MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Tuesday 14 October 2014

TAUHID/AKIDAH: BHG. 13 SIFAT KE 6 WAHDANIAH.

19 ZULHIJJAH 1435 H

( N  72 )  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.


ILMU TAUHID/AKIDAH BHG. 13:

 SIFAT KE 6 WAHDANIAH (KEESAAN).


Wahdaniah ertinya keesaan, yakni bukan satu yang boleh dibelah-belah menjadi cebisan separuh, suku, atau berbilang-bilang. Allah Taala berfirman, terjemahannya: 
"Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa...." - surah Al-Baqarah: 63. 

Wajib pada syarak setiap mukallaf (baligh dan berakal) mengetahui dan mengakui dengan muktamad bahawa Allah Ta'ala itu esa, iaitu, esa (satu dan tidak berbilang-bilang) pada 1.zatNya 2.sifatNya dan 3.af'alNya (perbuatanNya).

1. ESA PADA ZAT.
a) Zat Allah Taala tidak bersusun daripada beberapa juzuk (bahagian) seperti muka, kepala, tangan, kaki dan boleh dikerat, dipotong, dikoyak seperti zat (diri) makhluk/alam (kejadian selain daripada Allah Taala). Jika begitu hal keadaannya, ia dinamakan kam mutassil (berbilang dan berhubung pada zat/diri). Jika zat Tuhan dapat dibahagikan dan boleh dibilang, tidaklah dikatakan esa. Bahkan Dia menyerupai makhluk.

b) Tidak ada pula zat Tuhan yang lain yang boleh dibilang-bilang atau sama dengan zat Allah Taala. Hal sedemikian dinamakan kam munfasil (bilangan yang berasing-asing) dan tidaklah dikatakan esa.

2. ESA PADA SIFAT.
a) Tidak ada pada zat Allah Taala itu dua atau lebih sifat daripada jenis yang sama, umpamanya, dua sifat Qudrat (berkuasa), dua sifat Iradat (berkehendak). Hal demikian dinamakan kam muttasil pada sifat (bilangan yang berhubung pada sifat, yakni, beberapa sifat yang sama.

b) Tidak ada pada yang lain daripada Allah Taala suatu sifat yang menyerupai mana-mana sifat Allah Taala seperti sifat boleh mengadakan dan maniadakan apa-apa makhluk. Hal demikian dinamakan kam munfasil pada sifat (berbilang sifat yang sama yang berasingan) dan dengan sendirinya ternafi oleh keesaan sifat Allah Taala.

3. ESA PADA AF'AL (PERBUATAN).
a) Tidak ada sesiapa pun yang bersekutu dengan Allah Taala dalam mana-mana perbuatanNya. Jika berlawanan dengan yang demikian ia dinamakan kam muttasil pada perbuatan (berbilang sesama mereka mengerjakan sesuatu perbuatan). 
Keadaan ini adalah tertolak kerana tiap-tiap dua atau lebih perbuatan itu tidak dikatakan berbuatan Tuhan kerana makna Tuhan itu Tuan sekelian perkara dan apabila dua atau lebih, nescaya dikatakan Tuan sebahagian-sebahagian sahaja.
Nota: Perbuatan/mengadakan sesuatu oleh makhluk hanyalah berdasarkan atas usaha dan ikhtiar (memilih).

b) Tidak ada perbuatandari diri yang berlainan/berasingan mengadakan sesuatu sama dengan perbuatan Allah Taala. Jika berlaku perbuatan yang berasingan itu dinamakan kam munfasil pada perbuatan, yakni, berbilang perbuatan dari diri yang berlainan dalam mengadakan sesuatu. Ini mustahil kerana dua atau lebih Tuhan tidak memenuhi (sepenuhnya) pemerintahannya sebagai Tuhan.

Oleh itu Tuhan itu tetap esa dan tidak berbilang-bilang pada ZAT, SIFAT dan PERBUATANNYA. 

