MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Tuesday 15 January 2013

HADIS QUDSI (9): BERTASBIH (MENSUCIKAN ALLAH SWT) DARIPADA APA?

3 Rabiul awal 1434

( N  34 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA
                            ( gambar hiasan )


HADIS QUDSI (9): BERTASBIH ( MENSUCIKAN ALLAH S.W.T ) DARIPADA APA?


Kita diajar Nabi S.A.W untuk sentiasa berzikir kepada Allah S.W.T dan salah satu zikir yang sangat digalakkan ialah ' Subhanallah (Maha Suci Allah)'. Untuk menghayati zikir ini, kita mulakan penerokaan informasi melalui hadis qudsi di bawah dan sudah tentu petikan-petikan ayat-ayat Quran sendiri.

"Anak Adam (manusia) telah mendustakan Aku. Sesungguhnya mereka tidak berhak melakukan demikian. Mereka juga telah mencaci Aku. Sebenarnya juga mereka tidak berhak melakukan demikian. Ada pun tuduhan dusta mereka ialah mereka mengira bahawa Aku tidak berupaya mengembalikannya (menghidupkan kembali setelah mereka meninggal dunia), dan cacian mereka kepadaKu dengan tuduhan bahawa Aku mempunyai anak, MAHA SUCI dari mempunyai seorang isteri atau mempunyai anak."

- Hadis qudsi riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas r.a.

Berikut adalah ayat-ayat Al Quran yang menafikan Allah S.W.T mempunyai isteri dan anak seperti yang dianuti agama lain terutamanya Kristian, yang paling berusaha mengkristiankan generasi Islam sekarang.

"Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri?"
- Surah Al-An'aam, ayat 101.

"Dan (ketahuilah wahai kaum kami!) bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita darapada beristeri atau beranak."
- Surah Al-Jin, ayat 3.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesuatu pun yang serupa denganNya."
- Surah Al-Ikhlas, ayat 1~4.

"Ketahuilah ! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata: "Allah beranak;" sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta."
- Surah As-Saaffat, ayat 151~152.

"Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia."
-Surah Maryam, ayat 35.

"Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: "Allah mempunyai anak." Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu)."
- Surah Al-Baqarah, ayat 116.

"Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya."
- Surah Al-Isra', ayat 111.

"Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak." Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyarid-nyaris runtuh ranap, - Kerana mereka mendakwa mengatakan (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak."
- Surah Maryam, ayat 88~92.

Nyatalah, dengan menyebut 'Subhanallah' itu, keutamaannya, bermaksud mensucikan Allah Yang Maha Mulia dan Yang Maha Suci daripada tuduhan  yang Allah S.W.T mempunyai isteri dan anak dan sebarang sekutu untuk mentadbir sekelian alam ini. Mari kita berusaha untuk menjiwainya ketika melafazkan zikirnya supaya hati kita tidak kosong dan lalai. Insya Allah.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)

No comments:

Post a Comment