MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Wednesday, 29 February 2012

PANTUN CINTA enam kerat ( BERAHI & MAKSIAT ) Bah. 2

( I  13 )  ILHAM ILAHI

PANTUN CINTA (BERAHI & MAKSIAT ) Bah. 2



Minta siasat berita tersebar.
 Jahat fitnah tidak tahu motif.
  Cari sumbernya untuk dipatah.
Cinta keramat sudah tercemar.
 Akibat terdedah pengaruh negatif.
  Menjadi penzina dikutuk Allah.

Kota suci Mekah, melambai semua.
 Untuk beribadah mengerjakan haji.
  Yang berihram dengan hanya satu harapan.
Cinta berahi fitrah manusia.
 Itulah sebab segera dinikahi.
  Yang haram jadi halal, itulah tujuan.

Sahaja suka-suka menjerat di Jeram.
 Semalam-malaman berasa takjub.
  Jangankan mimpi, mata pun tak bisa dilelapkan.
Bercinta kemudian berzina, disebat atau direjam.
 Dalam Al Quran larangan termaktub.
  Jangan kau dekati inikan pula kau lakukan.

Beli lampu jom ke Jasin.
 Puas  menunggu van sapu.
  Itu pengangkutan yang hanya ada.
Bagi yang belum mampu berkahwin.
 Berpuasalah kamu menawan nafsu.
  Itu disarankan oleh agama.




Bertanya berapa sekati si ikan masin.
 Garau suaranya, berpakaian perempuan.
  Jumpalah kaunselor minta panduannya.
Cinta kedua lelaki berkahwin.
 Kalau mampu syariat membenarkan.
  Jagalah hati isteri pertama.

Bateri kereta malap menyala.
 Susah nak start tak ada jawab.
  Ambil duitnya belilah cepat.
Isteri pertama tetap dicinta.
 Fitrah lelaki memikul tanggung jawab.
  Adil saksama itulah syarat.

Akhirul kalam penutup kata.
 Tammatul kalam kata penamat.
  Selawat dan doa tamat mengaji.
Di dalam hadis Rasul bersabda.
 Bakal terjadi menghampiri kiamat.
  Umatku cinta dunia dan takut mati.

Berkepala botak jaga tak susah.
 Malah di malam hari kelihatan cun.
  Kena cahaya kepala yang licin.
Ada manusia tak dapat hidayah.
 Tenggelam dalam harta bertimbun. 
  Cintakan harta, kedekut tahi hidung masin.

Ketenangan jiwa membaca Al Quran.
 Dibaca sepatah sepuluh diganjar.
  Terima ganjaran kekal di akhirat.
Kekayaan juga dugaan Tuhan. 
 Cinta bersedekah pahala yang besar.
  Kaya di dunia, kaya di akhirat.

Tentang Muslim menjadi mayat.
 Sehelai sepinggang bukan pakaian.
  Si kain putih dan amalan yang dibimbit.
Sememang manusia cintakan maksiat.
 Undang-undang Islam diremeh jangan.
  Terbukti di Arab Sa'udi, jenayah sangat sedikit.

- Tuk Ki




   

Sunday, 12 February 2012

PANTUN ( enam kerat ) FITRAH CINTA (Bah. 1)


( I 12)  ILHAM ILAHI

  PANTUN FITRAH CINTA

Iman di dada penunjuk rasa.
 Mengekang amarah bukannya bacul.
  Mulia dipandang, diri dekat dengan Allah.
Insan dicipta makhluk termulia.
 Memegang amanah untuk dipikul.
   Cinta, kasih dan sayang adalah nikmat dikurmia Allah.

Tanjung Kerayung di sebelah mana?
 Bertanya sifu kepada kami.
  jawapannya ada, kami suka lepak disitu.
Mengandung payah tetapi gembira.
 Cinta ibu semula jadi.
   Jangan derhaka, syurga kan ada di tapak kaki ibu?

Setelah si Tanggang terkena badi.
 Diri berkelakuan seperti haiwan.
  Derhaka orang tua, terima padah dunia akhirat.
Si ayah cinta di hati sanubari.
 Memberi pendidikan menyemai iman.
  Gejala moral, gejala akidah, insyaAllah selamat.

