MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Thursday 18 December 2014

TAUHID bhg. 14: SIFAT QUDRAT

 25 SAFAR 1436 H

(  N 77 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA



TAUHID/AKIDAH bhg. 14 : 

SIFAT KE-7 QUDRAT (PEKUASA).

Sifat Qudrat atau Pekuasa Allah Ta'ala itu wujud pada ZatNya sejak sedia kala (yang tiada permulaan). Dengan sifat Pekuasalah Allah Ta'ala Maha Berkuasa untuk mengadakan dan meniadakan apa-apa mumkin (apa-apa kemungkinan kejadian selain daripada Allah Ta'ala). Wajib kita mengetahui serta mengaku di dalam hati bahawa sifat Qudrat ada pada Allah Ta'ala.

Allah Ta'ala berfirman, terjemahannya:

"....Dan sesungguhnya Allah Ta'ala jua yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(surah Al-Haj : ayat 6)

Allah Ta'ala mengadakan dan meniadakan setiap kejadian mumkin dengan muafakat/selari sifat IradatNya (PekehendakNya) yang akan dibincangkan di bawah tajuk Sifat Iradat.

8 TA'ALUQ SIFAT QUDRAT.

Ta'aluq bermaksud tugas/kerja sifat Qudrat. Contohnya, kita melihat dengan penglihatan (namun qudrat makhluk tidak berkesan tanpa Qudrat Allah Ta'ala kerana kita bersifat lemah).

PERTAMA: TA'ALUQ SULUHI QADIM.

Qudrat itu ada pada azali (sedia kala) lagi dalam keadaan patut mengadakan dan patut meniadakan mumkin. Dengan bahasa mudahnya, mahu buat atau tidak mahu buat.

KE-2 : TA'ALUQ TANJIZI HADITH.

Meluluskan tugasan/pekerjaan iatu mengadakan mumkin seperti makhluk daripada tiada kepada ada. 

NOTA : Ta'aluq 1 dan 2 adalah ta'aluq Qudrat secara ijmal (umum). Manakala ta'aluq 3 - 8 adalah secara tafsili (terperinci).




KE-3 : TA'ALUQ QABDAH (a) (genggaman) bererti setiap mumkin itu adalah di dalam genggaman Qudrat (Pekuasa). Jika Allah Ta'ala menghendaki mumkin itu, ,maka terjadilah. Begitu juga sebaliknya, jika Allah Ta'ala tidak menghendakinya maka mumkin itu dalam hal keadaan tiada jua.

KE-4 : TA'ALUQ QABDHAH (b) (genggaman) dimana makhluk yang telah ada ini adalah di dalam genggaman Qudrat (Pekuasa). Jika Allah Ta'ala menghendaki mengekalkan dan meniadakan (mati/musnah) mumkin/makhluk nescaya ia akan terjadi.

KE-5 : TA'ALUK TANJIZI HADITH (a) (meluluskan) ialah meniadakan mumkin/makhluk seperti mematikannya.

KE-6 : TA'ALUQ QABDHAH (c) (genggaman) pula ialah perihal selepas mati, mumkin adalah didalam genggaman Qudrat (Pekuasa) untuk menghidupkan kembali atau mengekalkannya dalam keadaan tiada selepas mati.

KE-7 : TA'ALUQ TANJIZI HADITH (b) (meluluskan) iaitu mengadakan pula dengan menghidupkan selepas daripada mati.

KE-8 : TA'ALUQ QABDHAH (d) (genggaman) ialah selepas hidup kembali mumkin/makhluk adalah didalam genggaman Allah Ta'ala. Jika Allah Ta'ala menghendaki untuk meniadakan maka terjadilah dan jika Allah Ta'ala hendak mengekalkan keadaan seadanya maka kekallah ia.

Walaubagaimanapun, adalah tidak wajib untuk mengetahui segala ta'aluq yang tersebut, namun untuk mengetahuinya adalah digalakkan dan terlebih baik. 

Terbukti Allah Ta'ala itu bersifat Qudrat (Pekuasa yang Maha Berkuasa) dan tidak lemah kerana alam/makhluk ini sudah ada dapat disaksikan dengan mata-kepala. Wajib kita berpegang dan mengakui perkara ini di dalam hati setelah pengakuan Allah Ta'ala di dalam firmanNya, ertinya :

"Allah menciptakan apa yang dikehendakiNya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu,"

(surah An-Nur : ayat 45)

Benarlah, sesungguhnya Allah Ta'ala yang menjadikan alam/makhluk dengan sifat Qudrat (Pekuasa) dan tidak lemah. 

(Sila dapatkan pimpinan guru yang mahir di dalam pengajian ilmu Tauhid/Akidah).


Wallahu a'lam.

Sumber : kuliah menggunakan kitab-kitab Faridatul Faraid....dan Al-Misbah Al-Munir...


Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)