pak Pandir.
  Akan tetapi dirimu dahulu pasti kiamatnya.
Teramat dahaga air diminta bertalu-talu.
 Zabaniah menyumbat cecair tembaga panas berdesir.
  Berguguran giginya, membakar perutnya, keluar diduburnya.





Bunga wujud mari dinikmatkan.
 Cermat beradab jambangan dibeli.
  Gunanya  menghias rupa yang hebat sehingga layunya.
Kerana hidup mencari keseronokan.
 Mendapat azab di kemudian hari.
  Gembiranya tak seberapa, bertaubatlah selagi ada masa.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki
  
   
  



Friday, 8 February 2013

PANTUN PERIBAHASA PERADA BAHASA ( BAH. 1 )

27 Rabiul awal 1434

( I  32 )   ILHAM ILAHI

PANTUN : PERIBAHASA PERADA BAHASA (BAH. 1) EMPAT & ENAM KERAT



GUnung merentang, Banjaran Titiwangsa di beri nama.
   Mengenang Pahang, penuh sejarah, berulang kali.
"Untung sepanjang jalan, malang sekejap mata."
   Malang datang tiba-tiba, sentiasa kita berhati-hati.

Badai melanda merebahkan jeti.
   Sarat berlabuh jong nan pecah.
"Bagai unta menyerahkan diri".
   Sangat patuh menurut perintah.

Terguris perasaan jantung dihambat.
   Bertambah usia mudahnya terasa.
"Habis umpan kerung-kerung tak dapat."
   Lelah berusaha, hasilnya tiada.

Kali pertama mengurat dapat.
   Belakang tak pandang dah, lantas melamarnya.
"Berhati baja, berurat kawat."
   Orang yang tabah, keras hatinya.

Sudah terjadi begitu terang.
   Tidak boleh dinafikan lagi.
"Sudah jadi abu arang."
   Rosak tak boleh digunakan lagi.

Buluh dan rotan orang masih menggemari.
   Bahan utama jadi kelengkapan.
"Musuh jangan diadang, selisih jangan dicari." 
   Jangan sengaja mencari pertelingkahan.

Kalimat bersemi, mencorak seni, bahasa yang sihat.
   Apa nak buat, bahasa terjerat dan dirojakkan.
"Adat bersendi syarak, syarak bersendi adat."
  Jika nak buat, agama dan adat dilandaskan.

Yang bertongkat kekal melarat.
   Beban tongkat terasa resah bukannya gagah.
"Hilang adat tegal muafakat."
   Dengan muafakat adat jahiliah boleh diubah



Kain yang koyak, kain yang lasah.
 Memang patut guna menyalut si buah tin.
  Kain dibawa sambil tersenyum.
"Lain yang bengkak, lain yang bernanah.
 Yang untut lain, yang mengesut lain."
   Lain yang bersalah, lain yang dihukum.

Bila nama disebut-sebut.
 Biasanya orang yang dikenang-kenang.
   Jasa diri kepada agama.
"Ada gula ada semut."
 "Ada padang ada belalang."
   Ada rezeki di mana-mana.

Terang-terang bak api lilin.
 Terang dapat menerangi malam.
   Dapat menyapa wajah teman.
"Alang-alang berminyak biar licin.
  Alang-alang berdakwat biar hitam."
   Buat kerja janganlah separuh jalan.

Apa dipandang pada saya, banyak kurang juga susah.
 Hamba berdagang seorang-seorang, mengenang kekasih disambar orang.
   Menumpang dimana-mana, sehingga datang semula keyakinan.
"Ada wang abang saya, tak ada wang abang payah."
  "Ada wang abang sayang, tak ada wang abang melayang."
   Orang suka semasa kaya, tak dipandang jika kemiskinan.

Keris berhulu dari batang.
 Tahu nilainya jangan diperlekeh.
   Lama di atas rak untuk diperagakan.
"Habis waktu kerana bang."
 Terlalu lama membicarakan remeh-temeh.
   Sehingga yang mustahak ditinggalkan.

Kikir sebab berkira di hati.
 Kumpulkan berkarung wang simpanan.
   Sedap siwaris jika tiba-tiba mati.
"Mengusir asap meninggalkan api."
 Melepaskan untung dalam genggaman.
   Mengharap untung besar yang tdak pasti.

Minyak bijan cuma sedikit.
 Banyak dicurah makan tak lalu.
   Makanan sihat, segar diutama.
"Rosak badan kerana penyakit.
  Rosak bangsa kerana laku."
   Kelakuan jahat mencemar bangsa.

Tanaman punah gajah meragut.
 Igauan semua kalau diserang.
   Gejala hutan ditebas tebang, habis semua.
"Sedangkan bah kapar tak hanyut.
  Inikan pula kemarau panjang."
   Semasa muda pemalas, inikan pula bila dah tua.

Gara-gara suka menyeluk.
 Sakunya sempit empunya si jaguh.
   Padahnya berpinar si jaguh mensesah, tersembam mukanya.
"Siapa luka siapa menyiuk.
  Siapa sakit siapa mengaduh."
   Terasa tersindir kerana dialah pelakunya.


- Tuk Ki