MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Monday, 29 April 2013

6 PERKARA WAJIB DIJAGA - ANEKDOT TAKWA (14)

  18 JAMADILAKHIR 1434 H

( N 43 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (14): 6 PERKARA WAJIB DIJAGA.

Adalah wajib ke atas tiap-tiap Muslim yang mukallaf (yang akil baligh) menjaga dan memelihara enam perkara ini yang juga dikenali sebagai enam kulliyyat.

1. AGAMA.
Wajib menjaga dan memelihara seorang Muslim itu daripada jatuh ke dalam kekufuran dan juga memelihara agama daripada dicemari. Diwajibkan kita berperang dengan orang-orang kafir yang memerangi agama (kafir harbi). Diwajibkan orang Muslim bersatu-padu, meyediakan kekuatan, bermesyuarah, mengukuhkan silaturahim untuk mempertahankan agama.

2. NAFSU.
Wajib memelihara nafsu daripada mengerjakan perkara-perkara yang membinasakan dan memudharatkan diri.

3. AKAL.
Wajib memelihara akal daripada kerosakan dan kehilangan akal seperti mengambil arak, dadah, dll.

4. NASAB (KETURUNAN)
Wajib atas mulkallaf memelihara nasab dengan menghindarkan diri daripada mengerjakan perkara yang merosakkan nasab seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang meransang perbuatan zina dan kelahiran anak diluar nikah.

5. KEHORMATAN DIRI.
Diwajibkan menjaga kehormatan diri dengan menjauhkan diri seseorang   dari melakukan perkara yang mencemar dan menghilangkan kehormatan diri. Adalah tidak dimudahkan seorang membuat tuduhan tanpa bukti (hudud) dan penuduh akan dihukum jika menuduh tanpa bukti berkaitan kehormatan diri. Diharamkan bersangka jahat, membongkar keaiban dan mengumpat perkara yang melibatkan kehormatan seseorang.

6. HARTA.
Wajib menjaga harta daripada membawa kebinasaan dan pelanggaran hukum syarak. Kerana inilah diharamkan rasuah, makan riba', mengambil cukai, mencuri, menipu, dan sebagainya.

Perkara diatas adalah yang asas dan pokok bagi setiap Muslim memeliharanya, tetapi yang lebih penting ialah perkara AGAMA kerana jika seseorang terkeluar dari agama Islam (riddah) dengan sendirinya akan tergugur segala amal ibadatnya.

Wallahua'lam


- Tuk Ki 

  

Tuesday, 16 April 2013

7 JENIS NAFSU - ANEKDOT TAKWA (13)

5 JAMADILAKHIR 1434 H

( N  42 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

ANEKDOT TAKWA (13) : 7 JENIS NAFSU.




AL-QURAN ada menyatakan perihal hawa nafsu (jiwa) yang bersarang dan menghuni  dibenak hati manusia yang harus diperangi dan dikawali dengan keimanan seperti pengertian hadis Nabi s.a.w: "Kita sekarang kembali dari jihad asghar (jihad kecil) (iaitu kembali dari perang Badar/Uhud) kepada jihad akbar (jihad besar), iaitu jihad memerangi hawa nafsu."

Jenis-jenis nafsu yang dikemukakan dalam al-Quran ialah:

1. 'NAFSU AMMARAH BISSU' ' yang selalunya mendorong seseorang untuk melakukan dosa dan kejahatan.
(Rujuk surah Yusuf ayat 53).

2. 'NAFSU LAWWAMAH' ialah nafsu yang sering menyesali diri. Maksudnya, apabila seseorang berbuat kebaikan ia juga menyesal kenapa dia tidak berbuat lebih banyak, apa lagi kalau dia berbuat kejahatan.
(Rujuk surah al-Qiaamah ayat 2).

3. 'NAFSU SAWWALAH' yang seringkali menggambarkan dan menghiaskan sesuatu maksiat/kejahatan itu menjadi indah dalam pandangan manusia atau khayalannya.
(Lihat surah Yusuf ayat 83).

4.'NAFSU MULHAMAH' iaitu nafsu yang sering mendorong tingkah laku kederhakaan dan ketakwaan.
(Lihat surah as-Syams ayat 8).

Bagi hambaNYA yang sempurna imannya mereka memiliki nafsu/jiwa berikut:

5. 'NAFSU MUTHMAINNAH' ialah jiwa/hati yang tenang. Sentiasa berusaha dengan ikhlas menjauhkan diri dari maksiat dan melaksanakan syariat Allah Ta'ala dan memperbaiki kejahilan diri dengan ilmu Akhirat.  

