MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Tuesday, 15 November 2011

MENJELANG KEMATIAN / PUISI/SAJAK - HIJRAH OASIS / TERAPI TERBAIK

(N6) NUKILAN DARI TAMAN-TAMAN SYURGA

MENJELANG KEMATIAN.

KEHIDUPAN AKHIRAT ADALAH KEHIDUPAN SEBENAR.

Di dalam surah Al Ankabuut ayat 57~59 Allah Ta'ala berfirman 
"57. Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan  mati. Kemudian hanya kepada Kami* kamu dikembalikan.

58, Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat-tempat yang tinggi di dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya , mereka KEKAL di dalamnya. Itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang yang beramal.

59. Iaitu yang bersabar** dan bertawakkal kepada Tuhannya."

*Kami - (bukan Aku) menunjukkan maha berkuasaNya Allah S.W.T.
**bersabar - sabar mempunyai makna yang lebih luas dari perspektif ibadah, bukan semata-mata makna secara literal tetapi termasuklah sabar dalam mengerjakan ibadah, sabar menahan nafsu amarah dari mengerjakan maksiat/dosa, dll.

SAKARATUL MAUT.

Ketika kita sedang menghadapi sakaratul maut, 4 malaikat akan menjelma di hadapan kita dan memberitahu berita-berita tentang saat-saat terakhir hayat kita sebelum kedatangan malaikat maut atau Izrail.

Malaikat pertama menyatakan REZEKI kita telah kehabisan.
Malaikat kedua menyatakan AIR untuk kita telah kehabisan.
Malaikat ketiga menyatakan NAFAS kita telah kehabisan.
Malaikat keempat menyatakan AJAL kita telah tiba.

Semasa Izrail (yang turut diiringi oleh dua malaikat iaitu malaikat Rahmat dan malaikat Azab dengan tugas masing-masing )  mencabut nyawa, kita akan diimbas (seolah-olah satu preview) oleh malaikat Raqib dan 'Atid buku catatan sebelah kanan, iaitu catatan kebajikan semasa hidup kita dan buku catatan sebelah kiri iaitu buku catatan kejahatan dan dosa-dosa yang telah dilakukan. Di waktu itu di mana nyawa telah sampai ke khalqum pintu taubat telah tertutup buat selama-lamanya.

Tuk Ki - Semua orang takutkan mati, tetapi biarlah kita takut kerana takut-takut kita mati secara mengejut dan tidak sempat untuk bertaubat. Bekalan kita untuk ke akhirat mungkin tidak mencukupi atau kebajikan kita disangka telah banyak dibuat tetapi sayang banyak pula yang ketirisan. Na'uzubilah min zalik..

Wallahua'lam.    
_________________________________________________________________________________

(I 6)   ILHAM ILAHI

(Khas buat sesiapa yang sedang berhijrah atau merancang untuk berhijrah meninggalkan perkara-perkara yang menjadi celaan Allah Ta'ala menuju kepada keredhaanNya.Ini adalah bersempena dengan kehadiran Ma'al Hijrah 1433).



HIJRAH OASIS


Pergimu adalah
hijrah seorang pelombong.
Memencil dari selembah lombong kekayaan.
Mencengkeram dadamu 
dan menjulang dunia.

Berkat do'a asal usulmu.
Ribut iman melanda.
Hijrah! ya, hijrah!
Merentas gurun sebagai si kelana yang meyerah jiwa dan raga.
Ketegaran takwa gagah memerisaimu
Menyusur wadi yang payah sambil dipanjatkan harapan.
Benar yakin! ya, benar yakin!
Kerana mentari dan bintang-bintangNya tanpa jemu menunjuk laluan.

Jangan engkau gundah.
Tolehkan mukamu.
Di belakangmu benih-benih yang engkau taburkan
memputik mekar saf demi saf
menuju ke sebuah oasis bersedia menempa sejarah.   

Tuk Ki
_________________________________________________________________________________

(S5) DEBUNGA-DEBUNGA SYIFA'

TERAPI TERBAIK - AL QURAN

Sebagai seorang Muslim kita mesti yakin dengan Al Quran di mana Allah Ta'ala sendiri menjamin bahawa Al  Quran itu di bawah peliharaanNya sepanjang zaman. Berlainan dengan kitab-kitab terdahulu Allah Ta'ala tidak menyatakan demikian.

