MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Monday, 14 April 2014

HADIS : HIDAYAH DAN ILMU UMPAMA HUJAN YANG LEBAT.

14 JAMADIL AKHIR 1435 H

( N 65 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA


HADIS : HIDAYAH DAN ILMU UMPAMA HUJAN YANG LEBAT...


Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a. , katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bandingan apa yang Allah utuskan kepadaku dari hidayah petunjuk dan ilmu pengetahuan, adalah sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka terdapat sebahagian daripada bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak. 
Dan terdapat sebahagian daripadanya tanah-tanah yang keras yang menakung air (tidak menyedutnya), maka Allah menjadikan ia bermanafaat kepada manusia, lalu mereka minum dan memberi minum serta mereka dapat mengusahakan tanaman.
Dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadannya hanyalah tanah-tanah yang rata yang keras yang tidak lekat air sedikitpun, dan tidak dapat menumbuhkan rumput.
Demikianlah bandingan orang yang mempunyai fahaman yang teliti dalam hukum-hakam agama Allah, dan bandingan orang yang beroleh manafaat dari apa yang Allah utuskan aku membawaanya, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain.
Dan juga bandingan orang yang tidak hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu, dan tidak mahu pula menerima petunjuk Allah yang aku ditugaskan membawanya."

Terjemahan hadis diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim & Nasai.

KETERANGAN HADIS.

1. Terdapat golongan yang menyukai majlis-majlis ilmu dan sentiasa berusaha, menerima, memahami dan menghayati ilmu-ilmu yang diperolehi daripada majlis-majlis ilmu itu untuk lebih menyempurnakan ilmu agamanya dan keimanan dirinya sendiri.

2. Dengan ilmu pengetahuan di dada itu dengan sendirinya dapat pula disampaikan kepada orang lain dengan secara khusus (mengajar), atau dengan secara mudah melalui perbualan dan perbuatannya dihadapan ahli keluarga dan rakan-rakannya.

3. Terdapat golongan yang rugi dan sia-sia yang tidak menghiraukan dan memandang remeh,malah sehingga ada yang menolak ilmu-ilmu Allah yang diwahyukan dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)   

    



Saturday, 22 March 2014

AL-QURAN: KEADAAN MANUSIA MENGHADAPI KECEMASAN DAN MUSIBAH.

20 JAMADIL AWAL 1435 H

( N  64 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.


AL-QURAN: KEADAAN MANUSIA MENGHADAPI KECEMASAN DAN MUSIBAH.



1. Allah Ta'ala berfirman, bermaksud:-

"22. Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan , (berlayar) di lautan. Sehingga apabila kamu berada didalam bahtera (kapal), dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira kerananya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdo'a kepada Allah dengang mengikhlaskan ketaatan kepadaNya semata-mata. 
(Mereka berkata): "Sesungguhnya jika engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pasti kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur". 

23. Maka tatkala Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa (alasan) yang benar.
Hai manusia, sesungguhnya (bencana) kezalimanmu akan menimpa dirimu sendiri; (hasil kezalimammu) itu hanyalah kenikmatan hidup duniawi, kemudian kepada Kamilah kembalimu, lalu kami khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan."

- Surah 10. Yunus : 22, 23


KETERANGAN.

a. Manusia, apabila tiba-tiba menghadapi suasana kecemasan yang merbahaya yang menggugat nyawa dan keselamatannya, dengan segera akan berdoa bersungguh-sungguh dengan harapan supaya mereka terselamat dengan pertolongan Allah dan akan sangat bersyukur dan taat kepada Allah jika terselamat.

b. Setelah terselamat mereka tidak memperdulikan doa dan janji mereka untuk menjadi orang-orang yang bersyukur. Mereka akan terus membuat dan mengulangi dosa-dosa mereka dengan melanggar perintah dan hukum-hukum Allah Ta'ala semata-mata kerana nikmat dunia. Allah menjanjikan pembalasanNya.



2. Apabila orang-orang beriman menghadapi musibah, jadikanlah firman Allah Ta'ala ini sebagai pedoman yang bermaksud:-

 "155.  Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan (tanaman). Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,

156. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan "Innaalillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya kami kembali). **

157. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." 

