MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Tuesday 27 March 2012

PANTUN CINTA: CINTA HAKIKI ( empat & enam kerat ) BAH. 3 - AKHIR

( I 14 )   ILHAM ILAHI

PANTUN CINTA HAKIKI ( empat & enam kerat ) Bah. 3 - akhir



Pagi-pagi pergi mengaji.
   Ustazah marah murid yang malas.
Tercari-cari cinta sejati.
   Menyerah diri dengan hati yang ikhlas.

Dalam pujian ada hadnya.
   Usahlah teman dimandikan pagi.
Dalam perjalanan bertemunya cinta.
   Kenalilah Iman kemudian dirimu sendiri.  

Pulihkan diri letih berlari.
   Beban digalas ditinggal jangan.
Bersihkan hati moga cinta dirasai.
   Iman dan ikhlas jadi pegangan dan amalan. 

Sebaik jasa seorang pahlawan.
   Rela syahid kerana Tuhannya.
Baik prasangkamu terhadap Tuhan.
   Makna cinta berserah kepadaNya.

Bermacam pancaroba hidup ini.
   Jangan diharungi nilaikan dahulu.
Dalam teraba-raba cinta hakiki.
   Dugaan menanti mengikut kadar dirimu.

Madrasah dibena untuk hafaz Al Quran.
   Lalu dibekal dengan tafsirannya.
Cintailah ilmuNya seluas laut-lautan.
   Lalu berkenal dengan Tuannya.

Bukukan nukilan juga butirannya.
   Berhelai-helai menjadi satu.
Lakukan suruhan dan jauhi tegahanNya.
   Sebagai hamba demi cintamu.

Bidadari menjelma di pagar syurga.
   Idaman syuhada' nyata dan betul.
Mencari cinta sebenar cinta.
   Cintakan Allah cintakan Rasul.

Kayangan tahyul, syurgaloka sesat.
   Adat mempunah mensyirikkan Tuhan.
Cintakan Rasul mengharapkan syafa'at.    
   Syariat dan sunnah jadi ikutan.



Berniaga jangan berbuat salah.
 Berakad dan redha hendaklah berlaku.
  Bertekad memilih sempurnanya transaksi.
Tiada Tuhan malainkan Allah.
 Muhammad itu Nabi dan RasulMu.
  Muhammad s.a.w kekasihMu yang qat'i.

Do'a dipanjat terjemah di bibir.
  Menadah tangan hati merayu.
   Meratap di kalbu dan mata menangisi.
Dengan syafa'at Rasul awal dan akhir.
 Permudahkan aku untuk menemuiMu.  
  Menatap 'wajah'Mu di sana nanti.

Agama dan syari'ah bersifat syumul.
 Mengapa bertangguh bukankah mudah.
  Kuasa dah digenggam pastikan terlaksana.
Cinta dan kasih buat Rasul.
 Bersungguh mengkota lafaz syahadah.
  Sentiasa selawat dan salam keatas baginda.

Indahnya pantai berpasir melata.
 Indah lagi si bunga karang.
  Perhiasan di dasar yang sepi berisi.
Kenapa aku lahir ke dunia.
 Rupanya Engkau memberi peluang. 
  Beriman dan bertakwa agar Engkau mengasihi.

Rebah badan di panca persada.
 Mekar sungguh fauna yang padat.
  Terkenang Tuhan yang sedia wujud.
Ya Allah! berikan tanda penerimaan cinta.
 Bergetar tubuh bila takbir diangkat.
  Bergenang air mata bila sujud sebenar sujud.




Fikrah manusia tidak bisa menjawab.
 Untuk meneliti mahupun mengkaji.
  Keghaiban alam roh tidak dapat tahu.
Berkatalah dengan kehendakMu, ya Rab.
 Untuk dihayati penyejuk hati.
  Al Quran kalamMu pengubat rinduku.

Alam semesta luasnya bergalaksi.
 Gugusan bintang tidak terkira.
  Nyaman hati Engkau sememangnya wujud.
Sebenarnya di alam roh dimetrai janji.
 "Bukankah Aku Tuhanmu?" Engkau bertanya.
  "Bahkan!" Ikrar aku terus bersujud.

Piatu perlukan belaian cinta.
 Kasihan dan belas menusuk kalbu.
  Layak kita menggantikan arwah.   
Aku inginkan kelazatan cinta,
 Ikhsan iaitu ikhlas mengerjakan sesuatu.
  Tidak lain hanya kerana Allah.

Bersuluk menyendiri si ahli sufi.
 Pastikan menempuhnya tidak disesatkan.
  Tamatkan dahulu ilmu yang fardhu padat-padat.
Sanggup mengabdi untuk cinta hakiki.
 Diri dan roh aku serahkan.
  Menyatakan rindu teramat sangat.

Aman rasanya si helang terbang.
 Mencarah ceruk meneliti bumi.
  Baham perburuan sekadar yang perlu.
Kematian adalah si pintu gerbang.
 Kearah ufuk cinta hakiki.
  Islam, iman dan ikhsan menjadi penentu. 

Pesan guru kuliah jangan ditinggalkan.
 Nanti rugi kesinambungan tertutup.
  Salinkan nota tak sama dengar sendiri.
Ingatkan kematian bukan satu kemurungan.
 Memberi motivasi dan momentum hidup.
  Suburkan dunia demi menebus cinta hakiki.

Iri hati berdiri terpaku. 
 Bermaharajalela amarah di lubuk hati.
  Di sana sini semua tak kena, dek dengki tapi nestapa.
Mengabdi diri menyerahkan cintaku.
 Bertakwa kerana takut tak dipeduli.
  Diseksa ngeri berganda-ganda, dek kedahsyatan api neraka.

-Tuk Ki





No comments:

Post a Comment