MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Wednesday 14 May 2014

HADIS QUDSI: ....IBARAT HANYA CELUPAN JARUM KE DALAM AIR LAUTAN.

14 REJAB 1435 H

( N  68 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS QUDSI (11) :

... IBARAT HANYA CELUPAN JARUM KE DALAM AIR LAUTAN !



Daripada Abi Zar r.a seperti diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w daripada Allah s.w.t. yang membawa maksud: 

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan perbuatan zalim keatas diriKu, dan Aku mengharamkannya juga di kalangan kamu. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua merupakan orang-orang yang sesat melainkan orang yang Aku memberi petunjuk kepadanya. Oleh itu hendaklah kamu memohon petunjuk daripadaKu dan Aku akan memberi petunjuk kepadamu. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua orang-orang yang lapar melainkan orang-orang yang Aku memberi makan kepadanya. Oleh itu hendaklah kamu memohon makanan daripadaKu dan aku akan memberi makan kepadamu.

Wahai hamba-hambaKu, semua kamu bertelanjang melainkan orang yang Aku memberi pakaian kepadanya. Oleh itu hendakah kamu memohon pakaian daripadaKu dan Aku akan memberi pakaian kepadamu.

Wahai hamba-hambaKu, kamu sekelian akan melakukan kesalahan-kesalahan malam dan siang dan aku akan mengampunkan kesalahan itu. Oleh itu hendaklah kamu memohon ampun kepadaKu dan Aku akan memberi keampunan kepadamu.

Wahai hamba-hambaKu, sekiranya golongan manusia dan jin dari mula lagi hingga akhir zaman nanti akan bersikap takwa sepenuhnya, maka ia tidak akan menambahkan sesuatu kedalam milikKu. 

Wahai hamba-hambaKu, sekiranya golongan manusia dan jin dari mula lagi sehingga akhir zaman bersikap zalim sepenuhnya, maka ia tidak akan mengurangkan sesuatu daripada milikKu.

Wahai hamba-hambaKu, sekiranya golongan manusia dan jin semenjak awal lagi sehingga akhir zaman nanti berdiri di suatu kawasan tinggi lalu mereka memohon (berbagai kurniaan) daripadaKu dan Aku memberi setiap permintaan mereka itu, maka ia tidak akan mengurangkan sesuatu yang berada di sisiKu bagaikan jarum yang dicelup ke dalam lautan.


Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya segala amalan kamu akan Aku hitungkan, kemudian Aku akan sempurnakan balasannya kepada kamu. Oleh yang demikian, sesiapa sahaja yang mendapat kebaikan, maka hendaklah ia memuji atau bersyukur kepada Allah; dan sesiapa yang mendapat keburukan, maka janganlah ia menyalahkan orang lain tetapi salahkanlah dirinya sendiri."

- Hadis qudsi riwayat Muslim.


KETERANGAN HADIS.

1. Sebagai seorang hambaNya, hendaklah sentiasa berasa hina dan berdoa dengan penuh harapan, memohon petunjuk jalan yang lurus seperti yang sentiasa didoakan didalam solat apabila membaca surah al-Fatihah, umpamanya.
Allah menyediakan rezeki kepada setiap hambaNya.

2. Hendaklah sentiasa beristighfar memohon ampun daripadaNya di atas dosa-dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar.

3. Allah tidak sekali-kali terkesan oleh tindak-tanduk makhluk ciptaanNya.

4. Segala amalan baik dan buruk akan menerima balasannya. Jangan sekali-kali bersikap sombong terhadap Allah (dengan melanggar segala suruhanNya) dan sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa segala daya-upaya dan kekuatan kita itu hanya daripada Allah s.w.t. jua.


Wallahu a'lam.

Sumber: Kuliah 

- Tuk Ki Jemaah
( daripada talib kepada mukallaf) 

   



No comments:

Post a Comment