MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Wednesday 29 May 2013

TAUHID (BAH 6) : SIFAT WUJUD (ADA).

19 REJAB 1434 H

( N  45 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

ILMU TAUHID (BAH. 6)



1. SIFAT WUJUD (ADA). 

ALLAH berfirman, maksudnya:

"Maka hendaklah kamu mengetahui dan mengaku bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Allah"  - surah Muhammad, ayat 19.

Oleh itu wajib pada syarak setiap mukallaf mengetahui serta mengaku di dalam hati bahawa Allah Ta'ala benar-benar wujud yang tidak terbayang pada akal tetapi tidak ternafi wujudNYA. 
Sifat wujud itu ertinya ada, dan mustahil (lawannya) bersifat 'adam ertinya tiada.

Maka pengakuan didalam hati bahawasanya, Allah Ta'ala itu tentu ada sungguh (pasti), itu dinamakan wajib pada akal. Sebaliknya pengakuan tentu tidak ada Allah itulah dinamakan mustahil pada akal. Ulama menyebut wujud ertinya ada, mustahil (lawannya) tiada hingga ke akhir.

Wujud yang dimaksudkan ialah:

# Wujud yang zati, iaitu wujud yang tiada pihak lain dapat memberi bekas (kesan) tentang ada Allah Ta'ala; dan wujudNYA yang tiada menerima 'adam (tiada), pada masakini dan pada bila-bila masa pun.

# Ia suatu sifat tsubutiah yang menunjukkan diri zat itu bersifat dengannya, bukan bermakna sifat itu lebih dari zat.

DALIL WUJUD ALLAH.

Dalil-dalil atau tanda-tanda Allah Ta'ala itu benar ada dan mustahil tiada, ialah dengan kita memikirkan dan perhatikan kepada sekelian makhluk di dalam alam ini, bahkan alam ini sendiri kerana:

# Kerana makhluk adalah bersifat baru. Tiap-tiap yang baru (diadakan baru), tentulah didahului dari keadaan yang tiada. Yakni, ada selepas tiada. Setiap yang baru itu, pasti ada yang membarukannya.

# Makhluk adalah mumkin (mungkin) , iaitu yang patut ada dan yang patut tiada. Setiap yang mumkin itu sudah pasti ada yang mengadakannya.

Firman Allah S.W.T , terjemahannya:

"Allahlah yang menciptakan langit dan bumi dan apa-apa yang ada diantara keduanya..."  -  surah Al-Sajadah, ayat 4.

Dengan firman itu nyatalah bahawasanya Allah Ta'ala memaktubkan kewujudanNYA dan penciptaan makhluk di dalam Al-Quran.

Wallahua'lam.

(Sumber dari kuliah, kitab Faridatul Faraid dan Misbah al-Munir)

- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf) 

     


Sunday 26 May 2013

13 MEI DAN SI TUA - PUISI/SAJAK

 16 REJAB 1434 H

( I  35 )   ILHAM ILAHI

PUISI/SAJAK 




13 MEI DAN SI TUA

Takjub!
Aneh dan pelik.
Di kala melayan hati berarak damai
dihembus sepoi-sepoi bayu yang aman,
tiba-tiba badai melanda dengan tempikan
dari pemakai-pemakai topeng pencinta bangsa,
pemakai-pemakai topeng pahlawan bangsa,
pemakai-pemakai topeng pengagong bangsa.

Lantas dipersembah santapan bara buat massa.
Yang akan mula membakar.
Mendidihkan jiwaraga.
Meruapkan dandang kebencian.
Memancutkan wap ketidakrasionalan.
Mengacah-acah dipinggir tebing gaung kemusnahan
yang memastikan 
akan tertulis peristiwa sejarah hitam
dengan titisan dan percikan darah
anak-anak yang dicintai.

Jika tragedi silam diungkit-ungkit
hanya semata bagi mengambus ledakan kejutan
oleh nafsu amarah yang menggila
menyasar bagi menikus jelata,
menghamburkan kabus mengkelam suasana
dengan ketakutan dan ketidakpastian,
dan ditokok dengan ugutan tidak berperikemanusian
bermatlamat kedurjanaan mengembalikan jelata di dalam cengkaman.

Jika tragedi ini diungkit-ungkit,
tanyalah si Tua, perakam data yang terperuk di dalam memorinya!
Lalu si Tua bercerita.
Asap hitam menyelubungi pandangan di mana-mana.
Api menggunung menelan bangunan kayu dan batu.
Bau kematian dan kemusnahan menusuk ngeri.
Mayat-mayat terbujur di jalanan dan mencemar sungai.
Tentera meronda jari sensitif di picu senjata.
Menembak kelibat yang tidak patuh perintah berkurung.
Biar sesiapa baik Cina atau India atau Melayu!
Pintu dan jendela terpaut rapat.
Keringat ketakutan terkunci bersama di dalam.
Bahkan tersemat di kepala dengan kebencian dan dendam kesumat
hingga ke hujung masa.

