11 JAMADIL AKHIR 1436 H
( N 84 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.
ILMU TAUHID BHG. 15:
SIFAT KE 8 IRADAT (PEKEHENDAK) DAN HUKUM BERIKTIKAD SESUATU MEMBERI BEKAS (KESAN).
Adalah wajib pada syarak (agama suruh buat) untuk kita mengetahui serta mengaku di dalam hati bahawa Allah Ta'ala itu bersifat Iradat atau pekehendak. Ia adalah salah satu sifat-sifat Allah Ta'ala yang wajib diketahui dan diperakui. Sifat-sifat Allah Ta'ala yang kamalat (sempurna) itu tidak terkira banyaknya. Tetapi yang wajib untuk diketahui dan diperakui ialah minima tiga belas (13) sifat yang terdapat di dalam Al-Quran.
Barang diingat bahawa Pekehendak bukan bermaksud berhajat. Hajat dimulai oleh nafsu makhluk yang lemah. Padahal sifat Pekehendak (kehendak) yang ada sejak sedia kala (yang tidak ada permulaan) yang berdiri (ada) pada zat (diri) Allah Ta'ala. Mustahil Allah Ta'ala bersifat berhajat.
Dengan sifat Iradat Allah Ta'ala menghendaki dan menentukan keadaan MUMKIN. Mumkin (kemungkinan) ialah perkara baru dan difahami seperti berikut:
Perkara baru = perkara yang ada permulaan.
Kaedahnya = perkara yang ada mula pasti ada akhirnya.
Makhluk = adalah ALAM.
Alam = selain daripada Allah Ta'ala.
Mumkin = perkara yang tidak ada dan boleh jadi ada.
Mumkinat = perkara yang ada dan boleh jadi tidak ada.
Allah Ta'ala berfirman:
"Sesungguhnya perintahNya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya "Jadilah" maka terjadilah ia." - surah Yaasin: 82.
(Keterangan: Ayat ini adalah ayat mutasyabihat (kiasan) untuk kefahaman hambaNya. Bukan secara literal Allah Ta'ala bermonolog atau berdialog.)
Dengan sifat IradatNya telah ditentukan bagaimana hal kejadian mumkin itu terjadi seperti hitam, puteh, panjang, pendek dan seumpamanya. Dengan sifat IradatNya juga mumkin itu bersifat mutaqabilat, yakni, keadaan mumkin yang tidak terhimpun ke atasnya perkara hal keaadaan yang berlawanan di dalam satu masa dan satu tempat, seperti jika ada sesuatu maka tiadalah ia, jika puteh warnanya maka tiada lain-lain warna; jika di selatan maka tidaklah di utara atau lain-lain arah; jika tinggi maka tiadalah pendek; jika di Perak maka tiada ia di negri-negeri lain; jika sesuatu itu bergerak maka tiadalah diamnya, dll. Begitulah perkara-perkara yang harus berlaku kepada mumkin yang dikehendaki dan ditentukan Allah Ta'ala dengan sifat IradatNya.
Sebenarnya, bukanlah mumkin dan hal keaadaannya terjadi oleh kerana terpaksa, terlalai, terlupa, dengan ilat (disebabkan sesuatu) atau dengan tabiaat. Lima perkara tersebut adalah mustahil bagi Allah Ta'ala.
TA'ALUK (tugas/pekerjaan) IRADAT.
Ta'aluk Iradat keatas setiap mumkin adalah seperti ta'aluk Qudrat (Pekuasa) iaitu ta'aluk mengadakan mumkin. Manakala ta'aluk Iradat ialah menentukan mumkin. Semua perkara mumkin itu merangkumi perkara-perkara yang baik dan jahat/keji. Tetapi wajib kita beradab terhadap Allah Ta'ala dengan tidak menyandarkan kekejian itu kepadaNya melainkan di dalam majlis ilmu dan pembelajaran.
