MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Sunday, 21 October 2012

HADIS QUDSI (7) : TETAMU ALLAH YANG TIGA

5 Zulhijjah 1433
( N  26 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS QUDSI (7) : TETAMU ALLAH YANG TIGA.




Bersempena bulan Zulhijjah ini apa kata kita menyegarkan pengetahuan kita tentang ibadat haji yang wajib ini. Di bawah ini dinukilkan sebahagian dari hadis qudsi, hadis dan sudah tentu dari Al Quran sendiri menyentuh ibadat haji dan umrah.
Sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Hakim dari Abu Hurairah, terjemahannya:

"Allah s.w.t. berfirman kepada malaikat-malaikatNya : "Lihatlah kepada orang yang menziarahi rumahKu. Sesungguhnya mereka telah mengunjungi Aku, hingga kusut masai dan penuh debu."

Hadis qudsi ini telah disokong dan ditafsirkan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim, terjemahannya:

"Sesungguhnya Allah membanggakan orang-orang yang sedang wukuf di  
padang Arafah kepada malaikat-malaikat yang berada di langit dengan berfirman: "Lihatlah kepada mereka hamba-hambaKu itu. Mereka datang mengunjungiKu, dengan kusut masai dan penuh debu."

Orang-orang yang mengerjakan ibadat haji dan umrah dimuliakan Allah seperti terkandung di dalam hadis berikut:

"Tetamu Allah itu ada tiga, iaitu: orang-orang mengerjakan haji, orang-orang mengerjakan umrah dan orang-orang yang sedang berperang fisabilillah." 

Hadis ini telah diriwayatkan oleh al Hakim.

Seterusnya Allah telah menjanjikan kebaikan yang besar didalam hadis berikut yang diriwayatkan oleh Ibnu Juraij dengan sanad hasan:

"Rumah ini (Baitullah/kaabah) adalah tiang Islam. Barangsiapa yang keluar (dari rumahnya) menuju ke rumah ini, baik untuk mengerjakan haji mahupun untuk mengerjakan umrah, dia adalah dalam jaminan Allah. Jika diambil olehNya (meninggal dunia), akan dimasukkan ke dalam syurga, dan jika dikembalikan olehNya (pulang ke tanah air), dikembalikanNya dengan membawa pahala dan keuntungan yang besar."

Doa-doa orang yang mengerjakan haji dan umrah akan dimakbulkan. 

"Orang-orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Allah. Mereka dipanggil olehNya, lalu mereka menyambut panggilan itu. Mereka berdoa kepadaNya, lalu diperkenankan olehNya doa mereka itu."

- Hadis riwayat al Bazzar.

Allah juga menjanjikan berikut:

"Satu umrah hingga ke umrah yang berikutnya, menjadi penghapus dosa di antara keduanya. Dan haji yang mabrur/makbul (yang memenuhi rukun, wajib dan syarat-syaratnya), tidak ada balasan lain kecuali syurga."
- Hadis riwayat Ahmad.

"Pengeluaran wang belanja untuk mengerjakan haji sama seperti pengeluaran wang untuk tujuan fi sabilillah (perang sabil usaha-usaha pada jalan Allah) satu dirham dibalas dengan tujuh ratus kali ganda."
- Hadis riwayat Ahmad.

Diantara firman Allah di dalam Al Quran ialah di dalam surah Al Haj, ayat 27~29 ,  terjemahannya:

"Dan serukanlah umat manusia untuk megerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki,dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh. "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. "Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka,dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu."  

Antara perintah dan peringatan Allah di dalam surah Al Baqarah ayat 196, terjemahannya:

"Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah itu kerana Allah."

Banyak lagi terdapat ayat-ayat Al Quran dan hadis-hadis mengenai ibadat haji dan umrah. Semoga Allah Taala menjemput kita menjadi tetamuNya yang istimewa di masa akan datang. Amiin ya Rabbal A'lamin.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki
(Dari talib kepada mukallaf)

Saranan: Apa kata kalau kita berpuasa sunat (sunat muaqad/dituntut) pada 9 Zulhijjah nanti, insya Allah.