6. 'NAFSU RADHIAH' ialah jiwa yang puas dan redha dengan ketentuan Allah. Allah mencampakkan ketenangan di hatinya tetapi kadangkala tetap merasa sangsi samaada Allah menerima amalannya.

7. 'NAFSU MARDHIAH' ialah hati yang diredhai Allah Ta'ala. Ini adalah makam nafsu tertinggi dikalangan insan selain para Nabi dan Rasul. Peringkat ini dengan izin Allah dapat merasakan secara bathin dirinya diredhaiNYA. Makam ini diperolehi dan dicapai oleh ahli-ahli tasauf/sufi dan wali-wali Allah.  
(5,6,7 - lihat surah al-Fajr ayat 27~30).

Berusahalah untuk memerangi / berjihad mengalahkan hawa nafsu yang negatif, dan mencapai serta memelihara nafsu yang disukai Allah Ta'ala,  insya Allah.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki   






Wednesday, 10 April 2013

PANTUN PERIBAHASA PERADA BAHASA (BAH.2).

29 JAMADILAWAL 1434 H

( I 34 )   ILHAM ILAHI

PANTUN PERIBAHASA PERADA BAHASA (BAH.2)



BErat kelapa banyak terjurai.
   Tupai selalu jadikan tempat rehatnya.
"Buat kerja seperti Mat Jujai."
   Terbengkalai selalu kerja yang dibuatnya.

Mengikat lembu paras tekak.
   Kelak tamat riwayatnya, dikemas dilapah dagingnya.
"Buat mahu menuras tidak."
   Nak buat sangat tetapi malas mempelajarinya.

Jika berdengkur gatal telinga.
   Jejari merewang,menggaru badan terasa bagus.
"Mata tidur bantal berjaga."
   Isteri curang mengambil kesempatan suami yang lurus.

Kurang rasanya sebiji berangan.
   Adalah sepuluh tahap biasa.
"Hilang di mata, di hati jangan."
   Walaupun jauh tetap tak lupa.

Ada kala suka, ada hari benci.
   Takut lama-lama terus layu tiada sukanya.
"Kerana mata buta, kerana hati mati."
   Ikut hawa nafsu akhirnya terima balanya.

Berbatu merentas si kupu-kupu.
   Jadikan belukar santai berehat.
"Bertemu ruas dengan buku."
   Padan benar, sesuai sangat.

Nasi lembut ada batu.
   Tetapi balik dibekalkan juga.
"Cari umbut kena buku."
   Dicari yang baik, dapat yang tak berguna.

Pergi dinihari untuk sembahyang, sujud dan rukuk.
   Menjalin syahdu dengan munajat seorang diri.
"Seperti ilmu padi, kian berisi kian runduk."
   Semakin berilmu, semakin berpangkat, semakin menghormati.

Panji sehelai lekas dikibarnya.
   Tanda mereka merayakan kemenangan.
"Padi setangkai bernas semuanya."
   Keluarga bahagia kerana didikan.

Terang nyata perkataan mika.
   Jangan tipu berkata lain.
"Tentang mata dengan mata."
Berhadapan satu sama lain.

Tak ambil peduli perkakas terabai.
   Kapak tak berguna jika tiada tangkainya.
"Tak ada padi yang bernas setangkai."
   Tidak ada sesuatu yang sempurna segala-segalanya.

Cili padi, lada merah jangan banyak.
   Kalau banyak terkelu lidah, berapi pedasnya.
"Seperti padi hampa,makin lama makin mencongak."
   Kalau tidak berilmu, janganlah semakin tinggi cakapnya.





Siakap pembuka pemecah selera.
 Asam pedas nama menunya.
  Terbatuk memakannya jika tak cermat.
"Silap mata pecah kepala."
  Dalam tugas kerja bahaya.
   Buruk padahnya jika tak berhemat.

Bekerja di ladang kelapa sawit.
 Mahu mengumpul modal perniagaan.
   Susah sekarang tiada masaalah, boleh mengharungnya.
"Mata memandang apa hendak sakit.
  Bahu memikul timpa perasaan."
   Susah orang melihat, lebih susah yang menanggungnya.

Bahan dapat dari laut, geragau dibubuh.
 Gigih berpanas membuat belacan dan juga budu.
  Belacan dan budu perniagaan dipilih menjana pitih.
"Jangan sangat memilih, takut terkena buku buluh."
 "Pilih-pilih ruas, terpilih pada buku."
   Jangan terlalu memilih, khuatir nanti tersalah pilih.

