MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Friday 28 November 2014

MUKJIZAT NABI S.A.W KETIKA HIJRAH

5 Safar 1436 H

( N  76 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.









SIRAH : MUKJIZAT NABI S.A.W KETIKA BERHIJRAH KE MADINAH.

  Setelah peristiwa Rasulullah s.a.w dikejar dan hampir dibunuh oleh Suraqah, baginda s.a.w, Abu Bakr dan Amir bin Fahirah telah meneruskan perjalanan dan telah singgah di satu perkhemahan kepunyaan Ummu Ma'bad al-Khuza'iyah yang sedang berehat di perkarangan khemahnya. Ummu Ma'bad seorang wanita yang tegas tetapi pemurah pada kebiasaannya suka memberi makanan dan minuman kepada sesiapa yang melewati khemahnya.

   Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr telah menyapa beliau bertanyakan jika ada sesuatu untuk dijamah.
"Demi Allah, kalau ada sesuatu kamu tidak akan terbiar tanpa jamuan. Kambing-kambing semuanya tidak ada susu dan tahun ini pula kemarau." Jawab Ummu Ma'bad yang tidak mengenali Rasulullah s.a.w. 
Baginda s.a.w pergi melihat seekor kambing betina yang kurus di tepi khemah lalu bertanya kepada Ummu Ma'bad samaada kambing itu bersusu atau tidak.
Ummu Ma'bad lantas menjawab, "Kambing itu terlampau teruk untuk memberi susu."
Lalu Baginda meminta izin untuk memerah susu kambing itu. Ummu Ma'bad membenarkan dengan senang hati tetapi ia tahu perbuatan itu adalah sia-sia belaka. 

  Dengan membaca Bismillah dan doa Rasulullah s.a.w memerah uncang susu yang tidak bersusu itu. Tiba-tiba ia mengembang dan mencurahkan susu dengan banyaknya ke dalam bekas yang agak besar hingga berbuih-buih. Baginda s.a.w telah memberi Ummu Ma'bad meminumnya hingga puas. Selepas itu diberi kepada sahabat-sahabatnya dan Baginda s.a.w turut meminumnya. Setelah puas meminum susu kambing itu, Rasulullah telah sekali lagi memerah susu kambing kurus itu sehingga penuh bekas itu dan ditinggalkan kepada Ummu Ma'bad sebelum mereka berangkat meneruskan perjalanan menuju ke Yathrib (Madinah al-Munawarah) meninggalkan Ummu Ma'bad yang terpinga-pinga kehairanan tetapi gembira.

  Sekembali suami Ummu Ma'bad bersama-sama kambing-kambingnya yang kurus akibat kekurangan makanan di musim kemarau yang sedang melanda, dia begitu terkejut kerana terdapat susu kambing yang banyak di perkhemahannya.
"Dari mana datang susu ini? Kambing yang tertinggal tadi, seekor belum beranak dan seekor tiada bersusu?" Tanya suami Ummu Ma'bad.
Ummu Ma'bad pun menceritakan apa yang berlaku dan memberi keadaan rupa bentuk dan perwatakan Rasulullah s.a.w dengan jelas kepada suaminya. Setelah mendengar penerangan dari mulut Ummu Ma'bad, yakinlah suaminya bahawa orang yang dimaksudkan oleh isterinya itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang sedang diburu oleh kaum Quraish dan ia berkata,
"Demi Allah, itulah dia orang yang disebut-sebut halnya. Aku sangat berhasrat untuk bersahabat dengannya apabila berpeluang nanti."

  Manakala di Makkah telah kedengaran satu suara tidak diketahui dari mana puncanya mendendangkan beberapa rangkap syair perihal perjalanan Raslulullah s.a.w termasuk peristiwa 'susu kambing' itu. 
Menurut Asma', "Sebenarnya kami tidak tahu arah mana Rasulullah s.a.w hendak tujui, tetapi tiba satu lelaki jin di Makkah mendendangkan syair. Orang ramai mengikuti suara itu tetapi tidak melihat jasadnya. Kami pun tahulah yang Rasulullah s.a.w menuju ke Madinah."

  Begitulah salah satu kejadian-kejadian semasa dalam perjalanan hijrah ke Madinah yang diperintahkan Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w. Ia begitu penting, strategik dan penuh dengan ujian-ujian kepada Rasulullah s.a.w dan pengikut-pengikut yang beriman dan sudah pasti mendapat pertolongan Allah s.w.t.. 

  Kenapa Allah s.w.t tidak menyediakan tunggangan buraq kepada nabi s.a.w sebagaimana dalam peristiwa isra' dan mi'raj untuk melakukan hijrah ke Madinah? Sudah tentu ada hikmah-hikmahnya untuk dibincangkan dengan guru-guru yang alim.

Wallalhua'lam. 

Sumber : kuliah dengan kitab ' Al-Raheeq Al-Makhtum'.


-  Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)

No comments:

Post a Comment