MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Tuesday 27 May 2014

TAUHID/AKIDAH (BAH. 12) : KE 5. QIAMUHU TA'ALA BINAFSIHI

27 RAJAB 1435 H

(  N 70  ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

TAUHID/AKIDAH (BAH. 12):

5. QIAMUHU TA'ALA BINAFSIHI (berdiri Allah Ta'ala dengan sendiri).

Firman Allah Ta'ala, bermaksud:

"Allah Ta'ala itu tidak ada Tuhan yang lain melainkan Dia jua. Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri dalam mengatur makhlukNya." - surah Al-Baqarah: ayat 255.

Setiap mukallaf (baligh ban berakal) wajib pada syarak (undang-undang agama) mengetahui dan mengaku dengan muktamad di dalam hatinya bahawa tentu sungguh Allah Ta'ala berdiri dengan sendiri dan tidak berkehendakkan kepada zat Tuhan yang lain untuk menjadikan Dia dan tidak memerlukan zat lain untuk Dia berada di zat itu. 

Allah Ta'ala tidak berkehendakkan kepada zat, seperti segala sifat (makhlukNya) yang menempatkan/menumpang diri sifat itu pada diri zat, umpamanya, rasa manis (sifat) yang menumpang pada gula (zat). Sifat pada makhluk yang menumpang pada zat boleh berubah-ubah. Sedangkan sifat Allah Ta'ala adalah sebaliknya dan terlampau sempurna dan tidak boleh sifat Allah Ta'ala itu sama seperti sifat-sifat lain.   

Dengan lain-lain perkataan, Allah Ta'ala itu ada sendiri-sendiri dan tidak berkehendak dan tidak berhajat kepada zat (benda) lain untuk menempatkan diriNya. Bahkan, Dia menjadikan segala-segalanya. 

Ini juga bukan bermakna secara literal, iaitu, berdiri dengan sendiri setelah duduk kemudian berdiri. Sedemikian itu adalah mustahil atas Allah Ta'ala. Allah Ta'ala tidak berhajat/memerlukan dan terkesan sesuatu pun daripada segala ciptaanNya, umpamanya, walaupun semua manusia kafir atau semuanya beriman! 

MUSTAHIL (lawannya) iaitu Dia berkehendakkan kepada zat atau kepada yang menjadikan Dia.

DALIL ALLAH TA'ALA BERDIRI DENGAN SENDIRI. 

1. Jikalau Allah Ta'ala tidak berdiri dengan sendiri dan memerlukan kepada yang menjadikan Dia, sudah tentu Dia adalah baru (ada permulaan) sedangkan telah dibuktikan terdahulu Allah Ta'ala itu sedia ada.  

2. Jika Dia tidak berdiri dengan sendiri, dan berkehendakkan suatu zat untuk menempatkan diriNya, dengan tersendirinya telah menjadikan Dia adalah sifat. Keaadaan ini adalah mustahil kerana sifat tidak boleh menumpang sifat, iaitu,sifat-sifat ma'ani seperti Qudrat, Iradat dan ma'anawiyah yang akan dibincangkan kelak.  Oleh itu, Allah Ta'ala adalah zat dan bukan sifat. Jika Dia adalah sifat, mana mungkin sifat menumpang sifat!

Maka tetaplah zat Tuhan itu berdiri dengan sendiri, seperti firmanNya bermaksud: 

"Wahai manusia! kamu sekelian yang berkehendak kepadaAllah dan Allah Ta'ala itulah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji". - surah Fathir ayat 15. 

Maha Kaya Allah Ta'ala itu yang tidak berkehendakkan kepada apa-apa pun.

Wallahu a'lam. 

(Terlebih baik belajar dan bertanya dengan guru-guru yang mahir dan berkitab).

Sumber: Kuliah berdasar kepada kitab-kitab Faridatul Faraid dan Al-Misbah Al-Munir...).

~ Tuk Ki Jemaah
(daripada talib kepada mukallaf)

& ** Sila baca juga SIFAT KE 4 
  
          

No comments:

Post a Comment