Jika berjanji tunaikanlah.
 Jika berbelahbagi beristikharahlah.
  Bawa berzikir hilanglah buntunya.
"Jika ada padi berhampalah.
  Jika ada hati berasalah."
   Jika rasa tersindir, dialah pelakunya.


- Tuk Ki 


  
   
   

Wednesday, 3 April 2013

ANEKDOT TAKWA (12) : IBU MAKSIAT

22 JAMADILAWAL 1434 H

( N  41)   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (12): IBU MAKSIAT

Othman bin Affan r.a telah berkata:

"Jauhkan olehmu dari arak, sesungguhnya terdapat pada umat nabi terdahulu seorang lelaki yang sangat kuat beribadat kepada Allah s.w.t. 

Maka datang seorang perempuan yang terlalu jahat perangainya kepadanya dan berkata, "Aku datang memanggilmu kerana aku dijadikan untukmu."
Lalu datanglah lelaki itu bersama perempuan itu dan kedua-duanya masuk ke dalam rumah. Kemudian pintu rumah ditutup dan dibawa kepada lelaki itu seorang kanak-kanak (hamba) lelaki dan satu bekas berisi arak.
Perempuan itu berkata lagi, "Aku memanggilmu untuk mengajakmu berzina denganku atau membunuh kanak-kanak ini atau engkau minum arak ini. Selagi engkau tidak lakukan salah satu dari tiga perkara ini nescaya aku tidak akan  buka pintu ini."
Maka berfikir si lelaki itu, "Jika aku membunuh kanak-kanak ini adalah terlalu besar dosanya dan apabila difikirkan zina itupun besar dosanya."

Lalu dia mengambil bekas arak lalu meminumnya. Setelah selesai diminumnya dia telah menjadi mabuk dan telah membunuh kanak-kanak itu, kemudiannya telah berzina pula dengan perempuan itu dalam keadaan mabuknya."  

Peristiwa tersebut sememangnya lumrah berlaku dan telah bertambah buruk dewasa ini. Betapa kita mendengar atau membaca berita perzinaan, rogol, samun dan pembunuhan berlaku berpunca daripada mabuk atau khayal setelah meminum arak atau mengabil dadah."

Wallahua'lam.

- Tuk Ki


                                   Arak





Ganja/dadah dan jenayah.







Sunday, 31 March 2013

PANTUN DERHAKA (BAH.2): SI TANGGANG DAN SI KAKI KHAYAL

19 JAMADILAWAL 1434 H

( I  33 )    ILHAM ILAHI

PANTUN DERHAKA (BAH. 2): SI TANGGANG DAN SI KAKI KHAYAL.

Hati teringatkan peristiwa yang lama.
   Perasaan yang tercarik dapat diatasi.
Hormati dan muliakan kedua ibu dan bapa.
   Jangan mengherdik gunakan diplomasi.

Tali saudara hendak dijaga.
   Ragam mereka lumrah difahami.
Nabi bersabda anak derhaka.
   Kedalam neraka setelah mati.

Sukanya dia si ratu jelita.
   Tercela kerana aurat terdedah maruah tercabul.
Derhaka kepada ibu dan bapa.
   Umpama derhaka kepada Allah dan Rasul.

Merana habis sakit kepala.
   Tiada selera jika kena sakit gigi.
Bersama Iblis di neraka terseksa.
   Hanya beza satu darjah sedikit tinggi.

Gergaji terdapat di dalam garaj.
 Juga pelampung tiub tayar.
  Bersarang di dalamnya ular dan kala.
Nabi melihat di malam Mikraj.
 Manusia tergantung di pelepah tamar.
  Dipanggang di dalam neraka, itulah mereka.

Benih lada segera ditanam.
 Semoga subur berpada labanya.
  Apa daya buahnya tak cantik.
Terlebih seksa di neraka jahanam.
 Penderhaka kepada ibu dan bapa.
  Bersama penzina dan pelaku syirik.

Ketum biasa diambil petani ditanam subur.
 Memberi tenaga bermacam nak buat hari-hari.
  Budak-budak jadikan pengganti dadah singkat.
Sebelum ke neraka terseksa dahulu di alam kubur.
 Menjadi keldai digodam dengan tongkat besi.
  Berteriak sakit leher diikat rantai yang berat.






Dapat sebilah untuk menetak.
   Mengerat, menghiris dan jadikan senjata.
Dilakanat Allah peminum arak.
   Pembuat, pembeli juga penjualnya.

