MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Wednesday 11 April 2012

HADIS QUDSI (3) - " SIAPAKAH AHMAD? " NABI MUSA A.S BERTANYA.

(N  11)  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS QUDSI* (3) - RASULULLAH S.A.W DI SISI ALLAH S.W.T 

Hadis qudsi riwayat Abu Naim dalam kitabnya  'Al Hilayah':

"Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa, Nabi Bani Israil, bahawa: "Barang siapa bertemu dengan Aku  (dari umat mu) , pada hal ia ingkar kepada Ahmad, nescaya aku masukkan dirinya ke dalam neraka." 
Nabi Musa a.s berkata "Siapakah Ahmad itu, wahai Tuhanku?"
Allah berfirman "Tidak pernah Aku ciptakan satu ciptaan yang lebih mulia menurut daripadanya. Telah Aku tuliskan namanya bersama Ku di 'Arasy sebelum Aku ciptakan tujuh lapis langit dan bumi. Sesungguhnya syurga itu terlarang bagi semua makhluk Ku, sebelum ia dan umatnya terlebih dahulu memasukinya". 
Nabi Musa a.s berkata "Siapakah umatnya itu?"
FirmanNya "Mereka yang banyak memuji Allah. Mereka yang memuji Allah sambil naik , turun dan pada setiap keadaan. Mereka mengikat pinggang (menutup aurat) dan berwuduk, membersihkan anggota badan. Mereka berpuasa siang hari, beramal dan berzikir sepanjang malam. Aku terima amalan yang dikerjakan dengan ikhlas, meskipun sedikit.Akan Aku masukkan mereka ke dalam syurga kerana kesaksiannya "Tiada Tuhan yang sebenarnya wajib disembah selain Allah."
Nabi Musa a.s berkata "Jadikanlah saya Nabi umat itu."
Allah berfirman "Nabi umat itu dari kalangan mereka sendiri."
Nabi  Musa a.s berkata lagi, "Masukkan saya dalam golongan umat Nabi itu."
Allah menerangkan , "Engkau lahir mendahului Nabi dan umat itu, dan dia lahir kemudian. Aku berjanji kepadamu untuk mengumpulkan engkau bersamanya di Darul Jalal (syurga)."    


Ahmad ialah Nabi Muhammad s.a.w yang telah diwahyukan kelahirannya di masa akan datang kepada Nabi Musa a.s untuk disampaikan kepada kaumnya melalui kitab Taurat.

Di dalam Al Quran Allah telah berfirman mengenai sifat-sifat Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya di dalam kitab Taurat dan Injil:

(* Hadis Qudsi - sila rujuk pos terdahulu , Hadis Qudsi (1) - Nov. 2011 , untuk keterangan.)


"Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah ; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir  yang (memusuhi Islam) , tetapi berkasih sayang serta belas kasihan sesama mereka. Engkau melihat mereka beribadat rukuk dan sujud , dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaanNya.Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang soleh) terdapat di muka mereka dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut dalam kitab Taurat ; dan sifat mereka di dalam kitab Injil pula ialah ; (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunas , lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkalnya) batangnya dengan keadaan mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat dan gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar."           

- Surah Al Fat-h: ayat 29

Kita patut berusaha untuk menjadi umat yang mempunyai ciri-ciri seperti sahabat-sahabat baginda Nabi s.a.w seperti terkandung dalam Surah tersebut. Insyaallah.

Wallahu a'lam.
' Dari talib kepada mukalaf '

-Tuk Ki


Video - Penemuan terbaru pada Februari 2012, kitab Injil berusia 1,500 tahun ditemui di Turki di mana tersebut kedatangan Ahmad ( Muhammad s.a.w ) 100 tahun kemudian.   

No comments:

Post a Comment