MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Saturday 23 May 2015

ISRA' DAN MIKRAJ DI DALAM AL-QURAN : ANEKDOT TAKWA (29)

5 SYA'ABAN 1436 H

(N  89 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (29):

PERISTIWA ISRA' DAN MIKRAJ: AL-QURAN



Pengakuan dan pengumumam Nabi Muhammad s.a.w kepada kaum Quraish di Mekah mengenai perjalanan baginda dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil al-Aqsa, Baitu Maqdis cuma mengambil masa sebahgian malam sahaja, telah dipersendakan oleh Abu Jahal dan orang-orang Musyrikin. Ada yang menuduh baginda s.a.w sebagai ahli sihir. Ada juga orang yang telah beriman kembali murtad kerana tidak percaya kepada pemberitaan Nabi s.a.w. itu. Tetapi berita itu telah dipercayai dan dibenarkan oleh saidina Abu Bakar (al-Sidek - gelaran yang diberi selepas kejadian itu).

Allah s.w.t telah menurunkankan ayat-ayat berikut di dalam al-Quran mengesahkan peristiwa yang sangat istimewa buat Rasulullah s.a.w. yang masih bersedih dengan kehilangan Khadijah r.a dan pelindungnya Abu Talib, dan signifikan bagi seluruh umat kerana ibadat solat telah diperintahkan sendiri oleh Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w tanpa melalui Jibril.
Allah Ta'ala berfirman, terjemahannya: 

"Maha Suci (Allah), yang telah memperjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya* agar Kami perlihatkan kepadanya sebahgian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat."
- (Surah Al-Isra' : 1)

* Masjidil Aqsa dan daerah sekitarnya mandapat berkah Allah Ta'ala dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan diikuti dengan kesuburan tanahnya.

ASBABUN NUZUL AYAT 1.
Umu Hani' menegaskan, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan pendustaan Walid bin Mughirah keesokan harinya terhadap peristiwa Isra' dan Mikraj yang terjadi pada Rasulullah, "Muhammad itu tak lain adalah seorang tukang sihir." (HR Abu Ya'la).


Berkenaan peristiwa Mikraj pula Allah Ta'ala berfirman, bermaksud:

"13. Dan sungguh, dia (Muhammad) telah melihatnya (Jibril- dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain,

14. (iaitu) di Sidril Muntaha,**

15. di dekatnya ada syurga tempat tinggal,

16. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidril Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya,

17. penglihatan (Muhammad) tidak menyimpang dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya.

18. Sungguh, dia telah melihat sebahgian tanda-tanda (kebesaran) Tuhannya yang paling besar."
- (Surah An-Najm : 13~18)

** SIDRIL MUNTAHA ialah tempat yang paling atas pada langit ke-7, yang telah dikunjungi Nabi s.a.w ketika peristiwa Mikraj (tangga) dari Masjidil Aqsa.


Wallahua'lam.

Sumber: kuliah.

- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)
          

Sunday 10 May 2015

SEDIKITKAN MAKAN : HADIS QUDSI (12)

21 RAJAB 1436 H

( N 88 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS QUDSI ( 12 ) :

SEDIKITKAN MAKAN.



Di dalam al-Quran diterangkan supaya bersederhana dan tidak melampaui batas apabila menikmati makan dan minum. Allah s.w.t berfirman, maksudnya:

"Dan makanlah serta minumlah, jangan pula kamu melampau: sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampui batas." - surah Al-A'raf :31

Allah s.w.t telah menerangkan lebih lanjut mengenai makan, yang amat diperlukan dan disukai oleh kita, di dalam sebuah hadis qudsi seperti berikut:

"Tidak ada perlindungan yang lebih kuat bagi hamba-hambaKu kecuali menyedikitkan makan."
- Hadis qudsi riwayat ad-Dailami dari Abdullah Ibnu Abbas r.a.

Kita tidak dapat menjaga dan melindungi diri sendiri dari berbagai kelemahan dan berbagai penyakit tanpa mengurangkan makan.

Nabi s.a.w menuntut kita agar jangan keterlaluan apabila makan dan minum kerana bekas yang paling buruk diisi adalah PERUT. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya:

"Tidak ada bekas pun yang diisi oleh anak Adam, lebih buruk daripada perutnya, cukluplah baginya beberapa suapan, untuk memperkukuhkan tulang belakangnya agar dapat tegak, Apabila tidak dapat dihindari, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya." 
- Hadis riwayat Tarmizi. Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.

"Orang Mukmin makan untuk satu perut, sedang orang kafir makan untuk tujuh perut."
- Hadis riwayat Bakhari Muslim.

Inilah gambaran orang yang melampau dalam hal makan di dalam al-Quran, terjemahannya:

"Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan dan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka."
- Surah Muhammad: 12. 

Rasulullah s.a.w berpesan dengan sabdanya:

"Perut itu adalah sumber penyakit dan berpantang itu adalah sumber ubat."  - Al- Hadis

"Kita (kaum Muslimin) adalah satu kaum yang makan apabila telah berasa lapar, dan apabila makan tidak sehingga kenyang." - Al-Hadis.

Apabila kekenyangan akibatnya merasa malas. lemah, banyak tidur, susah bangun malam berqiamullail, yakni, rugi dunia dan akhirat.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)