MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Friday 16 December 2011

PUISI / SAJAK- DI AKHIR SENJA /HUDUD -zina, qazaf, arak, curi, rompak,syial, murtad, tidak solat

(N8) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HUDUD (HUKUMAN)

Hudud ialah hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala dalam Al Quran yang tidak boleh diubah-ubah oleh manusia.

ZINA
Orang yang melakukan zina ada 2 jenis:
1. Pelaku yang sudah berkahwin
2. Pelaku yang belum berkahwin.
Orang berkahwin  hukumannya adalah rejam sampai mati, manakala yang belum berkahwin hukumannya 100 kali sebatan dan buang daerah selama 1 tahun sejauh jarak yang boleh diqasarkan solat ( 81 kilometer dan lebih).
Syarat-syarat yang berkahwin ada 4
1. Baligh
2. Berakal
3. Merdeka
4. Terdapat persetubuhan pada nikah yang sah.

Hukuman meliwat dan mendatangi binatang adalah seperti hukum zina. Sesiapa yang menyetubuhi tidak pada kemaluan perempuan ( seperti bahagian dubur dan bahagian lain) akan dihukum dabawah ta'zir ( hukuman yang tidak terkandung dalam Al Quran yakni yang dibuat oleh pemerintah),tidak boleh sampai ke batas hukum hudud yang paling minima.

QAZAF (MENUDUH SESEORANG BERZINA) - HUKUM-HUKUM
Apabila berlaku pertuduhan seseorang melakukan zina, maka keatasnya  had qazaf dengan 8 syarat, 3 darinya pada si penuduh iaitu:
1. Sudah baligh
2. Berakal
3. Bukan ibu / bapa kepada tertuduh.
Baki 5 syarat  pada tertuduh iaitu:
1. Seoarang Muslim
2. Baligh
3. Berakal
4. Merdeka
5. Menjaga kehormatan diri.

Dihukum orang merdeka 80 kali sebatan dan hamba 40 kali.
Gugur hukuman qazaf dengan 3 perkara:
1. Mengadakan baiyinah (keterangan saksi)
2. Atau dimaafkan oleh tertuduh
3. Atau li'an (laknat) pada hak isteri.

HUKUMAN MINUM ARAK
Sesiapa yang meminum arak atau pun mengambil benda yang memabukkan dihukum 40 kali sebatan. Boleh sehingga 80 kali dalam bentuk ta'zirdan wajib keatasnya dengan salah satu perkara: Baiyinah atau ikrar , dan tidak dihukum kerana muntah dan kerana tercium bau arak padanya.

HUKUMAN MENCURI
Dipotong pergelangan tangan pencuri dengan 3 syarat:
1. Ia sudah baligh
2. Berakal
3. Ia mencuri nisab (bilangan) yang nilainya bersamaan dengan seperempat dinar (9.5 gram emas) atau lebih yang diambil dari tempat simpanan yang selayaknya , bukan miliknya dan bukan berlaku syubhah (ragu) pada harta yang dicuri darinya.

Kesalahan pertama dipotong pergelangan tangan kanannya. Jika ia mencuri lagi dipotong pergelangan kaki kirinya. Jika mencuri kali ketiga dipotong pergelangan tangan kanannya dan jika masih mencuri kali keempat dipotong pergelangan kaki kanannya. Kalau ia masih mencuri maka boleh dijatuhkan hukuman ta'zir seperti penjara atau lebih berat.

HUKUM-HUKUM PEROMPAK
Perompak ada 4 jenis:
1. Jika mereka membunuh dan tidak mengambil harta , mereka hendaklah dihukum bunuh.
2. Jika mereka membunuh dan merampas harta, hendaklah dibunuh dan disalib.
3. Jika merampas harta tetapi tidak membunuh, hendaklah dipotong tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka secara berselang seli.
4. Jika mereka mengganggu jalan (ketenteraman awam) , tidak membunuh dan tidak mengambil harta, mereka hendaklah dikurung dan dita'zir.
Barangsiapa dari mereka bertaubat sebelum berjaya ditangkap, maka jatuhlah darinya hukuman (gugur hukuman) dan mereka dituntut dalam hak sesama manusia.

