MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Saturday 23 March 2013

ILMU TAUHID / AKIDAH (BAH. 5): PERKARA YANG MEMBATALKAN TAUHID/IMAN; DAN MURTAD..

11 JAMADILAWAL 1434 H

( N  40 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

ILMU TAUHID / AKIDAH (BAH.5): PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN AKIDAH / TAUHID, IMAN ; DAN MURTAD.
(Sambungan dari bah. 4 klik di sini)

DInukilkan seterusnya topik ini untuk mencerahkan pemahaman mengenainya sebagai panduan asas agar seseorang itu lebih sensitif di dalam tindak-tanduknya dalam hidup seharian untuk mengelakkan tergelincir dari landasan akidah Islam (al sunnah wal jama'ah).

A. PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN TAUHID DAN IMAN.

Perkara yang boleh membatalkan iman, tauhid dan syahadah ialah mana-mana iktikad (pegangan seperti satu simpul yang kuat), perkataan dan perbuatan yang menunjukkan keingkaran dan penentangan kepada maksud ucapan syahadah yang diucapkan atau penentangan dan keingkaran mana-mana satu daripada ajaran Islam. 

1. KEINGKARAN DAN PENENTANGAN TERHADAP ALLAH DAN KEKUASANNYA.

Boleh merosakkan akidah dan tauhid jika seseorang, contohnya, dengan mengatakan alam ini bukan ciptaan Allah tetapi ia terjadi dengan sendirinya atau mengatakan Allah tidak mentadbir alam ini atau rezeki itu bukan dari Allah dan sebagainya.
Begitu juga dengan pendirian tidak perlu takutkan Allah, tidak perlu  sembahyang, menghalalkan yang haram, mengubah kadar zakat dan sistem pusaka dan sebagainya. Orang yang melakukan perkara tersebut dan orang yang menyokong dengan berpengetahuan tentang  kebenarannya boleh menjadi kafir di sisi Allah Ta'ala.
Ini boleh juga berlaku jika seseorang itu menafikan salah satu daripada sifat-sifat syumul Allah seperti,sifat ilmu,samak, basar, kalam, dll.

2. KEINGKARAN DAN PENENTANGAN TERHADAP KERASULAN NABI S.A.W DAN AJARAN YANG DIBAWANYA.

Terbatalnya tauhid melalui perkara ini ialah apabila seseorang mengingkari dan menentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan ajaran yang dibawanya sama ada melalui iktikad, kata-kata atau perbuatan. Umpamanya dengan mengatakan Baginda bukan nabi akhir zaman, dia hanya diutus untuk bangsa Arab sahaja; mengingkari sifat-sifat yang wajib bagi rasul, mencaci, mempersenda atau pun menentang segala ajaran yang disampaikan.
Begitu juga mengingkari al-Quran serta hadisnya sama ada secara keseluruhannya atau sebahagiannya.

B. PERKARA YANG MEMBAWA KEPADA MURTAD.

IKTIKAD, PERKATAAN atau PERBUATAN seseorang boleh membawa kepada berlakunya MURTAD disisi Allah Ta'ala.
Ulama menyebut secara terperinci jenis-jenis perkara diatas yang boleh mengeluarkan seseorang dari daerah keimanan sehingga membawa kepada kekufuran. Secara ringkasnya seperti berikut:-

1. Beriktikad adanya Tuhan yang lain daripada Allah atau kuasa yang setara denganNya.

2. Beriktikad makhluk boleh memberi kuasa.

3. Percaya kepada kuasa-kuasa mutlak yang lain daripada Allah, seperti jin dan lain-lain.

4. Melakukan perbuatan ibadah seperti orang kafir. Cantohnya, tunduk atau patuh kepada berhala, memakai salib, dan sebagainya.

5. Menghina al-Quran.

6. Menghina Rasulullah s.a.w dan sunahnya termasuk melukis karikaturnya.

7. Menganggap syariat Islam tidak sesuai pada zaman sekarang.

8.Menganggap undang-undang Islam sudah lapuk, kejam dan zalim.