SELAMAT HARI RAYA EIDUL ADHA                          

Saturday, 13 October 2012

PANTUN RAHSIA BASMALLAH

( I  28 )   ILHAM ILAHI

PANTUN RAHSIA BASMALLAH




Beramal ibadat dalam kekhusyukan.
   Susah nak buat walaupun alim.
Awal ayat didalam Al Quran.
   Ialah ayat Bismillahir Rahmanir Rahim.

Kawal marah berumah di dada.
   Ada cara untuk meredakan.
Di awal Surah Basmallah dibaca.
   'BA' hurufnya pemula ejaan.

Bacakan do'a ikhlas dipanjatkan.
   Kata pujian didahulu dan disudah.
Perkataan dan huruf ada kupasan.
   Menyata Kebesaran dan Keesaan Allah.

Manusia leka mencintai dunia.
   Berlumba acara memenangi kebendaan.
Menyata juga mengenai hambaNya.
   Hamba dengan Tuhannya, apa hubungan?

Bertaubat balik di mana bermulanya.
   Sayu beristighfar menyesali yang jijik.
Tersirat disebalik huruf 'BA'.
   Suatu ikrar dengan Al Khaalik.

Berzanji memulia Nabi kita.
   Amalannya baik patut dikekalkan.
Janji hamba dengan TuhanNya.
   FirmanNya ada didalam Al Quran.

Ingatlah selalu enam perkara Rukun Iman.
   Ditanam teguh tidak terpisah di dalam dada.
"BUKANKAH AKU TUHAN KAMU?" Allah berfirman.
   Di alam roh terakam sudah dialognya. *

Nama tokoh sirah dilengkapkan.
   Kalau perjuangan menegakkan Agama.
"BALA!" ROH MANUSIA MEMBERI JAWAPAN,
   Atau "Bahkan/ya!" dalam bahasa kita. *

* ( Sila rujuk Al Quran, Surah Al A'raf ayat 172.)

Berubah hati untuk beriman?
   Lafaz Syahadah hendaklah dimudahi.
Begitulah termetri janji setiap insan.
   Lafaz tauhid ini tergamakkah kita langgari? 

Sepanas bara bagai di hati.
   Tetapi alah bila diselawatkan.
Selepas 'BA' perkataan 'ISMI'.
   'AL ISMI' nama ketinggian dan keagungan.

Akidah dimantapkan oleh ilmu di dada.
   Supaya hati dan perbuatan tidak bercanggah.
Allah dengan ketinggian 'Al A'la'.
   Maha Tinggi, yang patut dengan Allah.

Dahulukan kaki kanan, selepas menanggal sepatu.
   Sunat berdo'a, jangan lekas terjah.
'AR RAHMAN' perkataan menyusul selepas itu.
   Sifat pertama khas bagi Allah. 

Di malam hari harus bangun.
   Untuk sembahyang tambah-tambahan.
Di dalam 'AR RAHMAN' diakhiri huruf 'NUN'.
   Bentuk 'NUN' lambang keterbukaan.  

Terlewat? dicegah berlari-lari.
   Berlari kerana solat telah dimulakan.
Sifat pemurah lagi melengkapi.
   Memberi nikmatNYA tanpa batasan.

Rakaat terlaksana makmum yang masbuk.
   Sempurna rukuk pertamanya, diambil kira.
Sifat pemurahNYA kepada sekelian makhluk.
   Penderhaka dan yang kafir dapat juga.

Khidmat ditawarkan dengan terbuka hati.
   Demi kemenangan Agama tercinta.
Sifat Ar Rahman DIA memberi.
   Diberi iman dan ilmu kepada kita.

Silaturahim kuat main peranan di dalam jemaah.
   Kemas perpaduannya apabila diduga.
'AR RAHIM' pula sifat khas bagi Allah.
   Khas juga pada maknanya.

Bagaimana mengekang penghinaan demi penghinaan.
   Kita kutuk si Jahat- si Jahat ini.
Maha penyayang kepada orang beriman.
   Hanya untuk di akhirat nanti.

Walaupun berdakwah kepada hati yang terserkup.
   Takzim responsif pada setiap persoalan.
Kalau 'NUN' terbuka, tetapi huruf 'MIM' tertutup.
   'MIM' eksklusif untuk Mukmin sekelian.

Zat Al 'Azim tak terlihat dek mata.
   Jangan fikirkan rupaNYA di mindamu.
Sifat Ar Rahim DIA mengurnia Mukmin semua.
   Kelebihan kekuatan iman dan ilmu.

