MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Thursday 24 October 2013

SABAR DALAM 5 KEADAAN

 19 ZULHIJJAH 1434 H

( N  54 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

SABAR DALAM 5 KEADAAN 





Imam al-Ghazali r.t. menyatakan "Sabar ialah tetap tegaknya dorongan agama berhadapan dengan dorongan hawa nafsu. Dorongan agama ialah hidayah Allah kepada manusia untuk mengenaliNya dan RasulNya serta mengetahui dan mengamalkan ajaranNya dan kemaslahatan-kemaslahatan yang berkaitan dengan akibat-akibatnya. Sabar iaitu sifat yang membezakan manusia dan haiwan dalam menundukkan hawa nafsu. Sedangkan dorongan hawa nafsu ialah tuntutan syahwat dan keinginan yang meminta agar ia dilaksanakan." 

Untuk mencapai kekuatan bersabar yang dituntut oleh syarak itu, seorang Muslim memerlukan ilmu dan dan latihan amalan dalam kehidupannya. Dengan membiasakan diri dengan amalan soleh; usaha dan ikhtiar mencari jalan keluar dari masaalah, dan redha terhadap apa yang berlaku . Apabila sabar itu tidak diiringi dengan keluhan dan rintihan maka sabar sedemikian adalah sabar yang sempurna. 

5 SIKAP SABAR DALAM FALSAFAH ISLAM

1. SABAR dalam beribadat, dengan taat dan tekun melaksanakan ibadat mengikut syarat-syarat dan tata-tertib ibadat. Sentiasa memperbaiki dan menambah dari segi kualiti dan kuantiti, dan beristiqamah (yakin dan berterusan).

2. SABAR apabila ditimpa musibah dengan hati yang teguh, keredhaan, muhasabah diri berlandaskan keimanan. Tidak mengeluh dan resah.Umpamanya, jatuh miskin, menderita sakit, kematian mengejut, dll.

3. SABAR dengan tipu daya, kemewahan dan kenikmatan dunia dengan tidak menjadikan kehidupan dunia sebagai matlamat, tetapi hanya sebagai alat untuk memperlengkapkan diri di akhirat yang kekal. Umpamanya, menahan diri daripada hidup bermewah-mewah ketika kaya, bersifat merasa puas dengan kehidupan.  

4. SABAR tidak melakukan maksiat (dosa) dan dalam waktu yang sama mengajak orang lain melakukan kebaikan dan mencegah perbuatan yang buruk (mungkar). Umpamanya, sabar menahan diri daripada nafsu seksual (zina), tamak, kemarahan, zalim, dll.  

5. SABAR dalam perjuangan kerana Allah. Sabar ketika kalah dan ketika menang. Sentiasa istiqamah dalam apa jua suasana.

Beberapa ayat mengenai sabar, terjemahannya:- 

"...Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan*, mereka berkata: "Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali," Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya."    
- Surah Al-Baqarah: 155~157. 

  * Ucapan "Innalilah wa inna ilaihi raji'un"  bukan khusus bagi kematian sahaja.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan di perbatasan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."

- Surah Al-Imran: 200

"Dan demi sesungguhnya! kami tetap menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu."

- Surah Muhammad: 31   


Wallahu a'lam.

Sumber: kuliah-kuliah.


- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)


       

No comments:

Post a Comment