ILMU TAUHID / AQIDAH BAH. 2
(Smbungan dari Tauhid bah. 1)
Sebelum kita pergi ke bab sifat-sifat kesempurnaan Allah Ta'ala yang wajib diketahui secara tafsil (terperinci) kita patut memahami dan mengulang kaji perkara-perkara asas berikut:
Ta'arif agama.
Agama adalah sebuah himpunan segala hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah Ta'ala kepada sekelian hambaNya yang mukallaf ( berakal dan baligh) melalui RasulNya yang membawa kebajikan yang berkekalan kepada mereka.
Tanda beragama.
Ada 4 tanda seperti berikut:
a) Sah iktikad (penuh keyakinan) iaitu jazam (pasti/putus) dengan apa yang diiktikadkan.
b) Benar qasad (niat) menunaikan ibadat dengan ikhlas, yakni, dengan mengikhlaskan niat hanya kerana Allah Ta'ala bukan menyengutukanNya dengan benda atau perkara yang lain selain Allah Ta'ala. Allah Ta'ala berfirman "Maka sesiapa yang mengharap untuk berjumpa dengan Tuhannya, maka ia hendaklah beramal soleh dan tiada menyengutukan sesiapa pun dalam beribadat kepada Tuhannya".
c) Menyempurnakan janji iaitu mengerjakan segala yang disuruh.
d) Tiada melampaui sekatan iaitu meninggalkan yang dilarang.
Asas agama.
Agama itu berasaskan ISLAM, IMAN dan IKHSAN.
A. ISLAM.
Seseorang itu telah Islam apabila ia secara zahirnya mengikut dan menerima apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w. tentang apa yang diketahuinya mengenai agama secara dharurah* ( tidak perlu fikir dan bicara lagi) seperti dua kalimah syahadah dan solat.Ia dikehendaki mengaku mengikut dan menerima perkara yang tersebut tanpa menolaknya walaupun ia tidak mengerjakannya seperti meninggalkan solat dan seumpamanya selama-lamanya.
Kita imbas kembali rukun Islam yang lima:
1) Megucap dua kalimah syahadah. Rukun ini tertentu kepada orang kafir yang hendak memeluk Islam.
2) Mendirikan sembahyang lima waktu.
3) Memberi zakat.
4) Puasa di bulan Ramadhan.
5) Menunaikan haji jika berkuasa.
B. IMAN.
Iman itu ialah apabila hati membenarkan Nabi s.a.w. pada apa jua yang dibawanya mengenai apa yang diketahuinya tentang agama secara dharurah* (tidak perlu fikir dan bicara lagi). Hati hendaklah mengikut dan menerima bukan semata-mata mengetahui benar Nabi s.a.w. tetapi tidak mengikut dan menerimanya. Kebanyakan orang kafir mengetahui kebenaran Nabi s.a.w. tetapi tidak dihukum sebagai beriman kerana hati mereka tidak mengikut dan menerima yang demikian.
Mari kita ulangi semula rukun Iman yang enam itu:
Percaya kepada
1) Allah
2) Malaikat
3) Kitab
4) Sekelian Rasul
5) Hari kiamat
6) QadarNya, sama ada baik atau tidak baiknya. Ertinya semua perkara sama ada elok seperti taat atau keji seperti maksiat adalah hasil dari perbuatan Allah Ta'ala yang bersepakat dengan kehendakNya pada sedia kala lagi.
C. IKHSAN.
Ialah dengan mengikhlaskan ketaatan seseorang dalam beribadat kepada Allah Ta'ala seolah-olah ia melihatNya. Tidak wajar kita berpaling kepada yang lain daripadaNya sama ada secara zahir atau batin kerana kita tahu Allah Ta'ala sedang melihat kita. Sewajarnya kita berasa malu kerana kita lalai dalam beribadat kepadaNya.Ikhsan adalah syarat bagi kesempurnaan Islam dan iman.
(*dharurah - Apa yang diketahuinya daripada segala dalil agama sebagai pengetahuan yang masyhur di kalangan sekelian ahli agama hingga menyerupai dharurah iaitu tidak perlu fikir dan bicara lagi).
KEWAJIPAN MENGETAHUI DALIL-DALIL WAJIB, MUSTAHIL DAN HARUS.
Setiap orang yang mukallaf diwajibkan secara fardhu ain mengetahui dalil setiap yang wajib, mustahil dan yang harus bagi Allah Ta'ala supaya ia tidak menjadi orang yang taklid ( sila rujuk pada post terawal).
bersambung...apa itu dalil ijmali, dalil tafsili, dll. Insyaallah.
Wallahua'lam.
(sila rujuk kpd.ustaz/ah yang arif untuk penerangan lebih mendalam)
___________________________________________________________
(I7) ILHAM ILAHI
Bersempena dengan kemunculan 1 Muharram 1433 yang akan disusuli oleh 1 Januari 2012,
inilah hadiah berupa pantun untuk pembaca sekelian.
PANTUN HIJRAH DAN MASIHI
Agama samawi dari langit diturunkan.
Agama majusi menyembah api yang mungkin padam.
Tahun masihi dihitung dari tarikh kelahiran.