Berdakwah mestilah ikhlas selalu.
   Kebijaksanaan, diplomasi dan berazam.
Bacalah Basmallah nak mulakan sesuatu.
   Melainkan nak buat kerja yang haram. 

Wallahu A'lam.

Tuk Ki  


          



Sunday, 7 October 2012

ANEKDOT TAKWA (7) : MASJID AL AQSA SEBENAR

( N  25 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (7)

MASJID AL AQSA : JANGAN CELARU

Anda sedar atau tidak, apabila terkeluar sebarang berita menyentuh tentang Masjidil Aqsa didalam media, akan terteralah gambar atau visual sebuah bangunan yang mempunyai kubah berwarna kuning. Kita dan anak cucu semua berpersepsi bahawa itulah Masjid Al Aqsa. Ketahuilah, anggapan itu SALAH sebenarnya. Masjid sebenar ialah terletak di kawasan berdekatan yang kubahnya berwarna gelap/hitam. Kenapa pihak media tidak perihatin dalam hal ini adalah suatu persoalan. Kita tidak mahu generasi akan datang salah mengenali Masjid Al Aqsa, masjid ke tiga  termulia. Sila lihat gambar dibawah untuk mengetahui lokasi sebenar Masjid Al Aqsa.





*Bangunan berkubah hitam ialah Masjid Al Aqsa sebenar.



             







<-*INI MASJIDIL AQSA SEBENAR













 *INI BUKAN, sebenarnya ini ialah masjid Qubah Al-Sakhrah  ->





Wallahua'lam.


- Tuk Ki                       

Friday, 5 October 2012

ILMU TAUHID / AQIDAH BAH. 3

( N  24 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ILMU TAUHID / AQIDAH Bah. 3
(Sambungan dari Tuuhid bah 2)

KEWAJIPAN  SETIAP MUKALLAF (AKIL DAN BALIGH)

Diwajibkan pada syarak ke atas setiap orang yang mukallaf untuk mengenal Allah Taala, iaitu untuk menengetahui segala hukum yang berkaitan sifat-sifatNYA dan segala hukum yang berkaitan dengan ketuhananNYA dan mengetahui segala dalil-dalilnya. Begitu juga mengenai segala perkara berkaitan dengan RasulNYA.

Mengenal Allah Taala bukan untuk mengetahui hakikat zatNYA , kerana kita yang baharu tidak dapat mengenal yang qadim. Kita boleh mengenalnyaNYA secara jazam (pasti) yang menepati waqi'i (yang sebenar) yang mana hasil jazam itu datang dari dalil-dalil. Berdasarkan kriteria ini barulah kita beriktikad dengan yang betul.

Wajib pada syarak kita mengetahui segala yang wajib pada hak Tuhan kita dan apa yang mustahil atasNYA  dan apa yang harus bagiNYA.

Wajib juga mengetahui apa yang wajib pada hak sekelian Rasul (salam dan selawat bagi mereka)yang mustahil dan yang harus bagi mereka.

MAKNA WAJIB PADA SYARAK.

Wajib pada syarak ialah apabila dikerjakan dapat pahala dan apabila ditinggalkan akan disiksa. Umpamanya, mengetahui adanya Allah Taala akan diberi pahala dan jika tidak mengetahuinya akan disiksa.   

DALIL WAJIB, MUSTAHIL DAN HARUS.

Setiap mukallaf diwajibkan secara fardhu a'in untuk mengetahui dalil setiap yang wajib, yang mustahil dan yang harus agar dia tidak menjadi orang yang taklid (pak turut) , yakni, tanpa mengetahui dalilnya. Orang sebegini akan menanggung dosa selagi dia tidak belajar.


1. DALIL IJMALI (UMUM)

Ia adalah suatu dalil di mana seseorang itu tidak berupaya menetapkannya (menyatakan sebagaimana dituntut) dan menghuraikan segala yang subahat (kesamaran). Umpamanya, seseorang berkata, alam ini ialah dalil adanya Allah Taala. Tetapi jika ada penentangan dia tidak mampu menghuraikannya sebagaimana dituntut. Walaubagaimanapun, dia telah terkeluar dari kategori taklid.