- Surah 2. Al-Baqarah: 155,156,157

**Kalimat ini dinamakan kalimat 'ISTIRJAA' (pernyataan kembali kepada Allah). Disunatkan menyebutnya waktu ditimpa musibah besar ataupun kecil.


Wallahua'lam.   

 - Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukalaf) 




Saturday, 22 February 2014

DALIL TUDUNG MENUTUP KEPALA HINGGA KE ATAS DADA.

22 RABIUL AKHIR 1435 H

( N  63 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (20):




DALIL TUDUNG MENUTUP KEPALA HINGGA KE ATAS DADA.

Kepada yang masih ragu-ragu atau yang diragu-ragukan oleh pihak-pihak  tertentu tentang perintah Allah mengenai aurat seorang Muslim, di sini dipetikkan dalil daripada al-Quran, surah 24: An-Nur ayat 31, maksudnya:-

"Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya (dari berzina); dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat (wajah dan telapak tangan).Dan mereka hendaklah menutup kain kerudung/penutup kepala ke dadanya;

dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-petera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempua mereka, atau wanita-wanita Islam atau budak-budak (hamba sahaya) yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.

Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan-perhiasan yang mereka sembunyikan.

Dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." 

ASBABUN NUZUL (sebab-sebab turunnya ayat) AYAT 31.

Hadhrami  meriwayatkan, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan seorang wanita yang mengenakan dua buah gelang kaki. Ketika berjalan di hadapan sekelompok orang, dia menghentakkan kakinya dengan maksud agar dua gelang kakinya berbunyi. - (HR. Ibnu Jarir)

Perintah Allah S.W.T. terang lagi nyata dan untuk mempertikaikannya adalah perbuatan musuh-musuhNYA dan orang-orang jahil lagi sombong.

Wallahua'lam. 


- Tuk Ki Jemaah
(daripada talib kepada mukallaf)

Wednesday, 19 February 2014

HADIS: KELEBIHAN MEMBACA QURAN.

19 RABIUL AKHIR 1435 H

( N 62 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS: KELEBIHAN MEMBACA QURAN.



Dari kitab Riadh as Solihin karangan Imam Nawawi, terkandung  hadis, terjemahannya:-

"Daripada Abu Musa Al-Asy'ari r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: Perumpamaan orang Mukmin yang suka membaca al-Quran ialah seperti buah utrujah (macam buah limau), baunya harum serta rasanya pun sedap.
Perumpamaan orang Mukmin yang tidak suka membaca al-Quran adalah seperti buah kurma, tidak ada bau baginya tetapi rasanya manis.
Adapun perumpamaan orang munafik (yang berpura-pura mendokong Islam) yang suka membaca al-Quran ialah seperti minyak bauan, baunya harum tetapi rasanya pahit; dan perumpamaan orang munafik yang tidak suka membaca al-Quran ialah seperti rumput hanzalah, yang tidak berbau dan rasanya pula pahit."

KETERANGAN HADIS:

1. Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatNya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia supaya mereka tahu kandungannya serta berjalan mengharungi kehidupan berlandaskan petunjuk dan ajaranNya supaya mereka dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

2. Allah S.W.T. telah menjadikan membaca al-Quran itu sebagai ibadah yang boleh taqarrub (menghampirkan diri) kepadaNya, mendapt pahala, mencurahkan keredhaan dan rahmatNya kepada pembacanya. Ini kerana membaca al-Quran merupakan salah satu cara mentadabbur (memahami) dengan panduan terjemahan dan tafsir serta beramal dengannya.
Nabi s.a.w. bersabda:
"Cara yang paling baik bertaqarrub kepada Allah ialah dengan apa yang keluar daripadaNYA (al-Quran)." - Hadis riwayat Tarmizi dari Abi Umamah.

3. Al-Quran akan memberi syafa'at kepada pembacanya pada hari qiamat (berdasarkan hadis R. Muslim).

4. Allah Ta'ala menurunkan sakinah (ketenangan) kepada pembacanya dan diturunkan rahmatNya serta dinaungi dengan perantaraan sayap para malaikatNya (seperti hadis R. Muslim).

5. Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, Allah sediakan sepuluh ganjaran pahala, maksud hadis R. Tadmizi: "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka ganjarannya ialah satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Aku tidak mengatakan bahawa alif, lam, mim (contoh ayat Quran) sebagai satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf."

Budayakan membaca al-Quran.

Wallahua'lam.

Sumber: kuliah

Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)  

Wednesday, 29 January 2014

PANTUN : JANJI UNTUK DIKHIANATI?

27 RABIUL AWAL 1435 H

( I  39 )   ILHAM ILAHI


PANTUN : 

JANJI UNTUK DIKHIANATI? ( 6 dan 4 kerat)




Adat panji, panji diikat.
 Berdiri tinggi, bermegah diri.
  Arah berganti mengikuti angin berubah-ubah.
Mengikat janji, janji dibuat,
 Tepati janji bermaruah diri,
  Pecah janji bikin dikeji tiadalah sudah.


Masin jemuran si ikan masin.
 Diberi satu kepada cik abang.
  Berdekah ketawanya terlihat gigi.
Menjalin hubungan dengan yang lain.
 Isteri tahu lalu berperang.
   Sumpah! abang janji tak buat lagi.


Telur sebiji berapa harganya?
 Belilah stok menghadapi inflasi.
   Tiada barang, pemborong pandai main olok-olok.
Menabur janji di kala pilihanraya.
 Masaalah penduduk janji ditangani.
   Bila dah menang pandai main sorok-sorok.


Baki ada ambil di laci.
 Baki setelah membuat bayaran.
  Baki diagih kepada kakak, baki di agih kepada abah.
Janji ' saya tak ambil lagi'.
 Janji yang sangat susah dikotakan.
   Janji si penagih arak, janji si penagih dadah.


Gado-gado disaji sambil berkaraoke dan berduet.
 Kawan-kawan memberi tepukan hebat sekali.
   Terperanjat...aduh! Bilnya tinggi, mulutnya muncung mukanya monyok.
Si Romeo berjanji nak ambil hati si Juliet.
 Lautan api demi kamu, akan ku renangi.
   Terloncat...adui! Terkena api puntung rokok.


Ada lelaki kumis diperaga
  Berasa macho, tapi sakitnya selalu.
Menerima janji semanis kurma.
   Bersedia berisiko sepahit hempedu. 







Bahang rasa persis api.
   Api untuk letak di sisi.
Memang ada spesis ini.
   Janji itu untuk dikhianati.


Apa gunanya berdiri melopong.
   Kelak menjadi seperti lotong.
Ada juga janji kosong.
   Banyak janjinya bertong-tong.


Jika was-was menetapkan hati.
   Berdoalah dengan sembahyang istikharah.
Jika ikhlas melaksanakan janji.
   Berlapiklah dengan ucapan 'insyaa Allah'. 


Muka malaikat bersih bersinar, berseri-seri.
 Bertemu dirimu, bertemu lututmu.
  Lalu bertanya, Nabi menjawab, supaya umat sungguh faham.
Bermula solat dengan ikrar dan janji.
 Solatku, ibadatku, hidupku, matiku.
  KeranaMu ya Allah! Engkau Pentadbir seluruh alam. 


Mari berzanji mengingati Nabi.
 Di dalam zaman mempertikai amalan
  Kukuh cinta sirahnya diteroka.
Janji yang pasti tiada dikhianati.
 Didalam Quran Allah berfirman.
  Patuh ke syurga, yang engkar ke neraka.


Patah longlai patah tajinya.
   Menempuhi aral susah di hadapan.
Telah sampai sudah janjinya.
   Menemui ajal sudah ditetapkan.


Selamat berpantun!


- Tuk Ki Jemaah.
     

Wednesday, 22 January 2014

10 MAKSIAT BATIN : ANEKDOT TAKWA (19).

20 RABIUL AWAL 1435 H

(N 61)  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

ANEKDOT TAKWA (19) :

10 MAKSIAT BATIN.


Maksiat batin (hati) ialah segala tabiat yang jahat dan tercela disisi Allah S.W.T (syarak).
Imam Al-Ghazali r.t telah mensenaraikan 10 perkara maksiat batin/hati berdasarkan firman-firman Allah Ta'ala dan hadis-hadis Nabi S.A.W yang wajib dihindari dan dibuang seperti berikut:-

1. Tabiat gemar makan banyak dan berlebih-lebihan. Hendaklah makan dan minum itu jangan terlampau kenyang.

2. Bercakap banyak melainkan berkenaan hal-hal yang mendatangkan kebajikan dan kebaikan.

3. Marah, kerana marah datangnya dari syaitan.

4. Hasad (dengki) terhadap orang yang dilimpahi nikmat secara hak dan suka melihat orang itu ditimpa bala atau kesusahan.

5. Bakhil (kikir/kedekut) dengan harta malah terlalu kasih dengan hartanya.

6. Mencintai kemewahan hidup dan suka mengangkat diri sendiri dalam mengejar status yang diidamkan.

7. Mencintai dunia dan mengambil ringan tentang akhirat.

8. Takbur atau membesarkan diri dari orang lain dan memandang rendah terhadap orang lain.

9. Ujub atau kagum terhadap diri sendiri. Seperti kagum dengan kepintarannya, ilmunya, amalannya, dll.

10. Riak atau mengharapkan orang lain memujinya diatas amal kebaikan dan  ibadat yang dilakukan dan bukan kerana Allah Ta'ala.

Oleh itu, demi mencapai kemenangan di akhirat hendaklah seorang Muslim itu mensucikan hatinya dari sifat-sifat celaan tersebut.
Allah berfirman, terjemahannya:-

"Sungguh beruntung orang yang mensucikannya (jiwa itu daripada dosa)."
- Surah Asy-Syams : 9.

Nabi S.A.W bersabda, maksudnya: 

"Mensucikan hati daripada sifat-sifat yang tercela itu sebahagian daripada iman."

Imam Al-Ghazali r.t menerangkan bahawa maksudnya ialah sempurna iman itu dengan mensucikan hati daripada sifat-sifat kecelaan dan membaikkan hati dengan sifat-sifat kepujian.

Huraian lebih lanjut akan dinukilkan di masa lain, in syaa Allah. 

Wallahu a'lam.

(Sumber: Kuliah dengan kitab Hidayatul Salikin.)

- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)

Friday, 3 January 2014

TAUHID/AKIDAH (BAH. 11) : SIFAT KE 4. BERSALAHAN ALLAH TA'ALA DENGAN SEGALA SIFAT YANG BARU

1 RABIUL AWAL 1435 H

( N  60 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ILMU TAUHID (BAH. 11 ) : 

4. MUKHOLAFATUHU TA'ALA LIL HAWADITH. (Bersalahan Allah Ta'ala dengan segala yang baru).

Dalam membicarakan 20 sifat-sifat sempurna Allah Ta'ala ini, akan timbul satu soalan: kenapa 20 sifat sahaja? Jawabnya: hanya ciri-ciri sifat ini yang terkandung didalam Al-Quran yang telah dikembangkan dan disusun oleh imam Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, iaitu, imam Abul Hassan 'Asya'ari dan imam Abu Mansur Maturidi r.anhom.

Sifat bersalahan Allah Ta'ala dengan segala yang baru, iaitu makhluk yang pasti ada permulaan dan ada pengakhiran selain Allah Ta'ala (juga dikenali sebagai mumkinat). Wajib pada syarak setiap orang Islam, baligh dan berakal iaitu mukallaf (yang dibeban degan hukum-hukum), mengaku didalam hatinya dengan muktamad bahawa Allah Ta'ala bersalahan dengan segala yang baru walau dalam bentuk apa jua sekalipun yang dapat difikirkan.
Allah berfirman, terjemahannya:-

"Tidak ada seperti zat Allah Ta'ala sesuatu dan Dialah yang amat Mendengar dan amat Melihat."  - (surah Al-Syura: 11) 

1. BERSALAHAN PADA ZAT.

Zat ('Diri') Allah Ta'ala bukannya jirim (bahan yang mengisi ruang dan tempat) yang bertempat walaupun dimana-mana tempat seperti makhluk. Allah Ta'ala bukan jirim yang berjisim (jasad, objek) atau jauhar (jisim halus yang tidak boleh dibahagi-bahagi). DIA sama sekali tidak menyerupai makhluk, kerana makhluk berjirim/berjisim yang bertempat. Oleh itu tidak boleh dikatakan Allah Ta'ala itu bertempat di mana-mana tempat.