Mengambil berkat mukjizat Al Quran dan janji pahala yang besar kepada pembacanya, mengapa tidak kita jadikan pembacaannya satu kaedah terapi, khasnya terapi pertuturan (speech therapy) . Kalau dalam program terapi pertuturan pesakit akan diberi senarai perkataan untuk diucapkan berulang kali sebagai senaman mulut dan lidah, bacaan Al Quran adalah lebih superior kerana huruf-huruf Arab mempunyai kepelbagaian sebutan, makhraj dan tajwidnya.

Kepada penghidap angin ahmar yang mempunyai masalah pertuturan dan juga kepada sesiapa sahaja yang sudah terlupa untuk membaca Al Quran, buatlah azam baru bersempena Ma'al Hijrah yang tidak jemu-jemu akan muncul sedikit masa lagi, supaya membaca Al Quran dan jadikan sebagai satu hobi atau habit harian seperti kita membaca akhbar atau berfacebook. Lebih baik lagi jika disusuli dengan memahami pengertiannya sekali.AYUH! kita BOLEH lakukan bersama-sama, Insyaallah.

Wallahua'lam.

Sunday, 6 November 2011

PANTUN SAYANG & CAYANG / HADIS QUDSI (1) :SINDIRAN ALLAH / TERAPI PERT..

(N5) NUKILAN DARI TAMAN-TAMAN SYURGA

 HADIS QUDSI  ( 1 ):  SINDIRAN ALLAH SWT.

Dalam sebuah hadis qudsi * Allah SWT berfirman yang bererti :  " Wahai sekelian manusia , Aku hairan melihat orang yang meyakini kematian tetapi ia masih bergembira. Aku hairan melihat orang yang mempercayai hari berhisab, tetapi ia masih terus mengumpul harta. Aku juga hairan melihat orang yang meyakini akan masuk kubur, tetapi ia masih tertawa. Aku hairan melihat orang yang meyakini akhirat, tetapi ia masih bersenang lenang."

"Aku hairan melihat orang yang meyakini hidup dunia dan segala bencananya , tetapi ia masih hidup tenteram bersamanya. Aku hairan melihat orang yang alim dengan lidahnya, tetapi jahil dengan hatinya. Aku hairan melihat orang yang menyucikan dengan air, sedangkan hatinya tidak bersih."

"Aku hairan melihat orang yang sibuk dengan aib dan cela orang lain, tetapi ia melupakan aib dan cela dirinya sendiri; atau melihat orang yang tahu bahawa Allah sentiasa memerhatikan tingkah lakunya, tetapi ia masih terus berbuat maksiat. Begitu juga dengan orang yang tahu bahawa maut itu dilalui seorang diri, kubur itu dihuni seorang diri, dihisab seorang diri; tetapi ia masih berjinak jinak dengan manusia; tidak ada tuhan selain Aku sebenarnya dan sesungguhnya  Muhammad itu adalah hamba dan rasulKu."

* Hadis qudsi adalah hadis yang bersumber dari Rasulullah S.A.W dan disanadkan  (disandarkan) kepada Allah Ta'ala.
Menurut para ulama hadis qudsi adalah " Sesuatu yang diberitakan Allah kepada Nabi SAW dengan perantaraan Jibril atau dengan jalan ilham atau mimpi waktu tidur (mimpi para nabi), lalu  diberitakan oleh  Rasulullah SAW maksud dan tujuan berita tersebut  (kepada umatnya) dengan lafaz dan ucapan baginda sendiri, berdasarkan taufik dari Allah SWT".

Wallahua'lam.

_______________________________________________________________________________


 (I  5)   ILHAM ILAHI

Pada hari Jumaat 1 zulhijjah 1432 bersamaan dengan 28 oktober 2011 telah lahirlah cucu perempuan Tuk Ki. Sebagai merakam kegembiraan kesyukuran Tuk Ki dan Wan, ini lah pantun yang terhasil khas untuk cucu (termasuk cucu-cucu yang akan datang, insyaallah, juga cucu-cucu saudara, para cucu sekelian, anak-anak dan menantu). Dengan kurniaan Allah ini maka rasmi lah saya bergelar Tuk Ki, Alhamdulilah.

PANTUN TIMANG CAYANG CUCU KU CAYANG                               ( cucu Tuk Ki )

Mak bidan bertukar arah.
   Dari sentul ke Sungai Besi.
Saat penantian berakhir sudah.
   Si bayi comel yang suci murni.

