MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Sunday 15 July 2012

MENYAMBUT RAMADHAN : APA PERASAAN ANDA ?

( N  17 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

MENYAMBUT RAMADHAN : APA PERASAAN ANDA?



Sepatutnya anda gembira tetapi mungkin segelintir orang Islam berpura-pura gembira tetapi di dalam hatinya sudah terbayang rutin keselesaan hidup hariannya akan terganggu. Malah ada mereka yang sanggup 'menjauhkan diri' dari Ramadhan al Mubarak dan tidak berpuasa dengan cara masing-masing. Betapa ruginya mereka jika mereka tahu (berilmu). Walaupun ada yang mengiktikadkan puasa adalah salah satu rukun Islam, tetapi masih merasa tidak selesa. Tetapi ketidakselesaan mereka terubat kerana matlamat sebenar mereka ialah untuk merayakan Aidul Fitri. Mudah-mudahan mereka perbetul  pendirian mereka kali ini, amiin. Allah Taala telah memerintahkan ibadah puasa dalam firmanNya dalam Surah Al Baqarah, ayat 183 ~ 184, terjemahannya:

"183.  Hai orang-orang yang beriman , diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.

   184. (iaitu) dalam beberapa hari tertentu. Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan*, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mangetahui."

*kebajikan: maksudnya memberi makan lebih dari seorang miskin untuk satu hari.

1. Sesungguhnya kita umat Islam akan berhadapan dengan tetamu halimunan yang mulia dan kaya dengan kurnianNya dan ia tidak datang kepada kita melainkan hanya sekali dalam setahun. Maka cintai dan kasihilah dia dengan membelainya sebaik mungkin, agar kehadirannya membuahkan laba dan untung yang besar oleh kerana kekayaannya itu. Itulah Ramadhan AL Mubarak.

2. Ayat diatas menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu, iaitu mencapai TAKWA. Kerana takwa itulah yang bersemarak di dalam hati orang yang berpuasa dan sanggup menjunjung perintah Allah Taala dan mengutamakan keredhaanNya.Takwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat, walaupun nafsu untuk melakukan maksiat sedang berbisik-bisik di dalam hati. 

3. Takwa adalah merupakan matlamat utama dalam kehidupan ini. Puasa adalah salah satu alat yang boleh mendapatkan takwa.

4. Sebagai langkah yang kedua ia menjelaskan bahawa puasa itu diwajibkan pada hari-hari tertentu sahaja, bukan difardhukan sepanjang umur dan sepanjang masa. Di samping itu orang yang sakit pula dimaafkan dari berpuasa dehingga mereka sihat. Begitu juga orang yang bermusafir sehingga mereka bermukim.  

ADAB-ADAB BERPUASA

1. Memelihara lidah supaya tidak berdusta, mencerca dan mencaci orang lain.
2. Mengekang mata dan telinga daripada mendengar dan melihat sesuatu yang tidak halal.
3. Menahan perut dari menelan makanan dan minuman yang haram atau   syubhah, lebih-lebih lagi ketika berbuka puasa.
4. Memelihara seluruh anggota daripada berbuat dosa.
5. Tidak terlalu banyak tidur di siang hari.
6. Tidak terlalu banyak makan di wakyu malam.
7. Hendaklah meninggalkan dari bermewah-mewah.

Adapun orang yang menjadikan bulan Ramadhan sebagai adat dan kebiasaan untuk bertemasya menjamu selera dan perkara-perkara lain yang tidak halal kerana menurut kehendak tuntutan nafsu, mereka sebenarnya telah terpedaya oleh hawa nafsu yang tidak pernah puas dan tunduk di bawah kehendak Allah. Malah ada yang sehingga meninggalkan solat fardhu. Akan lenyaplah segala kekhusyukan kepada Allah dan merendah diri di hadapanNya serta tidak merasa kelazatan dan kemanisan bermunajat kepadaNya.

BANYAKKAN DOA KETIKA BERPUASA

Sabda Rasulullah s.a.w.
"Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka; pemerintah yang adil, orang yang berpuasa sehingga ia berbuka dan doa orang yang diinayai yang mana doanya diangkat Allah di bawah awan pada hari qiamat dan dibuka kepadanya pintu-pintu langit dan Allah berfirman kepadannya ; Demi kemulianKu, Aku tetap menolongmu lepas seketika."

  SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN 1433 H

Semoga Ramadhan kali ini adalah lebih baik daripada tahun lalu. Amiin Ya Rabbal 'Alamin.

Wallahua'lam.                     

- Tuk Ki
(Dari talib kepada mukallaf) 




No comments:

Post a Comment