MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

Wednesday, 8 April 2015

Sambungan...DUA TRAGEDI SAFAR TAHUN 4 HIJRAH

18 JAMADIL AKHIR 1436 H

( N  86 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

SIRAH :

Sambungan....DUA TRAGEDI SAFAR TAHUN 4 HIJRAH.

Selepas berlaku peristiwa al-Raji', berlaku pula satu lagi satu peristiwa yang menyedihkan oleh kerana kehilangan ramai jiwa para sahabat Baginda Rasulullah s.a.w.

TRAGEDI KE 2: BI'R MA'UNAH.

Baginda s.a.w telah menyeru Abu Bara' Amir bin Malik, yang telah menemui Baginda s.a.w di Madinah, kepada Islam. Pada harapan Baginda s.a.w Abu Bara' Amir akan menganut Islam apabila beliau meminta Baginda s.a.w menghantar rombongan dakwah ke Najdi untuk menyebarkan agama Islam. Baginda s.a.w menyatakan kepada beliau yang sebenarnya Baginda s.a.w merasa curiga dengan penduduk Najdi itu. Lantas Abu Bara' Amir memberi jaminan untuk melindungi rombongan yang akan dihantar oleh Nabi s.a.w.

Dengan jaminan itu, Nabi s.a.w telah menubuhkan satu rombongan 70 orang kaum Muslimin yang terdiri daripada golongan pemimpin, qari (penghafaz al-Quran) dan kenamaan diketuai oleh al-Munzir bin Amru dari Banu Sa'idah.

Setibanya mereka di suatu tempat yang dikenali sebagai Bi'r Ma'unah yang terletak diantara perkampungan Banu Amir dan Banu Salim, mereka telah singgah disitu. Mereka menghantar Hiram bin Milhan saudara Ummu Salim untuk menyampaikan sepucuk risalah dari Rasulullah s.a.w kepada seorang musuh Allah bernama Amir bin Tufail. Apabila Amir bin Tufail menerima risalah tersebut, tanpa melihat kandungan risalah itu beliau telah mengarah orang-orangnya membunuh Hiram. Hiram telah ditikam dari belakang. Apabila Hiram mendapati darahnya mengalir dari tikaman itu beliau sempat berteriak "Allahu Akbar! Demi Tuhan Ka'abah, aku telah berjaya!" dan beliau telah gugur syahid. 

Amir bin Tufail telah menyeru kaumnya menyerang dan membunuh rombongan kaum Muslimin di Bi'r Ma'unah tetapi mereka enggan kerana rombongan Nabi s.a.w itu adalah di bawah perlindungan Abu Bara'. Amir telah pergi meminta pertolongan Banu Salim dan dengan puak-puak Usaiyah, Ra'al dan Zakwan mereka mengepung sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Para sahabat telah menentang habis-habisan sehingga gugur syahid kesemuanya kecuali Ka'ab bin Zaid bin al-Najar yang bersembunyi di bawah jenazah-jenazah sahabatnya. Beliau hidup hingga ke peperangan al-Khandak.

Pada masa yang sama, ada sekumpulan kecil orang Islam telah melihat burung-burung terbang mengelilingi tempat kejadian. Bersama-sama mereka ialah Amru bin Umaiyah al-Dhamri dan al-Munzir bin Uqbah bin Amir. Al-Munzir bersama-sama kumpulannya turun melawan kaum musyrikin itu tetapi beliau dan orang-orangnya turut terbunuh manakala Amru telah ditawan. Setelah mengetahui Amru ialah dari qabilah Mudhar, beliau telah dibebaskan. 

Amru telah melaporkan kejadian itu kepada Rasulullah s.a.w yang amat berdukacita dengan peristiwa yang menyayat hati itu. Tambahan pula peristiwa al-Raji' baru berlaku dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Wallahu a'lam.

Sumber: kuliah berdasarkan kitab Al-Raheeq Al-Makhtum.