Buah kedondong buah asam boi.
   Bersantap Jebat di persada istana.
Ibu mengandung sangat berbaloi.
   Menatap zuriat bapa gembira.

Tabir yang basah dilurut sahaya.
   Baldi dijemur tidak bertutup.
Takbir dan iqamah lembut di telinga.
   Tali agama seumur hidup.

Ke Kuala Ketil singkat perjalanan.
   Kertih jauh jarak pengembaraannya.
Si kecil comel pengikat simpulan.                        
  Kasih dan sayang semarak gandaannya.                                                                           

Ketuk ketampi syarat permainannya.
   Andai kalah memanglah lucu.
Tuk Ki dan Wan amat gembira.
   Ditunaikan Allah menimang cucu.

Merungkai tali di ranting pulasan.
   Kuat akarnya daunnya luruh.
Wahai cucu Tuk Ki ingin pesankan.
   Ingat ikrar mu di alam roh.

Sukar orang menghafaz al quran.
   Pantau di sekolah oleh tuk guru.
Ikrar yang dilafazkan setiap insan.
   Engkaulah, Allah adalah tuhanku.

Kolek didayung lembap selamba.
   Tegap badannya menghala ke hulu.
Didiklah ia tanggung jawab ibu dan bapa.
   Mantapkan imannya di dunia berliku.

Muatan ditolak sebelah kiri.
   Juragan belayar diberkati iman.
Kewajipan mencorakkan ia Muslim / Muslimah sejati.
   Jangan dunia dikejar bekalan akhirat berciciran.

Buat rumah pahat penukul.
   Tamat siapnya tiada aralnya.
Taat pada Allah taat pada Rasul.
   Taat pada ibu bapa menjadi amalnya.

Serama yang cantik susah dicari.
   Tenang menenang bulu yang kembang.
Nama yang baik sudah diberi.
   Timang cayang cucu ku cayang.

-Tuk Ki


________________________________________________________________________________


(S 4)   DEBUNGA-DEBUNGA SYIFA'

TERAPI PERTUTURAN (SPEECH THERAPY)

Mengikut pengalaman Tuk Ki sendiri , salah satu deria yang diserang oleh angin ahmar atau stroke  ialah terjejasnya keupayaan bertutur. Pada peringkat awal serangan lidah saya begitu keras dan apabila saya cuba bercakap dengan seseorang, maksud yang hendak dikomunikasikan tidak difahami oleh orang lain.

Semasa berada di hospital saya telah menjalani sesi khas terapi pertuturan setiap hari yang dijalankan seorang pakar.Semasa sesi terapi ini saya tidak ubah seperti seorang kanak-kanak sekolah rendah yang belajar menyebut objek -objek yang ditunjukkan. Selain itu saya diminta melakukan latihan lidah dengan mengerakkan lidah ke kanan, kiri, atas dan bawah. Saya juga dibekalkan dengan senarai  perkataan tertentu  yang perlu diulangi sekerap yang mungkin setiap hari.

Selepas menjalani sesi ini beberapa kali dan latihan lidah di rumah, pertuturan saya beransur-ansur pulih. Ini disahkan oleh rakan-rakan yang berkomukasi dengan saya melalui telefon.


Saya ada diberitahu ada terdapat pakar urut tradisional yang pandai mengurut lidah pesakit stroke. Tetapi ia lebih mudah dilakukan dan lebih berkesan jika urutan dibuat di peringkat awal serangan. Itu semua takdir Allah. Apa yang penting ialah usaha.

AMALAN PENTING.
Namun, saya dapati terapi yang paling berkesan untuk memperbaiki pertuturan saya seterusnya ialah dengan amalan membaca Quran dan sambil itu cuba mambetulkan setiap sebutan makhraj.

Wallahua'lam.


SELAMAT HARI RAYA 'AIDIL ADHA

Monday, 24 October 2011

BERSUCI / PANTUN -jangan... / SYIFA' - pinjaman semula

(N4) NUKILAN DARI TAMAN-TAMAN SYURGA

ILMU FIQAH - Bersuci (thoharah)

Ada 7 sumber air mutlak yang boleh bersuci dengan nya kerana ia ada lah air yang suci lagi menyucikan seperti berikut:
1. air hujan
2. air laut
3. air sungai
4. air mata air
5. air telaga
6. air embun
7. air salji.