Hanya masa dan pupukan mental memupus bara.
Dan yang pergi membawa memori di dalam pusara.
Ia begitu lama!

Lalu si Tua menyapa dan bertanya kepada si Muda.
Kamu menginginkan tragedi itu diputar semula?
Memperjudikan nasib anak-anak dan keturunan nasabmu?
Mempunahkan segala yang kamu bina selama ini?
Memustahilkan impian yang boleh dijangkau?
Jauhkan diri daripada mudah bertukar watak.
Semata kerana ransangan terlampau.
Bebaskan minda,
pekakan persekitaran,
tatap realiti.
Pegangkan tali dan panduan agama.
Bukan ini cara penyelesaian.
Berkasih sayang berprasangka baik
adalah matlamat mutlak dan abadi,
dari dunia hingga Tuhan dihadap.

Janganlah tragedi ini diungkit-ungkit lagi.
Biar ia tenggelam ke dasar lautan sejarah
untuk teladan dan sempadan.
Si Tua meminta.


- Tuk Ki





Wednesday 22 May 2013

MAKSUD MINTA AMPUN / MAAF DI DALAM SOLAT : ANEKDOT TAKWA (14).

12 REJAB 1434 H

( N  44 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (15) : MAKSUD MINTA AMPUN / MAAF DI DALAM SOLAT.



DOA (sunat hai ah) ketika melakukan salah satu daripada rukun sembahyang iaitu duduk antara dua sujud ialah seperti berikut: 

Rabbighfirli   -   Ya Tuhanku, ampunilah aku

Warhamni   -   Kasihanilah aku

Wajburni   -   Perbaikilah diriku

Warfa'ni   -   Angkatlah darjatku

Warzuqni   -   Berilah rezekiku

Wahdini   -   Pimpinlah aku

Wa'afini   -   Berilah kesihatan kepadaku

Wa'fu'anni   -   Maafkanlah / ampunilah aku

Mengapa di dalam bacaan doa ini kita meminta ampun dua kali?

Perbezaan maksud di antara keduanya mengikut ulama' adalah:

Rabbighfirli   - Meminta kepada Allah S.W.T supaya mengampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan yang jelas di dalam ingatan.

Wa'fu'anni   - Meminta kemaafan / keampunan Allah S.W.T segala dosa-dosa besar dan kecil yang telah dilakukan tetapi telah terlupa dalam  ingatan;  dan dosa-dosa yang dilakukan secara tidak sedar di masa lalu.   

Dengan menghayati maksud doa-doa ini , insya Allah dapat meningkatkan kekhusyukan mendirikan solat.

Wallahua'lam.



- Tuk Ki 

Saturday 18 May 2013

APAKAH EKONOMI ISLAM ?

8 REJAB 1434 H

(N 43) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

APAKAH EKONOMI ISLAM ?



ALLAH S.W.T berfirman, terjemahannya:
"(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu." - Al-Hasyar ayat 7.

ISlam adalah agama yang bukan sahaja berbentuk ibadat individu dan ritual, tetapi Islam adalah satu sistem yang sempurna, merangkumi keseluruhan kehidupan manusia.

Antara keistimewaan Islam berbanding agama dan fahaman lain ialah Islam mempunyai sistem dan dasar ekonominya yang tersendiri.

Ekonomi Islam mempunyai prinsip-prinsipnya tersendiri yang unik, sebahagian kelebihannya tidak dapat dicapai oleh akal manusia.

Justru itu, sistem ini ditolak oleh golongan yang bersifat maadiyah, iaitu hanya memandang kepada objek dan kesan yang boleh dilihat sahaja.

Sistem ekonomi negara Islam tidak sama dengan sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan Barat dan tidak sama dengan sistem ekonomi sosialis yang diamalkan Russia dan bekas jajahannya yang telah menyaksikan keruntuhan sistem ekonomi itu sendiri.

Bahkan sistem ekonomi Islam berada di pertengahan antara sistem kapitalis yang memberikan hak mutlak kepada individu dan juga berbeza dengan sistem sosialis yang menafikan hak individu secara mutlak. 

Firman Allah S.W.T, terjemahannya:
"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu." - Al-Baqarah ayat  143.


ASAS-ASAS EKONOMI ISLAM.

APAKAH EKONOMI ISLAM ?

Ekonomi Islam sebagaimana yang difahami oleh sebahagian dari masyarakat Malaysia pada hari ini ialah muamalat perbankan Islam.

Bahkan, ekonomi Islam merangkumi semua perkara berkaitan harta.

Ini kerana definasi ekonomi itu sendiri menurut pengertian Arab ialah:  'Ekonomi ialah ilmu yang membincangkan berkaitan pengeluaran hasil  kekayaan, agihannya dan cara-cara pengunaannya'.

