MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Monday, 29 April 2013

6 PERKARA WAJIB DIJAGA - ANEKDOT TAKWA (14)

  18 JAMADILAKHIR 1434 H

( N 43 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (14): 6 PERKARA WAJIB DIJAGA.

Adalah wajib ke atas tiap-tiap Muslim yang mukallaf (yang akil baligh) menjaga dan memelihara enam perkara ini yang juga dikenali sebagai enam kulliyyat.

1. AGAMA.
Wajib menjaga dan memelihara seorang Muslim itu daripada jatuh ke dalam kekufuran dan juga memelihara agama daripada dicemari. Diwajibkan kita berperang dengan orang-orang kafir yang memerangi agama (kafir harbi). Diwajibkan orang Muslim bersatu-padu, meyediakan kekuatan, bermesyuarah, mengukuhkan silaturahim untuk mempertahankan agama.

2. NAFSU.
Wajib memelihara nafsu daripada mengerjakan perkara-perkara yang membinasakan dan memudharatkan diri.

3. AKAL.
Wajib memelihara akal daripada kerosakan dan kehilangan akal seperti mengambil arak, dadah, dll.

4. NASAB (KETURUNAN)
Wajib atas mulkallaf memelihara nasab dengan menghindarkan diri daripada mengerjakan perkara yang merosakkan nasab seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang meransang perbuatan zina dan kelahiran anak diluar nikah.

5. KEHORMATAN DIRI.
Diwajibkan menjaga kehormatan diri dengan menjauhkan diri seseorang   dari melakukan perkara yang mencemar dan menghilangkan kehormatan diri. Adalah tidak dimudahkan seorang membuat tuduhan tanpa bukti (hudud) dan penuduh akan dihukum jika menuduh tanpa bukti berkaitan kehormatan diri. Diharamkan bersangka jahat, membongkar keaiban dan mengumpat perkara yang melibatkan kehormatan seseorang.

6. HARTA.
Wajib menjaga harta daripada membawa kebinasaan dan pelanggaran hukum syarak. Kerana inilah diharamkan rasuah, makan riba', mengambil cukai, mencuri, menipu, dan sebagainya.

Perkara diatas adalah yang asas dan pokok bagi setiap Muslim memeliharanya, tetapi yang lebih penting ialah perkara AGAMA kerana jika seseorang terkeluar dari agama Islam (riddah) dengan sendirinya akan tergugur segala amal ibadatnya.

Wallahua'lam


- Tuk Ki 

  

Tuesday, 16 April 2013

7 JENIS NAFSU - ANEKDOT TAKWA (13)

5 JAMADILAKHIR 1434 H

( N  42 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

ANEKDOT TAKWA (13) : 7 JENIS NAFSU.




AL-QURAN ada menyatakan perihal hawa nafsu (jiwa) yang bersarang dan menghuni  dibenak hati manusia yang harus diperangi dan dikawali dengan keimanan seperti pengertian hadis Nabi s.a.w: "Kita sekarang kembali dari jihad asghar (jihad kecil) (iaitu kembali dari perang Badar/Uhud) kepada jihad akbar (jihad besar), iaitu jihad memerangi hawa nafsu."

Jenis-jenis nafsu yang dikemukakan dalam al-Quran ialah:

1. 'NAFSU AMMARAH BISSU' ' yang selalunya mendorong seseorang untuk melakukan dosa dan kejahatan.
(Rujuk surah Yusuf ayat 53).

2. 'NAFSU LAWWAMAH' ialah nafsu yang sering menyesali diri. Maksudnya, apabila seseorang berbuat kebaikan ia juga menyesal kenapa dia tidak berbuat lebih banyak, apa lagi kalau dia berbuat kejahatan.
(Rujuk surah al-Qiaamah ayat 2).

3. 'NAFSU SAWWALAH' yang seringkali menggambarkan dan menghiaskan sesuatu maksiat/kejahatan itu menjadi indah dalam pandangan manusia atau khayalannya.
(Lihat surah Yusuf ayat 83).

4.'NAFSU MULHAMAH' iaitu nafsu yang sering mendorong tingkah laku kederhakaan dan ketakwaan.
(Lihat surah as-Syams ayat 8).

Bagi hambaNYA yang sempurna imannya mereka memiliki nafsu/jiwa berikut:

5. 'NAFSU MUTHMAINNAH' ialah jiwa/hati yang tenang. Sentiasa berusaha dengan ikhlas menjauhkan diri dari maksiat dan melaksanakan syariat Allah Ta'ala dan memperbaiki kejahilan diri dengan ilmu Akhirat.  

6. 'NAFSU RADHIAH' ialah jiwa yang puas dan redha dengan ketentuan Allah. Allah mencampakkan ketenangan di hatinya tetapi kadangkala tetap merasa sangsi samaada Allah menerima amalannya.

7. 'NAFSU MARDHIAH' ialah hati yang diredhai Allah Ta'ala. Ini adalah makam nafsu tertinggi dikalangan insan selain para Nabi dan Rasul. Peringkat ini dengan izin Allah dapat merasakan secara bathin dirinya diredhaiNYA. Makam ini diperolehi dan dicapai oleh ahli-ahli tasauf/sufi dan wali-wali Allah.  
(5,6,7 - lihat surah al-Fajr ayat 27~30).

Berusahalah untuk memerangi / berjihad mengalahkan hawa nafsu yang negatif, dan mencapai serta memelihara nafsu yang disukai Allah Ta'ala,  insya Allah.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki   






Wednesday, 10 April 2013

PANTUN PERIBAHASA PERADA BAHASA (BAH.2).