Dalam aktiviti harian kita mengerjakan ibadat solat , berwuduk ada lah syarat sah solat. Kadang kala oleh kerana terlampau lazim dilakukan seseorang itu mengambil ringan tentang wuduk. Tetapi kalau ditilik semula ia sangat penting diberi perhatian kerana solat kita boleh jadi sia-sia disebabkan wuduk tidak sah.

Ada 4 bahagian dari air mutlak itu apabila digunakan:
1. Air suci lagi menyucikan, ia itu air mutlak yang tidak menjadi makruh dan bernajis.

2. Air yang makruh ia itu air musyammas. Ia adalah air mutlak yang ada dalam bekas takungan (yang boleh berkarat) yang terjemur dengan pancaran matahari dan suhu air itu menjadi panas. Di negara kita jarang berlaku di mana air boleh panas dalam keadaan sedemikian.

3. Air suci tetapi tidak menyucikan ia itu air musta'mal seperti berikut:
a. Air mutlak yang sudah bercampur dengan air yang telah digunakan.
    Keterangan: Kita haendaklah berhati-hati apabila mengambil wuduk di pili air yang mana airnya jatuh dan bertakung di dalam bekas takungan yang kurang dari 2 kolah*. Kita berkecenderungan untuk menceduk air takungan itu apabila sampai giliran terakhir ia itu membasuh kaki. Jika air takungan itu tidak melempah dan tidak terus mengalir keluar air itu ia lah air musta'mal kerana telah bercampur dengan basuhan anggota wuduk yang wajib,seperti muka dan tangan.Walaubagaimana pun, jika air itu penuh dan terus mengalir dan melempah keluar akibat daripada air pili yang terbuka itu, maka air itu masih dikira air mutlak.
b. Air yang berubah warnanya atau baunya atau rasanya kerana bercampur dengan objek yang bersih.

4. Air bercampur dengan najis yang telah berubah warnanya atau baunya atau rasanya dan air itu kurang
    dari 2 kolah* atau 2 kolah*.

*2 kolah: Bersamaan dengan 230 liter. Anggaran 1 1/2 hasta diameter dan 1 1/2 hasta dalam.

Wallahua'lam.
Insyaallah akan bersambung.
Dari talib ke mukallaf.

-Tuk Ki

______________________________________________________________________________


(I  4)  ILHAM ILAHI

PANTUN JANGAN SOMBONG-SOMBONG

Pinang muda diambil jangan.
   Jangan dikacip sambil berlari.
Orang tua berpesan-pesan.
   Jangan asyik meninggi diri.

Menuang sira tiris tapisnya.
   Amat manisnya muka terjebik.
Orang berpura-pura bermanis muka.
   Melihat kita berkelakuan jelik.

Kawat berduri dilurut luka.
   Luka tidak hanya di jari.
Buatlah kebaikan menurut agama.
   Mula-mula riak lama-lama bisa ditangani.

Tolak rezeki mencari beban.
   Beban iman mendapat ganjarannya.
Riak dijinakki menjadi keikhlasan.
   Insan yang ikhsan sebaik-baik hamba.

Burung ruak-ruak di paya dan belukar.
   Lalu jerat dipasang rotan terlentur.
Jika riak menjadi liar.
   Tunggulah datangnya syaitan bernama takbur.

Manusia berpusu-pusu di hari kiamat.
   Tidak lagi diberi keampunan.
Jangan tertipu menyangka diri baik teramat.
   Kerana dipuji setinggi awan.

Perut terkejut meratah banyaknya.
   Nafsu mendorong kemahuan memborong.
Tidak mengikut perintah Allah dan Rasulnya.
   Itu lah sombong sebesar-besar sombong.

Mendapat berkat mengetahui sirah Nabi dan sahabat.
   Dengan tulus juang Baginda untuk dihayati.
Dalam solat Al Fatihah berulang kali dipanjat.
   Jalan yang lurus diminta bukan seperti mereka yang disesati dan dimurkai. 



Nostalgia zaman persekolahan.

Apabila bercakap fasal pantun, Tuk Ki semasa sekolah dahulu ada bergurau dengan kawan-kawan dengan pantun ini:

Kotak bukan sebarang kotak.
   Atas kotak ada lilin.
Botak bukan sebarang botak.
   Botak ini sangat licin.