Tanam rambutan di tengah sempadan.
 Jatuh sebiji tidak diusik.
  Jiran diberi bernama Tok Det.
Alam persekolahan penuh keseronokan.
 penuh misteri cinta berputik.
  Gelaran diberi cinta monyet.

Keci layarnya empat segi.
 Kecapi bertali enak bunyinya.
  Peralatan sejarah mesti dibualkan.
Mencari cinta seorang lelaki.
 Biasanya perigi tidak mencari timba.
   Asalkan maruah diri dijual jangan.

Mata pena tinta dicecahkan.
 Pena dibeli penyair yang rajin.
  Ide tulisan menegur yang kejam.
Cinta ada yang mata duitan.
 Cinta api mencairkan lilin.
  Cinta si pisau cukur yang amat tajam.

Beradu berlumba dengan jagoan.
 Habis aku tertinggal di belakang.
  Usah gundah, dia teman sejiwa sekata.
Memadu cinta dengan 'Don Juan'.
 Habis madu sepah dibuang.
  Insaflah sepah! Lelaki beriman adalah yang utama. 

Jangan sekali-kali endah tak endahkan.
 Mahupun dingin bena tak bena.
  Kepada amalan ibadah sunah.
Elakkan dari berdua-duaan.
 Konon ingin memadu cinta.
  Di mana syaitan? Di tengah-tengah!

Ranjau  ada di merata-rata.
 Di jalan-jalan penuh onak.
  Ternyata perbuatan orang yang jahat.
Kalau cinta seia-sekata.
 Jangan layan karenah yang banyak.
  Jumpa orang tua nyatakan hajat.

Jika hati sanggup diberi.
 Jiwa dan raga diserahkan juga.
  Nikahlah segera jangan lengahkan.
Cinta isteri dari hidup hingga ke mati.
 Cinta suami bersandarkan agama.
  Fitrah cinta adalah anugerah ciptaan Tuhan.

- Tuk Ki

Wednesday, 8 February 2012

HADIS QUDSI (2) - KALIMAH TAUHID

( N 10 )  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA


HADIS QUDSI ( 2 ) :  KALIMAH TAUHID






Allah s.w.t telah berfirman dalam sebuah hadis qudsi**
"Kalimah laa Ilaha Illallah (tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) adalah benteng pertahananKu. Dan barangsiapa yang memasuki benteng, ia akan aman dari seksaanKu."
-Riwayat Abu Naim dll. dari Ali bin Abu Talib r.a

Ulasan: Kita hendaklah mengucapkan kalimah tauhid " Laa Ilaha Illallah" dengan mengetahui maknanya yang tersurat dan tersirat, supaya dapat meluahkannya dengan penuh ikhlas, iman dan beriktiqad* dengan penuh yakin. Bukan sekadar ucapan di bibir dan mengetahui makna secara literalnya sahaja. Untuk memasuki benteng Allah Ta'ala, seseorang itu perlu melakukannya dengan ' ikhlas' seperti disebut dalam sebuah hadis:

"... Orang yang paling bahagia mendapat syafa'atku pada hari kiamat ialah orang yang mengucapkan  "Laa Ilaha Illallah" dengan ikhlas sepenuh hatinya atau jiwanya."   
-Riwayat Bukhari.

Nabi s.a.w juga bersabda di dalam hadisnya:

"Anak kunci syurga itu ialah iktiqad*dan ikrar Laa Ilaha Illallah."
-Riwayat Ahmad bin Hambal r.a

Oleh itu adalah wajib sebagai seorang Muslim untuk memahami kalimah tauhid ini bersama kehadhiran hati (hudhur) mengingati maknanya dengan sebati. Cara yang terbaik ialah dengan belajar ilmu Tauhid dengan guru yang berkitab (sunnah wal jama'ah) dimana huraiannya berbeza dari fahaman orang yang tidak belajar. Ini adalah mustahak kerana melibatkan akidah Islam kita dan mengelakkan kita dari terbatal akidah secara tidak sengaja disebabkan kejahilan. Na'uzubillah.

*Iktiqad - ibarat simpulan yang sukar dibuka.  
**Hadis Qudsi - definasinya boleh dirujuk pada post yang lalu bertajuk 'SINDIRAN ALLAH'.

Wallahu a'lam. 
' Dari talib kepada mukalaf '

-Tuk Ki








Saturday, 4 February 2012

PUISI / SAJAK RAP - TABIB MUSLIHAT 1

(I 11) ILHAM ILAHI




TABIB MUSLIHAT  1 ( SAJAK RAP )

Denyutan...nyut...nyut...bip...bip.bip...nyat..
Tabib Muslihat meloncat.
Ia pasti mati...ia pasti mati...perlu dioperate!
Angkat aku jadi ketuamu, wahai tabib-tabib kurang muslihat.
Aku layak untuk operate.
Bedah bukan operate!
Aku cakap bukan bedah tapi operate!
Aye! Aye! Angguk tabib-tabib kurang muslihat.
Aku sangat sanjung Tabib Muslihat.

Tabib Muslihat engkau cukup berbakat.
Semangat kental hatimu bulat.
Yang uzur, yang nazak dapat diselamat.
Yang mati dihidupkan ... itulah Tabib Muslihat!
Tabib-tabib yang kurang muslihat ada yang kagum melihat.
Dunia ketabiban takjub tersangat.
Awas! Tabib-tabib yang diisytihar musuh meyerang dengan kuman yang hebat,
dapat diserap oleh Tabib Muslihat.
Aku hampir-hampir menyembah Tabib Muslihat.

Denyutan...nyut...nyut...bip...bip.bip...nyat..
Aku baca berita dan terperanjat.
Seluruh negara merata tempat.
Kelakuan zombie-zombie yang jahat-jahat.
Serangan frankenstein-frankenstein dah melarat-larat.
Ungkapan "Mana ada tempat selamat."
Side effect...kesan sampingan yakinnya tabib-tabib kurang muslihat.
Yang dioperate Tabib Muslihat menerima akibat!
Hatiku mula berdebat... apa yang tak kena Tabib Muslihat?

Hening pada suara , huru-hara pada hakikat.
Tak disangka-sangka Pembongkar rahsia membocor kesilapan Tabib Muslihat.
Sabelum operate Tabib Muslihat tidak pernah bermunajat. 
Juga tidak pernah solat hajat.
Tidak pernah baca Bismillah supaya berkat.
Zahir membaca Umul kitab tapi di dada tidak disemat.
Aku kecewa dan remuk hati teramat sangat.
Sebelum aku berhijrah ke alam akhirat,
aku mesti cari tabib-tabib yang bebas muslihat.

-Tuk Ki                                                                      
                            


*** Tabib Muslihat 2 klik disini

Saturday, 28 January 2012

PANTUN (Makan hati berulam jantung) MAKAN-MAKAN -Bah. 3 (akhir)

( I10) ILHAM ILAHI

PANTUN MAKAN-MAKAN - Bah. 3 (akhir)



Tiada hal siapa sahaja boleh pinjam. 
   Ceti makan darah dia tak sesal.
Kerja yang halal, kerja yang haram.
   Cari makan pilihlah yang halal.

Wajah bomoh langsung tak makan tua.
   Cari ubat sikit tak kepenatan.
Sudahlah bodoh, alamak ... sombong pula.
   Bagi nasihat sikit tak makan.

Masakkan kari pekat bersantan.
   Dimakan api ranap rumahnya.
Amalan tradisi dilaknat Tuhan.
   Makan duit, makan suap di mana-mana.

Kad debit elak hutang besar.
   Jaga ketat perbelajaan bijak.
Kad kredit tidak terbayar.
   Kereta pula kuat makan minyak.

Makan sedap selera tak tertahan.
   Jika bersin, kata Alhamdulilah jangan malu.
Makan beradap menceriakan perkahwinan.
   Makan angin sambil berbulan madu.

Apabila hati berkata cinta.
   Walau segan beranikan diri.
Pada lelaki wanita berwaspada.
   Kalau termakan budi jangan digadai body.

Makan angkat suka dipuji.
   Makan benak untung yang besar.
Makan bunga kerja Along dan Ceti.
   Makan riba bank/syarikat yang besar.

Tahun baru Cina ada makan besar.
   Makan gaji bukan makan kawan sendiri.
Sekali pun boleh makan cekak, tetapi aku beredar.
   Bukan mudah, dia makan dalam, berpengalaman penuh isi. 


Bukan hari-hari makan ditanggung.
   Tiga hari selebihnya sendiri-sendiri.
Makan hati berulam jantung.
   Ditinggal kekasih carilah pengganti.

Garam dimakan dengan nasi.
   Makan kerawat tersangat miskin.
Tempat makan jangan diberaki.
   Balaskan kebaikan sahabat dijalin.

Negara Russia di utara bumi.
   Berjalan terus ke barat Granada.
      Pantasnya dunia dengan peradaban.
Indahnya bahasa dikurnia Ilahi.
   Jangan dilupus bakat dan usaha.
      Galas di bahumu supaya tidak dimakan zaman.

- Tuk Ki
      





Friday, 27 January 2012

IMAM AL GHAZALI: SOLAT BERLUMURAN DARAH

(N 9)  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

IMAM AL GHAZALI AL THAUSI ( RODHIALLAHU ANH -do'a) atau nama sebenarnya Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad ialah ulama tersohor yang bermartabat tinggi di sisi Allah. Beliau begitu mahir dalam feqah dan tasauf hingga dapat membawa manusia menuju ke hadhrat Allah SWT dan telah meninggalkan pedoman kepada umat dengan kitab-kitab karangan beliau, antaranya, ialah 'Ihya' Ulumuddin' dan 'Minhajul 'Abidin'.

Imam Al Ghazali juga telah dinobatkan oleh ulama-ulama dengan gelaran 'Hujjatul Islam' kerana telah mematahkan hujjah-hujjah ketua ulama Muktazilah (antara iktiqad mereka ialah bahawa setiap kerja manusia itu tiada kena mengena dengan Allah Taala). Beliau juga telah menepis segala falasafah Greek dan Yunani dari mencemari ajaran dan aqidah Islam. Antara falasafahnya ialah alam ini tercipta bersama penciptanya.


Dinukilkan disini salah satu daripada kisah-kisah hidup beliau sebelum beliau mengarang kitab yang paling ramai umat membacanya iaitu 'Ihya Ulumuddin' dan juga 'Minhajjul 'Abidin' (kitab Tasauf).

SOLAT BERLUMURAN DARAH

Pada suatu hari Imam Al Ghazali telah pulang ke kampong halaman setelah lama di perantauan kerana tugas-tugas sebagai imam tersohor yang sangat arif dalam bidang fekah, untuk bersama-sama keluarga tercinta.
Tiba waktu solat, beliau dan adik lelakinya bersedia mengerjakan solat berjamaah. Menghormati abangnya, adiknya telah memberi laluan kepada Al Ghazali mengimami solat itu. Sekitar sebahagian solat sedang dikerjakan, tiba-tiba adiknya telah 'mufarakah' (keluar dari menjadi makmum) dan telah menghabiskan solatnya secara sendirian hingga selesai dan terus berlalu dari situ.

Selepas solatnya, Imam Al Ghazali tertanya-tanya pada diri sendiri tentang kejadian itu dan sangat berkeinginan untuk tahu sebab-sebab adiknya 'mufarakah' kerana ia pasti solatnya tiada cacat cela. Lalu disusuli adiknya dan apabila bertemu lalu ia bertanya, " kenapa adinda mufarakah dari solat tadi. Aku pasti aku tidak membuat apa-apa kesalahan di dalam solatku."
"Semasa solat tadi aku terlihat kepala mu berlumuran dengan darah. Itulah sebabnya aku terus mufarakah dan solat sendirian." Jawab adiknya penuh hormat.
Mendengar penjelasan adiknya, Imam Al Ghazali tergamam dan termenung kehairanan sejenak sambil memikirkan apa yang berlaku. Namun kecerdasan akalnya dan keistimewaan naluri hatinya yang dikurnia Allah Ta'ala kepadanya beliau dapat menangkap apa yang berlaku. Beliau tidak menyangka adiknya mempunyai ilmu yang beliau sendiri  belum pelajari. 
"Sebenarnya ketika aku solat tadi aku ada terfikir tentang masaalah darah haid dan adinda boleh melihatnya?" Imam Al Ghazali mengaku dan meluahkan rasa peliknya kepada adiknya. Oleh kerana kagum dengan kelebihan adiknya lalu beliau bertanya, "Di manakah adinda berguru kerana aku ingin turut belajar."
" Aku berguru dengan seorang tua yang tinggal di hujung kampong ini." Adiknya menjawab gembira kerana melihat abangnya yang masih ingin belajar walau pun berkedudukan imam yang terkenal.
Lantas Al Ghazali pergi mencari guru di hujung kampong.