2. DALIL TAFSILI (TERPERINCI)

Ia adalah dalil yang mampu menetapkannya dan menghuraikan segala subahat yang ditanyakan kepadanya.

YANG WAJIB DAN YANG MUSTAHIL BAGI ALLAH

* Wajib bagi Allah Taala, zat yang Maha Tinggi, mempunyai sifat kesempurnaan. Sifat kesempurnaan yang patut bagi Allah Taala amat banyak hanya Allah SWT yang mangetahuinya. Maka wajib disabitkan kepada Allah Taala secara ijmal (umum). 

* Setiap sifat kekurangan itu adalah mustahil bagi Allah Taala yang mana terlalu banyaknya, Allah Taala jua yang mengetahuinya. Oleh itu wajib disucikan sifat-sifat ini daripada Allah Taala secara ijmal (umum).


DALIL ALLAH BERSIFAT KESEMPURNAAN

Sifat kekurangan pada Allah Taala itu mustahil, kerana jika Ia bersifat dengan kekurangan nescaya Ia tidak menjadikan sesuatu pun pada alam ini. Oleh kerana itu terbatallah (tidak benar), kerana alam ini telah ada dengan musyahadah (dapat disaksikan).


Bersambung...Insya Allah.

Wallahua'lam.

( Nukilan ini adalah sebagai 'pembuka selera' kepada pembaca dengan harapan akan berputik minat untuk belajar ilmu Tauhid dengan membaca kitab dan berguru dengan guru yang mahir).

*Sumber: kuliah berdasarkan kitab Faridatul Faraid dan risalah Al Misbah Al Munir

- Tuk Ki
(Dari talib kepada mukallaf)



Thursday, 27 September 2012

KISAH BENAR (3) : MIMPI SEBELUM MATI

( S  9 )   DEBUNGA SYIFA'

KISAH BENAR (3) : MIMPI SEBELUM MATI

Ini adalah nukilan berdasarkan satu insiden benar yang berlaku 12 tahun yang lalu.                                                                                                    (hiasan)

Aku tidak menyangka deringan telefon dari mejaku, di pejabat, pagi itu ialah panggilan yang mengejutkan yang membuat aku merasa mukaku menjadi sejuk kaku. Apakah berita yang mengejutkan jika tidak berita kematian seseorang yang kita kenali. Ya, ia satu berita kematian. Berita yang akan membuat                 seseorang terkejut sebentar dan bagi yang perihatin dengan amalan agama akan lantas mengucapkan 'Innalillahi wainna ilaihi raji'un'.

Tetapi berita kematian pagi itu telah 'menakutkan' diriku. Sejenis ketakutan yang menusuk perasaan. Ketakutan yang mengugut diriku sendiri kerana ada satu insiden yang terlakar di sebalik berita kematian itu yang seolah-olah boleh menimpa diriku sendiri.

Baru dua hari sebelum itu, semasa menghadiri sebuah seminar, aku telah diperkanalkan oleh sahabatku dengan seorang teman sekerjanya. Di waktu meninggalkan dewan seminar, kami telah berpakat untuk singgah di cofee hause di premis itu bagi menikmati perbualan-perbualan ringan dan secawan kopi. Di hujung perbualan mesra dan kadangkala disulami gelak ketawa itu, teman sekerja sahabatku itu telah mengubah sedikit suasana ceria itu dengan menceritakan mimpi yang ditempuhinya malam sabelumnya.

Dia memberitahu, di dalam mimpinya dia dapati dirinya sedang berdiri dengan tidak stabil diatas satu tembuk yang tinggi dan tirus. Di sebelah tembuk itu terbentang luas satu lapangan yang luas serta terang benderang seolah-olah waktu tengah hari tetapi tidak pula panas terik bahkan begitu nyaman dan indah. Di sebelah satu lagi ialah lapangan yang gelap gelita, hitam pekat. Dia tidak tahu apa yang ada di dalam kegelapan yang pekat itu melainkan perasaan takut. Dalam keaadaannya yang cuba mengimbangkan badannya itu daripada jatuh, dia terasa tidak lagi dapat bertahan. Dia cuba merebahkan badannya ke arah kawasan lapangan yang terang benderang itu tetapi tubuhnya telah melayang jatuh di sebelah tembuk yang gelap gelita itu. Di saat itulah dia telah terjaga. Dia bertanya kepada kami sama ada kami tahu menafsirkan mimpinya itu. Aku menjawab, menafsir mimpi bukanlah kepakaranku. Sahabatku mengangguk kepala memberi isyarat dia juga adalah di dalam kategori yang sama.

