HADIS: TUTUP KEAIBAN / TENTERAMKAN HATI
Dari Abu Hurairah R. A Nabi S.A.W. bersabda, terjemahannya,
"Sesiapa yang melapangkan seseorang mukmin dari suatu kesusahan dunia, pasti Allah akan melepaskan dirinya dari suatu kesusahan hari qiamat.
Sesiapa meringankan penderitaan seseorang yang susah, pasti Allah akan meringankan penderitaan dirinya di dunia dan di akhirat.
Sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim, pasti Allah akan menutup keaibannya di dunia dan pada hari akhirat.
Allah pasti menolong hambaNya, selama mana hambanya itu berusaha menolong saudaranya.
Sesiapa yang merentas jalan untuk menuntut ilmu, pasti Allah akan memudahkan suatu jalan baginya ke syurga.
Tidak terhimpun suatu kelompok manusia dalam suatu rumah daripada rumah-rumah Allah, mereka membaca kitab Allah (al Quran) dan mempelajari antara sesama mereka, melainkan diturunkan ketenteraman ke atas mereka, diliputi rahmat , para malaikat mengerumuni mereka dan Allah menyebut mereka di kalangan sesiapa yang di sisiNya. Sesiapa yang melengahkan amalan, keturunannya tidak akan menampungnya."
Penerangan Hadis:
1. Kelebihan membantu melepaskan kesusahan orang beriman, sama ada pada anggota badan mahupun harta mereka, adalah antara sebab untuk selamat daripada bebanan di hari qiamat.
2. Manusia akan diberi ganjaran dengan balasan setimpal dengan amalan. Ini merupakan antara kaedah utama dalam syariat Islam.
3. Sesiapa yang meringankan beban orang lain, lebih-lebih lagi orang yang berada dalam kesusahan, Allah S.W.T. memberikan kepadanya dua balasan iaitu kemudahan di dunia dan keselesaan di akhirat.
4. Menurut Ibn Rajab terdapat dua kategori kelebihan menutup keaiban seorang muslim;
a) Orang yang tidak dikenali dan tidak diketahui tentang maksiat yang dilakukan. Apabila ia melakukan kesilapan atau kesalahan tidak harus didedahkan atau diperkatakan mengenainya. Sebab perbuatan sedemikian adalah dikira mengumpat yang dilarang dan diharamkan mengikut nas-nas syariat.
b) Orang yang sememangnya di kenali melakukan maksiat secara terang-terangan. Orang seumpama ini perlu disoal-siasat dan dijatuhkan hukuman supaya orang lain mengambil iktibar.
5. Allah S.W.T. akan menolong orang yang membantu seseorang lain dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan. (Surah al Maidah 5:2) maksudnya:
"...Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya."
6. Usaha yang dilakukan oleh orang yang menuntut ilmu boleh menyebabkan ia dimasukkan ke dalam syurga, khususnya ilmu agama. Apatah lagi ilmu itu adalah tanda kebaikan. Sesiapa yang tidak memahami dan belajar tentang ilmu ia akan terhalang daripada mendapat kebaikan.
7. Kita digalakkan berhimpun untuk berzikir dan membaca al Quran. Mereka yang berbuat demikian akan mendapat ketenteraman dan majlis tersebut dinaungi rahmat serta didampingi para malaikat.
8. Gesaan mentadabbur al Quran dan memahami akan maksud dan mengamalkannya adalah sangat dituntut. Jika ia tidak menjadi keinginan seseoarang dan kegemarannya maka ia bukanlah ahli ilmu dan ahli agama sebenarnya.
Wallahua'lam.
-Tuk Ki
'Dari talib kepada mukalaf'
No comments:
Post a Comment