-Tuk Ki Jemaah
 (Daripada talib kepada mukallaf)

Tradedi 1 baca klik disini

Wednesday, 18 February 2015

DUA TRAGEDI SAFAR TAHUN 4 HIJRAH : SIRAH NABI S.A.W

28 RABIULAKHIR1436H 

( N  80 ) NUKILAN  DARI TAMAN SYURGA


SIRAH : 

DUA TRAGEDI SAFAR TAHUN 4 HIJRAH.

Rasulullah s.a.w tidak terhindar daripada mengalami kesedihan yang berpunca dari kejadian-kejadian tragis yang menimpa para sahabat dalam menjalankan tugas-tugas dakwah mereka atas arahan baginda sendiri.

1. PERUTUSAN AL-RAJI' (Berlaku dalam bulan Safar tahun 4 Hijrah).

Wakil-wakil dari qabilah Udhal dan Qaarah telah berjumpa Rasullullah s.a.w dan mememinta baginda menghantar guru-guru ke qabilah mereka untuk mengajar al-Quran dan agama. Rasulullah telah mengutuskan bersama mereka seramai enam orang penghafaz al-Quran (mengikut riwayat Ibnu Ishak dan al-Bukhari ialah sepuluh orang).

Baginda telah melantik Mirthad bin Abi Mirthad al-Ghanawi sebagai Amir perutusan itu. Ibnu Ishak dan al-Bukhari mencatatkan Amir itu ialah Asim bin Thabit iaitu datuk kepada Asim bin Umar bin al-Khatab. 

Sesampai rombongan pendakwah dan wakil-wakil qabilah itu di al-Raji', ia-itu kawasan air qabilah Huzail yang terletak diantara Rabigh dan Jeddah, tiba-tiba wakil qabilah Qaarah dan Udhal telah menzahirkan niat jahat mereka yang sebenar dengan memberi isyarat kepada qabilah Huzail yang dikenali sebagai Banu Lahyan supaya menyerang rombongan pendakwah Islam itu.

Mereka telah diserang oleh seratus orang pemanah dan cuba menyelamatkan diri dengan mencari perlindungan dan bertahan di kawasan dipanggil Fad-Fad. Penyerang-penyerang orang-orang Islam telah menyeru supaya Asim dan rombongannya menyerah diri dan menjanjikan keselamatan kepada mereka namun telah ditolak oleh Asim dan terus melawan serangan musuh.

Oleh kerana bilangan musuh yang terlalu ramai yang dapat menyerang dari jauh menggunakan panah, tujuh orang pendakwah telah gugur syahid termasuklah Asim. Hanya Khubaib, Zaid bin al-Dathnah dan seorang pendakwah yang lain masih terselamat. Musuh sekali lagi menawarkan janji yang sama jika mereka tidak melawan dan kali ini mereka bersetuju meletakkan senjata. Lantas musuh mengkhianati janji mereka dengan menangkap dan mengikat mereka bertiga dengan tali-tali panah. Mereka dipaksa mengikut qabilah itu namun pendakwah yang ketiga telah enggan dan telah dibunuh di situ juga.

Khubaib dan Zaid bin al-Dathnah telah dijual Makkah. Sebenarnya, mereka berdua telah membunuh bembesar-pembesar Makkah di dalam perang Uhud dan ada kalangan musyrikin Quraisy yang berdendam, antaranya ialah Uqbah bin al-Harith setelah bapanya dibunuh oleh Khubaib dalam peperangan tersabut,

Khubaib yang di dalam kurungan telah dibawa keluar dari Tanah Haram ke Tanaim untuk dibunuh. Sebelum disalib, Khubaib telah meminta untuk bersolat dua raka'at dan mendoakan kemusnahan kepada musuh-musuh Allah s.w.t dan menyatakan bahawa beliau tidak memanjangkan solatnya kerana tidak mahu orang musyrikin meyangka dia takut mati. Pada malam itu Amru bin Umayah al-Dhamri telah berjaya membawa lari jenazah yang syahid itu dari situ untuk dikebumikan.