Berita kematian yang aku terima pagi itu ialah berita kematian teman sekerja sahabatku itu. Sebaik sahaja berita itu mencecah gendang telingaku, sepantas kilat ia mengaitkan dengan kisah mimpinya tempuh hari di dalam kepalaku. Aku tergamam dengan mainan mindaku. Adakah itu salah satu fenomena yang Allah ciptakan kepada hambanya, yakni, amaran prakematian dirinya sendiri? Jikalau Allah Ta'ala membuka hati hambanya sudah tentu dia akan terus bertaubat di atas dosa-dosanya yang lalu. Sudah tentu 'cahaya' dan 'gelap' di dalam mimpi hamba Allah itu melambangkan suatu tempat yang 'tenang dan baik' dan satu lagi tempat 'penuh kengerian dan ketakutan'. Seolah-olah ia satu petunjuk destinasi ke alam barzakh. Mudah-mudahan Almarhum teman sekerja sahabatku itu telah dihidayahi Allah Ta'ala untuk bertaubat sebelum matinya.

Kita sedekahkan Al Fatihah kepada rohnya. Dengan kehendak Allah kejadian ini dapat saya nukilkan dan dapat memberi peringatan kepada kita supaya bertaubat sementara berkesempatan. 


Wallahua'lam.                                        (hiasan)

- Tuk Ki                        

Saturday, 22 September 2012

PUISI / SAJAK: PENZIARAH DARI MALAKUT

( I  27 )   ILHAM ILAHI

PUISI / SAJAK : PENZIARAH DARI MALAKUT

Sekilas ditakdirkan suatu kehadiran.
Engkau, penziarah aneh.
Sebingkas rohku menyambutmu.
Hadirmu sungguhpun sekerdip
tetapi akan terakam menjadi kilauan khazanah
yang diselimuti kabus mistik
menemani nyawaku
menjadi penggera jiwaku.
Terpaku engkau di sisi dan...
menelitiku
dengan panahan pandangan
yang meninjau lantas meresap di kalbu.

Penziarahanmu memukau alamku.
Tika waktu, hari dan bulan yang mulia ini.
Sekilas ku tenung wajahmu 
dari seorang dewasa matang
berwajah serius tetapi tenang
dibaluti jubah, nipis berjambang
berjisim teguh, berdiri tegas.
Wahai penziarah!
Siapakahkah engkau?

Wahai penziarah!
Siapa yang mengiringimu itu?
Berbalam-balam di saf belakangmu.
Dua tubuh samar seolah menunggu isyarat darimu.
Tubuh-tubuh yang taat harus tidak perlu berwajah.
Ada misi diiring bersama?
Ukirkan hasratmu!
Jangan hadiahkan daku dengan kesamaran jua.
Setelah sekerdip engkau berlalu.

Wahai penziarah!
Ziarahmu menyergamkan bekas sebesar Uhud.
Tersepadu dan tersejiwa bersama benakku.
Akan terpahat menunggu terpecah berainya 
langit dan bumi di alamku.
Sesungguhnya membisu engkau, wahai penziarah,
menusuk merdu bisa ke dalaam jisim ini.
Kerana saat berlalu adalah detik peringatan...
sehingga kini.
Minda analitis menganalisa pasti
mesejmu yang tersembunyi 
dalam sekerdip ziarahmu.

Wahai penziarah budiman!
Terjahan syukur menggelodak dadaku.
Kerana lawatanmu menggerunkan kalbu
tetapi dengan penuh keamanan
membuat diri digenang kesyahduan
terhadap Yang Maha Pencipta.
Kerana kini terlerai sudah.
Aku mengerti kehadiranmu.
Engkau penziarah yang sedang bertugas
acap kali mengucapkan salam setiap kali engkau menziarah
dan mengharap dijawab dengan Zikrullah
bukan dengan kelenaan dunia.