29 JAMADILAWAL 1434 H

( I 34 )   ILHAM ILAHI

PANTUN PERIBAHASA PERADA BAHASA (BAH.2)



BErat kelapa banyak terjurai.
   Tupai selalu jadikan tempat rehatnya.
"Buat kerja seperti Mat Jujai."
   Terbengkalai selalu kerja yang dibuatnya.

Mengikat lembu paras tekak.
   Kelak tamat riwayatnya, dikemas dilapah dagingnya.
"Buat mahu menuras tidak."
   Nak buat sangat tetapi malas mempelajarinya.

Jika berdengkur gatal telinga.
   Jejari merewang,menggaru badan terasa bagus.
"Mata tidur bantal berjaga."
   Isteri curang mengambil kesempatan suami yang lurus.

Kurang rasanya sebiji berangan.
   Adalah sepuluh tahap biasa.
"Hilang di mata, di hati jangan."
   Walaupun jauh tetap tak lupa.

Ada kala suka, ada hari benci.
   Takut lama-lama terus layu tiada sukanya.
"Kerana mata buta, kerana hati mati."
   Ikut hawa nafsu akhirnya terima balanya.

Berbatu merentas si kupu-kupu.
   Jadikan belukar santai berehat.
"Bertemu ruas dengan buku."
   Padan benar, sesuai sangat.

Nasi lembut ada batu.
   Tetapi balik dibekalkan juga.
"Cari umbut kena buku."
   Dicari yang baik, dapat yang tak berguna.

Pergi dinihari untuk sembahyang, sujud dan rukuk.
   Menjalin syahdu dengan munajat seorang diri.
"Seperti ilmu padi, kian berisi kian runduk."
   Semakin berilmu, semakin berpangkat, semakin menghormati.

Panji sehelai lekas dikibarnya.
   Tanda mereka merayakan kemenangan.
"Padi setangkai bernas semuanya."
   Keluarga bahagia kerana didikan.

Terang nyata perkataan mika.
   Jangan tipu berkata lain.
"Tentang mata dengan mata."
Berhadapan satu sama lain.

Tak ambil peduli perkakas terabai.
   Kapak tak berguna jika tiada tangkainya.
"Tak ada padi yang bernas setangkai."
   Tidak ada sesuatu yang sempurna segala-segalanya.

Cili padi, lada merah jangan banyak.
   Kalau banyak terkelu lidah, berapi pedasnya.
"Seperti padi hampa,makin lama makin mencongak."
   Kalau tidak berilmu, janganlah semakin tinggi cakapnya.





Siakap pembuka pemecah selera.
 Asam pedas nama menunya.
  Terbatuk memakannya jika tak cermat.
"Silap mata pecah kepala."
  Dalam tugas kerja bahaya.
   Buruk padahnya jika tak berhemat.

Bekerja di ladang kelapa sawit.
 Mahu mengumpul modal perniagaan.
   Susah sekarang tiada masaalah, boleh mengharungnya.
"Mata memandang apa hendak sakit.
  Bahu memikul timpa perasaan."
   Susah orang melihat, lebih susah yang menanggungnya.

Bahan dapat dari laut, geragau dibubuh.
 Gigih berpanas membuat belacan dan juga budu.
  Belacan dan budu perniagaan dipilih menjana pitih.
"Jangan sangat memilih, takut terkena buku buluh."
 "Pilih-pilih ruas, terpilih pada buku."
   Jangan terlalu memilih, khuatir nanti tersalah pilih.

Jika berjanji tunaikanlah.
 Jika berbelahbagi beristikharahlah.
  Bawa berzikir hilanglah buntunya.
"Jika ada padi berhampalah.
  Jika ada hati berasalah."
   Jika rasa tersindir, dialah pelakunya.


- Tuk Ki 


  
   
   

Wednesday, 3 April 2013

ANEKDOT TAKWA (12) : IBU MAKSIAT

22 JAMADILAWAL 1434 H

( N  41)   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (12): IBU MAKSIAT

Othman bin Affan r.a telah berkata:

"Jauhkan olehmu dari arak, sesungguhnya terdapat pada umat nabi terdahulu seorang lelaki yang sangat kuat beribadat kepada Allah s.w.t. 

Maka datang seorang perempuan yang terlalu jahat perangainya kepadanya dan berkata, "Aku datang memanggilmu kerana aku dijadikan untukmu."
Lalu datanglah lelaki itu bersama perempuan itu dan kedua-duanya masuk ke dalam rumah. Kemudian pintu rumah ditutup dan dibawa kepada lelaki itu seorang kanak-kanak (hamba) lelaki dan satu bekas berisi arak.
Perempuan itu berkata lagi, "Aku memanggilmu untuk mengajakmu berzina denganku atau membunuh kanak-kanak ini atau engkau minum arak ini. Selagi engkau tidak lakukan salah satu dari tiga perkara ini nescaya aku tidak akan  buka pintu ini."
Maka berfikir si lelaki itu, "Jika aku membunuh kanak-kanak ini adalah terlalu besar dosanya dan apabila difikirkan zina itupun besar dosanya."

Lalu dia mengambil bekas arak lalu meminumnya. Setelah selesai diminumnya dia telah menjadi mabuk dan telah membunuh kanak-kanak itu, kemudiannya telah berzina pula dengan perempuan itu dalam keadaan mabuknya."  

Peristiwa tersebut sememangnya lumrah berlaku dan telah bertambah buruk dewasa ini. Betapa kita mendengar atau membaca berita perzinaan, rogol, samun dan pembunuhan berlaku berpunca daripada mabuk atau khayal setelah meminum arak atau mengabil dadah."

Wallahua'lam.

- Tuk Ki


                                   Arak





Ganja/dadah dan jenayah.