HUKUM-HUKUM SYIAL (MEMBUNUH KERANA MEPERTAHANKAN DIRI)
Sesiapa dalam mempertahankan dirinya, atau hartanya, atau isterinya, telah menjadi seorang pembunuh maka tiada ganti rugi atasnya.
Keatas penunggang binatang (kenderaan) diwajibkan membayar ganti rugi dengan sebab apa yang dirosakkan oleh binatang (kenderaan) tunggangannya.

Dihukum ahli baghyi (pemberontak) dengan 3 syarat:
1. Mereka memiliki kekuatan, kelengkapan perang.
2. Mereka benar-benar keluar dari cengkaman Imam.
3. Bagi merka ta'wil yang tidak dapat diterima.
Tidak dibunuh tawanan, tidak dirampas harta mereka, dan yang cedera tidak boleh dihabiskan jiwa mereka (dibunuh).

MURTAD
Sesiapa yang murtad dari Islam akan diminta bertaubat dalam masa 3 hari, dan jika ia bertaubat maka ia dibebaskan. Jika tidak ia akan dihukum bunuh, tidak dimandikan, tidak disembahyangkan dan tidak ditanam  di perkuburan orang Islam.

HUKUM-HUKUM ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT
Orang yang meninggalkan solat ada 2 jenis:
1. Seorang yang meninggalkan solat dan tidak beri'tikad (berpegang teguh) bahawa solat itu wajib, maka hukumnya mengikut hukum murtad.
2. Ia meninggalkannya kerana malas sedangkan ia beri'tikad solat itu wajib keatasnya, maka ia diminta bertaubat. Jika ia bertaubat dan mengerjakan solat, ia dimaafkan , jika tidak ia dihukum bunuh cara had dan hukumnya adalah hukum orang Muslim ( dimandi,dikafan,disolat, dikebumikan sebagai seorang Islam).

Wallahua'lam.
(Posting akan datang: JENAYAH / QISAS)
Sumber: kitab 'Mukhtasar Abi Syuja' dan kuliah.


                                        Video: terbukti keberkesanan apabila hukum Allah
                                        dilaksanakan di Arab Saudi - kadar jenayah paling 
                                        rendah di dunia.

Tuk Ki
_____________________________________________________________

(I 8) ILHAM ILAHI

PUISI / SAJAK



                            DI AKHIR SENJA


Di kala fajar 
kamu berlabuh di pelabuhan yang rahim.
Disambut kegembiraan
penuh kegusaran.
Naif dalam alammu
dilayar ibu ayahmu.

Di kala dhuha
langit rupanya luas.
Bumi merayu terokailah aku.
Lalu terbang persis layang-layang.
Siapa aku 
untuk apa aku begini.

Di kala zohor
pendakian ini tidak kamu temu puncaknya.
Kerap terhantuk
kadang-kadang jatuh.
Cita-cita murni sering dikabusi
kelompangan yang amat nyata.

Di kala asar
yang dihidayahi pantas bangun dari perbaringan.
Yang dalam zulumat enggan menyapa cahaya yang melintasimu.
Untuk mengutip mutiara atau hanya tulang belulang
atau mengambil najis diselaputi emas.
Lalu kamu mengintai giliran maghrib.

Di kala senja
tika yang tepat membeli masa
dengan ilmu untuk digilap.
Bukannya seperti mereka menjual masa
dengan kepayahan yang dicipta.

Katanya "Masa yang berlalu adalah  barangmu yang paling jauh dengan kamu,"
katanya lagi "dan mati adalah barangmu yang paling hampir dengan kamu."
Kamu tiba di sini, tika di akhir senja.
Menyusul kamu sebagai pengemis
atau pedagang yang untung
dianugerah darjah bijaksana.


Tuk Ki  

No comments:

Post a Comment