- Tuk Ki

______________________________________________________________________________

(S3) DEBUNGA-DEBUNGA SYIFA'

        MENDAPAT 'PINJAMAN SEMULA'

Lebih kurang 2 bulan lalu Allah Ta'ala telah mengabulkan do'a Tuk Ki yang sekian lama saya panjatkan kepadaNya dengan tidak jemu-jemu. Alangkah gembira dan bersyukurnya apabila saya dianugerahkan 'pinjaman semula' dari Yang Maha Berkuasa.

Kini saya dapat bersembahyang seperti orang biasa! Saya sungguh bersyukur dan amat gembira. Maksud saya, saya tidak lagi terpaksa bersolat duduk bersila selepas mengangkat takbiratul ikhram dan rukuk di rakaat pertama.Ini adalah kerana kesakitan yang amat sangat di bahagian lutut dan kaki apabila cuba hendak duduk antara dua sujud ,tahyat awal dan akhir.Jadi saya terpaksa duduk bersila dan sukar hendak bangun semula dan terpaksa meneruskan solat dengan bersila hingga selesai. Begitulah saya rasakan seolah-olah Allah telah mengembalikan dan meluluskan pinjaman semula kudratNya kepada hambaNya.

Alhamdulilah, semoga Allah Ta'ala berikan kita kudrat untuk menjalankan ibadat solat seharian. Sebaik-baik solat ialah solat berjamaah. Saya yakin ini adalah berkat dari solat berjamaah.


Sebagai kesyukuran saya telah luahkan isi hati dalam bentuk puisi bertajuk 'Makam Sujud' dalam post sebelum ini (Okt. 2011).

TAMBAHAN: Ini ada lah kandungan tambahan dalam posting sebelum ini (S2) Debunga-debunga syifa'.

Tuk Ki teringat ada terlihat tayangan tv menceritakan kisah seorang ulama terkenal  (terlupa namanya) yang terlantar di katil akibat stroke. Beliau tidak dapat bergerak dan tidak boleh bercakap.Yang menakjubkan, dengan dibantu oleh anak lelaki nya, beliau dapat berkomunikasi melalui pergerakan dan kerdipan matanya. Anaknys akan mencatit segala isyarat dari mata bapanya dan bertanya sesuatu kerana bapanya masih boleh mendengar. Mereka telah mereka kod-kod tertentu bagi setiap pergerakan dan kerdipan mata untuk dapat berkomunikasi.
Rumusannya:-
1. Bukan sahaja dengan isyarat mata kita diwajibkan bersolat sebagaimana pesakit ulama ini malah ia boleh dimanafaatkan dengan hal-hal lain.
2. Bantuan ahli keluarga yang berdedikasi sangat penting dalam memberi semangat dan kekuatan dalaman pesakit yang sudah tentu mendapat ganjaran besar di akhirat kelak.

Wallahua'lam.

-Tuk Ki

NOTA kemaskini : Ulama yang dimaksudkan ialah al marhum Syeikh Ahmad Deedat. Untuk mengetahui perjuangan dakwah beliau saya ada mencatit secara ringkas kehidupan beliau di dalam blog ini ( pos Jan. 2012 ).



Friday, 14 October 2011

ILMU TAUHID 1 / PUISI/SAJAK - Makam Sujud / SYIFA' - Keupayaan tersembunyi


(N3) NUKILAN DARI TAMAN-TAMAN SYURGA.

ILMU TAUHID (AKIDAH) - BAH. 1

Ilmu Tauhid membincangkan dengan sekadarnya tentang zat Allah Ta'ala yang mempunyai sifat-safat yang wajib bagi diriNya, yang mustahil bagiNya dan yang harus bagiNya. Begitu juga bagi rasul-rasul dan nabi-nabi serta semua merangkumi rukun-rukun Islam dan   Iman.

Sabda Nabi S.A.W  "Pertama-tama agama ialah mengenal Allah". Bagaimana kita hendak mengenal Allah Ta'ala?

Cara makrifat {mengenal) ia itu seseoarang beriktikad dengan jazam (pasti / putus) yang menepati waqi'i (yang benar) berdasarkan dalil yang kukuh dan bukan perkara-perkara yang bertentangan dengan dalil itu. Dalil -dalil yang dimaksudkan ia lah:
1. Dalil nakli  iaitu firman Allah Ta'ala dan hadis Rasulullah S.A.W.
2. Dalil akli iaitu dalil akal kita dalam menyatakan keadaan Allah Ta'ala.

