MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Sunday 24 November 2013

TAUHID (BAH.10): 3. SIFAT BAQA' ; NAFSIAH, SALBIYAH

20 MUHARAM 1435 H

( N 56 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.


ILMU TAUHID (BAH. 10) :

3. SIFAT BAQA' (KEKAL) ; NAFSIAH DAN SALBIYAH.

SIfat Allah Ta'ala yang seterusnya (yang ketiga) ialah Baqa' atau kekal. Adalah diingatkan walaupun 20 sifat Allah ini disusun secara susunan numerikal, namun tidak bermakna sifat-sifat Allah itu ada yang terdahulu dan ada yang terkemudian. Susunan seperti sekarang ini adalah untuk memudahkan pembelajaran sahaja.

Di dalam enam yang pertama sifat daripada dua puluh sifat itu, telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sifat Nafsiah dan Salbiyah.

Sifat Nafsiah itu ialah Wujud(ada) Zat (diri) Allah Ta'ala itu dengan sendirinya tanpa apa-apa sebab dan tanpa diadakan oleh yang lain kerana tidak ada yang lain selain Dia, Dia sahaja yang ada. 

Sifat Salbiyah (2~6) ialah sifat nafi, yang menafikan segala sifat-sifat yang tidak patut/layak bagi Allah Ta'ala, seperti sifat Qidam(sedia ada) yang menafikan bahawa tidak ada apa-apa yang mendahului bagi Wujud(ada) Zat (diri) Allah Ta'ala.

Wajib pada syarak setiap orang Islam yang baligh dan berakal (mukallaf) mengetahui dan mengaku /menerima di dalam hatinya yang Allah Ta'ala itu KEKAL dan pasti tidak akan binasa/hilang. Allah berfirman, terjemahannya:- 

"Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan kekallah Zat Tuhan kamu yang mempunyai keagongan dan kemuliaan."
(Surah Ar-Rahman: 26~27) 

Penerimaan dan pengakuan di dalam hati bahawa Allah itu kekal digelar wajib bagi akal . Kekal yang tiada kesudahan bagi wujudNYA , yakni adaNYA tidak berhubung langsung dengan 'tiada'. 
Dengan lain-lain perkataan, kekal yang tiada kesudahan bagi wujud Allah Ta'ala. Bukan juga kekal 'sampai bila-bila' tetapi kekal azali, iaitu Allah Ta'ala tetap wujud (ada).
Berbeza dengan kekal abada yang terdapat di dalam ayat-ayat Quran yang bermaksud kekal yang dikehendaki Allah Ta'ala seperti syurga, neraka, sulbi.

Dalilnya (akli), jika tidak kekal sudah tentu Dia binasa dan terjadilah Dia bersifat baru, iaitu, harus ada dan harus tiada. Bersifat baru adalah mustahil bagi Allah Ta'ala kerana telah terbukti bahawa Dia bersifat Qidam (sedia ada) dan oleh kerana itu tentu sungguh Dia bersifat Baqa' (kekal). 

Firman Allah, terjemahannya :-

"Janganlah kamu sembah disamping (menyembah) Allah, tuhan apa pun yang lain. Tidak ada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali wajahNya (zatNya). BagiNyalah segala penentuan, dan hanya padaNya kamu dikembalikan." 
(Surah Al-Qasas : 88)

Mustahil bagi sifat Baqa' (kekal) ialah fana (binasa).
Pengakuan di dalam hati Allah Ta'ala bersifat fana (binasa) digelar mustahil pada akal (sila rujuk hukum akal dalam pos terdahulu).

Wallahu a'lam.

Saranan: belajarlah dengan guru yang mahir dan berasaskan kitab.

Sumber: Kuliah berasaskan kitab-kitab Faridatul Faraid dan Al-Misbah Al-Munir...

~ Tuk Ki Jemaah
( Dari talib kepada mukallaf)

# Sila klik 2. Sifat Qidam      

Sunday 3 November 2013

PANTUN : KHALWAT, LIDAH MENARI, MULUT BERKAMIT

29 ZULHIJJAH 1434 H

( I 38 )   ILHAM ILAHI


PANTUN : 



KHALWAT, LIDAH MENARI, MULUT BERKAMIT.

Kisah hati getir menjerit. 
   Menahan kesumat berbulu di hati.
Lidah menari, bibir berkamit.
   Insan berkhalwat waktu dinihari.

Bukan sunat berlebih-lebih.
   Tetapi kesederhanaan, tak perlu payah.
Bukan berkhalwat dua kekasih.
   Tetapi berseorangan memuji Allah.

Meminta maaf dahulu dipohon.
   Dengan kata-kata memuji padaNya.
Kepada yang insaf merayu dan memohon.
   Lenangan air mata bukti kesalnya.

Ada diri yang keluh kesah.
   Terjejas akibat diri yang Resah.
Merasa diri kesal tak sudah.
   Di atas maksiat berlaku sudah.

Bolehkah api tidak membakar.
   Dengan kehendakNya, jawabnya ya!
Adakah Engkau sudi mendengar.
   Rintihan hamba yang hina dina.

Kerja ubat menyembuhkan kita.
   Tetapi akur jika tidak menyelamat hayat.
Dia menerima taubat hambaNya.
   Sekalipun pelacur, jika dia sempat.

Pantun bermacam berkerat-kerat.
   Kunci memperaga bahasa kita.
Bangun malam matlamat dibuat.
   Kunci penggera pembuka mata.

Sudah mula jangan gugup pula.
   Bangun untuk hemah berbicara.
Sudah buka jangan tutup semula!
   Bangun berwudhuk segarlah mata.

Kalam bukan pena berjisim.
   Bersujud! kalamullah menekan gesaan.
Didalam Al-Quran menggesa Muslim.
   Bertahajud berzikrullah dengan keikhlasan.

Pandak, nama guru panglima.
   Amat berjasa ilmu dicurah.
Berhak anda selalu berdoa.
   Empat perkara dikurnia Allah.

Saya dijadikan kerana apa?
   Sudah ada jawab, cari dan fikir.
Pertama, doakan kepada Yang Maha Esa.
   Lidah yang kerap menari berzikir.

Saya dijadikan kerana apa?
   Cari dah ada, sangat tak susah.
Kedua, doakan kepada Yang Maha Esa.
   Hati yang sentiasa ingatkan Allah.

Saya dijadikan kerana apa?
   Tujuan sebenar sudah ada didalam Buku.
Ketiga, doakan kepada Yang Maha Esa.
   Badan yang sabar dengan hawa nafsu.

Awat Tuhan jadikan saya?
   Terjadi kita untuk menghambakan diri dengan beribadat.
Keempat, doakan kepada Yang Maha Esa.
   Isteri/suami yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat.

Jangan sumpah dengan sembarangan.
   Sumpah palsu menjejas diri.
Seruan Allah kepada yang beriman.
   Selawatlah kamu keatas Nabi.  (s.a.w)



SALAM MA'AL HIJRAH 1435 H 

- Tuk Ki Jemaah