*Mustahil Allah Taala ketiadaan esaNya.

DALIL.

Jika Tuhan berbilang-bilang, tidak boleh tidak mereka terpaksa bersetuju atau berbalah/berselisih antara satu sama lain, umpamanya dalam mengadakan/menjadikan sesuatu makhluk/alam (makna makhluk/alam ialah kejadian selain daripada Tuhan). 

Jika umpamanya bersetuju dua Tuhan, akan timbul tiga masaalah. 

1. Bersetuju menjadikan sesuatu makhluk di dalam satu masa. Ini adalah mustahil dilakukan. Maka lemahlah kedua-duanya. Mustahil Tuhan itu lemah dan kita dapat melihat setiap makhluk itu sudah ada tercipta yang membuktikan Tuhan itu berkuasa dan tetap esa.  




2. Bersetuju menjadikan suatu makhluk atas dasar dahulu dan kemudian. Umpamanya, Tuhan A membuat suatu makhluk pada pukul 10 dan Tuhan B pukul 11. Maka Tuhan B itu mengadakan makhluk yang sudah ada oleh Tuhan A. Begitu juga jika sebaliknya berlaku. Maka kedua-duanya adalah lemah kerana tiada kuasa mutlak dan ini adalah mustahil kerana setiap makhluk sudah tercipta dan dapat disaksikan dengan mata kepala kita. Terbuktilah Tuhan itu esa jua tidak berbilang-bilang. 

3. Bersetuju untuk menjadikan makhluk yang berlainan. Umpamanya, Tuhan A menjadikan langit dan Tuhan B menjadikan bumi. Dengan sendirinya kedua-dua Tuhan menjadi lemah kerana Tuhan A tidak boleh lagi menjadikan bumi dan begitulah sebaliknya dengan Tuhan B tidak boleh lagi menjadikan langit. Jika ini berlaku Tuhan itu lemah.

Jika kedua-dua atau lebih Tuhan-Tuhan itu pula berselisih/berbalah antara satu sama lain terjadi pula dua masaalah. 

1. Kalah satu menang satu. 
Umpama Tuhan A hendak menjadikan langit manakala Tuhan B hendak meniadakan langit dan Tuhan A tidak boleh melakukannya kerana dipertahan dan dihalang oleh Tuhan B. Begitulah sebaliknya berlaku. Maka kedua-dua Tuhan adalah lemah dalam memenuhi kehendak masing-masing.

2. Seri kedua-duanya.
a) Seri dengan kalah kedua-duanya. Umpama Tuhan A hendak mnjadikan suatu makhluk tetapi dihalang oleh Tuhan B. Tuhan B pula hendak meniadakan/menghapuskan suatu makhluk yang dibuat oleh Tuhan A tetapi sudah tentu tidak boleh kerana makhluk itu tidak dapat dijadikan/diadakan. Maka lemahlah kedua-duanya.

b) Menang kedua-duanya. Umpama satu Tuhan mencipta suatu makhluk dan lantas Tuhan lain telah meniadakan/menghapuskan makhluk itu. Perkara ini adalah mustahil kerana makhluk-makhluk telah ada dengan musyahadah (dapat dilihat dengan mata). Oleh itu pastilah Tuhan itu esa.

Inilah kebenaran yang diakui di dalam Al-Quran, terjemahannya:

"Apakah mereka mengambil tuhan-tuhan dari bumi, yang dapat menghidupkan (orang -orang mati)?
Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya telah rosak binasa..." surah Al-Anbia: 21~22.


Wallahua'lam.

(Sila dapatkan keterangan lanjut dari guru yang mahir). 

Sumber daripada: kuliah berdasarkan kitab-kitab Faridatul faraid...dan Al-Misbah Al-Munir.

- Tuk Ki Jemaah.
(Daripada talib kepada mukallaf)

 
              

No comments:

Post a Comment