Jika seseorang itu beriktikad teguh seperti iktikad konsep ketuhanan agama Nasrani, falasafah-falasafah, iktikad Qadariah, dsb, yang bersalahan dengan kebenaran, maka itu bukan lah di namakan makrifat.

Jika seseorang  yang jazam (pasti / putus) iktikadnya dan tidak bertentangan dengan waqi'i (yang sebenar) tetapi tanpa dalil nakli dan akli , ia juga tidak boleh dinamakan makrifat. Orang yang dalam golongan ini dinama taklid. Maksudnya ialah orang yang hanya mengikut perkataan orang lain ( pak turut).

Hukum orang yang taklid (pak turut).
Ulama berselisih pendapat mengenai status orang sedemikian. Qaul yang sahih mengatakan dia masih Mukmin tetapi berdosa kerana meninggalkan untuk belajar. Dia hendaklah muhasabah dirinya adakah dia termasuk golongan ini.

Wallahua'lam.

NOTA penting:
Saya sarankan supaya anda belajar dengan guru dan berkitab terutama ilmu Tauhid ini. Syaitan akan sentiasa mengambil kesempatan untuk memesongkan manusia jika kita belajar dan cuba memahaminya sendiri-sendiri. Sebagai alternatif terdapat kuliah Tauhid setiap selasa jam 6.30 ptg di TV1 terbitan JAKIM.


Dari talib untuk mukalaf -     Tuk Ki
_________________________________________________________________________________

(I3) ILHAM ILAHI

MAKAM SUJUD


Telah aku do'akan bagai arus sungai berlalu
dari hulu ke hilir merentas bumi maya
dengan keyakinan janjiMu
akan bertemu lautan tanpa ufuknya.
Dengan keyakinan firmanMu
suratul Umul Kitab
aku rindu untuk bersujud penuh sempurna
dan mengadu dalam wajahku.

Segala pujian-pujian yang layak bagiMu.
Sekecil-kecil pemberian dariMu
adalah anugerah teragung bagiku.
Dapat membekam dahi dan hujung hidungku
di zahir makam sujudMu.
Bersaksikan sejadah ini
bersua dengan yang Khaliq
menyerah, merindu, berhukum dan kembaliku sebagai hamba sebenar-benar hamba.

Pasakkan! suburkan! iman di dada
dengan siraman ilmu tidak reda-reda.
Gilap tingkahmu hias lakumu
selami Nabi S.A.W
dan temuilah nurnya.
Cintai Al Quran kalam Allah dengan bibir juga hatimu
bukan separuh diambil separuh disisih kelak tercela akidahmu.
Aku longlai berdo'a lagi.
Jemputlah aku dan kami semua dalam khusnul khotimah.

- Tuk Ki



______________________________________________________________________________

(S2) DEBUNGA-DEBUNGA SYIFA'

MENCARI KEUPAYAAN DIRI YANG TERSEMBUNYI SETELAH HILANG UPAYA.

Sebelum Tuk Ki diserang angin ahmar 13 tahun yang lalu saya merasa begitu kagum apabila melihat orang buta membaca braile, berjalan di tengah kesebukan bandar. Orang bisu dan pekak berkomunikasi antara satu sama lain. Orang kudung tangan dan kaki dapat membuat kerja seharian, membaiki enjin kereta dan motor, menulis dan melukis dengan jari jemari kaki, dll. Bagi saya yang normal ketika itu tidak terlintas langsung boleh melakukan perkara sedemikian.

Ketika terlantar di hospital, sesi terapi fisikal yang saya jalani memberi saya semangat untuk terus berusaha untuk menghadapi cabaran baru dalam hidup ini sebagai orang hilang upaya atau cacat anggota. Sesi itu telah memberi kesan yang positif dari tidak boleh berjalan sehingga boleh berjalan manggunakan tongkat.

Kini saya begitu takjub dengan kebolehan diri sendiri dan terpesona dengan kurniaan  Allah S.W.T yang maha adil lagi maha penyayang. Rupa-rupanya segala sendi-sendi anggota badan ini telah saya abaikan dan tidak digunakan dengan sepenuhnya.Dengan berbekalkan sedikit akal, imajinasi dan eksperimen saya sendiri  terkejut dengan hasil penemuan-penemuan apa yang boleh yang dilakukan sebagai orang yang lumpuh separuh badan sebelah kanan.

Sepanjang 13 tahun hidup dengan kelumpuhan saya berjaya, antara lain,
-memandu kereta auto-drive dengan tangan kiri dan kaki kiri
-mengikat kain pelikat sendiri menggunakan tangan kiri
-kadang-kadang memasak menu yang ringan-ringan (sebagai hobi bukan kena queen control!)
-mengurus diri sendiri
-membeli belah
dan yang paling baru ia lah

memotong kuku semua jari jemari.
Biasanya sememangnya saya tiada bermasaalah memotong kuku kedua kaki dan tangan kanan saya menggunakan tangan kiri saya. Tetapi apabila hendak memotong kuku tangan kiri saya tidak dapat memotong dengan tangan kanan kerana lumpuh. Oleh itu saya akan meminta bantuan anak perampuan saya.

Suatu hari, setelah selesai memotong semua kuku jari-jari tiba lah giliran untuk memotong kuku jari tangan kiri. Malangnya tiada sesiapa berada di rumah. Digerakkan Allah Ta'ala hati saya untuk mencuba sesuatu supaya berdikari. Dengan menggunakan sepenuhnya anggota yang ada, ia itu, kaki kiri dan peralatan rumah seperti katil, sebuah buku dan pemotong kuku bersaiz besar yang tajam saya berjaya memotong kuku tangan kiri saya dengan agak mudah. Setelah selesai, dengan berulang-ulang saya mengucapkan Alhamdulilah dan saya terus bertakbir dan bersujud syukur kepadaNya.

(Semoga perkongsian di atas dapat memberi semangat kepada rakan-rakan senasib.)

Tuk Ki

    

Tuesday, 4 October 2011

TAMAN SYURGA DI DUNIA /PUISI/SAJAK- DEBUNGA SYIFA' / ILHAM ILAHI

(N2) NUKILAN DARI TAMAN-TAMAN SYURGA

TAMAN-TAMAN SYURGA DI DUNIA.

"Apabila engkau bertemu taman-taman syurga maka kutiplah apa yang ada didalamnya". Sabda Rasulullah S.A.W kepada sahabat. Lalu sahabat bertanya "Apa kah itu taman syurga ya Rasulullah?" Jawab baginda "Majlis ilmu". Ada setengah riwayat mengatakan "Majlis zikrullah". Begitulah mathum Hadis Nabi S.A.W.

Majlis-majlis ilmu adalah merupakan taman-taman syurga di dunia nyata. Alangkah beruntungnya insan-insan yang berada didalamnya. Duduk bersama-sama para Malaikat yang turut mengunjungi majlis-majlis ilmu. Alangkah rugi nya jika terlepas peluang di depan mata dimana terdapat banyak majlis-majlis ilmu diadakan dewasa ini. Hanya segelintir insan sahaja yang hadir pada hal walaupun seorang itu tertidur didalam majlis ilmu ia tetap mendapat pahala kerana berada didalam majlis ilmu.

Sabda Nabi S.A.W , mathumnya ," Menuntut ilmu itu fardhu atas tiap-tiap Muslim lelaki dan Muslim perempuan"

Nabi S.A.W juga bersabda mathumnya " Hai Ibnu Mas'ud duduk engkau satu saat dalam majlis ilmu pada hal tiada engkau menyentuh akan kalam dan tiada engkau menyurat satu huruf pun adalah terlebih baik dari memerdekakan seribu hamba sahaya". Betapa besarnya pahala yang dikurniakan dan mulianya nilai majlis ilmu di sisi Allah S.W.T.

Seterusnya sabda Nabi S.A.W mathum nya " Bahawasanya Malaikat merendahkan segala sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu kerana tersangat suka dengan perbuatan itu".

Sabda Nabi S.A.W. lagi bermaksud " Mereka yang belajar satu bab daripada ilmu nescaya terlebih baik baginya daripada sembahyang sunat 100 raka'at".

Sudah tentu `Ilmu' yang dimaksudkan ialah ilmu yang memberi manafa'at kepada iman kita terhadap Allah S.W.T. Sebenar nya Allah S.W.T telah memilih insan-insan daripada populasi umat yang besar, umpama nya dari beribu-ribu penduduk sebuah taman perumahan , berapa kerat sahaja yang berminat dan memberi keutamaan  supaya hadir ke masjid atau surau atau tempat-tempat khusus lain untuk mendengar kuliah-kuliah agama dan bersolat berjema'ah ( kecuali dalam peringkat awal bulan Ramadhan yang akan berkurangan jemaahnya di akhir-akhir bulan ).  .

Nabi S.A.W ada diriwayatkan memberi pesanan apabila ditanya oleh sahabat baginda tentang ilmu.
Baginda berpesan maksudnya:
1. Tuntutlah ilmu sehingga menjadi seorang alim. Atau
2. jadilah seorang penuntut ilmu. Atau
3. jadilah seorang pendengar ilmu. Atau
4. jadilah seorang yang cintakan ilmu.
5. Tetapi jangan menjadi pembenci ilmu yakni jahil, maka binasa lah kamu! Na'uzubillah.

Wallahua'lam.

PERHATIAN: Ini adalah catitan Tuk Ki dari kuliah-kuliah. Sila dapatkan penjelasan lanjut dari para ustaz/ustazah yang berkelayakan.  




_________________________________________________________________________________

(S1) GERIMIS DEBUNGA SYIFA'

(Ini adalah sebuah perkongsian rasa untuk insan-insan yang sedang diuji Ilahi dengan penyakit, yang hilang upaya , kurang upaya atau kelainan upaya (ohu/oku), seperti Tuk Ki , ahli keluarga mereka dan penjaga-penjaga mereka).

Setiap musibah yang menimpa kita pasti Allah S.W.T  iringi dengan hikmah tertentu. Cuba kita luangkan masa untuk muhasabah diri. Bersyukurlah kerana Allah S.W.T masih memberi masa dan ruang untuk mengingatiNya dan tidak terus mengambil nyawa kita tanpa persediaan bekalan yang diharap dapat menjadi pemberat timbangan pahala berbanding timbangan dosa kita  apabila menghadapi Mizan Allah S.W.T di akhirat kelak. Yang paling mengerikan ialah apabila tidak sempat bertaubat. Na'uzubillah.

Apakah bekalan kita? Ia adalah TAUBAT, ILMU dan AMAL. Bagi diri Tuk Ki , sekarang saya rasa saya telah dianugerahkan dengan masa ,yang sentiasa bersifat cemburu itu, dan sedikit kudrat . Masa yang sebelum ini terpaksa dihabiskan di tempat kerja dan hal-hal kedunian.Saya nekad untuk mengamalkan tiga perkara yang saya sebut di atas dan sedang berikhtiar untuk menunaikan kewajipan MENYEBARKAN ilmu yang dipelajari sekali gus mencetuskan minat untuk belajar di kalangan pembaca. Insyaallah.

Kepada teman-teman yang telah ditakdirkan senasib seperti saya , penuhilah masa anda dengan menuntut ilmu. Jikalau tidak berupaya ke masjid / surau atau kelas pengajian , bukalah radio/tv untuk hadir di majlis ilmu . Antara lain seperti program-program agama di Radio IKIM, TV9 (tiap-tiap pagi 7.00~8.00), TV1 (Tauhid,Fekah selasa dan rabu 6.30ptg), TV3 ( jumaat 5.00~6.00ptg) dan terbaharu, TV Al Hijrah.

Bagi ahli keluarga dan penjaga insan-insan istimewa ini (istimewa kerana Allah S.W.T memberi peluang kepada anda untuk membuat sebanyak mungkin pahala dengan menjaga mereka apatah lagi jika mereka ada lah ibu, ayah, anak anda dsb) diharap dapat menyampaikan seruan ini. Dengan berbuat demikian anda dapat membantu mereka mendapat keampunan dan keredhaan Allah S.W.T. Semoga kita semua  sentiasa dirahmati Allah azawajalla. Amin.

_________________________________________________________________________________

(I2) ILHAM ILAHI

GERIMIS DEBUNGA-DEBUNGA SYIFA'

Ini sebuah perkongsian rasa...
Sesungguh nya aku telah jatuh sakit
Kamu juga jatuh sakit
Rupa-rupanya semua kamu jatuh sakit
Segumpal daging dimana legaran darah bertawaf
di dada mu! di dadamu!

Jumpalah doktor tanyalah tabib
...cuma geleng kepala ...kamu sihat ... bukan kah kamu wal'afiat?
Tetapi kamu resah
Kamu amarah
Nantikanlah
Nantikanlah
Semoga Ilahi menghidayahi
Semoga Ilahi merahmati
Bagai gerimis tiba-tiba muncul begemerlapan dipanah matahari pagi
Gerimis debunga-debunga syifa'
Melahirkan kelopak-kelopak sang bunga yang mekar lagi tenang

Tuk Ki