HADIS QUDSI ( 1 ): SINDIRAN ALLAH SWT.
Dalam sebuah hadis qudsi * Allah SWT berfirman yang bererti : " Wahai sekelian manusia , Aku hairan melihat orang yang meyakini kematian tetapi ia masih bergembira. Aku hairan melihat orang yang mempercayai hari berhisab, tetapi ia masih terus mengumpul harta. Aku juga hairan melihat orang yang meyakini akan masuk kubur, tetapi ia masih tertawa. Aku hairan melihat orang yang meyakini akhirat, tetapi ia masih bersenang lenang."
"Aku hairan melihat orang yang meyakini hidup dunia dan segala bencananya , tetapi ia masih hidup tenteram bersamanya. Aku hairan melihat orang yang alim dengan lidahnya, tetapi jahil dengan hatinya. Aku hairan melihat orang yang menyucikan dengan air, sedangkan hatinya tidak bersih."
"Aku hairan melihat orang yang sibuk dengan aib dan cela orang lain, tetapi ia melupakan aib dan cela dirinya sendiri; atau melihat orang yang tahu bahawa Allah sentiasa memerhatikan tingkah lakunya, tetapi ia masih terus berbuat maksiat. Begitu juga dengan orang yang tahu bahawa maut itu dilalui seorang diri, kubur itu dihuni seorang diri, dihisab seorang diri; tetapi ia masih berjinak jinak dengan manusia; tidak ada tuhan selain Aku sebenarnya dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan rasulKu."
* Hadis qudsi adalah hadis yang bersumber dari Rasulullah S.A.W dan disanadkan (disandarkan) kepada Allah Ta'ala.
Menurut para ulama hadis qudsi adalah " Sesuatu yang diberitakan Allah kepada Nabi SAW dengan perantaraan Jibril atau dengan jalan ilham atau mimpi waktu tidur (mimpi para nabi), lalu diberitakan oleh Rasulullah SAW maksud dan tujuan berita tersebut (kepada umatnya) dengan lafaz dan ucapan baginda sendiri, berdasarkan taufik dari Allah SWT".
Wallahua'lam.
(I 5) ILHAM ILAHI
Pada hari Jumaat 1 zulhijjah 1432 bersamaan dengan 28 oktober 2011 telah lahirlah cucu perempuan Tuk Ki. Sebagai merakam kegembiraan kesyukuran Tuk Ki dan Wan, ini lah pantun yang terhasil khas untuk cucu (termasuk cucu-cucu yang akan datang, insyaallah, juga cucu-cucu saudara, para cucu sekelian, anak-anak dan menantu). Dengan kurniaan Allah ini maka rasmi lah saya bergelar Tuk Ki, Alhamdulilah.
PANTUN TIMANG CAYANG CUCU KU CAYANG ( cucu Tuk Ki )
Mak bidan bertukar arah.
Dari sentul ke Sungai Besi.
Saat penantian berakhir sudah.
Si bayi comel yang suci murni.
Buah kedondong buah asam boi.
Bersantap Jebat di persada istana.
Ibu mengandung sangat berbaloi.
Menatap zuriat bapa gembira.
Tabir yang basah dilurut sahaya.
Baldi dijemur tidak bertutup.
Takbir dan iqamah lembut di telinga.
Tali agama seumur hidup.
Ke Kuala Ketil singkat perjalanan.
Kertih jauh jarak pengembaraannya.
Si kecil comel pengikat simpulan.
Kasih dan sayang semarak gandaannya.
Ketuk ketampi syarat permainannya.
Andai kalah memanglah lucu.
Tuk Ki dan Wan amat gembira.
Ditunaikan Allah menimang cucu.
Merungkai tali di ranting pulasan.
Kuat akarnya daunnya luruh.
Wahai cucu Tuk Ki ingin pesankan.
Ingat ikrar mu di alam roh.
Sukar orang menghafaz al quran.
Pantau di sekolah oleh tuk guru.
Ikrar yang dilafazkan setiap insan.
Engkaulah, Allah adalah tuhanku.
Kolek didayung lembap selamba.
Tegap badannya menghala ke hulu.
Didiklah ia tanggung jawab ibu dan bapa.
Mantapkan imannya di dunia berliku.
Muatan ditolak sebelah kiri.
Juragan belayar diberkati iman.
Kewajipan mencorakkan ia Muslim / Muslimah sejati.
Jangan dunia dikejar bekalan akhirat berciciran.
Buat rumah pahat penukul.
Tamat siapnya tiada aralnya.
Taat pada Allah taat pada Rasul.
Taat pada ibu bapa menjadi amalnya.
Serama yang cantik susah dicari.
Tenang menenang bulu yang kembang.
Nama yang baik sudah diberi.
Timang cayang cucu ku cayang.
-Tuk Ki
________________________________________________________________________________
(S 4) DEBUNGA-DEBUNGA SYIFA'
TERAPI PERTUTURAN (SPEECH THERAPY)
Mengikut pengalaman Tuk Ki sendiri , salah satu deria yang diserang oleh angin ahmar atau stroke ialah terjejasnya keupayaan bertutur. Pada peringkat awal serangan lidah saya begitu keras dan apabila saya cuba bercakap dengan seseorang, maksud yang hendak dikomunikasikan tidak difahami oleh orang lain.
Semasa berada di hospital saya telah menjalani sesi khas terapi pertuturan setiap hari yang dijalankan seorang pakar.Semasa sesi terapi ini saya tidak ubah seperti seorang kanak-kanak sekolah rendah yang belajar menyebut objek -objek yang ditunjukkan. Selain itu saya diminta melakukan latihan lidah dengan mengerakkan lidah ke kanan, kiri, atas dan bawah. Saya juga dibekalkan dengan senarai perkataan tertentu yang perlu diulangi sekerap yang mungkin setiap hari.
Selepas menjalani sesi ini beberapa kali dan latihan lidah di rumah, pertuturan saya beransur-ansur pulih. Ini disahkan oleh rakan-rakan yang berkomukasi dengan saya melalui telefon.
Saya ada diberitahu ada terdapat pakar urut tradisional yang pandai mengurut lidah pesakit stroke. Tetapi ia lebih mudah dilakukan dan lebih berkesan jika urutan dibuat di peringkat awal serangan. Itu semua takdir Allah. Apa yang penting ialah usaha.
AMALAN PENTING.
Namun, saya dapati terapi yang paling berkesan untuk memperbaiki pertuturan saya seterusnya ialah dengan amalan membaca Quran dan sambil itu cuba mambetulkan setiap sebutan makhraj.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment