MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Saturday 21 April 2012

KISAH BENAR (1) : MAKHLUK MENCICIT TERBANG KETAKUTAN

(S  7 )   DEBUNGA SYIFA'

KCORETAN ISHA BENAR :  MAKHLUK TERBANG MENCICIT.

Di suatu lewat petang yang suasananya tidak ceria dan tidak juga melankolik,  aku tidak dapat melaksanakan rutin harianku. Sepatutnya di saat itu aku telah pun bertolak dengan kereta Kancil otomatik model lamaku  yang telah pudar warna merahnya. Otomatik, kerana itulah jenis kereta yang aku boleh pandu disebabkan kelumpuhan di sebelah kanan badanku akibat serangan strok. Hari itu satu lagi serangan telah berlaku ke atasku tetapi serangan jenis lain iaitu serangan cirit-birit. Aku tidak sanggup menghadapi risiko kolon aku meragam tatkala solat berjamaah di masjid nanti.

Melodi dari muazin melaungkan azan maghrib di t.v menyebabkan aku menerjahkan pandanganku ke arah luar rumah untuk menikmati , buat kali terakhir untuk hari itu , cahaya matahari yang beransur-ansur pudar meninggalkan bumi yang akan diliputi dengan kegelapan malam. Teringat ungkapan ustaz yang mengatakan suasana itu amat digemari oleh para jin untuk berkeliaran di muka bumi ini. 

Apabila aku menjengah bilik tidur setelah selesai mengambil wudhuk , aku tersenyum kerana anak lelaki yang bongsu, dan kakaknya masing-masing berumur empat dan lima tahun telah berada bermain-main diatas katil seolah-olah hendak menemaniku.
"Jangan bising , jangan kacau , ayah nak sembahyang ni. " kata ku mengingatkan mereka dengan nada tidak serius.
Mereka mengangguk-anggukkan kepala dan meneruskan aktiviti keanak-anakan mereka.

Aku mengambil tempat di tebing katil supaya dapat duduk apabila hendak bersujud kelak kerana aku tidak boleh bersujud secara normal oleh kerana kelumpuhan. Aku menghabiskan solatku dengan sekali sekala terusik dengan gangguan si anak-anak kecilku tetapi aku tidak membantah. Suasana itu sebenarnya adalah suatu kemanisan berkeluarga yang dianugerah Allah Ta'ala.


Melihat aku sudah selesai bersolat, si bongsu lantas duduk di ribaku dan terus memberi perhatian kepada kakaknya yang tidak putus-putus bercakap sesuatu mengenai gambar-gambar di dalam buku-bukunya. Aku pun mula berwirid seperti lazimnya. Sedang aku membaca sebahagian ayat Kursi , dengan tidak semena-mena muncul dari sisi kami, satu objek bersaiz dan mirip seekor kelawar terbang dengan pantas sambil mencicit-cicit dengan nyaring, bagai seekor burung yang menggeleparkan sayapnya untuk terbang kerana terkejut disergah. Lembaga itu menghala pantas ke tingkap bilik yang tertutup rapat dan terus terbang menembusi tingkap bilik dan terus ghaib diikuti dengan jeritan nyaringnya yang sayup-sayup kedengaran dan sedikit demi sedikit tenggelam menghilang.

Kedua-dua anakku menerpa dan memelukku dengan erat sambil mata mereka terpaku kearah tingkap. Oleh kerana kejadian itu berlaku dan berlalu sepantas kilat, aku dapati diriku masih meneruskan bacaan ayat Kursi tanpa terhenti hingga tamat. Di kala kejadian aku merasa diriku seperti berada di dalam dua alam yang berbeza secara serentak. Alam nyata dan alam yang tidak dapat aku pastikan. Aku telah melihat dan mendengar cicitan suara makhluk itu dengan nyaring tetapi seolah-olah sayup-sayup dari jauh. Aku pasti ia bukan di alam nyata ini.

Beberapa ketika kemudian, anak-anakku telah menyambung kembali aktiviti mereka mungkin kerana melihat aku terus berwirid. Namun hati ku tertanya-tanya kenapa aku tidak merasa takut dan boleh meneruskan bacaan ayat Kursi hingga tamat dan meneruskan wiridku. Malah ketika melihat makhluk itu , dengan sepontan telah terpacul kata-kata dalam hati ku," Oh! ada syaitan bertenggek di sini rupanya."        
Mungkin aku sebagai seorang Islam telah sedia mempercayai syaitan dan jin itu sememangnya wujud dan perkara seumpama ini boleh berlaku. Sebenarnya tidak ada misteri dalam hal ini melainkan jika seseorang yang tidak mempercayai kewujudan makhluk Allah ini akan cepat memuktamadkan bahawa kejadian ini ialah hanya satu ilusi dan halusinasi semata-mata. Aku tidak menceritakan apa yang berlaku pada isteri dan anak-anak yang lain kerana khuatir mereka akan diselubungi ketakutan yang sia-sia sahaja.   
   
IKTBAR.

Ayat Kursi ialah senjata utama untuk melawan jin dan syaitan seperti disarankan oleh para Ulama'. Mari kita sama-sama menghayati erti ayat ini.

Surah Al Baqarah ayat 255 (ayat Kursi) terjemahannya:

" Allah , tidak ada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhlukNya) ; tidak mengantuk dan tidak tidur . KepunyaanNya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinNya . Allah mengetahui apa dihadapan mereka dan di belakang mereka , dan mereka tidak megetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. KURSI* Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara kedua-duanya , dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. "

* KURSI - sebahagian mufassirin mentafsirkannya dengan 'ilmu Allah'; dan ada pula yang mentafsirkan dengan 'kekuasanNya'.


Mari kita beramal dengan ayat ini bukan sahaja dengan niat berlindung dari syaitan dan jin tetapi yang lebih baiknya kita beramal dengan ikhlas kerana Allah S.W.T. IN SYAA ALLAH.

Wallahua'lam. 

- Tuk Ki      

No comments:

Post a Comment