Tekak berkokok si ayam jantan.
   Bermegah-megah kepada yang betina.
Arak termasuk benda yang memabukkan.
   Dadah adalah benda yang sama.

Pagi-pagi sebelum bekerja solatnya lupa?
   Rupanya ada manusia tak acuh sebegini.
Sekali minum Allah tidak menerima amalnya. 
   Amalnya tidak diterima selama tujuh hari.

Jika terjun ke kancah kebinasan haram hukumnya.
   Bebal keputusannya kerana dunia terpaut di hati.
Jika minum sehingga mabuk hilang akalnya.
   Amal kebajikannya tidak diterima empat puluh hari. 

Singa menanti sebelum bertindak.
 Tak tertangkis mangsanya biarpun licin.
  Manakan sempat kukunya melekat.
Apabila mati si peminum arak.
 Ditulis namanya di neraka Sijjin.
  Melainkan sempat dia bertaubat.

Bernujum untuk berjudi dengan nombor ekor.
 Kalau diserbu lalu diberkas oleh pegawai.
  Wajah malunya jika ditatap, darahnya kering.
Peminum arak akan keluar dari kubur.
 Berbau busuk lebih dari baunya bangkai.
  Dibawah kulitnya merayap ular dan kala jengking.

Aduhai kalut di dalam hati.
 Rimas memikir orang lebih daripadanya.
  Kikiskan perasaan kerana syaitan yang meracun.
Memakai kasut yang berapi.
 Panas hingga mendidih otaknya.
  Dihumban bersama Firaun. haman dan Qarun.

Disebat pesalah sakit terlampau.
 Di dalam penjara tersergam gagah.
  Sebat Syariah lain kaedahnya.
Malaikat Zabaniah bengis menghalau.
 Dihalau ke neraka dihumban kebawah.
  Tongkat besi menyeksa selama masa.

Gelap hati tiada zikir yang menyucinya.
 Alah bisa tegal biasa jika selalu.
  Didahulu dengan azam di hati dan sanubari.
Setiap kali dipalu hancur daging dan kulitnya.
 Allah gantikan pula dengan kulit yang baru.
  Dipalu lagi, itulah kepedihan azab menanti.

Kiamat tiada ada sesiapa yang tahu.
 Kelakarlah sangat seperti cerita Pak Pandir.
  Akan tetapi dirimu dahulu pasti kiamatnya.
Teramat dahaga air diminta bertalu-talu.
 Zabaniah menyumbat cecair tembaga panas berdesir.
  Berguguran giginya, membakar perutnya, keluar diduburnya.





Bunga wujud mari dinikmatkan.
 Cermat beradab jambangan dibeli.
  Gunanya  menghias rupa yang hebat sehingga layunya.
Kerana hidup mencari keseronokan.
 Mendapat azab di kemudian hari.
  Gembiranya tak seberapa, bertaubatlah selagi ada masa.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki
  
   
  



Saturday, 23 March 2013

ILMU TAUHID / AKIDAH (BAH. 5): PERKARA YANG MEMBATALKAN TAUHID/IMAN; DAN MURTAD..

11 JAMADILAWAL 1434 H

( N  40 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

ILMU TAUHID / AKIDAH (BAH.5): PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN AKIDAH / TAUHID, IMAN ; DAN MURTAD.
(Sambungan dari bah. 4 klik di sini)

DInukilkan seterusnya topik ini untuk mencerahkan pemahaman mengenainya sebagai panduan asas agar seseorang itu lebih sensitif di dalam tindak-tanduknya dalam hidup seharian untuk mengelakkan tergelincir dari landasan akidah Islam (al sunnah wal jama'ah).

A. PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN TAUHID DAN IMAN.

Perkara yang boleh membatalkan iman, tauhid dan syahadah ialah mana-mana iktikad (pegangan seperti satu simpul yang kuat), perkataan dan perbuatan yang menunjukkan keingkaran dan penentangan kepada maksud ucapan syahadah yang diucapkan atau penentangan dan keingkaran mana-mana satu daripada ajaran Islam. 