Berhujah bahawa setiap kejahatan itu adalah kehendak Allah Ta'ala sebelum melakukan kejahatan atau sesudah melakukannya semata-mata untuk menghalalkan perbuatan jahat,maksiat dan kezaliman akan menjadi kufur disisi Allah Ta'ala. Kita dilarang redha dengan maksiat walaupun dikehendaki Allah Ta'ala kerana perbuatan redha kepada maksiat itu sendiri adalah berupa satu maksiat juga. Hendaklah seorang pelaku maksiat itu berazam dan berdoa agar dijauhi maksiat.
DALIL BAGI SIFAT IRADAT.
Adalah mustahil jika sesuatu perkara itu bukan Iradat (Pekehendak) Allah Ta'ala.
1. Kita ambil contoh makhluk ini, jika Allah Ta'ala tergagah (teerpaksa) nescaya Dia tidak menjadikan makhluk oleh kerana Dia tidak menghendakinya.
2. Jika Allah Ta'ala lalai atau lupa, nescaya lalai dan lupa itu tidak menghendaki makhluk itu dijadikan dan jika dijadikan juga, oleh kerana lalai dan lupa itu mengakibatkan habis bertukar-tukar hakikat (bentuk) makhluk ini.
3. Jika makhluk ini ada dengan ilat (sebab) Tuhan itu ada, contoh: bergeraknya jari turut menggerakkan cincin, maka ia tidak diterima akal kerana asal makhluk itu tiada. Mustahil makhluk turut ada bersama Tuhan.
4. Jika makhluk turut ada dengan tabi'at, contoh: api tidak menghangus jika tidak disentuh, nescaya makhluk tidak boleh ada juga kerana asal makhluk ini tiada. Tidak boleh makhluk ini tiba-tiba ada.
Inilah pengakuan sebenar Allah Ta'ala dengan firmanNya :-
"Dan kamu tidak dapat menghendaki kecuali apabila dikehendaki (dan ditentukan) Allah, Tuhan semesta alam." - surah At-Takwir : 29.
Maka nyatalah Allah Ta'ala bersifat Iradat.
HUKUM MENGIKTIKADKAN (BERKEYAKINAN) SESUATU ITU MEMBERI BEKAS (KESAN).
1. Jika seseorang beriktikad bahawa sesuatu itu memberi bekas dengan sebab atau dengan tabi'at, contoh: ubat itu menyembuhkan penyakit tanpa ada kaitan langsung dengan Allah Ta'ala, maka dengan tiada khilafnya ia kufur (kafir) disisi Allah Ta'ala.
2. Jika beriktikad kekuatan/keupayaan yang ada pada seseorang atau sesuatu itu memberi bekas (kesan), contoh: ubat menyembuhkan kerana diberikan kekuatan/keupayaan oleh Allah Ta'ala, maka orang itu fasik (berdosa) dan bida'ah yang haram.
3. Jika beriktikad Allah Ta'ala jua yang memberi bekas tetapi dengan pegangan sebahagian daripada hukum adat** , contoh: ubat itu menyembuhkan, maka nyatalah orang itu jahil dengan hukum adat dan kadang-kadang boleh membawa kepada kekufuran. Ini kerana adakala ubat tidak menyembuhkan, makan tidak mengenyangkan; api tidak membakar seperti Nabi Ibrahim a.s tidak terbakar oleh api.
** baca hukum adat klik di sini.
4. Orang yang beriktikad bahawa segala sebab, tabi'at dan kekuatan/keupayaan, dsb.adalah baru (selain Allah Ta'ala) yang tiada memberi bekas (kesan) kerana Allah Ta'ala jua yang memberi bekas. Maka orang inilah dikatakan orang "muahid" yang mendapat kelepasan dengan kurniaan Allah Ta'ala.
Wallahu a'lam.
Sumber: kuliah dengan kitab-kitab Faridatul Faraid....dan Al-Misbah Al-Munir....
- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)
YA ALLAH! AKU BERSYUKUR KEPADA MU KERANA MENGAMBIL BALIK SEBAHAGIAN DARI KEUPAYAAN FISIKAL KU TETAPI BUKAN MENGAMBIL IMAN KU TERHADAP MU! tuk-ki-jemaah.blogspot.com
MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati
MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!
Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu! Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.
Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.
Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya.
Tuk Ki
Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya.
Tuk Ki
* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.
Wednesday, 1 April 2015
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment