MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Sunday 24 February 2013

ILMU TAUHID / AQIDAH (BAH.4): HUKUM SYARAK, ARADH, ADAT & AKAL

14 Rabiulakhir 1434 H

( N  37 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ILMU TAUHID / AQIDAH (bah.4): HUKUM SYARAK, ARADH, ADAT & AKAL.
(Sambungan dari Tauhid bah. 3)

Elok kita mengetahui hukum-hukum syarak, aradh, adat dan akal sebelum kita memasuki bab Sifat-sifat Allah Ta'ala, Rasul dll. 

Penulis tidak menukilkan keterangan-keterangan mengenai hukum syarak satu persatu cuma ada sedikt nota di bawah perkara 'harus'. Ini kerana saya percaya kita semua arif mengenainya.

A. HUKUM SYARAK.
Ada lima perkara iaitu:
1. Wajib
2. Sunat
3. Haram
4. Makruh
5. Harus

Ingin diperjelaskan di bawah perkara harus, iaitu, setiap perbuatan kita yang pada asalnya dihukum harus boleh bertukar menjadi sama ada wajib atau haram atau sunat atau makruh mengikut niat atau tujuan sesuatu perkara itu dilakukan.
Umpamanya, berjalan itu hukumnya harus. Jika berjalannya hendak menuntut ilmu yang fardhu a'in, maka jalannya adalah wajib.Jika jalannya hendak membuat perkara yang haram (maksiat), maka jalannya adalah haram. Jika jalannya hendak membuat perkara yang sunat, maka sunatlah ia. Begitu juga halnya jika membuat perkara yang makruh.

B. HUKUM 'ARADH.
Iaitu perkara-perkara yang telah diputuskan (dihukumkan) oleh Allah dan Rasul dengan tidak ada dijanjikan pahala atau dosa (seperti wajib syarak) dan perkara itu adalah tetap dan pasti. Ia adalah keputusan yang datang dari Allah Ta'ala dan bukanlah keputusan yang dituntut keatas hambaNya untuk dikerjakan.

1. WAJIB ARADH ialah perkara yang berlaku mengikut keputusan (hukum) Allah S.W.T, seperti mati keatas segala yang bernyawa.
"Tiap-tiap yang bernyawa itu merasai ia akan mati..."
- Surah Al- Ankabut ayat 57.

Seperti keputusan Allah Ta'ala bahawa kita akan dihidupkan selepas mati.
"Bahawa sesungguhnya kamu sekelian pada hari kiamat dibangkit hidup kembali."
- Suarah Al-Mukminun ayat 16.

2. MUSTAHIL 'ARADH. Jika perkara yang wajib 'aradh ini dilawani seperti yang bernyawa tidak mati, yang telah mati tidak hidup kembali, maka itu ialah mustahil 'aradh.

3. HARUS 'ARADH. Jika perkara yang wajib 'aradh itu berlaku terlewat sedikit daripada janji atau tersegera sedikt dari keputusan (hukum) yang tersebut itu, maka itu adalah dinamakan harus 'aradh.

C. HUKUM ADAT.
Iaitu keputusan (hukum) pada kebiasaannya berlaku (atau yang pernah berlaku). Perkara yang diputuskan dengan sebab terjadi berulang-ulang kali dan berlaku sekurang-kurangnya dua kali. Misalnya, makan banyak wajib dan pasti kenyang kerana pada kebiasaannya sudah berulang-ulang  berlaku begitu. Dengan lain-lain perkataan, hukum adat itu ialah perkara yang mensabitkan satu perkara dengan perkara yang lain. Umpama makan dengan kenyang. Berlaku adat (kebiasaan) berulang-ulang itu ada empat perkara seperti berikut:

1. Ada dengan ada, seperti ada makan ada kenyang.
2. Ada dengan tiada, seperti ada panas tiada mandi.
3. Tiada dengan tiada, seperti tiada sejuk tiada mandi.
4. Tiada dengan ada, seperti tiada lapar ada makan.

Hukum adat terbahagi kepada tiga bahagian.

1. Wajib pada adat ialah perkara yang pasti terjadi dan pasti berlaku pada kebiasaannya. Misalnya, makan banyak wajib (pasti) kenyang. Jika bakar dengan api wajib (pasti) hangus, dan lain-lain seumpamanya.

2. Mustahil pada adat ialah perkara yang tidak biasa berlaku, seperti makan banyak tidak kenyang, bakar dengan api tidak hangus, dan lain-lain seumpamanya.

3. Harus pada adat ialah perkara yang boleh berlaku/terjadi dan tidak berlaku/terjadi. Umpamanya, kenyang apabila makan sebanyak dua pinggan nasi tetapi boleh juga ia kenyang jika makan kurang dari dua pinggan atau boleh jadi juga baru kenyang apabila makan lebih dari dua pinggan.

Nota: Tiga perkara hukum adat  di atas, semuanya adalah termasuk di dalam hukum harus pada akal (lihat berikutnya).

Dengan mengetahui hukum adat akan mengelakkan seseorang itu terkadang-kadang menjadi fasik (berdosa) seperti menyalah anggap wajib adat itu ialah wajib akal. Misalnya,tali tidak putus setelah dipotong dengan pisau tajam. Lalu seorang berkata, " Tak terima akal tali itu tidak putus." Maka orang sedemikian itu jahil dengan hukum adat.
Kadang-kadang boleh jadi kufur disisi Allah Ta'ala seperti mengatakan "Tak terima akal..." apabila membicarakan tentang mukjizat kenabian Rasul-Rasul seperti tongkat Nabi Musa a.s menjadi ular, Nabi Ibrahim a.s tidak hangus dibakar oleh Namrud, tidak terluka leher Nabi Ismail a.s apabila disembelih, air yang banyak mengalir dari jari Nabi Muhammad s.a.w. dll. Semua kejadian itu adalah mustahil pada adat, harus pada akal bukan mustahil pada akal.     

D. HUKUM AKAL.
Iaitu keputusan (hukum) yang memutuskan / mempastikan dengan akal fikirannya yang membetuli (memuktamadkan) perkara-perkara yang difikirkan itu.

1. Wajib pada akal ialah perkara yang difikirkan dengan akal perihal sungguhnya (pastinya) perkara itu kerana perkara itu sememangnya berstatus sungguh dan benar, seperti adanya Allah Ta'ala. Oleh itu seorang itu memutuskan dengan akal bahawa sesungguhnya Allah Ta'ala itu sungguh (pasti). Begitulah halnya perkara-perkara lain yang wajib pada akal.

2. Mustahil pada akal ialah perkara yang difikirkan dengan akal yang tentu tidak. Umpamanya difikirkan Allah Ta'ala itu tiada. Tentulah diputuskan (dihukumkan) dengan tidak (mustahil) kerana tidak ada Tuhan itu tidak benar samasekali. Begitulah dengan perkara lain yang mustahil pada akal.

3. Harus pada akal ialah perkara yang difikirkan dengan akal yang menerima sungguhnya (pastinya) dan juga menerima tidaknya, seperti perkara yang difikirkan keatas / berkenaan makhluk (kejadian alam: manusia, haiwan, pokok, batu, dll). Kita dapat memutuskan (menghukumkan) dengan menerima adanya makhluk dan tiadanya makhluk. Yakni, menerima sungguhnya dan tidaknya.

Mengetahui dan mengerti hukum akal itu satu keperluan dalam mengenal akidah dan menegakkan akidah dengan pengakuan di dalam hati seseorang. Adalah ditakuti orang yang tidak mengerti hukum akal terkadang-kadang tidak ada akidah sedikit pun,yakni, tidak ada pegangan di dalam hatinya. Orang jahil dengan Allah Ta'ala seperti ini, tidak sah imannya dan sekali gus tidak sah agamanya. Makna iman itu tasdiq di hati, yakni, menerima dan mengaku di hatinya segala yang disampaikan oleh Rasul mengenai agama.

Kadangkala menjadi kafir di sisi Allah Ta'ala jika seseorang itu beriktikad Tuhan seperti makhluk, umpamanya semacam warna putih (atau macam apa juga bentuk yang dapat dibayangkan). Mustahil (tentu tidak) Allah S.W.T. menyerupai makhluk. Orang yang beriktikad Allah Ta'ala menyerupai dengan segala yang baharu (baru) ia menjadi kafir. Oleh itu belajar hukum akal itu hukumnya wajib syarak.

E. JENIS-JENIS WAJIB, MUSTAHIL DAN HARUS.

Wajib
1. Wajib pada syarak
2. Wajib pada 'aradh 
3. Wajib pada adat
4. Wajib pada akal

Mustahil
1. Mustahil pada 'aradh 
2. Mustahil pada adat
3. Mustahil pada akal

Harus
1. Harus pada syarak
2. Harus pada 'aradh
3. Harus pada adat
4. Harus pada akal.

Wallahua'lam. 

(Nukilan ini bersumberkan daripada kuliah berdasarkan kitab Misbah al Munir dan Faridatul Faraid).
Adalah disarankan supaya belajar dengan guru yang mahir dan berkitab.

- Tuk Ki
(Dari talib kepada mukallaf)  


    

No comments:

Post a Comment