Wahai penziarah!
Amat tekun meluangkan masa
semata terpakumu
untuk menelitiku
dan aku tahu tempat asalmu.
Engkau ialah penziarah dari Malakut! 
  
(Nota: sebuah hadis Nabi s.a.w. diantara lain menyatakan malaikat Maut,Izrail, menziarahi kita 70 kali setiap hari).     

Wallahua'lam.

- Tuk Ki




Thursday, 20 September 2012

HADIS QUDSI ( 6 ): SYURGA BUKAN MACAM ITU!

( N  23 )   NUKILAN DARI TAMAN SURGA

HADIS QUDSI (6) : SYURGA BUKAN MACAM ITU!

Besar  kebarangkalian untuk kita cuba membayangkan di dalam minda kita keadaan dalam syurga apabila terbaca ayat-ayat Al Quran atau hadis-hadis mengenainya atau mendengarnya dari penceramah-penceramah. Namun kenyataannya, kreativiti minda kita sangat jauh tersasar. Hayati hadis qudsi ini di mana Allah S.W.T. berfirman, maksudnya:

"Untuk hambaKu yang soleh, Aku sediakan kesenangan-kesenangan yang tidak pernah terlihat oleh mata, tidak pernah terdengar oleh telinga, dan tidak pernah sedikit pun terlintas dalam hati manusia."

(Hadis qudsi riwayat Syaikan, Ahmad, Tarmizi, Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a dan Thabrani.)

HAMBA ALLAH.
Segala sesuatu yang ada ini ialah hamba Allah. Manusia ialah hamba Allah yang dicipta untuk tunduk dan menyerah diri sepenuhnya kepadaNya. Manusia perlu berusaha dan beramal kepada yang Maha Penciptanya mengikut kehendak peraturan agamanya, yakni, Islam yang disampaikan melalui para RasulNya.
Ciri-ciri jenis hamba yang dikehendakiNya ada disebutkan di dalam Al Quran, antara lain:

Surah As Saaffat ayat 40~41
Surah Az Zumar ayat 17~18
Surah Az Zukhruf ayat 68~69
Surah Al Furqan ayat 63

SOLEH.
Allah S.W.T. mencipta manusia dengan fitrah yang baik dan patut menjadi baik. Maka wajib manusia berusaha dan beramal dengan melatih diri dalam ibadat (dalam perspektif yang luas) dan zikir (keaadan sentiasa mengingati Allah) mengikut kehendak agama Islam. Ini semua berlaku melalui proses teladan, pendidikan, latihan, pembiasaan dan kesinambungan ilmu. 

NIKMAT DAN KESENANGAN SYURGA.
Seperti terkandung di dalam hadis qudsi di atas, nikmat dalam bentuk kesenangan syurga itu tidak dapat digambarkan dan dikhayalkan dengan tepat sebab ia adalah di luar dari tahap pemikiran manusia. Ia adalah perkara ghaib di alam akhirat, tetapi wajib kita mempercayainya. 

Dalam surah Al Baqarah ayat 25, Allah berfirman, maksudnya:

   "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya."
Ibnu Abbas r.a menafsirkan: "Kata-kata ini datangnya dari rasa kagum, hairan serta takjub. Tidak ada sesuatu pun di dunia ini yang dapat dibandingkan dengan yang ada di dalam syurga."

Nabi Allah Musa a.s pernah bertanya kepada Allah, seperti diriwayatkan oleh Muslim dan Tarmizi:

"Siapakah dari penduduk syurga yang terbesar (agung) kedudukannya?" Allah menjawab : "Orang  yang telah aku tanamkan kemuliaannya dengan tanganKu dan telah Aku tetapkan baginya (kenikmatan) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas di dalam hati manusia."

Begitulah Allah S.W.T. telah menyediakan syurga yang penuh dengan kegembiraan yang tiada penghujungnya oleh kerana nikmat dan kesenangan-kesenangannya. Akan tiada lagi di dalam kamus erti kesusahan bagi penghuni syurga buat selama-lamanya malah tidak perlu  beribadat lagi melainkan bersuka ria. 

Mudah-mudahan Allah memilih kita ke dalam golongan hambaNya yang soleh dan dirahmatiNya untuk menghuni syurgaNya. Amiin.

Wallahua'lam.
(Dari talib kepada mukallaf)

- Tuk Ki