MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Sunday 8 July 2012

PANTUN MENCARI-CARI SAHABAT / TEMAN SEJATI (empat & enam kerat)

 ( I   22 )   ILHAM ILAHI

PANTUN MENCARI-CARI SAHABAT/TEMAN SEJATI.(Empat & enam kerat)



Lebat hujan di daerah Pekan.
   Tali komunikasi akan terjejas.
Bersahabat, berteman fitrah insan.
   Berinteraksi, berkomunikasilah dengan ikhlas.

Mengolah cerita sebuah drama.
   Kisah durjana perlu didedahkan.
Hormatilah dia, dengarilah dia.
   Tegurilah dia, jika mungkar yang dilakukan.

Berjalan perlahan orang dihutan.
   Membidik cipan dengan senapang.
Berkawan, berteman kadang-kadang ada tujuan.
   Baik dihadapan, lain cerita di belakang.

Si Tanggang derhaka, ibu menyumpah.
   Elok ceritanya menjadi teladan.
Orang ketiga menabur fitnah.
   Elok bersemuka mencari kebenaran.

Keputusan hakim ke mahkamah rayuan.
   Kalaulah berhasil sebidang tanah pasti diwakaf.
Memutuskan silaturahim dimurkai Tuhan.
   Allah mengasihi kepada yang memberi maaf.

Berkata-kata dengan bangga, mendongak muka sampai ke awan.
   Tertendang bata terhuyung hayang, baru sedar berasa malu.
Ada harta, ada kuasa, senarai kawan berjela-jela.
   Hilang harta, hilang kuasa, bergesel bahu buat tak tahu.

Melayan tetamu dengan sabar.
   Mudah-mudahan membawa rahmah.
Akan tahu taulan sebenar.
   Berkorban membantu apabila kita jatuh susah.



Bertongkat naik ke pasar raya.
 Kedai kegemaran berada di sini.
  Harga tak tinggi, ada orang sanggup beratur.
Bersahabat baik hanya di dunia.
 Nilai keikhlasan pahala diganjari.
  Apabila mati akan menyendiri di dalam kubur.

Walaupun pekat sebagai hidangan.
 Si ibu gula jadi pemanisnya.
  Rasalah kopi itu tanpa ragu-ragu.
Walaupun bersahabat diabai jangan.
 Ibu bapa dan juga saudara.
  Merekalah sahabatmu juga tali nasabmu.

Resam suami menunaikan yang wajib.
 Diam isteri memfailkan fasakh.
  Sudah bertahun tidak balik ke rumah.
Dalam mencari sahabat yang karib.
 Di alam akhirat dan juga barzakh.
  Allah dan Rasul memberi perintah.

Madinah ke Mekah perjalanan bermula.
 Seruan 'Labbaikallah...' diulang, rasanya tidaklah bosan.
  Melaksana apa jua, rukun-rukun suruhanNya.
Bukankah Allah berfirman dan Rasul bersabda.
 Al Quran adalah sebaik-baik teman.
  Semasa di dunia dan selepas meninggalkannya.



Di kala syahdu malam menjelma.
 Rebas bertitikan air mata si abid.
  Menyerahkan diri dengan zikir Allah Hu.
Dibaca selalu mententeram jiwa.
 Dihias dengan tartil dan tajwid.
  Al Quran menjadi teman setiamu.

Jiran sebelah begitu rajin membersih halaman.
 Suka memberi makanan dibeli di pasar pekan.
  Jarang orang menabur budi, jujur sekali.
Jangan engkau bersedih hati jika engkau dipinggirkan.
 Baca Al Quran, hayati maknanya, rasa kemuliaannya.
  Ia penenang, penghibur hati, penawar segala kesugulan hati.

Tenggelam basah dalam lautan peluh manusia.
 Keadaan demikian di Padang Mahsyar manusia berpusu.
  Sinar suria sejengkal jaraknya dari kepala.
Di alam barzakh hanya amalan ikut bersama.
  Berteman Al Quran dengan cahayanya menerangi kuburmu.
   Menghindar seksa kubur, dan berehat dengan nikmatNya.

Di dalam azan seruan kepada mukmin bersolat.
 Bersegeralah semua mendirikan kewajipan.
  Penuhilah masjid, menyahut cabaran pendusta Yahudi.
Di alam akhirat Al Quran masih sahabat yang ta'at.
 Berhujjah membelamu dihadapan pendakwaan.
  Begitulah hebatnya teman/sahabat yang sejati.

Jika semalam tiada amalan.
 Sedikit cuma masa diperlukan, tentu terdaya.
  Lama-lama terbiasa sudah, menjadi sebati.
Saudara se Islam adalah taulan.
 Cubit sebelah peha, seluruh badan terasa.
  Kita berdo'a, ditambah umat yang akan dihidayahi.

- Tuk Ki            




  

No comments:

Post a Comment