Mengikut hadis sahih, Khubaiblah orang pertama bersolat sunat dua raka'at sebelum pembunuhan. Sebagai tanda kesyahidannya, ramai orang melihat beliau sedang memakan setangkai buah anggur semasa di dalam kurungannya sebelum dia di hukum bunuh. Padahal di masa itu buah tamar pun tiada di Makkah inikan pula buah anggur.

Zaid al-Dathnah pula telah diburu oleh Safwan bin Umaiyah dan telah syahid di tangan Safwan yang menuntut bela di atas pembunuhan ayahnya. 

Pihak Quraisy telah pergi ke Fad-Fad untuk mengenal pasti mayat Asim yang telah membunuh pembesar mereka di dalam peperangan Badar. Mereka tidak dapat menghampiri mayat Zaid kerana Allah s.w.t telah menghantar sekumpulan tebuan berlegar-legar melindungi jenazah syahidnya. Sebelum itu Asim pernah memohon kepada Allah s.w.t supaya badan beliau tidak disentuh oleh musyrikin dan tidak pula beliau mahu menyentuh musyrikin.

.....Bersambung in sya Allah.

Wallahu a'lam.

Sumber: kuliah berdasarkan kitab Al-Raheeq Al-Makhtum.


- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)

       

Friday, 28 November 2014

MUKJIZAT NABI S.A.W KETIKA HIJRAH

5 Safar 1436 H

( N  76 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.









SIRAH : MUKJIZAT NABI S.A.W KETIKA BERHIJRAH KE MADINAH.

  Setelah peristiwa Rasulullah s.a.w dikejar dan hampir dibunuh oleh Suraqah, baginda s.a.w, Abu Bakr dan Amir bin Fahirah telah meneruskan perjalanan dan telah singgah di satu perkhemahan kepunyaan Ummu Ma'bad al-Khuza'iyah yang sedang berehat di perkarangan khemahnya. Ummu Ma'bad seorang wanita yang tegas tetapi pemurah pada kebiasaannya suka memberi makanan dan minuman kepada sesiapa yang melewati khemahnya.

   Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr telah menyapa beliau bertanyakan jika ada sesuatu untuk dijamah.
"Demi Allah, kalau ada sesuatu kamu tidak akan terbiar tanpa jamuan. Kambing-kambing semuanya tidak ada susu dan tahun ini pula kemarau." Jawab Ummu Ma'bad yang tidak mengenali Rasulullah s.a.w. 
Baginda s.a.w pergi melihat seekor kambing betina yang kurus di tepi khemah lalu bertanya kepada Ummu Ma'bad samaada kambing itu bersusu atau tidak.
Ummu Ma'bad lantas menjawab, "Kambing itu terlampau teruk untuk memberi susu."
Lalu Baginda meminta izin untuk memerah susu kambing itu. Ummu Ma'bad membenarkan dengan senang hati tetapi ia tahu perbuatan itu adalah sia-sia belaka. 

  Dengan membaca Bismillah dan doa Rasulullah s.a.w memerah uncang susu yang tidak bersusu itu. Tiba-tiba ia mengembang dan mencurahkan susu dengan banyaknya ke dalam bekas yang agak besar hingga berbuih-buih. Baginda s.a.w telah memberi Ummu Ma'bad meminumnya hingga puas. Selepas itu diberi kepada sahabat-sahabatnya dan Baginda s.a.w turut meminumnya. Setelah puas meminum susu kambing itu, Rasulullah telah sekali lagi memerah susu kambing kurus itu sehingga penuh bekas itu dan ditinggalkan kepada Ummu Ma'bad sebelum mereka berangkat meneruskan perjalanan menuju ke Yathrib (Madinah al-Munawarah) meninggalkan Ummu Ma'bad yang terpinga-pinga kehairanan tetapi gembira.