Doktor Muhammad Arabi mendefinasikan Ekonomi Islam sebagai: 'himpunan usul umum (berkait dengan kehidupan) yang diperolehi daripada Al-Quran dan Sunnah. (Ia juga termasuk) pembinaan (kehidupan) berpandukan kepada penilaian berasaskan usul-usul tersebut berpandukan kepada semua keadaan dan semua zaman.'

Ekonomi Islam berdiri di atas dua kaedah asas yang penting, iaitu:

1. Himpunan prinsip umum yang dinaskan di dalam Al-Quran dan Sunnah. Ia merupakan sumber rujukan berkaitan hukum semasa. Tidak harus menetapkan sesuatu keputusan ekonomi yang bercanggah dengan kedua-duanya sebagaimana tidak harus mengharamkan sesuatu yang tidak terdapat nas pengharaman padanya.

2. Himpunan perlaksanaan dan penyelesaian ekonomi yang diputuskan oleh ulama yang mengkaji berpandukan kepada prinsip-prinsip tersebut. Pengaplikasian ini boleh menerima perubahan berpandukan keadan dan situasi. Keputusan perlaksanaan ini berpandukan kepada metodologi usul fekah, maqasid syar'iyyah, kaedah-kaedah menyeluruh di dalam menyelesaikan permasalahan dan pemilihan pendapat antara kebaikan dan keburukan.
Sebagaimana ia mestilah berpandukan kepada kitab-kitab fekah, sejarah, sains kemsyarakatan, buku-buku tamaddun, buku berkaitan pemerintahan, hisbah dan seluruh bab-bab fekah yang mempunyai kaitan dengan pengurusan harta.

TIDAK TERHAD KEPADA FIQH MUAMALAT SAHAJA.

Berpandukan pendefinasian dan kaedah panduan ekonomi Islam, kita dapat fahami bahawa pengertian Ekonomi Islam lebih umum berbanding Muamalat Islam kerana ekonomi tidak terhad kepada kontrak dan perjanjian antara dua pihak sebagaimana yang dilihat di dalam masyarakat kita sekarang, akan tetapi ia merangkumi hal ehwal berkaitan  pengurusan harta, sumber-sumber kekayaan masyarakat dan negara Islam, sama ada dari sudut membangunkan dan membelanjakan supaya bertepatan dengan kaedah yang diambil daripada nas agama dan akal manusia itu sendiri.

Justeru itu, apabila disebut Ekonomi Islam ia tidak terhad kepada fiqh muamalat dan kontrak fiqh seperti akad mudhorabah dan istisna' sahaja. Bahkan perbahasan Ekonomi Islam merangkumi semua perbincangan hukum berkaitan hasil kekayaan negara seperti pemilikan galian dan agihannya, pemilikan sumber keperluan asasi rakyat seperti air, peluang pemilikan tanah, sistem kutipan hasil dan belanjawannya serta lain-lainnya yang berkaitan dengan hasil negara, kutipannya, agihannya serta pengurusannya.

Perlaksanaan muamalat Islam melalui bank-bank di Malaysia tidak boleh dinamakan sebagai ekonomi Islam, kerana ekonomi Islam merangkumi asas dan prinsip kenapa muamalat itu dilaksanakan.

Sebagaimana jujur dan amanah menjadi ciri orang beriman, tetapi jika jujur dan amanah kedapatan pada non-Muslim, maka tidak boleh menjadikannya sebagai Muslim justeru asas kepada sifat jujur dan amanahnya tidak berasaskan kepada iman da taqwa. 

Antara perbincangan terpenting berkaitan sistem ekonomi negara Islam yang diambil dari kitab-kitab fekah antaranya ialah:

1. PEMILIKAN HASIL BUMI.

2. SISTEM PERCUKAIAN ISLAM.

3. HUKUM PEMILIKAN TANAH.

4. MUAMALAT ISLAM.

Semua skop-skop ini diawasi oleh prinsip-prinsip penting ekonomi Islam yang menjadi panduan kepada sistem perekonomian negara.

Antaranya ialah:

1. HARTA NEGARA TIDAK BERLEGAR DI KALANGAN TERTENTU.

2. MENJAUHI KONSEP PERNIAGAAN DENGAN RAKYAT.

3. MENGHARAMKAN PERKARA-PERKARA YANG DIHARAMKAN OLEH ISLAM (SEPERTI RIBA, GHARAR, DLL DENGAN MELAKSANAKAN HUKUM TAKZIR).

Wallahua'lam.

(Sumber dari kuliah ustaz Haji Zaharuddin Muhammad dan buku kecil tulisan beliau bertajuk 'Asas-asas pengenalan Ekonomi dan Muamalat Menurut Islam').

- Tuk Ki 
(Daripada talib kepada mukallaf)