( N 60 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA
ILMU TAUHID (BAH. 11 ) :
4. MUKHOLAFATUHU TA'ALA LIL HAWADITH. (Bersalahan Allah Ta'ala dengan segala yang baru).
Dalam membicarakan 20 sifat-sifat sempurna Allah Ta'ala ini, akan timbul satu soalan: kenapa 20 sifat sahaja? Jawabnya: hanya ciri-ciri sifat ini yang terkandung didalam Al-Quran yang telah dikembangkan dan disusun oleh imam Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, iaitu, imam Abul Hassan 'Asya'ari dan imam Abu Mansur Maturidi r.anhom.
Sifat bersalahan Allah Ta'ala dengan segala yang baru, iaitu makhluk yang pasti ada permulaan dan ada pengakhiran selain Allah Ta'ala (juga dikenali sebagai mumkinat). Wajib pada syarak setiap orang Islam, baligh dan berakal iaitu mukallaf (yang dibeban degan hukum-hukum), mengaku didalam hatinya dengan muktamad bahawa Allah Ta'ala bersalahan dengan segala yang baru walau dalam bentuk apa jua sekalipun yang dapat difikirkan.
Allah berfirman, terjemahannya:-
"Tidak ada seperti zat Allah Ta'ala sesuatu dan Dialah yang amat Mendengar dan amat Melihat." - (surah Al-Syura: 11)
1. BERSALAHAN PADA ZAT.
Zat ('Diri') Allah Ta'ala bukannya jirim (bahan yang mengisi ruang dan tempat) yang bertempat walaupun dimana-mana tempat seperti makhluk. Allah Ta'ala bukan jirim yang berjisim (jasad, objek) atau jauhar (jisim halus yang tidak boleh dibahagi-bahagi). DIA sama sekali tidak menyerupai makhluk, kerana makhluk berjirim/berjisim yang bertempat. Oleh itu tidak boleh dikatakan Allah Ta'ala itu bertempat di mana-mana tempat.
Jika didapati di dalam Al-Quran atau hadis yang memberi waham (kesamaran) Allah Ta'ala seperti bertempat, itu dinamakan ayat atau hadis mutasyabihah dan wajib ditakwil (mentafsir dari makna asal kepada lain) seperti takwil ulama salaf (era 300 tahun awal Hijrah) atau takwil ulama khalaf (era selepas 300 tahun Hijrah) seperti takwilan ayat-ayat Al-Quran berikut:-
i ) "YADULLAH (tangan Allah) diatas tangan-tangan mereka...."
Ulama salaf mentafsirkan: " YADULLAH itu atas tangan-tangan mereka... " Bukan lafaz "YADU" itu bermakna tangan, kerana jika "YADU" bermakna tangan seperti tangan yang dapat dibayangkan, tidaklah ayat itu dinamakan ayat mutasyabihah lagi!
Ulama khalaf mentafsirkan: "Kekuasaan itu atas segala kekuasaan mereka..." Lafaz "YADU" bermakna Qudrat (kuasa).
ii) "Tuhan yang Rahman itu diatas Arasy tertinggi."
Ulama salaf mentafsirkan: 'Tertinggi' sebagai tertinggi yang tidak diketahui kafiatnya (caranya). Oleh itu diserahkan maksudnya kepada Allah Ta'ala kerana ia adalah diluar penguasaan ilmu makhluk.
Ulama khalaf mentafsirkan: Maksud 'tertinggi' ialah pemerintahan dan kerajaan.
2. BERSALAHAN PADA SIFAT.
Sifat-sifat Tuhan itu bukan 'Aradh (sifat makhluk) yang bertangkup atau menumpang pada barang/jirim/jisim yang mungkin berubah-ubah dan bertempat bersama-samanya. Umpamanya kulit berubah daripada cerah kepada gelap, buah cili berubah daripada hijau kepada merah. Oleh kerana sifat Tuhan juga tidak bertempat, tidak boleh dikatakan Allah Ta'ala itu ada jihah (arah) dimana-mana sekalipun.
Jika syaitan mencetuskan satu soalan didalam fikiran, "Jika Tuhan bukan jirim/jisim dan bukan 'aradh (sifat makhluk), jadi apakah hakikat Tuhan?"
Untuk menolaknya kita jawab, "Tiada yang mengetahui tentang Allah, Allah sahajalah yang Maha Mengetahui." Jawapan yang disandarkan kepada ayat yang tersebut diatas (Al-Syura : 11).
3. BERSALAHAN PADA PERBUATAN.
'Af'al (perbuatan) Allah Ta'ala bukan seperti perbuatan makhluk, kerana perbuatan Allah Ta'ala menjadikan sesuatu yang asalnya tiada kepada ada dan tidak memerlukan bahan mentah dan alat-alat lain.
DALIL-DALIL.
Dalil aqlinya ialah, jika Allah Ta'ala menyerupai segala yang baru (makhluk), sudah tentu DIA adalah baru juga. Sedangkan telah dibuktikan Tuhan bersifat Qidam (sedia ada) dengan dalil-dalil yang nyata.
Dalil naqlinya seperti pengakuan Tuhan didalam Al-Quran:-
Terjemahannya:
"Katakanlah: DIAlah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung padaNya segala sesuatu. DIA tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada sesuatupun yang setara dengan DIA." - (surah Al-Ikhlas)
-Wallahu a'lam.
**Disarankan belajar dengan berkitab dengan guru yang mahir.
Sumber: kuliah berdasarkan kitab-kitab Faridatul Faraid dan Al-Misbah Al-Munir...
- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)
# Sila klik 3. Sifat Baqa..nafsiah...
No comments:
Post a Comment