  Sekembali suami Ummu Ma'bad bersama-sama kambing-kambingnya yang kurus akibat kekurangan makanan di musim kemarau yang sedang melanda, dia begitu terkejut kerana terdapat susu kambing yang banyak di perkhemahannya.
"Dari mana datang susu ini? Kambing yang tertinggal tadi, seekor belum beranak dan seekor tiada bersusu?" Tanya suami Ummu Ma'bad.
Ummu Ma'bad pun menceritakan apa yang berlaku dan memberi keadaan rupa bentuk dan perwatakan Rasulullah s.a.w dengan jelas kepada suaminya. Setelah mendengar penerangan dari mulut Ummu Ma'bad, yakinlah suaminya bahawa orang yang dimaksudkan oleh isterinya itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang sedang diburu oleh kaum Quraish dan ia berkata,
"Demi Allah, itulah dia orang yang disebut-sebut halnya. Aku sangat berhasrat untuk bersahabat dengannya apabila berpeluang nanti."

  Manakala di Makkah telah kedengaran satu suara tidak diketahui dari mana puncanya mendendangkan beberapa rangkap syair perihal perjalanan Raslulullah s.a.w termasuk peristiwa 'susu kambing' itu. 
Menurut Asma', "Sebenarnya kami tidak tahu arah mana Rasulullah s.a.w hendak tujui, tetapi tiba satu lelaki jin di Makkah mendendangkan syair. Orang ramai mengikuti suara itu tetapi tidak melihat jasadnya. Kami pun tahulah yang Rasulullah s.a.w menuju ke Madinah."

  Begitulah salah satu kejadian-kejadian semasa dalam perjalanan hijrah ke Madinah yang diperintahkan Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w. Ia begitu penting, strategik dan penuh dengan ujian-ujian kepada Rasulullah s.a.w dan pengikut-pengikut yang beriman dan sudah pasti mendapat pertolongan Allah s.w.t.. 

  Kenapa Allah s.w.t tidak menyediakan tunggangan buraq kepada nabi s.a.w sebagaimana dalam peristiwa isra' dan mi'raj untuk melakukan hijrah ke Madinah? Sudah tentu ada hikmah-hikmahnya untuk dibincangkan dengan guru-guru yang alim.

Wallalhua'lam. 

Sumber : kuliah dengan kitab ' Al-Raheeq Al-Makhtum'.


-  Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)

Tuesday, 28 October 2014

HIJRAH: PERISTIWA NABI S.A.W DAPAT DIBURU OLEH SURAQAH.

4 Muharram 1436 H

( N  74 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.


HIJRAH : PERISTIWA NABI S.A.W DAPAT DIBURU OLEH SURAQAH.


Setelah tiga hari Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr berlindung di dua Thur, mereka telah bersedia untuk memulakan perjalanan ke Madinah. Asma' binti Abu Bakr telah membawa bekalan perjalanan Baginda. Sementara Abdullah bin Uraiqat, seorang yang berugama Quraisy yang dipercayai telah diupah oleh mereka , telah membawa dua tunggangan. Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr telah diiringi oleh Amir bin Fahirah telah melalui 
jalan pinggir pantai laut Merah yang jarang-jarang digunakan orang mengikut petunjuk yang diberitahu oleh Abdullah bin Uraiqat. 

   Waktu itu usaha untuk membunuh Rasulullah s.a.w telah mulai reda. Rondaan dan sekatan jalan telah dihentikan. Tetapi ganjaran yang tinggi telah ditawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah s.a.w. Suraqah bin Malik telah menceritakan:
"Ketika ku sedang duduk didalam satu majlis qabilahku, Banu Mudlij, tiba-tiba seorang lelaki telah datang ke majlis itu. Dia berdiri, sedang kami semua duduk, lalu berkata, "Wahai Suraqah, baru sebentar aku telah melihat lembaga hitam di persisiran pantai, aku dapati mereka ialah Muhammad dan sahabat-sahabatnya." 
Kata Suraqah di dalam hatinya, "Aku tahu mereka itu sememangnya Muhammad dan sahabat-sahabatnya."
Oleh kerana Suraqah ingin mengambil peluang menangkap Rasulullah dan membolot ganjarannya, beliau telah menafikan orang itu ialah Muhammad s.a.w tetapi adalah orang lain yang dikenalinya dan mengetahui perjalanan mereka.