9. Merasa syak dan ragu atas kebenaran Islam.

10. Menafikan perkara yang menjadi maklum dalam agama atau perkara yang diketahui umum.

      Di dalam buku 'MESTIKA HADIS' terbitan JPM/JAKIM, ada menyebut beberapa contoh keingkaran dan penentangan yang boleh membatalkan tauhid dengan perkataan seperti mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek dan mempermainkan nama-nama Allah, sifat-sifatNya, malaikat-malaikatNya, Rasul-RasulNya, kitab-kitabNya, ayat-ayat serta hukum-hukumNya; juga perkataan yang menolak, menafi atau meingkari segala perkara yang sepakat alim ulamak mensabitkannya atau menafi sesuatu hukum yang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari perkara agama.
Contohnya, jika sesearang berkata mengenai hukum Islam seperti berikut:-

1. Hukum apa ini?

2. Hukum ini sudah lapuk!

3. Zaman sekarang tidak patut haramkan riba kerana ia boleh menghalang kemajuan.

4. Wanita tidak patut dibungkus (tudung).

5. Berzina suka sama suka tidak haram.

6. Minum arak untuk menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?

7. Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untuk rugi apa salahnya? 

8. Kalau hendak sangat menurut hukum Islam sampai kiamat kita tak maju!

9. Misalnya, apabila diceritakan pada seseorang, Rasulullah s.a.w selepas makan menjilat sisa makanan di jarinya, lalu ia berkata perbuatan sedemikian tidak beradab.

10. Seseorang berkata, "Aku tak mahu potong kuku sekali pun ia sunnah..." apabila diberitahu memotong kuku adalah sunnah.

11. Seseorang berkata, "Si fulan dah mula menyalak.." semasa dia mendengar laungan azannya.

12. Membaca ayat-ayat suci, hadis Nabi dan nama-nama Allah dengan cara mempersendakannya.

13. Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, sedangkan orang itu tidak diyakini ada padanya suatu sebab yang menjadikannya kafir seperti diterangkan di dalam hadis riwayat Ibnu Umar Rasulullah s.a.w telah bersabda: Maksudnya: "Siapa yang berkata kepada saudaranya "Wahai kafir" maka ia akan mengenai salah seorang dari keduanya jika ia benar tetapi jika ia tidak benar perkataan itu akan kembali kepadanya."       

14. Kata-kata yang mengkafirkan diri sendiri dengan bergantung kepada sesesuatu keadaan. Contohnya:
Seseorang berkata, "Kalau aku lakukan perkara itu jadilah aku kafir." Jika dia sebenarnya melakukam perkara yang dimaksudkan, maka jadilah dia kafir, kecuali dengan tujuan hanya untuk melepaskan dirinya dari tuduhan dan bukan dengan tujuan redha menjadi kafir. Sesungguhnya dia telah melakukan dosa besar dengan kata-kata tersebut. Sekiranya dia benar tidak melakukan pekara yang dituduh maka dia tidak menjadi kafir tetapi tetap berdosa kerana tidak mempunyai keazaman yang tetap untuk berpegang teguh kepada agama Islam.

Apabila seorang Muslim meredhakan kufur maka jadilah ia kafir. Hukum ini terkandung di dalam hadis riwayat Abdullah bin Buraidah, maksudnya:
"Sesiapa yang bersumpah dan berkata: Sesungguhnya aku berlepas diri dari Islam, sekiranya dia berdusta maka jadilah dia sebagaimana yang dikatakan. Sekiranya dia benar dia tidak akan kembali kepada Islam dengan selamat."     

Orang yang melakukan dosa besar yang lain daripada riddah (murtad) tidak akan menjadi kafir selama mana dia tidak menafikan atau menghalalkannya. Melainkan dia menafikan atau menghalalkan perbuatan dosanya itu maka dia akan menjadi kafir, yakni murtad dan akan dijatuhi hukum (dibawah hudud). Walaubagaimana pun, Allah Ta'ala Maha Adil yang menerima taubat hambaNya yang juga terkandung didalam hukum hudud (sila lihat .hudud)

(Nukilan dan petikan dari kuliah berdasarkan buku kecil Tauhid dan syrik tulisan ust. Mohd Saiful Azlan.)


Wallahua'lam.


- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)





No comments:

Post a Comment