Jika didapati di dalam Al-Quran atau hadis yang memberi waham (kesamaran) Allah Ta'ala seperti bertempat, itu dinamakan ayat atau hadis mutasyabihah dan wajib ditakwil (mentafsir dari makna asal kepada lain) seperti takwil ulama salaf (era 300 tahun awal Hijrah) atau takwil ulama khalaf (era selepas 300 tahun Hijrah) seperti takwilan ayat-ayat Al-Quran berikut:-

i )  "YADULLAH (tangan Allah) diatas tangan-tangan mereka...."  

Ulama salaf mentafsirkan: " YADULLAH itu atas tangan-tangan mereka... " Bukan lafaz "YADU" itu bermakna tangan, kerana jika "YADU" bermakna tangan seperti tangan yang dapat dibayangkan, tidaklah ayat itu dinamakan ayat mutasyabihah lagi!

Ulama khalaf mentafsirkan: "Kekuasaan itu atas segala kekuasaan mereka..." Lafaz "YADU" bermakna Qudrat (kuasa).

ii)  "Tuhan yang Rahman itu diatas Arasy tertinggi." 

Ulama salaf mentafsirkan: 'Tertinggi' sebagai tertinggi yang tidak diketahui kafiatnya (caranya). Oleh itu diserahkan maksudnya kepada Allah Ta'ala kerana ia adalah diluar penguasaan ilmu makhluk.

Ulama khalaf mentafsirkan: Maksud 'tertinggi' ialah pemerintahan dan kerajaan.

2. BERSALAHAN PADA SIFAT.

Sifat-sifat Tuhan itu bukan 'Aradh (sifat makhluk) yang bertangkup atau menumpang pada barang/jirim/jisim yang mungkin berubah-ubah dan bertempat bersama-samanya. Umpamanya kulit berubah daripada cerah kepada gelap, buah cili berubah daripada hijau kepada merah. Oleh kerana sifat Tuhan juga tidak bertempat, tidak boleh dikatakan Allah Ta'ala itu ada jihah (arah) dimana-mana sekalipun.

Jika syaitan mencetuskan satu soalan didalam fikiran, "Jika Tuhan bukan jirim/jisim dan bukan 'aradh (sifat makhluk), jadi apakah hakikat Tuhan?"
Untuk menolaknya kita jawab, "Tiada yang mengetahui tentang Allah, Allah sahajalah yang Maha Mengetahui." Jawapan yang disandarkan kepada ayat yang tersebut diatas (Al-Syura : 11).

3.  BERSALAHAN PADA PERBUATAN.

'Af'al (perbuatan) Allah Ta'ala bukan seperti perbuatan makhluk, kerana perbuatan Allah Ta'ala menjadikan sesuatu yang asalnya tiada kepada ada dan tidak memerlukan bahan mentah dan alat-alat lain. 

DALIL-DALIL.

Dalil aqlinya ialah, jika Allah Ta'ala menyerupai segala yang baru (makhluk), sudah tentu DIA adalah baru juga. Sedangkan telah dibuktikan Tuhan bersifat Qidam (sedia ada) dengan dalil-dalil yang nyata. 

Dalil naqlinya seperti pengakuan Tuhan didalam Al-Quran:-





Terjemahannya: 

"Katakanlah: DIAlah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung padaNya segala sesuatu. DIA tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada sesuatupun yang setara dengan DIA." - (surah Al-Ikhlas) 

-Wallahu a'lam. 

**Disarankan belajar dengan berkitab dengan guru yang mahir.

Sumber: kuliah berdasarkan kitab-kitab Faridatul Faraid dan Al-Misbah Al-Munir...


- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)
    
# Sila klik 3. Sifat Baqa..nafsiah...