1. KEINGKARAN DAN PENENTANGAN TERHADAP ALLAH DAN KEKUASANNYA.

Boleh merosakkan akidah dan tauhid jika seseorang, contohnya, dengan mengatakan alam ini bukan ciptaan Allah tetapi ia terjadi dengan sendirinya atau mengatakan Allah tidak mentadbir alam ini atau rezeki itu bukan dari Allah dan sebagainya.
Begitu juga dengan pendirian tidak perlu takutkan Allah, tidak perlu  sembahyang, menghalalkan yang haram, mengubah kadar zakat dan sistem pusaka dan sebagainya. Orang yang melakukan perkara tersebut dan orang yang menyokong dengan berpengetahuan tentang  kebenarannya boleh menjadi kafir di sisi Allah Ta'ala.
Ini boleh juga berlaku jika seseorang itu menafikan salah satu daripada sifat-sifat syumul Allah seperti,sifat ilmu,samak, basar, kalam, dll.

2. KEINGKARAN DAN PENENTANGAN TERHADAP KERASULAN NABI S.A.W DAN AJARAN YANG DIBAWANYA.

Terbatalnya tauhid melalui perkara ini ialah apabila seseorang mengingkari dan menentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan ajaran yang dibawanya sama ada melalui iktikad, kata-kata atau perbuatan. Umpamanya dengan mengatakan Baginda bukan nabi akhir zaman, dia hanya diutus untuk bangsa Arab sahaja; mengingkari sifat-sifat yang wajib bagi rasul, mencaci, mempersenda atau pun menentang segala ajaran yang disampaikan.
Begitu juga mengingkari al-Quran serta hadisnya sama ada secara keseluruhannya atau sebahagiannya.

B. PERKARA YANG MEMBAWA KEPADA MURTAD.

IKTIKAD, PERKATAAN atau PERBUATAN seseorang boleh membawa kepada berlakunya MURTAD disisi Allah Ta'ala.
Ulama menyebut secara terperinci jenis-jenis perkara diatas yang boleh mengeluarkan seseorang dari daerah keimanan sehingga membawa kepada kekufuran. Secara ringkasnya seperti berikut:-

1. Beriktikad adanya Tuhan yang lain daripada Allah atau kuasa yang setara denganNya.

2. Beriktikad makhluk boleh memberi kuasa.

3. Percaya kepada kuasa-kuasa mutlak yang lain daripada Allah, seperti jin dan lain-lain.

4. Melakukan perbuatan ibadah seperti orang kafir. Cantohnya, tunduk atau patuh kepada berhala, memakai salib, dan sebagainya.

5. Menghina al-Quran.

6. Menghina Rasulullah s.a.w dan sunahnya termasuk melukis karikaturnya.

7. Menganggap syariat Islam tidak sesuai pada zaman sekarang.

8.Menganggap undang-undang Islam sudah lapuk, kejam dan zalim.

9. Merasa syak dan ragu atas kebenaran Islam.

10. Menafikan perkara yang menjadi maklum dalam agama atau perkara yang diketahui umum.

      Di dalam buku 'MESTIKA HADIS' terbitan JPM/JAKIM, ada menyebut beberapa contoh keingkaran dan penentangan yang boleh membatalkan tauhid dengan perkataan seperti mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek dan mempermainkan nama-nama Allah, sifat-sifatNya, malaikat-malaikatNya, Rasul-RasulNya, kitab-kitabNya, ayat-ayat serta hukum-hukumNya; juga perkataan yang menolak, menafi atau meingkari segala perkara yang sepakat alim ulamak mensabitkannya atau menafi sesuatu hukum yang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari perkara agama.
Contohnya, jika sesearang berkata mengenai hukum Islam seperti berikut:-

1. Hukum apa ini?

2. Hukum ini sudah lapuk!

3. Zaman sekarang tidak patut haramkan riba kerana ia boleh menghalang kemajuan.

4. Wanita tidak patut dibungkus (tudung).

5. Berzina suka sama suka tidak haram.

6. Minum arak untuk menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?

7. Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untuk rugi apa salahnya? 

8. Kalau hendak sangat menurut hukum Islam sampai kiamat kita tak maju!

9. Misalnya, apabila diceritakan pada seseorang, Rasulullah s.a.w selepas makan menjilat sisa makanan di jarinya, lalu ia berkata perbuatan sedemikian tidak beradab.

10. Seseorang berkata, "Aku tak mahu potong kuku sekali pun ia sunnah..." apabila diberitahu memotong kuku adalah sunnah.

11. Seseorang berkata, "Si fulan dah mula menyalak.." semasa dia mendengar laungan azannya.

12. Membaca ayat-ayat suci, hadis Nabi dan nama-nama Allah dengan cara mempersendakannya.

13. Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, sedangkan orang itu tidak diyakini ada padanya suatu sebab yang menjadikannya kafir seperti diterangkan di dalam hadis riwayat Ibnu Umar Rasulullah s.a.w telah bersabda: Maksudnya: "Siapa yang berkata kepada saudaranya "Wahai kafir" maka ia akan mengenai salah seorang dari keduanya jika ia benar tetapi jika ia tidak benar perkataan itu akan kembali kepadanya."       