Kelahiran Nabi bernama Isa Alaihissalam.
Zaman jahiliah patung disembah dan dimuliakan.
Tuhan dipahat dari batu yang berbongkah.
Tahun Hijrah dihitung dari peristiwa perpindahan.
Perpindahan Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinah.
Jalan darat menaiki unta.
Lanun menyusuri mengawas pantai.
Kekuasaan Barat menakluki dunia.
Tahun masihi terpaksa dipakai.
Kelihatan berbalam tentera berkuda.
Janggal menyerah sebelum kalah.
Kejatuhan Islam dimerata dunia.
Tinggal Hijrah dalam kitab sirah.
Rajin berjalan bersedia ke Makah, adalah afdal.
Mahir berlari kalau tak lelah, dipersilakan.
Rutin harian, Januari~Disember penanda yang global.
Lahir dan mati, Muharam~Zulhijjah selalu dilupakan.
Si gila ditanya dimana Kampong Pandan Dalam.
Memalu kepalanya sambil pusing-pusing tangan.
Apabila ditanya bulan-bulan Islam.
Garu kepala masing-masing berpandangan.
Judo ialah seni mempertahankan diri.
Jika agresif ok, jika pasif tidak mengapa.
Moto mereka , life starts at forty.
Jika positif ok, jika negatif membawa ke neraka.
Tun Fatimah bersumur di tengah rawa.
Beradab santun dikasihi menteri.
Tahun Hijrah umur kita lebih tua.
Setiap tahun Masihi bezanya sebelas hari.
Takut mati perasaan manusia.
Adanya malaikat wajib dipercayai.
Sambut hari jadi kematangan usia.
Budaya barat, lelaki perempuan dan tari menari.
Lembut hati si isteri berseri.
Barakah do'a taulan yang rapat.
Sambut hari jadi do'a mengiringi.
Cukupkah di dada bekalan akhirat?
Jangan gerun menaiki keretapi.
Terkedu sakitnya pelipis di kepala.
Kedatangan tahun baru, bunga api dan berparti.
Berpusu-pusu manusia, iblis pun ketawa.
Agama berpesan sentiasa meredha.
Dunia mutakhir seribu bencananya.
Ulama menyarankan kita berdo'a.
Di akhir dan awal tahun seribu kali baiknya.
Menggulung tembakau menghirup kopi.
Teringat fatwa Majlis Agama.
Tanggung jawab kita menghidupkan tradisi.
Mengingat tarikh berdasarkan agama.
- Tuk Ki
Kejatuhan pemerintahan Islam di Andulasia, Sepanyol.
___________________________________________________________
(S6) DEBUNGA SYIFA'
URUT DAN HUMOR
Tuk Ki telah menjalani berbagai usaha pemulihan dan rawatan semenjak 13 tahun yang lalu. Berbagai metod digunakan dan tidak terkecuali cara-cara yang aneh dan menggelikan hati. Ini adalah salah satu daripadanya.
Seoarang tukang urut/bomoh dalam lingkungan 40an telah datang ke rumah memenuhi temu janjinya dengan saya untuk meneruskan urutannya. Pagi itu beliau berkata ia akan buat sesi menghalau syaitan pada badan saya. Saya tidak membantah dan bersetuju. Saya pun suspense juga dan tertanya-tanya dalam hati apa yang akan berlaku. Seperti biasa saya berbaring di atas tikar. Saya lihat dia mengeluarkan lipatan kain kuning dari begnya dan apabila dibuka ternyata kain kuning itu agak lebar.Sambil berdiri dan merenung saya dilantai, dia membentang kain kuning itu menutupi seluruh tubuh saya dari kepala hingga ke kaki. Dengan mendepakan dua tangannya diangkatnya kain itu dan membentangnya semula keatas muka dan badan saya kembali.
Perbuatan itu diulanginya beberapa kali sambil mulutnya berkumat-kamit membaca jampi. Tiba-tiba tanpa diduga,dia merentap dan mengibas kain itu dengan kuat hingga mengeluarkan bunyi 'pop' yang amat kuat. Bagaikan bunyi tali belati digunakan penjinak singa di sarkis. Saya terperanjat dan secara sepontan terus ketawa. Bukan ketawa kecil tetapi ketawa yang agak kuat. Betul-betul terperanjat dan menggelikan hati saya kerana ia macam apa yang berlaku dalam babak filem dan drama komedi Melayu. Saya cuba mengawal ketawa saya supaya tidak menganggunya.Yang menghairankan saya, tukang urut itu memberi reaksi yang serius kepada saya sambil bertambah kuat membaca jampinya. Melihat demikian, saya pun turut serius dan membiarkan perubatan itu hingga selesai. Dalam masa yang sama saya terfikir, mungkinkah ia menyangkakan yang ketawa itu sebenarnya bukan diri saya tetapi syaitan atau jin yang merasuk dan menduduki dalam tubuh saya? Saya tersenyum sendirian. Saya yakin bahawa sayalah yang ketawa itu, bukannya jin. Wallahua'lam.
- Tuk Ki
SELAMAT MENYAMBUT
AWAL MUHARRAM DAN
MA'AL HIJRAH 1433 H
No comments:
Post a Comment