Sampai di satu kawasan hujung kampong itu ia bertemu seorang penduduk kampong dan bertanyakan arah rumah tok guru itu. 
"Ikutlah saya, saya boleh bawakan tuan ke sana." Orang itu mempelawa.
Apabila sampai di sebuah pondok orang itu berkata ," sayalah orang yang tuan cari."
Imam Al Ghazali tersentak kerana tidak menyangka orang itu ialah guru yang dicarinya sedangkan ia tidak langsung berketerampilan seorang guru yang mempunyai ilmu yang tinggi.
Tiba-tiba guru itu berkata, "Tuan pernah berjumpa saya di bandar dahulu."
Imam Al Ghazali sekali lagi tersentak dan baru ia teringat kepada orang tua inilah ia pernah menghulurkan kakinya untuk membersihkan sepatunya sewaktu ia berada di bandar satu ketika dahulu.
Beliau berasa amat malu dan lantas memohon maaf dan menyatakan tujuannya untuk berguru dengan guru itu.
Guru itu memberi jawapan yang mengembirakan imam Al Ghazali. Dengan penuh keghairahan untuk memulakan pembelajaran ia bertanya apakah yang perlu dibuat sebagai seorang murid.
"Tiap-tiap hari engkau cuci tandas di belakang pondokku". Jawab tok guru.
Lantas dipatuhi dengan rela hati oleh Imam Al Ghazali demi cintanya kepada ilmu Allah Ta'ala.

Begitulah imam Al Ghazali mendapat pelajaran bahawa ilmunya masih belum lengkap walaupun ia seorang ulama yang dirujuki oleh ulama lain.
Adalah dipercayai setiap kali beliau membersih tandas gurunya setiap kali juga Allah Taala membersih hati imam Al Ghazali. Di situlah beliau menggilap ilmu Tasauf beliau sehingga mencapai makam yang tinggi di sisi Allah S.W.T dan mengarang kitab 'Ihya Ulumuddin' dan kitab akhirnya, 'Minhajjul 'Abidin' sebagai pedoman dan lorong/jalan untuk kita bertemu Allah  S.W.T.

(Telah saya olah kisah diatas berdasarkan fakta dari kuliah)

Wallahu a'lam.

-Tuk Ki   











Thursday, 19 January 2012

PANTUN (kawan makan kawan) MAKAN-MAKAN - bah. 2

(I 10) ILHAM ILAHI 

PANTUN MAKAN-MAKAN - bah. 2

Hassan bergaduh datuk berduka.
   Hiruk pikuk bagaikan berkompang.
Makan gelojoh buruk padahnya.
   Tak elok dipandang silap haribulan tercekik tulang.

Patut disanggah raja yang tidak patuh.
   Syariat yang terjalin dalam agama.
Mulut mengunyah makanan yang penuh.
   Sekali terbersin terhambur semua.

Memecahkan tuba mencemaskan orang.
   Baling kertas sembunyi tangan.
Kurangkan gula doktor berpegang.
   Kencing yang manis semut jadikan habuan.

Siamang menjerit musuhnya kecut.
   Debab perutnya perkasa badannya.
Sememang penyakit puncanya perut.
   Sebab perut badan merana.

Bagai siamang kurang kayu.
   Hati susah bahkan merisaukan.
Makan! melintang patah membujur lalu.
   Selagi mahu makan peluang jangan dilepaskan.

Berulang esok, lusa, tulat dan tonggeng.
   Awal waktu solat disaran.
Berpantanglah makan kerana ia bukanlah dongeng.
   Mengawal nafsu memantapkan iman.


Bertaulan seorang kadang-kadang ramai.
   Teman menangis sukar didapatkan.
Makan seorang kadang-kadang beramai-ramai.
   Alangkah tragis jika kawan makan kawan.

Berbulan madu semadikan ingatan.
   Segar ingatan boleh menghafal.
Jangan memandu memakan jalan.
   Sedar-sedar terlantar di katil hospital.

Pantun yang lalu diiringi lagu.
   Penyeri dan untuk halwa telinga.
Dahulu Jalil Hamid dengan kelakar lagu.
    Kini untuk muda dan tua dari Raihan pula.

*( Kepada yang berminat dengan pantun-pantun khusus berkenaan  'KAWAN / SAHABAT', anda boleh buat carian di dalam blog ini, selamat berpantun!)

-Tuk Ki