14. Kata-kata yang mengkafirkan diri sendiri dengan bergantung kepada sesesuatu keadaan. Contohnya:
Seseorang berkata, "Kalau aku lakukan perkara itu jadilah aku kafir." Jika dia sebenarnya melakukam perkara yang dimaksudkan, maka jadilah dia kafir, kecuali dengan tujuan hanya untuk melepaskan dirinya dari tuduhan dan bukan dengan tujuan redha menjadi kafir. Sesungguhnya dia telah melakukan dosa besar dengan kata-kata tersebut. Sekiranya dia benar tidak melakukan pekara yang dituduh maka dia tidak menjadi kafir tetapi tetap berdosa kerana tidak mempunyai keazaman yang tetap untuk berpegang teguh kepada agama Islam.

Apabila seorang Muslim meredhakan kufur maka jadilah ia kafir. Hukum ini terkandung di dalam hadis riwayat Abdullah bin Buraidah, maksudnya:
"Sesiapa yang bersumpah dan berkata: Sesungguhnya aku berlepas diri dari Islam, sekiranya dia berdusta maka jadilah dia sebagaimana yang dikatakan. Sekiranya dia benar dia tidak akan kembali kepada Islam dengan selamat."     

Orang yang melakukan dosa besar yang lain daripada riddah (murtad) tidak akan menjadi kafir selama mana dia tidak menafikan atau menghalalkannya. Melainkan dia menafikan atau menghalalkan perbuatan dosanya itu maka dia akan menjadi kafir, yakni murtad dan akan dijatuhi hukum (dibawah hudud). Walaubagaimana pun, Allah Ta'ala Maha Adil yang menerima taubat hambaNya yang juga terkandung didalam hukum hudud (sila lihat .hudud)

(Nukilan dan petikan dari kuliah berdasarkan buku kecil Tauhid dan syrik tulisan ust. Mohd Saiful Azlan.)


Wallahua'lam.


- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)





Wednesday, 13 March 2013

ANEKDOT TAKWA (11) : KE NERAKA ANGKARA SI LALAT

1 JAMADILAWAL 1434 H

 ( N  39 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (11) : KE NERAKA ANGKARA SI LALAT.


Terpaut hati saya untuk berkongsi suatu kisah di dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad, seperti yang diceritakan ustaz di dalam rancangan t.v tempoh hari.

Oleh kerana tiada teks terjemahan sebenar hadis tersebut, berdasarkan pemahaman saya, begini kisahnya:

Rasulullah s.a.w telah bertanya kepada sahabat bahawa tahukah oleh sebab seekor lalat boleh menyebabkan seorang itu masuk neraka. Sahabat pun bertanya bagaimana seekor lalat boleh menyebabkan seseorang masuk neraka.
Rasulullah s.a.w pun menceritakan, ada dua orang sedang dalam perjalanan ke suatu tempat. Dalam perjalanan itu mereka telah terserempak dengan satu kaum yang mensyaratkan mereka mempersembahkan korban sebarang binatang kepada patung berhala  Tuhan mereka untuk dibenarkan melalui jalan itu. Jika tidak mereka akan dibunuh.
Salah seorang dari mereka mengatakan dia tiada binatang hendak dikorbankan. Kaum itu menyuruh pengembara itu setidak-tidaknya korbankan seekor lalat. Maka dia pun korbankan seekor lalat pada patung berhala itu dan dilepaskan untuk meneruskan perjalanannya.

Lelaki yang seorang lagi telah enggan berbuat demikian lalu dibunuh oleh kaum itu.

Rasulullah s.a.w telah menyatakan lelaki yang dibunuh kerana enggan membuat korban walaupun hanya seekor lalat kepada berhala itu kerana imannya terhadap Allah Ta'ala, dimasukkan kedalam syurga. Manakala orang yang menurut kahendak kaum itu dengan hanya mengorbankan seekor lalat dia  dihumban ke neraka.  

Oleh itu berhati-hatilah dalam menjaga akidah kita. Akidah boleh terbatal dengan iktikad didalam hati, perbuatan dan kata-kata yang bercanggah dengan rukun Iman.

Astaghfirullah, wallahua'lam.

- Tuk Ki
(Dari talib kepada mukallaf)