   Suraqah terus duduk beberapa ketika di dalam majlis itu dan telah keluar tanpa disyakki oleh sesiapa dan menyuruh orang suruhannya mengambil kudanya sambil dia bersiap dengan tombaknya dan menyelinap keluar belakang rumahnya dan terus memacu dan memecut kudanya.

   Setelah Suraqah menjejaki dan menghampiri Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya dengan pantasnya, tiba-tiba kedua-dua kaki hadapan kudanya telah terbenam kedalam pasir dan Suraqah telah tercampak dari kudanya.
Setelah bangun berdiri dan hairan dengan apa yang berlaku, dia telah membuat cabutan nasib dengan anak panahnya untuk menentukan samaada untuk teruskan niat membunuh mereka atau tidak. Cabutan nasib itu didapatinya supaya tidak meneruskan niatnya, tetapi dilanggarnya keputusan itu dan terus menunggang semula kudanya dan memecutnya untuk membunuh Rasulullah s.a.w. 

   Percubaan keduanya benar-benar dia menghampiri Baginda begitu dekat sehingga "...aku dapat mendengar bacaan Rasulullah (s.a.w). Baginda tidak menoleh ke mana-mana tetapi Abu Bakr kerap sangat menoleh ke belakang". Tiba-tiba sekali lagi kedua kaki hadapan kuda Suraqah terbenam ke dalam pasir hingga ke lututnya dan sekali lagi Suraqah tercampak jatuh. Suraqah mengherdik kudanya lalu kudanya berhempas pulas mengeluarkan kakinya dari terbenam di dalam pasir dan akhirnya kudanya berdiri semula.
Dengan tidak semena-mena kelihatan debu bercahaya di langit seperti asap. Melihat kejadian itu sekali lagi Suraqah membuat cabutan nasib dan petunjuk dengan anak panahnya dan sekali lagi mendapat keputusan yang sama dengan keputusan yang terdahulu.
   
   Melihat ini beliau menceritakan, "Kali ini aku menyeru mereka memohon keselamatan dan mereka semua berhenti dan aku memacu kudaku sehingga sampai dihadapan mereka. Kini terlintas di dalam jiwaku dengan apa yang telah terjadi dimana semua tindakanku itu semua terhalang adalah petanda kepada kejayaan urusan Rasulullah s.a.w di masa-masa akan datang."
   
   Suraqah telah menawarkan kepada Rasulullah s.a.w bekalan dan makanan namun hanya mendapat jawapan "Jauhilah dari kami." Suraqah berkata lagi, "Ku meminta Rasulullah s.a.w menuliskan daku watikah keaamanan, lalu Baginada menyuruh Amir bin Fahirah menulisnya atas sebidang kulit. Setelah itu Baginda s.a.w pun meneruskan perjalanan." 
Sekembali Suraqah ke Mekah dia tidak memberitahu kejadian itu kepada sesiapa tetapi telah menjadi pelindung Rasulullah s.a.w sambil berkata kepada orang-orang Mekah yang masih mencari Baginda, "Telah pun aku usahakan untuk kamu dan di sini aku yang bertanggung jawab." 

   Mengikut riwayat Abu Bakr, "Kami keluar berhijrah dalam kaum kafirin mencari-cari kami, namun tidak seorang pun yang dapat memburu kami kecuali Suraqah bin Malik bin Ja'syam sahaja yang menunggang kudanya. Ku menyeru Rasulullah s.a.w  yang aku mencurigai pemburuan itu kalau-kalau ia sempat menangkap kami. 

Jawab Baginda, "Janganlah berduka sesungguhnya Allah bersama kita." (At-Taubah: 40)

Wallahu a'lam.

(Sumber : kuliah dengan kitab Al-Raheeq Al-Makhtum.)


- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)